Wednesday, February 29, 2012

Majlis Apresiasi Kecemerlangan

Dua tiga hari lepas, bersekali dengan Mesyuarat Agung PIBG di Sek. Keb. Hulu Kelang (SKHK) telah dilangsungkan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar. Khusus untuk meraikan pencapaian para pelajar sepanjang tahun lepas.

AlhamduliLlah, setinggi-tinggi kesyukuran untukNya. Kedua-dua anak kami mendapat beberapa anugerah pada hari berkenaan.

Walaupun baru setahun bersekolah di tanah air, mereka dapat mengikutinya dengan baik. Suatu kerisauan yang amat membimbangkan terutama di peringkat awal persekolahan mereka dahulu. Kini sinarnya mula bergemerlapan. AlhamduliLlah.

Lebih-lebih lagi bagi Nur Solehah yang tidak pernah bersekolah di sekolah kebangsaan. Enam bulan pertama sentiasa berendam air mata kerana rasa tersisih dan rendah diri.

Sekembalinya dari Australia, Solehah terus masuk ke Tahun 5. Banyak pelajaran yang tertinggal terutamanya penguasaan Bahasa Malaysia dan pengetahuan am. Syukurlah subjek Matematik dan Sains masih dalam Bahasa Inggeris, ada kesinambungannya.

Bagi Imran yang memasuki Tahun 1, tiada masalah yang ketara. Tambahan pula Imran telah pun berada di sekolah rendah selama setahun di Australia sebelum pulang ke tanah air.

Tahniah kepada Solehah dan Imran yang mendapat Hadiah Terbaik Kedudukan Dalam Kelas masing-masing serta merangkul beberapa Hadiah Terbaik Mata Pelajaran Dalam Darjah. Hadiah tambahan untuk Imran adalah Anugerah Pelajar Terbaik Tahun 1.

Sekali lagi, tahniah kepada Solehah dan Imran. Pesanan yang selalu kami titipkan kepada mereka: Berusahalah untuk melakukan yang terbaik dan jangan sesekali melupakan Allah SWT (solat, doa dan tawakal). Setiap yang berlaku adalah dengan izin dan rahmat daripadaNya.

Moga anak-anak semua (Izzuddin-Hanisah-Solehah-Imran) sentiasa di bawah lindungan dan kasih sayang Allah SWT - berjaya hidup di dunia dan di akhirat. Ameen.

Tuesday, February 28, 2012

Mesyuarat Agung PIBG

Hari Sabtu baru-baru ini, terdapat 2 Mesyuarat Agung PIBG yang perlu kami hadiri. Satu di sekolah menengah dan satu lagi di sekolah rendah. Waktunya pula sama, dari jam 08:30 pagi - 12:30 tengahari. Jalan penyelesaiannya: ayah ke sekolah menengah, manakala ibu pula ke sekolah rendah.

Dari pemerhatian kami di sekolah yang sama sejak bertahun lalu, sambutan ibu bapa/ penjaga terhadap majlis seumpamanya amat mengecewakan. Dari ribuan anak bersekolah, tidak sampai pun 100 orang (4%) ibu bapa/ penjaga yang hadir. Kami percaya yang datang pun orangnya sama sahaja saban tahun (selagi anak bersekolah di situ).

Untuk bersangka baik, kami mengandaikan kalangan ibu bapa lain amat sibuk dengan urusan harian. Mungkin juga harinya (Sabtu) tidak bersesuaian. Dan mungkin juga tempoh 4 jam adalah terlalu lama. Dari segi hebahan pula, mungkin ianya tidak sampai kepada mereka.

Entahlah... mungkin juga segelintir dari mereka menganggap tiada faedahnya duduk berjam-jam di dewan. Sekadar mendengar celoteh guru, JK PIBG dan perbincangan usul-usul yang diutarakan. Dengan kata lain, tiada nilai 'ringgit dan sen' yang diperolehi daripadanya.

Lihat sahaja suasana 'serbuan' bantuan persekolahan dahulu - sanggup mereka berdiri dan berpanas berjam-jam semata-mata RM100. Malah sanggup pula sebahagian daripadanya bercuti kerja.

Tidak bolehkah mereka turut mengambil inisiatif seumpamanya untuk menghadiri Mesyuarat Agung PIBG yang hanya diadakan sekali setahun? Tambahan pula turut disediakan tempat duduk yang selesa dan sarapan pagi? Amat jauh bezanya antara dua situasi tersebut.

