Saturday, August 30, 2008

Merdeka..! Merdeka..! Merdeka..!

31 Ogos… satu tarikh yang amat bermakna bagi rakyat Malaysia. Bermulanya pembebasan Persekutuan Tanah Melayu @ Malaya dari belenggu penjajahan British pada tahun 1957. Seterusnya penubuhan Malaysia yang dianggotai oleh negeri-negeri Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Singapura pada 16 September, 1963. Disebabkan perselisihan faham dengan pimpinan utama Singapura, negara berkenaan keluar dari Malaysia 2 tahun selepasnya. Keanggotaan negeri-negeri yang ada kekal sehingga kini.

Perjuangan para pahlawan terdahulu dalam menuntut kemerdekaan negara sewajarnya diingati dan dihayati sepenuhnya. Betapa kecintaan mereka akan kemerdekaan sehingga nyawa dan darah menjadi galang ganti tiada tolak bandingnya. Nama-nama seperti Dato Maharaja Lela, Tok Bahaman, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbung, Tok Naning, Burhanuddin Helmi, Tuanku Abdul Rahman dan ramai lagi amat banyak jasanya.

Setelah menjangkau 51 tahun kemerdekaan negara, rasanya tidak ramai yang mengenali siapakah mereka itu, terutama di kalangan anak-anak. Apatah lagi untuk menghayati susur galur perjuangan mereka. Jadi, tidak menghairankanlah ramai yang tidak mengsyukuri nikmat kemerdekaan yang diperolehi. Detik 12 malam ditunggu-tunggu semata-mata untuk berseronok dan lepas bebas bagaikan kelkatu.

Justeru itu, betapa perlunya dinilai kembali pendekatan pendidikan kepada generasi pelapis. Bukan sahaja dalam menghayati perjuangan pahlawan terdahulu tetapi terlebih penting faham akan pengertian sebenar kemerdekaan itu sendiri. Ruang lingkupnya seharusnya lebih terbuka menyentuh norma-norma kehidupan sejagat dan persekitarannya.
Kepada rakyat Malaysia, Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Kali ke-51.
"Perpaduan Teras Kejayaan"

Wednesday, August 27, 2008

DNPS Mini Olympic Day

Pagi semalam (26/08/200), wirawan dan wirawati Australia yang melakar sejarah gemilang di Sukan Olimpik, Beijing 2008 selamat tiba di tanahair mereka. Dengan tajaan syarikat penerbangan utama, Qantas, mereka disambut meriah di Sydney. Perdana Menterinya, Kevin Rudd berserta Ketua Pembangkang, Brendan Nelson berkongsi pentas yang “sempoi” di lapangan terbang mengalu-alukan kepulangan atlit mereka. Suasana penuh harmoni dan mesra melatari upacara sambutan walaupun berbeza ideologi politik.

Semangat kesukanan tidak berhenti setakat itu. Kanak-kanak sekolah dan para guru di Dandenong North Primary School (DNPS) juga mempunyai agenda tersendiri. Mini Olympics Day telah dilangsungkan dengan disertai oleh semua pelajar dan guru-guru pada hari yang sama. Mereka dibahagikan mengikut negara-negara yang menyertai Sukan Olimpik. Pakaian pula disyaratkan mengikut warna bendera negara-negara berkenaan.

Izzuddin diletakkan mewakili Portugal. Hanisah pula mewakili Austria. Manakala Solehah mewakili USA. Izzuddin memakai baju hijau-merah berseluar hijau. Hanisah berbaju merah-putih berseluar merah dan bertudung merah. Solehah pula berbaju merah-putih berseluar biru serta bertudung biru. Setiap kumpulan diwakili sekitar 20 pelajar dari Prep 1 (5 tahun) sehingga Grade 6 (11 tahun).

Permainannya pula adalah acara sukaneka. Terdapat kira-kira 25 jenis permainan yang dipertandingkan; antaranya larian berganti-ganti, memanjat tiang, melompat bongkah, menaiki tangga, mengelungsur, mengheret kantung bola, melempar gegelang rotan, membawa kentang di dalam sudu kayu, mengelecek bola hoki dan pelbagai lagi. Hampir keseluruhan kawasan sekolah digunakan sepenuhnya. Dari pintu pagar hadapan sehinggalah ke penghujung padang di belakang sekolah.

Setiap kumpulan @ negara diberi masa kira-kira 3 minit bagi setiap permainan. Markah dikira mengikut keupayaan setiap kumpulan melaksanakannya. Setiap 3 minit siren sekolah dibunyikan. Maka berkejaranlah mereka dengan didahului oleh guru kumpulan ke lokasi permainan seterusnya. Riuh rendah kawasan sekolah dibuatnya.

