Tuesday, December 21, 2010

NZ 01 : Melbourne - Queenstown

Menaiki JetStar, kami berlepas dari Melbourne Airport pada pagi Khamis, 16/12/2010 sekitar jam 9:45 pagi, tertangguh hampir sejam dari jadual asal. AlhamduliLlah, penerbangan selama 3 jam bergerak lancar dan mendarat dengan selamatnya di Queenstown Airport, South Island. Tidak disangka-sangka, ketibaan JetStar disambut dengan pancutan air, simbolik menggantikan bunga manggar. Rupa-rupanya ia adalah pendaratan pertama JetStar di Queenstown Airport.

Pemandangan dari Abba Garden Motel

Untuk makluman, perbezaan waktu di New Zealand di ketika Daylight Saving Time ini adalah 2 jam di hadapan Melbourne (5 jam di hadapan Malaysia). Waktu siang di Queenstown kini lebih panjang dari malam. Matahari terbit kira-kira jam 5:30 pagi dan terbenam sekitar jam 9:30 malam. Ini menjadikan waktu Isyaknya agak lewat, menghampiri jam 12:00 tengah malam. Syukurlah kami ini bermusafir, dapatlah kami solat jamak taqdim Maghrib dan Isyak sebelum masuk tidur untuk bangun awal di keesokan harinya. Setinggi-tinggi pujian untuk Allah SWT.

Dari Queenstown Airport, menaiki kereta sewa, Toyota Previa (seumpama Tarago/Estima) kami menyusuri Lake Wakatipu yang amat cantik pemandangannya. Tasik sepanjang 80 km ini adalah tasik terpanjang di dunia. Airnya tenang sekali, jelas kelihatan bayangan gugusan gunung batu yang melatarinya. Fakta menarik, pasang surut air di tasik ini sebanyak 12 cm (5") berlaku setiap 5 minit sekali.

Mengikut lagenda Maori, etnik asli bumi kiwi; tasik berbentuk huruf 'S' terbentuk setelah gergasi jahat, Matau dibakar ketika tidur mengiring. Kesannya, salji di pergunungan telah mencair menghasilkan tasik ini.

Lake Wakatipu

Dari pemerhatian kami, bahasa Maori masih lagi dikekalkan terutama pada nama tempat, samada berdiri sendiri atau pun disekalikan dengan nama baru. Adakala sebutannya agak melucukan, apatah lagi jika mengikut sebutan Melayu. Lake Wakatipu adalah salah satu daripadanya.

Melewati tengah Bandar Queenstown, kami terus menuju ke Abba Garden Motel yang diinapi selama 3 hari 2 malam. Motel 2 bilik yang simple tetapi selesa yang turut dilengkapi dapur untuk memasak.

Fresh Choice Supermarket pula terletak berdekatan dengan motel. Di sinilah kami berbelanja barangan dapur dan di sini jugalah kami tersua dengan Linda, pekerja supermarket rakyat Malaysia yang beria-ia menolong kami memilih ayam halal cap Brinks.

Hari pertama di Queenstown, kami tidak ke mana-mana. Hanya berada di motel, melepaskan kepenatan selama berhari-hari mengemas dan membersihkan rumah sewa di Dandenong sebelum menamatkan sewaannya, sehari sebelum berlepas ke New Zealand.

4 comments:

Anonymous said...

Salaam rnl,
Semoga anda sekeluarga dalam keadaan sihat dan dilindungi Allah sentiasa.

Akak teruja membaca catatan rnl sekeluarga bercuti di NZ. Selain daripada menceritakan pengalaman mengembara selama 16 hari diharap rnl juga dapat menyelitkan panduan bagi mereka yang ingin ke sana.Contohnya cara menyewa kereta dan kadar sewanya, mencari tempat tinggal yang sesuai ,mendapatkan makanan halal dan masjid2 yang disinggahi sepanjang perjalanan.

Thank you for sharing and have a nice trip.

Kak Wanmalaya

Anonymous said...

selamat bercuti kak laili sekeluarga.
nanti masukkan itinerary dan chalet yang sesuai berbaloi harganya untuk rujukan kami pulak.

zuraini

Umi @ Puan Nurhidayah Hashim said...

Salam Kak Laili dan Mr Pidi, maaf byk2 tak dapat turut sama dalam majlis perpisahan di Dandeenong baru2 ni, bertembung beberapa program hari tu, agak terkilan jugak. Kita doakan semua urusan dimudahkan Allah, selamat kembali ke tanah air ya.. Teringat masa mula-mula jumpa masa majlis makan di Dandenong, saya baru baca blog Salam Monash masa tu.. hehe.. Semoga ukhuwwah bersambung juga di Malaysia nanti. Doakan saya juga semoga habis perjuangan jihad ilmu ni ya - dari hidayah, fairuz dan aisyah..

ropidi 'n laili said...

Salam,

Kak Wan dan Zuraini.. Insya Allah saya cuba masukkan samaada dalam setiap entri atau cuba usahakan entri khusus untuknya berdasarkan kepada pengalaman kami.

Ustzh Hidayah.. Insya Allah moga persahabatan dan persaudaraan terus berkekalan selamanya, dunia dan akhirat.

Sesungguhnya Salam Monash melahirkan lebih ramai sahabat dan kenalan. Moga diredhai Allah SWT. Ameen.