Maaf jika dikatakan inilah sikap tidak prihatin dan tiada kesedaran. Sedangkan segalanya adalah berkaitan langsung dengan perkembangan dan permasalahan yang dihadapi oleh anak-anak kita di sekolah. Setiap perbincangan adalah untuk kebaikan bersama. Jika tidak ibu bapa sendiri, siapa lagi yang nak diharapkan?

Lebih menjengkelkan, ramai yang berdegar-degar cakapnya menyalahkan itu dan ini di tepi pagar sekolah (ketika menunggu anak pulang) tetapi tidak sanggup meluahkannya sendiri kepada guru dan JK PIBG.

Cuma ada ketikanya kami amat tidak gemar apabila soal politik kepartian dan individu berkepentingan turut dilibatkan oleh guru, JK PIBG dan perasmi/ penceramah. Ingatlah, tidak semua orang sealiran ideologi mahu pun pendekatan dengan kita. Tersilap bicara mungkin boleh meninggalkan kesan di jiwa.

Pendidikan adalah isu global yang melibatkan masa hadapan generasi baru. Ianya perlu ditangani dengan sebaik mungkin berlandaskan kewarasan akal dan hala tuju berwawasan. Jauhilah sikap mementingkan diri dan kejumudan pemikiran.

Sebenarnya banyak manafaat yang diperolehi dari Mesyuarat Agung PIBG. Setidak-tidaknya, inilah masanya kita dapat mengikuti secara dekat perkembangan sekolah di mana anak-anak kita menimba ilmu pengetahuan.

Tahniah kepada para guru dan ibu bapa yang sanggup meluangkan masa untuk anak-anak demi kejayaan mereka di masa hadapan - dunia dan akhirat.

Tuesday, February 21, 2012

Dari Jempol Ke Pilah

Dalam jarak masa 2 minggu, telahpun 2 kali kami ke Negeri Sembilan. Kedua-duanya atas urusan keluarga - pendaftaran Iddin di MRSM Serting dan melawatnya di hujung minggu.

Belum kesampaian lagi hajat kami untuk melancong di Negeri Minangkabau~Adat Perpatih ini. Kami pergi pun tergesa-gesa, pergi-balik sahaja pun memakan masa hampir 5 jam. Apatah lagi untuk menyinggah di sana sini.

Malah Teratak Za'ba (sebelah) di Batu Kikir, Jempol pun belum kami santuni. Hanya mercu tanda berlambang buku yang sempat ditenung sepintas lalu sementara menunggu lampu merah bertukar hijau di persimpangan jalan Muadzam-Bahau-Bandar Seri Jempol.

Pendeta Za'ba adalah seorang pejuang bahasa Melayu yang gigih memartabatkan bahasa ibunda ke persada negara dan antarabangsa. Sewajarnya jasa dan sumbangannya diingati sepanjang zaman.

Ketika dalam perjalanan pergi balik ke Jempol melalui Kuala Pilah-Bahau, banyak sekali kelihatan papan-papan tanda coklat membariskan lokasi-lokasi pelancongan di sekitarnya; antaranya Hutan Lipur Ulu Bendul, Muzium Diraja Seri Menanti, rumah Tuan Tulis dan tapak megalitik (batu besar prasejarah).

Menyusuri laluan Kuala Pilah terutamanya di Pelangai dan Tanjung Ipoh, kami tertarik dengan bangsal-bangsal jualan bermacam jenis daging dan ikan salai. Khabarnya sodap sekali jika dimasak lemak cili api. Di samping itu telur itik, gula enau, madu lebah dan buahan tempatan juga ada dijual. Telahan kami, inilah salah satu keunikan dan keistimewaan Kuala Pilah.

Sedar ataupun tidak, didapati Kuala Pilah (orang kampung panggil Pilah sahaja) bagaikan kawasan lama yang kurang membangun berbanding dengan Bahau. Adakah kerana Pilah majoriti penduduknya Melayu, manakala Bahau pula penduduknya dari kalangan orang-orang Cina? Maaf, saya tidak bermaksud perkauman... sekadar untuk direnungi bersama.

Insya Allah di lain ketika, bersama-sama dengan Iddin kami akan bermalam di mana-mana tempat di sekitarnya. Papan tanda homestay pun banyak kelihatan di sepanjang jalan. Barulah ada masa untuk berkunjung ke tempat-tempat tumpuan ramai di Negeri Sembilan.

