Thursday, February 26, 2009

House Husband Di Perantauan

Housewife (suri rumah tangga), satu kerjaya sepenuh masa, merujuk kepada isteri yang menguruskan rumah, suami, anak-anak dan yang bersangkutan dengannya. House husband (tak pasti apa terjemahannya) pun sama. Sesuatu yang lumrah di Australia, juga di negara-negara maju lain, namun tidak popular di dalam masyarakat kita. Mungkin kerana sikap ego lelaki ataupun sememangnya bukan begitu adat dan kudratnya.

Di dapur menyiapkan juadah tengahari
Ketika berada di negara orang, mengiringi isteri yang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi (biasanya Master mahupun PhD), disertai sama anak-anak masih di alam persekolahan apatah lagi yang masih kecil, suami biasanya bertindak sebagai house husband. Jika nak dikatakan pengorbanan, rasanya itulah dia pengorbanan seorang suami. Apatah lagi jika terpaksa melepaskan kerjaya yang telahpun selesa dan stabil di tanah air.

Dan bagi house husband yang ingin bekerja tanpa menganggu tugasan harian, mereka biasanya bekerja di sebelah malam, awal pagi ataupun ketika anak-anak ke sekolah, antaranya sebagai cleaner dan penghantar akhbar/brosur. Sekurang-kurangnya hilanglah sedikit rasa bosan, tertekan dan melepaskan “gian bekerja” di samping menceduk pengalaman di perantauan.

Tidak dinafikan terdapat juga para suami yang datang berkerja sepenuh masa di samping isteri belajar serta menguruskan rumah dan anak-anak. Biasanya mereka yang mempunyai kemahiran tertentu dan profesional seperti doktor, peguam dan seumpamanya melakukannya. Dalam hal ini aku tak nak komen apa-apa. Setiap orang ada pandangannya tersendiri. Yang penting adalah persefahaman dan sikap toleransi suami-isteri serta anak-anak perlu ada.
Ada juga berpandangan, rugi jika tidak mencari duit di negara di mana kadar tukaran wangnya lebih tinggi berbanding Malaysia. Malah ada di antara kenalan yang mampu melangsaikan hutang-piutang di tanah air seperti hutang rumah, tanah, pinjaman peribadi dan lain-lain hasil berkerja di perantauan. Itulah, rezeki masing-masing.

Ruang tamu perlu dipastikan kemas sentiasa
Bagi aku, seperti yang ditekankan dalam entri sebelum ini, persekolahan anak-anak dan pengajian isteri adalah keutamaannya. Mereka perlu diberikan peluang dan sokongan sewajarnya untuk melaksanakan kewajiban dan aktiviti harian mereka. Pada masa yang sama menitik beratkan pendidikan kerohanian di dalam persekitaran dan budaya kurang sihat yang tidak terkawal di negara orang ini. Apatah lagi, itulah tanggungjawab yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Rutin harian bermula bangun tidur sehinggalah masuk tidur malamnya sama sahaja. Jika diingatkan memang membosankan tetapi bergantung kepada diri sendiri. Menurut seorang pakar motivasi, kaedah pengurusan masa amatlah penting. Setiap detik jika dimanafaatkan hati akan merasa seronok dan ceria sepanjang masa. Paling utama perlu dilakukan dengan rela hati. Memang ada kebenarannya.

Solat berjemaah, membaca Quran, menyediakan sarapan pagi, menghantar dan mengambil anak dari sekolah, membasuh, menjemur dan melipat kain baju, memasak, mengemas rumah, menyiram sayuran, membeli-belah di pasar dan kedai, menunjuk-ajar anak-anak mengaji serta membantu mereka dalam kerja sekolah adalah antara rutin harian aku yang biasa dilakukan setiap hari.

Sayuran di belakang rumah pun perlukan perhatian
Sesekali di hujung minggu, kami keluar melancong ke tempat-tempat menarik di Australia, terutama di Victoria. Peluang berada di negara orang tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja. Jika menunggu di tahun akhir, mungkin semuanya tidak menjadi kenyataan kerana isteri mulai sibuk dengan kerja-kerja penulisan tesisnya.
Dalam situasi sekarang di mana isteri tiada bersama, tanggungjawab aku sedikit bertambah. Semua perkara perlu diuruskan sendirian. AlhamduliLlah sehingga kini segalanya berjalan lancar. Anak-anak pula tiada cerewetnya terutama dalam soal makan minum. Dari hanya tahu masak dua tiga lauk-pauk, kini sudah dapat dipelbagaikan. Setiap hari dan minggu menunya sentiasa berubah-ubah. Ada manafaatnya untuk diri aku sendiri.

Umumnya tiada dilemanya menjadi house husband. Segalanya terletak pada diri sendiri. Paling utama adalah kerelaan hati demi kesejahteraan bersama seisi keluarga. Hanya redha Allah yang didambakan.

Wednesday, February 25, 2009

Berhenti Kerja

Kelmarin dan semalam aku tak berkerja. Hari ini pun sama. Begitu juga esok, lusa dan hari-hari seterusnya. Bukannya bercuti tapi berhenti. Awal puncanya kerana perstrukturan semula lokasi kerja serta tugasan. Bunyinya hebat tetapi itulah realitinya. Kerja cleaner seperti aku pun terpaksa melalui rencah seumpamanya.