Bersama Imran, sempat kami menjenguk kira-kira sejam di sekolah mereka. Menonton betapa seronok dan bersemangatnya anak-anak berserta rakan-rakan sekumpulan mereka bertarung mengumpul markah. Walaupun terdapat permainan yang agak sukar, namun segalanya tidak mematahkan semangat mereka. Sesama ahli kumpulan, tiada kedengaran sungutan dan juga kelihatan riak ketidakpuasan hati terhadap rakan-rakan lain jika ada yang tidak larat melakukannya. Yang ada hanyalah sokongan moral yang tidak berbelah bagi. Itulah pelajaran dan pengajaran secara tidak langsung yang mereka perolehi.

Ikut hati memang nak tunggu hingga tamat tetapi Imran kena pergi ke kindy jam 12:45.
Lain-lain foto boleh didapati di Album Foto Kami di sebelah kiri web page atau klik di sini.

Menurut anak-anak, pingat emas diungguli oleh negara Jepun, pingat perak dimenangi oleh kumpulan Turki dan pingat gangsa diraih oleh pasukan Great Britain. Walaupun pasukan mereka tidak memenangi sebarang pingat tapi anak-anak nampaknya seronok. Tahniah untuk semua.

Monday, August 25, 2008

Berakhirnya Beijing 2008

Malam tadi dengan rasminya Sukan Olimpik ke 29 yang berlangsung di Beijing, China melabuhkan tirainya. Acara penutupnya yang diadakan di Bird Nest Stadium tidaklah sehebat acara pembukaannya pada 08.08.08 lalu tetapi masih meriah dengan persembahan berkonsepkan budaya setempat. Kini tumpuan seterusnya 4 tahun lagi di London untuk Olimpik kali ke-30. Gimik peralihan lokasi agak simple dengan menampilkan ikon London, bas merah 2 tingkat dan bintang bolasepaknya, David Beckham.

Selama 2 minggu berhempas pulas memerah tenaga dan keringat, menyaksikan China sebagai hos pertandingan mengungguli pungutan pingat emas, 51 kesemuanya, diikuti USA (36), Russia (23), Great Britain (19) dan Jerman (16). Australia berada di kedudukan ke-6 dengan 14 pingat emas. Malaysia pula hanya 1 pingat perak yang diperolehi oleh Lee Chong Wei melalui acara badminton.

Ken Wallace (kiri) dan Steve Hooker (kanan) tanpa dijangka memenangi pingat emas
Di Australia, setiap acara diberikan liputan meluas terutama melibatkan penyertaan Australia. Saban hari wajah dan aksi wira negara mereka seperti Rice, Trickett, Jones (renang), Emma (triahtlon), Wallace (kayak), Mitcham (papan anjal) dan Hooker (lompat bergalah) sentiasa diulang-siar di televisyen dan di dada-dada akhbar.

Menariknya, banyak Rekod Olimpik dan Rekod Dunia yang dapat dipecahkan terutama di kolam renang dan acara padang. Lebih menarik lagi, ramai atlit tidak ternama yang melakarkan sejarah tersendiri, lebih-lebih lagi dapat mengalahkan mereka yang bergelar jaguh dunia dengan catatan rekod baru.

Begitulah resamnya, tidak selamanya seseorang itu akan kekal di tampuk kejaguhannya. Hanya mereka yang mempunyai semangat juang yang tinggi sahaja yang akan berjaya. Itulah ganjarannya atas usaha mereka yang tidak mengenal penat lelah.

Lee Chong Wei, satu-satunya pemenang pingat untuk Malaysia
Teringin sekali untuk melihat Malaysia menjadi jaguh dunia. Namun melihat perkembangan setakat ini, nampaknya jauh panggang dari api. Bukannya tak percaya tetapi itulah hakikatnya. Sekadar meraih pingat perak dalam badminton rasanya tidaklah sehebat mana kerana Chong Wei sememangnya layak. Apatah lagi kini beliau berada di rangking ke-2 dunia di belakang pemenang pingat emas, Li Dan. Adalah lebih manis lagi kiranya pingat emas yang diraih. Apa pun Tahniah untuk Chong Wei. Tanpa semangat yang kental tak mungkin ianya menjadi kenyataan.

Acara sukan lain, entahlah. Jika tiada usaha , kesungguhan dan perancangan yang baik berserta jati diri yang mantap, usahlah mengharap London 2012 sebagai galang gantinya, 50 tahun lagi pun belum tentu.

Wahai Malaysia, bangunlah dari tidur. Usahlah bermimpi di siang hari.

