Wednesday, June 27, 2018

Izzuddin Tamat Pengajian di UC Davis

AlhamdulILLAH... setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ILLAHI... akhirnya anak sulung kami, Muhammad Izzuddin telah pun tamat pengajiaanya di University of California Kampus Davis (UC Davis), California, USA bagi Bachelor of Science in Biochemistry and Molecular Biology.

TAHNIAH Iddin...!
Majlis Konvokesyennya telah berlangsung di universiti berkenaan pada pagi 17-Jun-2018 lalu. AlhamdulILLAH... kami sekeluarga berkesempatan untuk menghadiri hari yang penuh bermakna tersebut.

Kami tiba di Dewan ARC/ Pavilion sekitar jam 8:15 pagi. Masih banyak tempat duduk yang kosong. Namun sekejap sahaja menjadi rebutan ahli keluarga para graduan. Pelbagai bangsa, keturunan, agama dan warna kulit tampak sebati di dalam limpahan pengunjung yang memenuhi segenap penjuru dewan.

Suasananya riuh rendah apabila para graduan mula melangkah keluar ke tengah dewan menuju ke tempat duduk yang disediakan. Begitu juga ketika mereka melangkah naik ke pentas dan nama disebut penuh petah oleh pengacara, bersalam dan melangkah turun ke ruangan bawah. Siulan, jeritan dan panggilan nama bersahutan silih berganti - bagaikan di dalam zoo atau di pentas hiburan - amat jauh suasananya dengan majlis konvokesyen di negara kita yang penuh senyap-sunyi dan tertib tetapi memenatkan. Segalanya berjalan lancar dan menepati waktunya.

Seusai Majlis Konvokesyen
Dianggarkan hampir 1,000 graduan menerima pengiktirafan pada pagi tersebut. Kesemuanya berjubah kemas, bertopi empat segi dan berselendang kuning tertera UC Davis.

Menceriakan suasana adalah penampilan sebahagian mereka dengan dekorasi topi yang pelbagai; antaranya bendera negara, gabungan warna dan ungkapan serta jambangan bunga. Difahamkan ada pertandingan untuk semuanya itu.

Kami keluar awal sedikit, setelah Izzuddin telah pun menaiki pentas. Lokasi pertemuan kami di padang berhadapan dewan yang tersedia beberapa backdrop berlogo dan tertulis nama UC Davis. Itulah tempat kami bergambar.

Tidak ramai rakan-rakan senegara yang kami temui, hanya 2 orang iaitu rakan serumahnya, Sharif dan seorang lagi dari Malaysia Timur (lupa pulak namanya). Selebihnya adalah kenalan Izzuddin di universiti. Kami biarkan Izzuddin bersama rakan taulannya sementara kami menunggunya di kereta.

AlhamdulILLAH dan TAHNIAH Izzuddin..!

Tuesday, June 26, 2018

Solehah Kini di UiTM Dengkil

Kini para pelajar lepasan SPM 2017 sedang giat mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi. Sebahagiannya telah pun mendaftar sebelum Hari Raya, manakala sebahagiannya lagi selepas Raya. Ini di IPTA. Bagi yang memilih IPTS, pendaftarannya lebih awal lagi.

Tidak kisahlah di IPTA mahupun IPTS... yang penting dapat peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Bersyukurlah dengan apa yang diperolehi. Ianya baru langkah permulaan kepada ribuan langkah selepasnya. Terlalu banyak dugaan dan ujian yang bakal ditempuhi - bertabahlah dengan penuh kesabaran dan tekad yang mantap demi meraih kejayaan di kemudian hari. Moga segalanya dipermudahkan ALLAH SWT. Aamiin.

Berlatarkan Kolej Dahlia 2
Anak ketiga kami, Nur Solehah... AlhamdulILLAH mendapat tempat di Pusat ASASI UiTM Kampus Dengkil dalam bidang Sains. Itulah pilihan pertamanya ketika mengisi UPU Online.

Solehah telah mendaftar masuk pada 04-Jun lalu - mengikuti sesi Induksi/ Destini Siswa selama 2 hari 1 malam sebelum bercuti Raya sehingga 24-Jun.

Lebih teruja lagi, Arif Farhan juga mendapat tempat di UiTM Dengkil, akan tetapi dalam bidang Kejuruteraan. Lebih tidak disangka-sangka, BFF (Best Friend Forever) Solehah ketika di perantauan Dandenong, Melbourne dahulu; Nadhirah pun berada di tempat yang sama tetapi di dalam bidang TESL. Lebih manis lagi di kolej penginapan yang sama, cuma tingkat yang berbeza. Demikianlah aturan ALLAH SWT... terasa kecil sahaja dunia ini.

Anyway.... AlhamdulILLAH dan TAHNIAH kepada Solehah, Arif dan Nadhirah serta yang lain-lain... ALL THE BEST...!

Moga berjaya di dunia dan di akhirat. Aamiin.