Baju kerja tergantung tidak bersentuh

Sebenarnya ada pilihan untuk aku terus bekerja secara giliran bersama 3 rakan yang lain tetapi keputusan berhenti diyakini lebih baik. Segalanya kembali kepada tujuan asal aku mengikuti isteri ke Melbourne ini. Bekerja hanyalah sampingan kiranya ada peluang, itupun hanya di sebelah malam sahaja. Keutamaannya adalah persekolahan dan kehidupan anak-anak serta pengajian isteri tidak terganggu.

Sekarang ini telah hampir 3 minggu orang rumah berserta anak bongsu, Imran kembali ke tanah air atas urusan pengumpulan data sehingga akhir April nanti. Ketika aku keluar bekerja, anak-anak 3 beradik; Izzuddin (13 tahun), Hanisah (11 tahun) dan Solehah (9 tahun) ditinggalkan di rumah. Diyakini mereka mampu berdikari tetapi ditinggalkan di malam hari tanpa orang dewasa membuatkan hati kurang tenteram, lebih-lebih lagi di negara orang yang lebih sosial hidupnya ini.

Sepanjang berada di rumah, mereka tetap melakukan rutin harian mereka. Selepas solat berjemaah, Izzuddin dan Hanisah bertadarus Qur’an. Manakala Solehah pula membaca Iqra’ sambil disemak oleh abang dan kakaknya yang telah khatam Qur’an secara bergilir. Jika ada kerja sekolah, biasanya disiapkan sementara menunggu masuknya waktu Isyak. Sempatlah berjumpa mereka ketika aku tiba di rumah sekitar jam 10:30 malam, sekadar bertanya khabar sahaja. Selepas solat Isyak mereka terus masuk tidur.

Kebun tinggalan isteri di belakang rumah pun tidak terurus... 8) sorry
Ada harinya ketika Izzuddin ada latihan Tae Kwon Do pada lewat petang, mereka berdua dihantar ke rumah rakan-rakan Malaysia sehinggalah aku balik kerja baru dibawa pulang. Ketika itu masing-masing telah pun nampak keletihan dan mengantuk. Kelihatan mereka amat tidak selesa terpaksa menumpang di sana sini tetapi terpaksa menurutinya. Rutin harian mereka juga terganggu.

Beberapa malam aku berada di rumah bersama mereka, tampak mereka amat gembira sekali. Walaupun rutin harian mereka tidak berubah tetapi dirasakan aku dapat memberikan tumpuan yang lebih terhadap mereka. Bacaan Iqra’ Solehah dapat disemak lebih teliti dan dianjak lebih cepat. Makan tidur mereka juga tidak terganggu. Lebih seronok lagi mereka tidak perlu lagi menumpang di rumah orang lain. Sesekali tidur di rumah rakan sebaya, lain ceritanya kerana hati menyukainya. Itupun hanya di hujung minggu.

Justeru itu, dirasakan keputusan aku berhenti kerja amatlah tepat sekali. Yang penting anak-anak sentiasa gembira sepanjang ketiadaan ibu mereka bersama. Insya Allah dengan elaun keluarga yang diterima oleh isteri sebenarnya cukup untuk menampung sara hidup harian. Soal kerja akan difikirkan kemudian sekembalinya kami dari Malaysia pada akhir April nanti.

(Insya Allah, kami 4 beranak akan pulang ke Malaysia pada cuti persekolahan yang bermula pada awal April nanti, seterusnya kembali ke Melbourne bersama isteri dan anak-anak).

Monday, February 23, 2009

Kembali ke Tanah Air - Nordin

Awal pagi semalam (22/02/2009), jam 12:45 pagi, kapal terbang MAS selamat berlepas dari Melbourne International Airport di Tullamarine menuju ke KLIA, Malaysia. Antara penumpangnya adalah Abang Nordin dan Kak Siti Hazar berserta 4 orang anaknya. Mereka kembali ke tanah air setelah hampir 4 tahun berada di bumi Australia, khususnya di Dandenong, Victoria.

Lambaian perpisahan
Kini Abang Nordin (Insya Allah) telahpun tamat pengajian peringkat PhD beliau di Monash University dan akan kembali bertugas di Bank Negara Malaysia. Tak lama lagi akan bergelar Dr. Mohd Nordin Assudali. Penat jerih dan pahit maung di sepanjang pengajian kini bertukar kepuasan dan keceriaan berpanjangan.

Teringat akan impian beliau yang begitu tinggi (sering diulang bicara) untuk melihat umat Islam dan etnik Melayu di tanah air saling bertoleransi membangunkan ekonomi mereka secara kolektif atas dasar ukhwah yang sihat. Moga ianya menjadi kenyataan di suatu hari nanti. Ameen.

Kelmarin, rakan-rakan Dandenong serta Noble Park yang berkelapangan membantu keluarga mereka mengemas rumah yang disewa. Perabut, peralatan elektrik dan bahan aksesori yang tidak diperlukan ataupun rosak (hard waste) dikumpulkan di halaman rumah. Pihak Dandenong Council dijadualkan memungutnya pada awal Mac nanti. Manakala kotak dan sampah-sarap lain dimasukkan ke tong sampah sedia ada, selebihnya dibuang ke tempat pembuangan sampah berdekatan.

Kak Siti (baju hijau) tampak sayu untuk berpisah
Petangnya, menjelang waktu Maghrib, rakan-rakan Dandenong-Noble Park beramai-ramai datang ke rumah Huzaizi-Zainah (rumah transit) untuk mengucapkan selamat jalan. Sedih dan pilu untuk berpisah, terutama di kalangan ibu-ibu. Masing-masing kelihatan terharu sekali. Malah ada yang bergenang air mata untuk melepaskannya. Begitulah nilai keakraban sebuah persahabatan dan persaudaraan.

Selepas solat Maghrib, mereka bertolak ke lapangan terbang, diiringi 4 buah kereta, Roslan (bawa keluarga Abg Din), Naza (juga bawa keluarga Abg Din), Huzaizi (bawa barang) dan Lajiman.

Urusan check-in di kaunter Business Class berjalan lancar dengan hampir 20 bagasi didaftarkan (selebihnya dah pun berlepas menaiki kapal laut beberapa hari sebelumnya). Rakan kenalan dari Clayton juga datang untuk mengucapkan selamat jalan antaranya keluarga Hanif, Din Ganu, Anang dan Zul-Nisrin.

Sebahagian rakan-rakan dari Clayton
Menjelang jam 11:00 malam, keluarga Abg Nordin-Kak Siti mula melangkah masuk ke ruang menunggu. Masing-masing bersalaman dan berpelukan seakan tidak sanggup untuk berpisah. Itulah ketentuanNya.

Dua minggu lagi (awal pagi 06/03/2009), keluarga Naza-Yati dari Noble Park pula dijadualkan berangkat pulang ke tanah air.

Insya Allah ketemu kita di kemudian hari. Sampaikan salam kami untuk rakan-rakan lama di tanah air yang ditemui.

Thursday, February 19, 2009

Majlis Perpisahan

Sehari selepas makan-makan di rumah Tengku Rasydan, petang Ahadnya (15/02/2009), ahli keluarga Dandenong bersama keluarga Noble Park berkumpul pula di rumah Lajiman-Suraya di No. 13, Bedwell Avenue, Dandenong.

Beramah mesra sambil ber-BBQ. Ahli baru Dandenong, Hanif berbaju gelap
Kali ini bukan sekadar makan-makan tapi khusus diadakan untuk meraikan 3 keluarga yang telah dan akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat. Keluarga Khaizuran-Julia telah pun pulang ke Malaysia di pertengahan Disember lalu tetapi Khaizuran kembali semula ke Melbourne untuk menyiapkan penulisan tesis PhD beliau. Keluarga Nordin-Siti Hazar, Insya Allah akan berangkat pulang pada awal pagi Ahad ini (22/02/2009). Sementara keluarga Naza-Norhayati pula dijangka pulang pada pertengahan Mac nanti.

Cuaca pada hari berkenaan cerah dengan panas sedikit membahang, suhunya sekitar 30 darjah Celcius. AlhamduliLlah, majlis yang berlangsung di back yard berjalan dengan lancar di bawah teduhan kanvas.

Nordin (baju hitam) dan Khaizuran (baju petak-petak) memilih lamb chop
Majlis dimulai dengan ucapan aluan diikuti dengan sepatah dua kata dari Abang Nordin dan Khaizuran. Jelas terbayang suasana sedih dan terharu. Apatah lagi mengenangkan kemesraan yang telah sedia terjalin selama ini. Seterusnya penyampaian cendera hati kenang-kenangan dari keluarga Dandenong-Noble Park, album foto berserta foto setiap keluarga. Moga ianya menjadi pemangkin persahabatan dan persaudaraan agar terus kekal berpanjangan selamanya. Naza dan keluarganya pula terlewat tiba kerana berkerja.

Majlis juga menjemput Hanif Khairi memperkenalkan diri sebagai keluarga baru Dandenong. Insya Allah keluarga beliau akan berpindah dari Springvale pada awal Mac ini, menggantikan keluarga Abang Nordin menyewa rumahnya sekarang di Oswald St. Umumnya, tiada pengurangan ahli keluarga Dandenong, masih kekal 10 keluarga. Cuma keluarga Noble Park berkurang kepada 4 keluarga selepas keluarga Khaizuran dan Naza pulang ke tanah air.

Kaum wanita dan anak-anak di bawah teduhan kanvas
Hidangan juadah pelbagai jenis seperti nasi minyak ayam kurma, kari daging, dendeng (tinggalan Laili sebelum pulang ke tanah air), rojak buah, buah-buahan dan kueh mueh membuatkan perut yang sedia lapar semakin terasa laparnya. Ditambah pula dengan bau BBQ lamb, ayam dan sosej yang masih panas membuatkan selera semakin bertambah.

Setinggi-tinggi penghargaan pada Noh-Rafidah yang menyumbangkan seekor lamb, aqiqah anak mereka, Naufal. Semoga diberkati Allah. Ameen.

Sambil makan sambil berbual. Begitu juga pada yang sedang bertungkus-lumus di tempat BBQ. Kemesraan dari ikatan silaturrahim menyerlahkan lagi kemeriahannya. Pelbagai perkara menjadi topik perbincangan dan pelbagai khabar berita dapat dikongsi bersama. Anak-anak pula dengan aktiviti mereka yang tersendiri. Selepas makan terus berkejar ke padang sekolah dengan pelbagai permainan yang sedia terancang. Demikianlah lumrahnya.
Koleksi foto boleh didapati di Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Jutaan terima kasih pada semua ahli keluarga Dandenong-Noble Park yang menjayakan majlis perpisahan tersebut terutama kepada keluarga tuan rumah. Terima kasih juga kepada semua para jemputan.

