Monday, February 16, 2009

Black Saturday - Victoria Terbakar

Di Australia, khususnya di Victoria (negeri di mana kami tinggal), berita paling hangat dan gempar kini adalah tragedi kebakaran besar yang amat dahsyat (inferno) yang berlaku pada tengahari dan petang Sabtu minggu lepas (07/02/2009). AlhamduliLlah, Dandenong surburb yang kami tinggal tidak terlibat tetapi "bahangnya" turut dirasai.

Marak api di Bunyip State Forest
Tragedi Black Saturday ini menyebabkan sebahagian besar kawasan tengah Victoria sehinggalah ke timur dan tenggara Melbourne (ibu negeri Victoria) hangus ranap dimamah api, melibatkan keluasan lebih 450,000 hektar.
Kawasan paling teruk adalah gugusan Kinglake Complex, Yea-Murrindindi, Churchill-Jeeralang dan Bunyip Ridge yang merangkumi beberapa bandar utama, antaranya Wandong, Kinglake West, Kinglake, Flowerdale, Humevale, Strathewen, Wittlesea, Murrindindi, Marrysville, Narbethong, Buxton, Yarra Glen, Churchill dan banyak kawasan lagi.
Kediaman rakus dimamah api di Kinglake
Pakenham dan Narre Warren yang terletak berdekatan dengan Dandenong juga turut terlibat sama. Malah bandar kecil Marrysville yang terkenal dengan kawasan pelancongan dengan kepadatan kira-kira 1500 buah kediaman bagaikan padang jarak padang terkukur, terbakar hangus kesemuanya. Bendigo yang kami kunjungi sebelumnya pun turut terlibat tetapi hanya di bahagian utaranya sahaja iaitu di Eaglehawk.

Sehingga kini, seramai 181 orang telah disahkan terkorban dan lebih 1830 rumah serta bangunan musnah. Suasana sedih dan pilu serta tangisan menyelubungi setiap orang, terutama mangsa yang terlibat. lebih-lebih lagi bagi yang kehilangan ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga mahupun kenalan. Malah lebih 7000 orang mangsa masih berada di pusat-pusat komuniti di sekitar lokasi tragedi.

Cuaca panas yang berterusan beberapa minggu sebelumnya dengan suhu sekitar 40 darjah Celcius tanpa hujan yang turun menyebabkan kemarau yang teruk. Malah suhu kemuncak pada hari kejadian dilaporkan mencecah 46.7 darjah Celcius. Dibantu pula dengan angin kencang, kira-kira 120 km/jam lebih memburukkan keadaan.

Kereta 'cair' di jalan raya
Menurut kronologinya, kebakaran kecil (bushfire) mula dikesan menjelang 12 tengahari di Kilmore, kira-kira 50 km di utara Melbourne. Dengan tiupan angin Barat Laut menuju arah tenggara, sekejap sahaja ianya merebak ke Wandong, seterusnya ke Kinglake, Humevale, Whittlesea dan Strathewan. Tiga jam selepasnya api marak pula dikesan di Murrindindi, ke barat Kinglake merebak ke Marrysville di selatannya. Pergerakan api dari arah berbeza ini bercantum menyebabkan ramai penduduk yang terkepung dan menjadi mangsa kebakaran.

Pada masa yang sama, beberapa kawasan lagi yang terpisah dari kelompok di atas seperti di Churchill, Bendigo, Horsham, Mudgegonga, Beechworth, Gippsland dan Pakenham, kebakaran turut sama memusnahkan banyak kawasan dan tempat kediaman.
Sehingga kini dilaporkan masih banyak kebakaran kecil yang dikesan masih aktif dan langkah-langkah berjaga-jaga sedang diambil. Amat dikhuatiri dalam keadaan cuaca masih panas dan angin masih bertiup kencang, kebakaran di Kinglake-Murrindindi Complex tanpa disedari bergabung dengan kebakaran di Bunyip Ridge. Penempatan di tengah-tengahnya seperti Yarra Junction, Healesville dan Warbutton kini terancam. Tidak mustahil ianya akan merebak malah boleh menburukkan lagi keadaan jika tiada langkah lebih pantas dan konkrit diambil.

Strathewen selepas kebakaran
Mangsa kebakaran kini ditempatkan di pusat-pusat komuniti dengan sumbangan datang mencurah-curah. Kutipan derma makin bertambah, mencecah jutaan dollar. Pelbagai organisasi, antaranya Palang Merah, media massa dan pusat-pusat membeli belah saling berganding bahu menyerlahkan keprihatinan masyarakat.

Kali terakhir bencana buruk seumpamanya berlaku di Victoria pada tahun 1983. Dikenali dengan nama Ash Wednesday, seramai 75 orang terkorban dalam kebakaran tersebut. Hampir menyamai tragedi Black Friday pada tahun 1939 yang mengorbankan 71 orang. Tragedi tragis Black Saturday kali ini adalah terburuk dalam sejarah Victoria, malah Australia sendiri.

Pandangan udara Marrysville, kesemuanya musnah
Teringat akan bencana Tsunami yang melanda kepulauan Sumatera, selatan India termasuk utara Semenanjung Malaysia pada akhir tahun 2004 dahulu. Suasananya seakan sama walaupun tidak sehebat Tsunami.

Demikianlah kuasa Allah. Tiada yang mustahil bagiNya. Qada’ dan qadarNya tidak dapat diramalkan. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Sebagai hambaNya kita seharusnya menerimanya dengan redha dan mengambil iktibar daripadanya. Sekurang-kurangnya kita menginsafi betapa besarnya kekuasaan Allah. Moga kita digolongkan di kalangan mereka yang beriman. Ameen.

No comments: