Thursday, August 25, 2011

Pengajian Bersanad: Minhajul 'Abidin

Sepanjang Ramadhan ini banyak sekali didapati majlis-majlis ilmu yang diadakan di serata tempat terutamanya di masjid/surau/mussolla termasuklah di tempat-tempat kerja. Betapa luasnya peluang kita untuk menimba ilmu pengetahuan keagamaan sebagai bekalan hidup di dunia dan di akhirat. Tiada alasan untuk tidak menghadirinya.

Kebanyakan daripada majlis ilmu berkenaan lebih menjurus kearah meningkatkan kualiti ibadat-ibadat Ramadhan. Elok sekali kerana Ramadhan hanya setahun sekali, mungkin banyak perkara yang ingat-ingat lupa, sekaligus menjadi pemangkin dalam beribadah. Insya Allah.

Di sesetengah tempat pula mengadakan majlis ilmu Pengajian Kitab Bersanad (menadah kitab tulisan para ulama muktabar). Salah satu yang sempat saya ikuti bertempat di Surau Al-Mustaqim di Lembah Keramat, Hulu Kelang yang membicarakan kitab tasauf karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali iaitu Kitab Minhajul 'Abidin Ila Jannah Rabbil 'Alamin. Syarahannya telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Zulkifli Muhd Suhaimi, Mudir Pondok Sg. Dedap, Kedah. Sesi pengajiannya berlangsung pada setiap pagi Isnin-Jumaat, bermula sejak awal Ramadhan lagi dan telah tamat beberapa hari lalu.

Umumnya Kitab Minhajul 'Abidin ini membicarakan tentang halangan-halangan ('aqabah) yang perlu ditempuhi dalam proses penyucian hati untuk mencapai cinta nan abadi lagi hakiki kepada Allah SWT. Pengajian kami hanya tertumpu kepada Bab Pengenalan/Pendahuluan sahaja yang membicarakan secara ringkas setiap halangan dalam beribadah. Bermula dengan 'Aqabatul 'Ilmu, diikuti 'Aqabatul Taubat, 'Aqabatul 'Awaaiq (rintangan), 'Aqabatul 'Awaridh (penghadang), 'Aqabatul Bawa'ith (dorongan: berharap dan rasa takut), 'Aqabatul Qawadih (keaiban: riya' dan 'ujud) dan paling akhir 'Aqabatul Hamdi Wal Syukri (pujian dan kesyukuran).

Perincian bagi setiap 'aqabah ini pula terdapat di setiap bab berikutnya. Yang ini perlukan masa yang lebih panjang untuk mengaji.

AlhamduliLlah, syarahan dan huraian Al-Fadhil Ustaz amat menarik sekali, diselitkan dengan pelbagai kiasan, bidalan dan kisah-kisah tauladan bagi memberi kefahaman yang lebih mendalam. Tutur kata yang diluahkan amat terkesan di hati, sekaligus menghadirkan rasa kedaifan diri sebagai hamba Allah yang amat banyak noda dan dosa yang bernoktah di hati.

Di akhir sesi pengajian, setiap anak murid telah ditauliahkan oleh Al-Fadhil Ustaz, simbolik penyerahan ilmu yang bersanadkan kepada Al-Imam Al-Ghazali untuk diamalkan bagi mencapai redha Illahi.

JazakaLlahu khairan kathiro kepada Al-Fadhil Ustaz Zulkifli Muhd Suhaimi dan juga Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali atas kalungan mutiara ilmu yang tidak terhingga nilainya itu. Moga semuanya dirahmati Allah SWT.

Ameen Ya Rabbal 'alameen.

Tuesday, August 23, 2011

Kemeriahan Ramadhan

Kemeriahan adalah suatu yang subjektif. Bergantung kepada pandangan/ perspektif masing-masing. Jika diukur secara pandangan mata kasar maka apa yang terpampang di hadapan mata itulah nilaian. Begitu juga sebaliknya jika dipandang melalui mata hati.

Bazaar Ramadhan

Ramai yang menganggap, tanpanya hilanglah seri Ramadhan. Inilah syurga makanan. Saban petang berpusu-pusu pengunjungnya. Sebilangannya amat mewah berbelanja hingga terbuang begitu sahaja, kecundang dek nafsu.

Dahulu kami pun begitu. Namun untuk tahun ini, sehinggalah ke hari ini tidak pernah sekali pun kami sekeluarga menjejakkan kaki ke Bazaar Ramadhan. Entahlah tiada rasa keinginan langsung. Apa yang ada itulah yang dimakan. Bagi yang lelaki, setiap petang kami berbuka di masjid. Kemeriahannya lebih terasa.

Promosi Raya

Sebelum raya lagi ianya telah bermula. Apatah lagi menjelang hari raya. Bagi sesetengah orang, kelengkapan baru seperti kerusi-meja, sofa, langsir, baju raya dan bermacam lagi sentiasa dalam igauan. Katanya, inilah masanya hendak bergaya. Itu belum masuk bab persediaan juadah raya. Adakalanya kegembiraan menyambut raya menenggelamkan kesedihan untuk berpisah dengan Ramadhan.

Bagi kami, seperti selalunya tidak pernah kisah dengan perkara seumpamanya. Baju raya pun tidak dibeli/ditempah, pakai sahaja pakaian tahun-tahun sebelumnya. Barangan rumah pula hanya ditukar baru jika rosaknya tidak boleh lagi diperbaiki/ tidak menguntungkan. Itupun tidak menunggu musim raya.

Imarah Masjid

Bagi kami, inilah keseronokan/ kemeriahan yang telah hilang setelah 5 kali Ramadhan berturutan tahun kami di luar negara. AlhamduliLlah, tahun ini kami bertemu dengannya kembali. Berbuka puasa, bertadarus/bertilawah Quran, solat berjemaah, solat tarawikh-witir, beriktikaf, menghadiri majlis ilmu dan berqiamulail antara yang dapat dilakukan. Rahmat dan redha Allah diharapkan.

Dalam banyak hal, kami amat seronok melihat hampir setiap masjid/surau mengadakan majlis ilmu. Kuliah Subuh, Kuliah Dhuha, Tazkirah Zohor, Rauhah selepas Asar, Tazkirah Witir dan juga pelbagai program keagamaan di hujung minggu. Tepuk dada tanyalah iman.

Cuma sedihnya, di akhir Ramadhan ini saf solat berjemaah semakin pendek. Namun masih lagi ramai jemaahnya berbanding sebelum Ramadhan. Apakah kemeriahan seumpamanya akan terus kekal apabila berakhirnya Ramadhan? Tidak perlulah mengata orang, lihatlah pada diri kita sendiri. Moga-moga kita terus istiqamah dalam berjemaah. Ameen.

Umumnya masih banyak lagi kemeriahan yang terhasil daripada Ramadhan. Walau apa pun, sewajarnya ia berlandaskan kepada acuan/ tuntutan Islam yang syumul. Paling utama, usah dilupakan untuk meraih sebanyak-banyaknya keberkatan di bulan penuh barakah ini. Insya Allah darinya akan lahir rasa bersyukur dengan apa yang ada, sekaligus dapat membersihkan jiwa kita. Itulah yang diharapkan sebagai seorang insan yang bergelar hamba Allah.

Monday, August 22, 2011

Mendambai Lailatul Qadar

Sekarang kita berada di 10 terakhir Ramadhan. Setiap malamnya penuh barakah sekaligus menguji tahap keimanan dan ketaqwaan kita kepada Al-Khaliq. Di antara malam-malam tersebut, lebih khusus lagi pada malam-malam ganjil; akan muncul satu malam kemuliaan yang lebih baik daripada seribu bulan. Itulah Lailatul Qadar.

Allah SWT menegaskannya dalam surah Al-Qadr, "Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar."

Bagi yang beriman dengannya pasti amat mengimpikan malam tersebut. Siapa yang tidak mahukan kelebihan pengabdiaan diri kepada Allah SWT mengatasi 83 tahun 4 bulan dengan hanya satu malam mendekatkan diri kepadaNya.

Ramai yang bertanyakan apakah tanda-tandanya Lailatul Qadar itu? Maka banyak cerita-cerita yang timbul. Sejak kecil lagi kita sering dikatakan tandanya pokok-pokok akan sujud ke tanah dan air akan menjadi beku. Tidak dinafikan ada kebenarannya tetapi ianya khusus bagi yang bertaraf wali Allah yang mempunyai karamah. Bagi kita yang bertaraf 'wali nikah' ini usahlah mengharapkan semua tanda-tanda tersebut barulah ingin beribadah malam.