Sesungguhnya keindahan alam dan kepelbagaian budaya adalah anugerah Allah SWT untuk direnungi dan diambil iktibar daripadanya. Ianya tidak sia-sia. Terlalu banyak pengajaran dan pengetahuan yang tersurat dan tersirat untuk difikirkan. Apa yang baik sewajarnya diteladani, manakala yang tidak baik disempadani berlandaskan kepada ketetapan agama nan suci, Islam.

Monday, February 20, 2012

Menjenguk Iddin di MRSM

Telah hampir 2 minggu Iddin berada di asrama MRSM Serting. Semalam kami bertandang ke sana. Menghantar sedikit sebanyak keperluan tambahan, sekaligus melepaskan rasa rindu ahli keluarga.

Perjalanan sekitar 2 jam, kira-kira 140 km dari Hulu Kelang lancar. Cuacanya pula baik sekali. AlhamduliLlah, setinggi-tinggi kesyukuran padaNya.

Melewati jam 10:00 pagi, kami tiba di perkarangan asramanya, Al-Ghazali. Para pelajar baru sahaja selesai melakukan rutin pagi Ahad, bergotong royong membersihkan persekitaran asrama. Kelihatan ibu bapa/penjaga mula sampai untuk bertemu anak-anak, terutama di kalangan pelajar Tingkatan 1.

Biasalah bagi anak-anak yang baru berjauhan daripada keluarga. Kunjungan awal ibu bapa amat bermakna bagi memberi sokongan moral. Insya Allah, lama-kelamaan mereka akan dapat menerima hakikat perpisahan sementara dan belajar menguruskan diri sendiri. Satu proses pembelajaran yang amat penting untuk masa hadapan mereka. Teringat zaman kami bergelar pelajar dahulu. Ibunya di MRSM Kota Bharu, manakala saya pula di SM Sains Dungun.

Bagi Iddin, ianya tiada masalah. Rindunya pada keluarga tidak dapat dielakkan tetapi banyak masa terpenuh dengan aktiviti persekolahan dan rutin hidup di asrama. Adakalanya amat memenatkan, sehinggakan ada saatnya terlelap di dalam kelas. Waktu tidur malam adalah masa yang amat-amat ditunggu-tunggu. Itulah waktu rehat yang melegakan.

Bergerak keluar dari pagar MRSM, kami terus menuju ke Bandar Bahau, kira-kira 20 minit perjalanan. Menurut Iddin, di Pekan Serting tiada banyak pilihan terutama melibatkan keperluan persekolahannya. Ok juga, bolehlah kami berjalan-jalan di Bahau.

Melilau juga kami mencari kedai buku di Bahau. Akhirnya ketemu Pusat Buku Arena yang terletak bersebelahan Pasaraya Billion. Ternyata sambutannya hebat sekali. Ramai anak-anak sekolah yang dibawa oleh ibu bapa untuk berbelanja di sini. Mungkin juga inilah satu-satunya kedai buku dan alatulis yang lengkap di Bandar Bahau.

Bukan sahaja Iddin yang membeli buku-buku keperluannya tetapi Hanisah, Solehah dan Imran juga tidak ketinggalan. Seterusnya kami makan tengahari di Restoran Hijas dan sedikit sebanyak berbelanja keperluan harian di Pasaraya Sakan milik Haji Umar, bersebelahan Pusat Buku Aneka.

Melewati waktu Zohor, kami singgah menunaikan solat jamak taqdim di Masjid Tuanku Mukhriz yang tersergam indah di persimpangan jalan masuk ke Bandar Seri Jempol. Kagum kami dengan senibinanya.

Namun kami amat sedih melihatkan kedaifan dan kebersihan tandasnya yang kurang terurus - lelaki dan perempuan. Ramai jemaah yang merungut dan meluahkan rasa terkilan mereka. Dahlah bilik tandasnya hanya 4 unit sahaja, kesemuanya bermasalah; antaranya pintu tandas tercabut, najis membuak naik apabila dipam, tiada salur paip, air tadahan berwarna coklat dan bermacam lagi. Terbantut terus qadha hajat yang dihajati.

Di dalam Islam, kebersihan amat diberatkan, malah dikatakan sebahagian daripada iman. Kiranya ada AJK masjid yang terbaca entri ini, harap dapat diambil perhatian.

Hampir jam 3:30 petang, kami bergerak meninggalkan MRSM Serting. Pilu juga hati untuk berpisah. Selamat tinggal Iddin. Insya Allah ketemu lagi pada cuti Penggal nanti. Moga dirinya sentiasa di bawah lindungan dan peliharaan Allah SWT. Ameen.