Secara peribadi, saya masih berkeyakinan bahawa Malaysia mampu menyerlah. Lihat sahaja China. Bagaimana mereka mampu bangun dan berusaha meraih kemenangan, malah dalam acara yang tidak popular bagi mereka seperti tinju dan acara padang pun mampu membuahkan pingat. Malah dalam lain keadaan, sukan sepaktakraw yang mana Malaysia dan Thailand adalah jaguhnya pun telah mereka kuasai dan mampu mengugat 2 negara berkenaan. Jadi mengapa kita tidak boleh? Selidikilah apakah ramuan yang diguna pakai oleh mereka. Tidak salah meniru cara orang jika ianya baik untuk kita.

Malaysia Boleh.

Thursday, August 21, 2008

Cuti-cuti Australia > Ke Lake Mountain Lagi

Di penghujung minggu baru-baru ini, Ahad (17/08/2008), kami ke Lake Mountain lagi. Sebulan lalu kami dah pun ke sana. Ketika itu kami menemani keluarga Syidee-Salina serta keluarga Lokman-Ida dari Adelaide. Kali ini juga menemani rakan dari Adelaide, keluarga Rohana.

Keluarga Ana bukan sekadar rakan atau kenalan malah ibarat keluarga kami sendiri. Apatah lagi Ana adalah teman baik Laili sejak zaman persekolahan lagi, kini sedang mengikuti pengajian peringkat PhD di Adelaide.

Suami Ana, Dr. Mustafa (pensyarah UDM, Trg) serta 4 anaknya (Muhaimin, Hajar, Sarah dan Mariam) yang pernah tinggal setahun di Adelaide pada tahun lepas baru tiba dari Malaysia. Datang bercuti di Adelaide. Kesempatan yang ada mereka berkunjung ke Melbourne semata-mata untuk bermain salji. Mereka bermalam di rumah kami.

Lake Mountain menjadi pilihan kerana tempatnya lebih dekat (kira-kira 105 km dari rumah kami) serta jalannya yang jauh lebih selesa berbanding ke Mt. Baw-Baw (pengalaman yang memeritkan).
Koleksi foto boleh dilihat di Album Foto Kami di sebelah kiri web page atau klik di sini.

Turut sama bersama kami adalah rakan Laili dan Ana ketika di MRSM KB dan kini bekerja di Melbourne, Zidah. Kami bertolak dari rumah di Dandenong kira-kira jam 09:00 pagi. Cuacanya agak baik. Sesekali hujan renyai-renyai turun mengiringi perjalanan kami.

Hanisah, Solehah dan Hajar bersama Snow Man
Selepas 1 ½ jam, kami singgah di pekan Marysville untuk menyewa kelengkapan salji; pakaian, snow boot, tyre chain dan toboggan. Kenderaan memenuhi ruang parkir. Kedai-kedai ski hire berderetan di tepian jalan. Di setiap kedai, begitu ramai sekali para pengunjung sehingga perlu berbaris untuk membuat tempahan. Banyak masa terbuang untuk menunggu. Terasa menyesal pula tidak berurusan di Black Spur, tempat kami menyewa kelengkapan salji dahulu. Malah harga sewaan beberapa item di pekan ini lebih mahal berbanding di Black Spur. Tak mengapa, kata orang tak cuba tak tahu. Belajar dari pengalaman.
Dari papan putih di hadapan kedai Cross Country Ski Hire terpampang laporan salji di Lake Mountain. Suhunya sekitar -2.2 darjah Celcius, ketebalan salji 65 cm dan sesuai untuk aktiviti meluncur. Satu berita yang amat baik.

Izzuddin dan Imran terdampar di hujung cerun
Sekitar jam 11:30 pagi, khabar diterima, jalan ke Lake Mountain ditutup kerana tempat parkirnya penuh. Jam 01:00 tengahari perkembangan selanjutnya akan dimaklumkan. Satu penantian yang amat menyeksakan. Dikhuatiri akan ditutup hingga lewat petang, sekaligus mengecewakan keluarga Ana yang amat teruja untuk menyentuh salji.
Kami serta lain-lain pengunjung singgah menunggu di kawasan lapang berdekatan bulatan naik ke Lake Mountain. AlhamduliLlah, ada hikmahnya. Sempat kami makan tengahari dengan bekal yang dibawa serta solat jamak. Pengunjung yang begitu ramai mungkin kerana "musim salji" dah pun sampai ke penghujungnya, tambahan pula cuti di hujung minggu.