Tuesday, February 17, 2009

Makan2 Dandenong > Rumah Tengku Rasydan

Tengku Rasydan (baju hitam) dan Azura (dukung anak) sedang melayan tetamu
Petang Sabtu baru-baru ini (14/02/1009), ahli keluarga Dandenong berkumpul di rumah Tengku Rasydan-Azura di 49, Alexander Avenue, Dandenong. Jemputan dari tuan rumah, house warming setelah berpindah rumah hampir 2 bulan lalu. Sebelum ini mereka tinggal di apartmen berdekatan pusat bandar Dandenong. Ketika itu mereka hanya berdua tapi kini bersama orang baru, anak sulung mereka Tengku Hana.

Azura berserta Hana pula baru kembali dari Malaysia hampir sebulan lalu setelah kembali ke tanah air untuk bersalin. Ibu bapa Azura datang bersama dan dijangka pulang ke Malaysia akhir bulan ini. Di samping house warming, bolehlah dikatakan sebagai majlis ramah mesra.

Anak-anak berbaris mencecahkan kaki ke kolam
Rumah baru mereka ini agak berlainan daripada rumah sewaan rakan-rakan lain, siap dengan kolam renang bertutup di belakangnya. Inilah yang mendapat jelingan teruja daripada anak-anak yang datang bertamu. Ibu bapa pulak berlagak endah tak endah, menduga setakat mana anak-anak dapat menahan perasaan teruja mereka. Pakaian mandi pun masing-masing telah sedia dibawa bagai dipesan oleh tuan rumah ketika jemputan. Hanya menunggu siapa yang akan memulakan langkah pertama.

Seperti majlis makan-makan yang kerap diadakan sebelum ini, rasanya tidak lengkap kiranya tiada acara BBQ. Begitu juga di rumah mereka. Lamb, ayam dan sosej menjadi tumpuan utama, apatah lagi ketika masih panas diangkat dari tempat bakar. Baunya sahaja mengecurkan air liur. Bukan hanya ibu bapa yang menggemarinya tapi anak-anak pun tidak kurang sukanya. Juadah lain, antaranya nasi goreng dan mee hoon goreng pun turut mendapat sambutan. Duduk makan-makan sambil menghadap kolam renang terasa bagaikan berada di hotel.

Pandangan dari atas, anak-anak mandi sambil diawasi ibu bapa
Selepas makan, anak-anak kelihatan berpakat sesama mereka. Setelah persetujuan ibu bapa diperolehi, sekilas pandang masing-masing dah pun bertukar pakaian mandi, berkerumun di muka pintu kolam renang. Seorang demi seorang mula turun ke kolam. Mereka berendam, berenang, mendayung surfing board dan terjun dengan penuh keseronokan. Riuh rendah dibuatnya. Air sejuk pun bagaikan tidak terasa. Anak-anak yang tiada persalinan pun tidak dapat ditahan keinginan mereka dek ibu bapa, turut turun ke kolam. Begitulah anak-anak apabila berjumpa kolam renang, auranya begitu kuat. Apatah lagi ketika bersama rakan-rakan sepermainan.

Menjelang 07:00 petang, semua anak-anak diminta naik. Petang dah pun semakin lewat, perlu segera pulang ke rumah. Terima kasih Rasydan, Azura serta pakcik dan makcik. Insya Allah jumpa lagi di lain ketika.

Monday, February 16, 2009

Black Saturday - Victoria Terbakar

Di Australia, khususnya di Victoria (negeri di mana kami tinggal), berita paling hangat dan gempar kini adalah tragedi kebakaran besar yang amat dahsyat (inferno) yang berlaku pada tengahari dan petang Sabtu minggu lepas (07/02/2009). AlhamduliLlah, Dandenong surburb yang kami tinggal tidak terlibat tetapi "bahangnya" turut dirasai.

Marak api di Bunyip State Forest
Tragedi Black Saturday ini menyebabkan sebahagian besar kawasan tengah Victoria sehinggalah ke timur dan tenggara Melbourne (ibu negeri Victoria) hangus ranap dimamah api, melibatkan keluasan lebih 450,000 hektar.
Kawasan paling teruk adalah gugusan Kinglake Complex, Yea-Murrindindi, Churchill-Jeeralang dan Bunyip Ridge yang merangkumi beberapa bandar utama, antaranya Wandong, Kinglake West, Kinglake, Flowerdale, Humevale, Strathewen, Wittlesea, Murrindindi, Marrysville, Narbethong, Buxton, Yarra Glen, Churchill dan banyak kawasan lagi.
Kediaman rakus dimamah api di Kinglake
Pakenham dan Narre Warren yang terletak berdekatan dengan Dandenong juga turut terlibat sama. Malah bandar kecil Marrysville yang terkenal dengan kawasan pelancongan dengan kepadatan kira-kira 1500 buah kediaman bagaikan padang jarak padang terkukur, terbakar hangus kesemuanya. Bendigo yang kami kunjungi sebelumnya pun turut terlibat tetapi hanya di bahagian utaranya sahaja iaitu di Eaglehawk.