Cukuplah sekadar kita meyakini janji-janji Allah itu. Selebihnya bertindaklah untuk mengimarahkan setiap malam-malam terakhir tersebut dengan mempertingkatkan amal ibadah kita kepadaNya.

Kaedah terbaik adalah dengan mencontohi RasuluLlah SAW. Baginda beribadah sepanjang malam, beriktikaf di masjid dan menjarakkan dirinya daripada isteri-isterinya.

Saidatina 'Aisyah r.a. pernah bertanyakan RasuluLlah SAW,"Kiranya aku mengetahui datangnya Lailatul Qadar, apakah yang perlu aku buat? Jawab Baginda SAW,"Berdoalah, Ya Allah, Engkau Maha Pengampun dan Engkau suka mengampuni, maka ampunilah akan daku".

Sesungguhnya kasih sayang dan rahmat Allah amat luas untuk hamba-hambaNya. Dengan sisa-sisa hari dan malam yang masih ada ini, marilah kita sama-sama berusaha menambah baikkan lagi amal ibadah kita dengan harapan ianya diredhai oleh Allah SWT dan tergolong dari kalangan mereka yang mendapat kelebihan dari malam kemuliaan yang dijanjikan itu.

Ameen... Ameen... Ameen... Ya Rabbal 'alameen.

Sunday, August 21, 2011

Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian

Dugaan dan ujian adalah resam kehidupan. Kecil mahupun besar bergantung kepada penerimaan dan keupayaan seseorang menghadapinya. Yang pasti ujian Allah itu ada.

Ramai yang menggangap kesedihan, kehilangan dan kegagalan itulah ujian hidup. Tidak ramai yang meletakkan setiap kesukaan, keseronokan dan kejayaan sebagai satu ujian daripadaNya. Maka tidak menghairankanlah, ramai yang mengingati Allah hanya ketika ditimpa musibah tetapi melupakan Allah ketika dianugerahkan ni'mat. NauzubiLlah, moga kita dijauhiNya. Ameen.

Demikianlah inti pati utama peringatan yang telah disampaikan oleh Prof. Dr. Hj. Muhd Kamil Ibrahim ketika bertazkirah di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang pada petang hujung minggu baru-baru ini.

Penyampaian Prof. dengan nada bersahaja dan mudah difahami sambil menyentuh detik-detik kehidupan setiap insan mampu membuat kita memuhasabah diri sendiri. Di manakah tahap keimanan kita terhadap Allah SWT yang kita agung-agungkan dalam bicara tetapi tidak dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Prof. Kamil juga menyentuh soal ujian-ujian yang perlu dihadapi jika menginginkan Lailatul Qadar di sepuluh akhir Ramadhan ini. Para jemaah diingatkan, usah dikisahkan apakah tanda-tanda datangnya 'malam penuh kemuliaan tidak terperi' itu. Paling utama istiqamahkan diri dalam melakukan ibadat kepadaNya. Mulakan setiap malam dengan berbuka di masjid, solat berjemaah Maghrib-Isyak-Tarawikh-Witir-Subuh tanpa meninggalkannya. Bangunlah di sepertiga malam untuk bermunajat dan mengabdikan diri kepadaNya. Insya Allah, Lailatul Qadar akan diperolehi tanpa kita sedari.

AlhamduliLlah, sambutan para jemaah amat memberangsangkan sekali. Seusai bertazkirah, Prof. Kamil dan isterinya, Pn. Raudzah Roslan dikerumuni para peminatnya untuk mendapatkan tandatangan pada buku-buku tulisan mereka. Tanda kenangan sebelum mereka sekeluarga berhijrah ke Madinah selepas Eid Fitri nanti. AlhamduliLlah, tidak disangka-sangka jualan buku-buku mereka amat laris sekali.

Jutaan terima kasih kepada Prof. Kamil dan Pn. Roza sudi hadir ke Masjid Al-Ridhuan, seterusnya bersama-saama berbuka puasa di masjid.

Moga Prof. sekeluarga sentiasa dilimpahi rahmat oleh Allah SWT dan dikurniakan kekuatan untuk terus berdakwah fiisabiliLlah. Walau di mana bumi dipijak, disitulah langit dijunjung. Ameen,

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Saya mengenali Prof. Kamil yang mudah mesra hanya melalui blog peribadinya, Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan. Beliau amat rajin menulis. Setiap hari pasti ada sahaja isu-isu yang digarapkan dalam bahasa yang mudah difahami, disulami nasihat dan peringatan untuk difikirkan oleh para pengunjung blognya.