Monday, February 13, 2012

Melaka : Suka dan Duka

Minggu lepas : Cuti Maulidur Rasul dan Thaipusam berturutan hari di awal minggu. Hari berikutnya (Rabu) kami ke Serting, Negeri Sembilan untuk urusan pendaftaran masuk Izzuddin ke MRSM.

Melaka adalah destinasi percutian kami sebelum bertolak ke Serting. Telah lama anak bongsu kami, Imran meminta berjalan-jalan makan angin ke Negeri Bersejarah tersebut.

Pucuk dicita ulam mendatang. Berkebetulan pula bapa saudaranya, Fahimey dipinjamkan sementara ke sana mulai awal tahun ini. Adalah tempat untuk kami bermalam.

Kami bertolak ke Melaka pada pagi Isnin. Di samping kami 6 beranak, datuk dan nenek pun turut serta. Ibu saudara dan sepupu-sepupunya telahpun menunggu di sana. Lagilah teruja mereka berempat beradik dibuatnya.

Destinasi pertama kami adalah Zoo Melaka. Aduhai ramainya orang... Kenderaan sesak di merata ceruk. Nak letak kereta pun tiada ruang. Di dalam zoo pula pasti pengunjungnya lebih ramai dari haiwan. Lain kali sahajalah.

Singgahan kami seterusnya adalah Taman Botani. Menarik... lenggang. Terasa lebih aman dan tenang. Lebih-lebih lagi dengan persekitaran menghijau berserta bungaan yang berwarna-warni melatari setiap penjuru taman.

Anak-anak bersama sepupu-sepupunya berkejaran ke sana sini bagaikan tiada erti penatnya walaupun panasnya membahang.

Lebih menyeronokkan, mereka berpeluang menunggang basikal seorang sebuah. Sekejap sahaja mereka lesap dari pandangan.

Tiba-tiba kami dikejutkan dengan tangisan nyaring Imran. Rupa-rupanya Imran terjatuh dari basikal. Belakang kepalanya luka dan berdarah. Mungkin terhantuk pada batu atau benda keras. Bercucuran darah membasahi kepala dan pakaiannya. 'Gelap mata' aku dibuatnya.

Suasana gembira bertukar suram. Basikal dikembalikan dan kami berpecah dua. Sebahagiannya pulang ke rumah, manakala sebahagiannya berkejar ke Hospital Pantai di Ayer Keroh. Itulah sahaja hospital/ klinik terdekat yang dibuka (mungkin) pada hari cuti untuk menerima rawatan susulan.

Ramai juga pesakit di Bahagian Kecemasan. Dari bayi hinggalah ke warga emas. AlhamduliLlah, rawatan terhadap Imran dapat disegerakan. Rambut di sekitar luka dicukur, luka dibersihkan, diberikan suntikan bius, dijahit dan dibalut sekeliling kepala ibarat memakai serban.

Sepanjang rawatan, becok sekali mulut Imran bertanya itu dan ini, diselangi suara tangisan sakit bersulam takut, sambil ditenangkan oleh ibunya.

Suaranya membaca doa-doa dan turutan surah-surah lazim bagi melekakannya (juga mengambil barakah) jelas kedengaran sehingga ke tempat menunggu. Sekaligus mengundang senyum dari kakitangan bertugas dan para pengunjung.

Tak kisahlah. Lebih baik membaca ayat-ayatNya daripada menangis meraung ketidak tentuan. Banyak manafaat dan fadhilatnya.

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Menurut atuk ketika sesi Tazkirah Subuh, salah satunya sebagai ingatan kepada kami agar mendahului solat jamak taqdim daripada melengahkannya kepada taakhir. Ada benarnya. Ya Allah, ampunilah kami atas kelalaian akan kewajiban yang diperintahkan. Ameen.

Keesokan harinya, sebelum meninggalkan bumi Melaka menuju ke Negeri Sembilan, kami bergerak ke pusat bandar sebelum berhenti sekejap di Menara Taming Sari. Di sepanjang jalan, dapat dilihat pelbagai struktur binaan bersejarah tinggalan penjajah. Semuanya mempunyai erti yang tersendiri. Terserahlah bagaimana ianya diterjemah dan ditafsirkan.