Sehingga kini, seramai 181 orang telah disahkan terkorban dan lebih 1830 rumah serta bangunan musnah. Suasana sedih dan pilu serta tangisan menyelubungi setiap orang, terutama mangsa yang terlibat. lebih-lebih lagi bagi yang kehilangan ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga mahupun kenalan. Malah lebih 7000 orang mangsa masih berada di pusat-pusat komuniti di sekitar lokasi tragedi.

Cuaca panas yang berterusan beberapa minggu sebelumnya dengan suhu sekitar 40 darjah Celcius tanpa hujan yang turun menyebabkan kemarau yang teruk. Malah suhu kemuncak pada hari kejadian dilaporkan mencecah 46.7 darjah Celcius. Dibantu pula dengan angin kencang, kira-kira 120 km/jam lebih memburukkan keadaan.

Kereta 'cair' di jalan raya
Menurut kronologinya, kebakaran kecil (bushfire) mula dikesan menjelang 12 tengahari di Kilmore, kira-kira 50 km di utara Melbourne. Dengan tiupan angin Barat Laut menuju arah tenggara, sekejap sahaja ianya merebak ke Wandong, seterusnya ke Kinglake, Humevale, Whittlesea dan Strathewan. Tiga jam selepasnya api marak pula dikesan di Murrindindi, ke barat Kinglake merebak ke Marrysville di selatannya. Pergerakan api dari arah berbeza ini bercantum menyebabkan ramai penduduk yang terkepung dan menjadi mangsa kebakaran.

Pada masa yang sama, beberapa kawasan lagi yang terpisah dari kelompok di atas seperti di Churchill, Bendigo, Horsham, Mudgegonga, Beechworth, Gippsland dan Pakenham, kebakaran turut sama memusnahkan banyak kawasan dan tempat kediaman.
Sehingga kini dilaporkan masih banyak kebakaran kecil yang dikesan masih aktif dan langkah-langkah berjaga-jaga sedang diambil. Amat dikhuatiri dalam keadaan cuaca masih panas dan angin masih bertiup kencang, kebakaran di Kinglake-Murrindindi Complex tanpa disedari bergabung dengan kebakaran di Bunyip Ridge. Penempatan di tengah-tengahnya seperti Yarra Junction, Healesville dan Warbutton kini terancam. Tidak mustahil ianya akan merebak malah boleh menburukkan lagi keadaan jika tiada langkah lebih pantas dan konkrit diambil.

Strathewen selepas kebakaran
Mangsa kebakaran kini ditempatkan di pusat-pusat komuniti dengan sumbangan datang mencurah-curah. Kutipan derma makin bertambah, mencecah jutaan dollar. Pelbagai organisasi, antaranya Palang Merah, media massa dan pusat-pusat membeli belah saling berganding bahu menyerlahkan keprihatinan masyarakat.

Kali terakhir bencana buruk seumpamanya berlaku di Victoria pada tahun 1983. Dikenali dengan nama Ash Wednesday, seramai 75 orang terkorban dalam kebakaran tersebut. Hampir menyamai tragedi Black Friday pada tahun 1939 yang mengorbankan 71 orang. Tragedi tragis Black Saturday kali ini adalah terburuk dalam sejarah Victoria, malah Australia sendiri.

Pandangan udara Marrysville, kesemuanya musnah
Teringat akan bencana Tsunami yang melanda kepulauan Sumatera, selatan India termasuk utara Semenanjung Malaysia pada akhir tahun 2004 dahulu. Suasananya seakan sama walaupun tidak sehebat Tsunami.

Demikianlah kuasa Allah. Tiada yang mustahil bagiNya. Qada’ dan qadarNya tidak dapat diramalkan. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Sebagai hambaNya kita seharusnya menerimanya dengan redha dan mengambil iktibar daripadanya. Sekurang-kurangnya kita menginsafi betapa besarnya kekuasaan Allah. Moga kita digolongkan di kalangan mereka yang beriman. Ameen.

Thursday, February 12, 2009

Ibu Laili dan Imran Pulang Ke Malaysia

Di rumah sekarang (Dandenong, Australia) kami tinggal 4 beranak; ayah, Izzuddin, Hanisah dan Solehah. Ibu Laili dan Imran sekarang di Malaysia. Mereka berangkat pulang awal pagi Isnin baru-baru ini (09/02/2009) untuk tempoh hampir 3 bulan untuk urusan pengumpulan data, salah satu keperluan tugasan pengajian PhD Laili di Monash University.

Ahad malam Isnin, kami sekeluarga menghantar mereka ke Melbourne Airport. Terbayang jelas rona kesedihan untuk berpisah, lebih-lebih lagi Solehah yang agak manja dengan ibunya. Murung wajahnya dengan genangan air mata. Bersabarlah Leah. Insya Allah mereka sentiasa boleh dihubungi. Walaupun jauh di mata namun sentiasa dekat di hati. Dengan kemajuan teknologi yang ada, yang jauh akan terasa dekat.

Paling membimbangkan adalah Imran. Setiap kali ditanya tentang balik Malaysia, setiap kali itulah juga jawapannya, tak nak balik. Sehinggalah sehari sebelum jadual penerbangan barulah jawapannya berubah. AlhamduliLlah berterusan keinginannya sehingga melangkah masuk ke terminal berlepas sambil melambaikan tangan kepada kami yang menghantarnya. Bye-bye Imran, love you and see you.