Usaha untuk mendapatkan slot Tazkirah Selepas Asar ternyata dipermudahkan Allah SWT. Dalam kesibukan beliau menguruskan persaraannya dari UiTM, berpindah sementara dari Segamat ke Shah Alam dan bersiap-siap untuk berhijrah ke Madinah, dengan mudah sahaja beliau menerima undangan untuk berceramah, asal sahaja tidak bertembung dengan lain-lain program yang telah diatur. Terima kasih Prof.

Friday, August 19, 2011

Tazkirah Asar Oleh Prof Kamil

PENGUMUMAN

Kepada para pencinta majlis ilmu di sekitar Hulu Kelang, usah lepaskan peluang keemasan ini.

Apatah lagi kepada para peminat Prof. Kamil, inilah peluangnya untuk bersama dengan Prof dan keluarga sebelum mereka berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah pada awal September ini.

Insya Allah jualan buku-buku tulisan Prof dan juga isteri, Pn. Roza @ Raudzah Roslan juga akan diadakan. Kuantitinya terhad, siapa cepat dia dapat. Sesi ramah mesra santai bersama penulis pula akan dilangsungkan selepas majlis tazkirah.

Semua hadirin juga diundang/dijemput untuk bersama-sama berbuka puasa di masjid. Juadah istimewa disediakan termasuk bubur lambuk dan kueh-mueh.

Insya Allah agihan bubur lambuk seperti lazimnya boleh diambil selepas solat Asar. Ambil bubur lambuk, simpan dahulu dan duduk mendengar tazkirah dari Prof.

Insya Allah, kita jumpa di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang pada hari Sabtu ini (20/08/2011). Jangan lupa, majlis tazkirah akan bermula selepas solat Asar.

Wednesday, August 17, 2011

Ramadhan Di Perantauan

AlhamduliLlah, setinggi-tinggi kesyukuran untuk Allah SWT dipertemukan kita dengan Ramadhan pada tahun ini. Seterusnya masih berkeupayaan mengimarahkannya. Betapa besarnya rahmat Allah.

AlhamduliLlah, pada tahun ini kami sekeluarga dapat berRamadhan di tanah air tercinta. Sebelum ini, 5 kali Ramadhan berturutan kami laluinya di perantauan Australia. Dua suasana yang amat jauh bezanya.

Ketika di sana, setiap kali tibanya Ramadhan, pasti hati digamit kerinduan. Bukan sahaja teringatkan keluarga tetapi juga suasana Ramadhan di tanah air yang telah sebati di jiwa. Walaupun begitu, kami amat menghargai setiap detik dan pengalaman yang dilalui di perantauan. Banyak hikmah dan iktibarnya.

Berpuasa di musim sejuk/musim bunga amat menyeronokkan. Siangnya pendek dan kurang terasa lapar mahupun dahaga. Dugaan pandangan (mata) pun kurang kerana hampir semua orang (terutama wanita) berpakaian lengkap dari atas hingga ke bawah berbanding musim lain yang amat menjolok mata.

Malamnya sejuk sedikit. Kami lebih banyak masa di rumah; berbuka puasa, bertadarus Al-Quran dan bersolat jemaah di rumah bersama isteri dan anak-anak. Segalanya mengikut acuan sebagaimana di tanah air.

Di kejiranan kami majoriti umat Islamnya dari keturunan Turki bermazhab Hanafi. Amalan puasanya sama sahaja, cuma solat tarawikh-witirnya sedikit berbeza. Dikerjakan 23 rakaat; 4 rakaat 1 salam, diselangi salawat Nabi yang berbeza dari amalan di Malaysia. Ringkas tetapi menusuk kalbu.

Komuniti Melayu berdekatan rumah kami adalah dalam 20 keluarga, dikenali Warga Kg. Dandy, sempena nama Dandenong di mana kami tinggal. Kebanyakannya keluarga pelajar di samping beberapa keluarga yang berkahwin dan bermastautin di sana. Walaupun jauh dari tanah air, budaya bertukar-tukar juadah berbuka tetap diamalkan.

Seminggu sekali pula kami berkumpul di rumah-rumah tertentu, sama-sama berbuka puasa dan bersolat jemaah Maghrib-Isyak-Tarawikh-Witir.