Insya Allah kami akan berkunjung lagi ke Melaka. Ianya sekadar permulaan untuk misi penjelajahan menimba pengetahuan dan pengalaman yang lebih mendalam.

Melewati tengahari, kami singgah di Restoran Ikan Patin Temerloh untuk makan tengahari sebelum beredar meninggalkan bumi Melaka. Terima kasih daun keladi...8)

Hanisah dan Solehah mengikut sepupu-sepupunya pulang ke Hulu Kelang kerana esok harinya bersekolah.

Manakala Imran bersama kami serta atuk dan nenek ke rumah sepupu Laili, Dr. Rabiatul Adawiyah di Simpang Durian, Jelebu untuk bermalam. Keesokan paginya kami perlu bergerak awal ke MRSM Serting.

Thursday, February 9, 2012

Warga MRSM

Semalam (Rabu), anak sulung kami, Muhammad Izzuddin @ Iddin selamat mendaftar sebagai pelajar Tingkatan 4 di MRSM Serting, Negeri Sembilan. Sekaligus menjadi salah seorang warga MRSM. Pada hari yang sama sekitar 150 orang pelajar Tingkatan 1 turut sama mendaftar. Suasananya sibuk dan sesak, lebih-lebih lagi melewati waktu tengahari.

Kami tiba di MRSM Serting sekitar jam 8:25 pagi. Kelihatan telah banyak kereta bersusun-susun di kawasan padang tidak jauh dari Dewan Gemilang di mana sesi pendaftaran dan taklimat dilangsungkan. Para pelajar senior begitu sopan dan ramah sekali menyambut ketibaan setiap pengunjung. Harap-harap demikianlah budaya sebenar warga MRSM.

AlhamduliLlah, segala urusan pendaftaran berjalan lancar lebih-lebih lagi bagi yang datang awal seperti kami. Bermula dengan urusan mengisi borang, semakan, pembayaran sehinggalah masuk ke asrama, semuanya terasa begitu cepat sekali.

Namun kedapatan juga sedikit sebanyak kekeliruan dan kelemahan yang sewajarnya dielakkan seperti ketidakjelasan arahan pendaftaran dan waktu taklimat yang tidak sesuai (12:00 -4:00). Apa-apa pun segalanya telah pun selesai.

Ketika sesi taklimat Pengetua serta Penyelia Homeroom, penjelasan yang diberikan amat bermanafaat dan setiap program yang diatur banyak membawa faedah kepada para pelajar.

Kami tertarik dengan salah satu slogan yang menjadi tonggak pembentukan sahsiah diri bagi pelajar MRSM Serting iaitu Pintar Soleh Serba Boleh. Dengan kata lain, pendekatan kerohanian berasaskan Al-Quran diberikan perhatian sebagai penawar kejiwaan seperti program Mini Ulul Albab. Moga tercapai apa yang dicita-citakan. Ameen.

Diharapkan Iddin dapat segera menyesuaikan diri dengan rutin kehidupan pelajar berasrama penuh. Pesan kami, pandai-pandailah membawa diri dan berbuat baik dengan semua orang. Paling utama, usah lupa kewajipan sebagai hamba Allah SWT walau di mana berada.

Nampaknya selepas ini keraplah kami turun ke Negeri Sembilan. Sambil menjenguk Iddin di asrama, dapatlah kami luaskan pemandangan dan misi pelancongan kami di sekitarnya yang tidak kurang cantik dan menariknya.

Bersama-sama menghantar Iddin ke MRSM adalah datuk dan nenek. Anak-anak lain tidak ikut serta kecuali si bongsu, Imran.

Di sebelah malamnya kami menginap di rumah sepupu Laili, Dr. Rabiatul Adawiyah (terima kasih) yang baru berpindah ke Klinik Kesihatan Simpang Durian, Jelebu. Seawal jam 7:00 kami telah bertolak ke Bandar Seri Jempol yang terletak lebih 40 km dari Simpang Durian.

Sebenarnya sehari sebelumnya kami telah pun mencari jalan ke MRSM Serting. Tidak disangka pula ianya terletak di Jempol, ingatkan Bandar Baru Serting adalah satu daerah tersendiri. Berpandukan GPS, alih-alih dah pun tiba di hadapan pintu pagar MRSM Serting. Bila dah tahu tempatnya, maka mudahlah untuk dituju pada harinya.

Kami bergerak keluar dari MRSM Serting kira-kira jam 4:30 petang dan tiba di Hulu Kelang 2 jam selepasnya. AlhamduliLlah.