Kehidupan kami tanpa ibu Laili dan Imran terasa janggal, lebih-lebih lagi ketika semua berkumpul di malam hari. Ketika siang hari, kurang terasa kerana Iddin, Nisah dan Leah seperti biasa ke sekolah kecuali di hujung minggu. Malam harinya pula, mereka tiga beradik ditinggalkan kerana ayah keluar berkerja sehingga jam 10:30 malam. Ketika tiba di rumah, mereka biasanya belum tidur kerana menunggu waktu Isyak.
Sesekali mereka terpaksa menumpang di rumah Uncle Wafir atau Uncle Lajiman ketika Iddin ada latihan Tae Kwon Do pada petangnya sehingga jam 08:00 malam.

Soal makan minum tiada masalah bagi mereka. Masak sahaja apa yang mereka suka tetapi mudah dan cepat untuk disediakan. Sop tulang, nasi ayam, nasi goreng, lamb chop, tumis udang, ayam goreng dan tom yam antara juadah kegemaran mereka. Ada ketika beli sahaja pizza ataupun kebab. AlhamduliLlah setakat ini tiada kerenahnya. Terima kasih Iddin, Nisah dan Leah.

Setiap 2 hari sekali, mereka menghubungi ibu Laili dan Imran di Hulu Klang melalui Skype Video Call. Berinteraksi secara online dengan paparan wajah di skrin komputer. Seronok melihat mereka sentiasa ceria walaupun ditinggalkan. Mereka faham situasinya. Malah mereka amat sayang dengan persekolahan mereka di sini.
Insya Allah 2 bulan lagi (awal April) kami berempat pula akan pulang ke tanah air. Ketika itu awal cuti persekolahan Penggal Pertama di sini.

Salam sayang untuk ibu Laili dan Imran serta keluarga di tanah air dari kami di Dandenong.

Tuesday, February 10, 2009

Jalan-jalan Bendigo - Part 1

[Skrol ke bawah untuk sambungan Jalan-jalan Bendigo - Part 2]

Bendigo adalah sebuah bandar pendalaman yang terletak di tengah Victoria, Australia, ke utara Melbourne. Ianya dikatakan bandar ke-4 seumpamanya terbesar selepas Ballarat, Geelong dan Melbourne. Bendigo terkenal dengan sejarah perlombongan emas ketika Gold Rush Era seawal tahun 1850an dan mempunyai tinggalan khazanah pelbagai bangunan lama yang unik dan bersejarah.

Laili bersama Zainah (kiri) dan Suraya (kanan) serta Solehah dan Hanisah
Di penghujung minggu lepas (Sabtu – Ahad, 31/01 – 01/02/2009), kami berkesempatan berkunjung ke sana. Bersama kami adalah keluarga Lajiman-Suraya dan Huzaizi-Zainah, rakan sekampung di Dandenong. Kami bermalam di Central City Caravan Park, di pusat bandar Bendigo.

Cuaca pada hari Sabtu agak panas dengan suhu mencecah 37 darjah Celcius. Air conditioner yang dipasang di kabin pun kurang terasa sejuknya. Sehari sebelumnya (Jumaat) bahang panasnya lebih perit, mencecah sehingga 45 darjah Celcius. Pada hari Ahad, suhunya menurun sedikit, sekitar 33 darjah Celcius.

Bersama Huzaizi (tengah) dan Lajiman (kanan)
Kunjungan kami hanya ke Bendigo CBD (pusat bandar) sahaja iaitu salah satu surburb dari lebih 10 surburb di bawah pentadbiran Greater City of Bendigo.
Pusat bandarnya kecil sahaja. Suasananya aman, lenggang dan sunyi sekali, mungkin kerana di hujung minggu. Lokasi tumpuan pelancong pula berdekatan antara satu sama lain. Dalam kesuntukan masa, hanya beberapa tempat sahaja yang sempat dikunjungi. Namun ianya cukup memberi kepuasan kepada kami.

Bangunan Bersejarah

Court House (kiri) dan Shamrock Hotel (kanan)
Berjalan-jalan di sekitar pusat bandarnya, terpukau kami akan keindahan dan keunikan seni bina pelbagai bangunan lama, dikatakan berkonsepkan Victorian. Malah struktur binaannya masih lagi utuh dan bangunannya masih diguna pakai.

Itulah kelebihan mereka (Ausie). Bangunan lama amat diberi perhatian dan dijaga dengan teliti. Penampilan luaran dikekalkan, hanya bahagian dalam sahaja diubahsuai untuk kegunaan umum. Visitor Centre, Court House, Shamrock Hotel dan Sacred Heart Cathedral adalah antara bangunan yang menarik perhatian kami. Tugu-tugu bersejarah pula boleh ditemui di merata tempat seperti di pembahagi jalan dan juga di taman-taman.

Rosalind Park

Anak-anak bergambar riang di Conservatory Gardens
Pada petang Sabtu, kami berkesempatan berjalan-jalan di Rosalind Park. Lokasinya di belakang Visitor Centre, hanya 2.7km dari Caravan Park. Rosalind Park sebenarnya berasal dari kawasan lembah yang dijadikan penempatan ketika Gold Rush Era dahulu.