Kemeriahan Bazaar Ramadhan di tanah air adalah antara yang dirindui oleh setiap anak rantau di luar negara. Di mana terdapat ramai kelompok Melayu, maka akan adalah Bazaar Ramadhan. Adakalanya diadakan di laman Rumah Malaysia (MSD) di Melbourne. Bezanya bazaar berkenaan diadakan hanya di hujung minggu kerana rata-rata penjualnya dari kalangan para pelajar/pekerja.

Namun kemeriahannya tetap ada. Inilah saatnya mudah ditemui makanan tradisional tempatan. Kami pun turut serta berjual dendeng; sejenis daging ketuk yang diperap kicap, digoreng dan digaul dengan sambal. Ianya tahan lama, sedapnya hingga menjilat jari. Itu kata para penggemarnya...8)

Friday, August 12, 2011

Harapan Ramadhan

Salam untuk semua. Apa khabar dengan puasa dan ibadah kita di bulan Ramadhan nan penuh barakah ini? Di manakah tingkatan puasa kita?

1. Golongan awam - sekadar lapar dan dahaga.

2. Golongan khawas - terkawal pahala puasanya

3. Golongan khawas al-khawas - hanya mengharapkan redha Allah
Ingatlah ganjaran dari Allah SWT amat mewah sekali.
Sabda RasuluLlah SAW, "Setiap amalan anak Adam itu dilipatgandakan satu kebajikan dengan 10 sehingga 700 kali ganda. Lalu Allah berfirman, "Kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untukKu dan Aku akan membalasnya".
RasuluLlah SAW bersabda,"Ramadhan itu awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan (maghfirah) dan akhirnya pembebasan daripada api neraka" (Riwayat Ibn Khuzaimah).
Sehingga hari ini kita telah pun melewati 10 hari yang pertama yakni mengejar rahmat Allah SWT. Kini kita berada di fasa kedua, 10 hari pertengahan yang ditawarkan pengampunanNya. Seterusnya paling diharapkan pada 10 hari terakhir di mana terdapat Lailatul Qadr dengan harapan diharamkan kita memasuki neraka.
Namun, amat diyakini, rahmat Allah belum berakhir, pengampunannya bukan baru bermula dan pembebasan api neraka bukannya belum tiba. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang, Maha Pengampun dan Maha Berkuasa, setiap saat dan ketika rahmatNya sentiasa dilimpahi, ampunanNya sentiasa terbuka luas dan syurgaNya sentiasa menanti-nanti penghuninya.
Marilah kita sama-sama berusaha memperelokkan ibadah puasa dan lain-lain ibadah di sepanjang Ramadhan yang berbaki ini. Moga kita dirahmati Allah SWT.
Ya Allah, kurniakanlah kami rahmatMu, ampunilah akan segala dosa kami dan hindarilah kami dari azab kubur dan azab api nerakaMu.
Ya Allah, redhailah setiap amalan kami kerana tanpa redhaMU maka rugilah segala usaha kebajikan kami.
Ameen.. ameen.. ameen.. Ya Rabbal 'alameen.

Friday, August 5, 2011

Marhaban Ya Ramadhan

Telah hampir seminggu bulan Ramadhan berlalu. Rasanya tidak terlambat untuk kami sekeluarga mengucapkan Marhaban Ya Ramadhan ataupun Ahlan wa Sahlan Ya Ramadhan.
Setinggi-tinggi pujian untuk Allah SWT yang telah memanjangkan usia kita sehingga dipertemukan dengan Ramadhan pada tahun ini.
Wahai jiwa yang keras, insafilah. Betapa ramai di antara kita yang sama-sama memeriahkan Ramadhan pada tahun lepas tetapi kini telah pun kembali menemuiNya. Moga mereka dirahmati Allah.
Setiap kali tibanya Ramadhan, sentiasa tersemat di sanubari, moga di tahun ini diri ini mampu melaksanakan segala tuntutan Ramadhan dengan sebaik-baiknya. Mengimarahkan ibadah puasa dan pelbagai amalan dengan harapan moga diredhai dan dirahmati oleh Allah SWT.
Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosa kami. Teguhkanlah rohani kami dan kuatkanlah jasmani kami untuk beramal kepadaMu dengan penuh ikhlas dan taqwa. Jadikanlah Ramadhan tahun ini Ramadhan yang terbaik buat kami semua berbanding Ramadhan-Ramadhan sebelumnya. Ameen.