Conservatory Gardens adalah lokasi pertama dikunjungi. Bunga-bungaan berkembang mekar mengelilingi taman berserta Washington Fan Palms yang ditanam sejak akhir tahun 1800an masih lagi tegak sebagai tonggaknya. Conservatory Centre dengan pepohonan menghijau dan bungaan merah amat menarik sekali.

Berangin di puncak Lookout Tower
Menyusuri laluan taman melalui Bendigo Creek yang kering airnya dan Barracks Lane antara Camp Hill Primary School dan Bendigo Senior High School membawa kami ke Lookout Tower yang terletak di puncak Camp Hill. Bangunan berkerangka besi setinggi kira-kira 120 anak tangga ini membolehkan kami meninjau panorama 360 darjah pusat bandar Bendigo. Pemandangannya indah sekali.

Seronoknya berendam ketika panas membahang
Lain-lain lokasi yang menarik di taman ini adalah pancutan air Cascades yang dibina pada tahun 1880, Bendigo Heritage Mosaic (1987), View Street Gates (1878) dan Art Gallery (1887).

Sekembalinya ke kabin, anak-anak terus bersalin pakaian mandi. Kolam mandi seluas kira-kira 27 kaki x 12 kaki dan sedalam 1 meter – 1.4 meter yang terletak berhadapan pintu masuk Caravan Park seolah-olah menjadi milik mereka seramai 9 orang. Kebetulan tiada orang lain yang berendam. Jam 8:00 malam kolamnya ditutup.
Koleksi foto berkaitan boleh dilihat di Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini. Jangan lupa skrol ke bawah untuk Part 2 - Jalan-jalan Bendigo.

Jalan-jalan Bendigo - Part 2

Sacred Heart Cathedral, dikatakan gereja terbesar di Australia

Pagi Ahad (01/02/2009), selepas check-out dari Central City Caravan Park, kami singgah sebentar di Sacred Heart Cathedral. Menurut petugas di Visitor Centre, ianya gereja terbesar di Australia. Kami hanya mengambil gambar luarannya sahaja, sekadar kagum dengan seni binanya yang unik. Siapa tahu, di suatu hari nanti tiba-tiba ianya bertukar menjadi masjid sebagaimana kebanyakan gereja di Australia. Ameen.

Kunjungan kami seterusnya ke Central Deborah Gold Mine di Violet Street. Tengaharinya kami ke Lake Weeroona untuk makan tengahari. Petangnya pula kami ke Science Discovery and Technology Centre, bersebelahan Bendigo Railway Station dan Bendigo Market Place.

Central Deborah Gold Mine

Pasti ada yang melucukan dari penerangan Mr Beth

Inilah salah satu lokasi utama tarikan pelancong ke Bendigo, menyelami sejarah perlombongan emas. Penemuan emas di Bendigo difahamkan ketujuh terbesar di dunia. Bermula dari penemuan emas oleh 2 suri rumah, membawa kepada penemuan dianggarkan sehingga kira-kira $ 9 billion.

Di Gold Mine ini, terdapat 2 Sesi Penjelajahan yang diaturkan. Yang pertama, Mine Experience Tour selama 75 minit, turun sedalam 60 meter ke bawah tanah. Yang kedua, Underground Adventure Tour, turun sedalam kira-kira 85 meter dan merasai pengalaman sebenar perlombongan emas selama 2 ½ jam. Kami memilih yang pertama. Bayarannya $60.00 untuk satu keluarga

Dengan dipandu oleh Mr. Beth, kami 3 keluarga dalam satu kumpulan dibawa turun ke lombong emas menggunakan lif, seterusnya menyusuri terowong kelam pelombong. Menurut Mr Beth, seberat 1 tan emas telah ditemui di sini.

Mengayak emas di Discovery Area

Dengan memakai topi berlampu, setiap orang terutama anak-anak kelihatan begitu teruja sekali. Penerangan yang diberikan oleh Mr Beth di setiap hentian amat menarik. Dari perkara berkaitan batuan yang mengandungi emas, pembinaan terowong, faktor keselamatan sehinggalah kepada kaedah perlombongan. Penjelajahan lebih 1 jam tidak terasa lamanya, sedar-sedar telah sampai ke penghujungnya.

Di bahagian atas lombong pula, terdapat muzium dengan pelbagai peralatan dan sejarah perlombongan dipamirkan. Juga berpeluang mendulang emas menggunakan kuali pengayak di 4 kolah yang disediakan. Anak-anak tidak melepaskan peluang. Memang ada emasnya. Satu pengalaman yang amat berharga untuk mereka.

Science Discovery and Technology Centre

Mencuba water volcano dan thong musical

Selepas makan tengahari di Lake Weeroona, kami terus ke pusat sains di Railway St. Pusat sains ini terletak di bangunan lama, Railway Goods Building, dibuka kira-kira 14 tahun lalu. Bayaran masuknya $30.00 untuk keluarga.

Terdapat lebih 120 exhibit yang disediakan. Kesemuanya amat ringkas dan menyentuh kehidupan seharian serta persekitaran kita tanpa kita sedari akan konsep sains disebaliknya. Setiap orang boleh mencubanya. Cara-caranya disertakan diikuti dengan keterangan ringkas kenapa ianya berlaku. Anak-anak begitu seronok sekali mencubanya. Bagi memahamkan mereka, interaksi dua hala dengan ibu bapa atau abang kakak yang lebih dewasa diperlukan.

Belon dihempap tidak pecah

Kumpulan kami juga berpeluang mengikuti sesi khas, Unbelievable Science. Ianya seakan silap mata tapi amat signifikan dalam kehidupan kita. Botol berlubang berisi air tapi tidak tiris, air hilang dari cawan, belon dipijak tidak pecah dll Anak-anak berebut-rebut untuk menyertai setiap persembahan yang dilakukan termasuk Imran. Penerangan ringkas diberikan bagi menyingkap rahsia di sebaliknya. Tiada rahsianya, hanya kefahaman sains diperlukan.

Sebelum beredar pulang, Izzuddin, Ashraf, Hanisah serta ibu Laili mencuba Vertical Slide yang tinggi dan bercerun curam. Jika berada di atas, terasa gayat seolah-olah berada di tepi tebing tinggi. Benar-benar menguji keberanian.
Koleksi foto boleh diakses di Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Hampir jam 04:30 petang, kami mula beredar dengan haluan masing-masing. Keluarga Lajiman dan Huzaizi singgah dahulu di kedai buku terpakai di Farmers Lane. Kami sekeluarga pula terus beredar pulang ke Dandenong. Singgah di Masjid Sunshine untuk solat jamak dan memenuhi jemputan Muslim-Balqis di Clayton.

Oleh kerana kesuntukan masa, banyak tempat menarik di Bendigo CBD yang tidak sempat kami terokai, antaranya menaiki Vintage Talking Tram mengelilingi bandar, Golden Dragon Museum, Art Gallery, Pottery Museum, Joss House, Elmore Centre, Goldfield Railway dan banyak lagi. Mungkin ada peluang di lain kali.

Tuesday, February 3, 2009

Melbourne Over 40C

Australia, khususnya Melbourne, Victoria kini dalam musim panas. Umumnya, setiap tahun ianya bermula dari bulan Disember sehingga bulan Februari, sebelum bertukar kepada musim luruh untuk 3 bulan berikutnya. Kebiasaannya, purata suhu musim panasnya sekitar 28 – 33 darjah Celcius. Sesekali kemuncak suhunya boleh mencecah 40 darjah Celcius tetapi amat jarang sekali berlaku.

Minggu lepas, bahang panasnya amat terasa sekali. Bermula dari hari Selasa dengan suhu panas sekitar 37 darjah Celcius, meningkat kepada purata 43 darjah Celcius selama 3 hari berturutan; Rabu, Khamis dan Jumaat. Seterusnya menurun sedikit pada hari Sabtu kepada 38 darjah Celcius. Malah diberitakan di Adelaide, suhunya lebih panas sehingga mencecah 47 darjah Celcius.

Daun pokok cili layu, daun pokok kesom (belakang) pula mengering
Setiap orang mengeluh panas. Ketika kemuncak suhu 43 darjah Celcius, di dalam rumah suhunya mencecah sehingga 38 darjah Celcius. Nak tak nak terpaksalah dipasang air conditioner. Berkuranglah sedikit rasa panasnya. Malamnya pula masing-masing tidur berkipas. Waktu Subuhnya masih lagi berbahang panas dengan suhu sekitar 33 darjah Celcius.

Bukan sahaja manusia merasai peritnya bahang panas ini, tumbuhan dan haiwan juga tidak terkecuali. Dedaunan pokok “menjadi layu” (melayu) dan berguguran, malah ada yang terbakar. Rumput kekuningan kerana tiada sumber air. Haiwan melata seperti semut merayap merata mencari sumber air dan makanan terutama di dapur.

Difahamkan, fenomena suhu melebihi 40 darjah Celcius secara berterusan ini hanya berlaku 50 – 100 tahun sekali. Kali terakhir pada Januari, 1959 di mana selama 3 hari berturutan suhunya melebihi 40 darjah Celcius. Manakala pada Januari, 1908, fenomena seumpamanya berlarutan selama 5 hari. Nampaknya bulan Januari sememangnya kemuncak musim panas sejak dahulu lagi. Begitulah ketentuan Illahi.

Petugas CFA bertungkus-lumus memadam kebakaran di Mirboo North

Natijah dari kepanasan “melampau” ini, diberitakan sekurang-kurangnya 30 orang telah meninggal dunia di Victoria akibat tekanan panas. Lebih parah lagi, di sesetengah tempat sumber tenaganya langsung tidak berfungsi. Bushfire pula dikesan di banyak lokasi. Dilaporkan sebanyak 29 buah rumah kediaman, 64 buah rumah ladang, 5 kereta dan 2,200 hektar kawasan penanaman musnah dalam kebakaran. Kawasan paling teruk ialah di tengah Giipsland melibatkan Mirboo North, Boolarra dan Yinnar.

Begitulah dugaan dari Allah SWT. Juga sebagai peringatan akan panasnya Padang Mahsyar dan panasnya Neraka. Panasnya dunia hanyalah sekelumit sahaja dari kepanasan akhirat. Bayangkan tika matahari hanya sejengkal di atas ubun-ubun berserta lautan peluh membanjiri Padang Mahsyar. Begitu juga lonjakan api neraka yang meluruhkan kulit. Amat menakutkan sekali. Wahai diri ini, insafilah...