Sarah dan Hajar di Toboggan Slope berlatarkan fresh snow yang sedang turun
Hampir jam 01:30 petang, laluan ke atas dibuka. Melepasi kaunter bayaran, kesan-kesan salji mula kelihatan. Semakin naik ke atas, semakin jelas kelihatan terutama di pinggiran jalan serta pada pepohonan. Akhirnya dapat dilihat kiri-kanan dipenuhi salji memutih menimbusi setiap inci tanah serta membentuk lapisan lembut menebal menutupi pepohonan renek di sekitarnya. Satu pemandangan yang amat menarik dan tiada terungkap oleh kata-kata. Malah imbasan gambaran dari foto yang diambil pun tidak dapat menceritakan hakikat sebenar keindahannya. SubhanaLlah, betapa besarnya kekuasaan Allah SWT.

Deretan kenderaan memenuhi hampir setiap kawasan parkir yang ada. Kami bernasib baik kerana dapat naik hingga ke kawasan parkir paling atas, Gerratty’s yang terletak bersebelahan Visitor Centre dan Toboggan Run/Slope. Lebih bernasib baik kerana tidak perlu memasang tyre chain. Jalannya agak baik dan tiada kesan salji melitupinya.

Mariam santai bergaya di atas salji
Anak-anak nampaknya tak sabar-sabar lagi untuk turun. Ketika datang dahulu hanya Toboggan Run bersebelahan Visitor Centre sahaja dibuka tapi kali ini lebih banyak pilihan boleh dibuat. Di situ pengunjungnya begitu ramai dan padat. Kami beredar mencari Toboggan Slope yang kurang pengunjung. Lokasinya agak ke dalam sedikit dari kawasan parkir tetapi jauh lebih selesa dan selamat.

Dengan toboggan, anak-anak begitu seronok sekali menuruni cerun. Gelak ketawa dan suara jeritan mereka menceriakan suasana. Begitu juga dengan yang dewasa, tumpang sama berseronok. Puas bertoboggan, mereka bermain snow ball dan snow man pula. Kerap kali juga fresh snow turun dengan lebatnya. Sesekali kawasan sekitar menjadi kelam diselubungi kabus salji terutama menjelang lewat petang.

Ust Pa, syukur dapat menakluki kawasan bersalji
Bagi keluarga Ana-Pa, jelas kelihatan rona kepuasan di wajah mereka. Tercapai sudah hajat mereka untuk menyentuh dan bermain salji. Dan bagi kami ianya satu kepuasan kerana dapat memuaskan hati mereka. Sesungguhnya ia satu kenangan dan pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan. Tapi yang terkilan, terutama Ana dan Pa kerana anak kedua mereka, Muiz tidak dapat turut serta. Muiz sekarang di tanah air, berhempas pulas dengan buku dan nota kerana PMR-nya tidak lama lagi.

Kami beredar turun kembali ke Dandenong kira-kira jam 04:30 petang dan tiba di rumah sekitar jam 06:40 petang. Di sepanjang jalan, anak-anak tidur kepenatan dengan mimpi indah, seindah panorama salji yang ditinggalkan di pergunungan.

Tuesday, August 19, 2008

Majlis Nisfu Shaaban di Clayton

Hadirin khusyuk mendengar tazkirah
Nisfu berasal dari bahasa Arab bermaksud pertengahan. Dari itu Nisfu Shaaban bermakna pertengahan bulan Shaaban yakni 15hb. Shaaban. Mengikut taqwim Islam, permulaan tarikh bagi setiap hari adalah bermula tenggelam sepenuhnya matahari di ufuk barat iaitu masuknya waktu Maghrib. Pada tahun ini, Nisfu Shaaban jatuh pada awal malam 14hb. Ogos, 2008.

Diriwayatkan, pada malam penuh berkat ini, buku catatan amalan setiap hamba Allah akan diangkat dan digantikan dengan buku amalan yang baru. Bagi RasuluLlah SAW, kedatangan Nisfu Shaaban disambut dengan memberatkan amalan sunat, memperbanyakkan memohon keampunan Allah SWT dan sentiasa mengingatiNya. Malah Nisfu Shaaban juga dikatakan sebagai peringatan bahawa 2 minggu lagi Ramadhan al-Mubarak akan tiba.

AlhamduliLlah atas usaha Haidar dan rakan-rakan di Clayton, satu sambutan ringkas telah diadakan di rumah Haidar pada hari Sabtu malam Ahad (16/08/2008). Ramai rakan taulan yang datang, adik-adik undergrad dan di kalangan postgrad. Majlis bermula dengan solat Maghrib di masjid, diikuti bacaan surah Yassin dan tahlil arwah beramai-ramai bertempat di garaj kereta (sejuk tapi OK). Seterusnya tazkirah ringkas sejurus selepas solat Isyak berjemaah disampaikan oleh Ustaz Abdul Razak. Kupasan tazkirahnya ringkas sahaja tetapi amat signifikan sekali dengan peredaran zaman. Pertembungan antara syariat dan budaya mahupun adat perlu ditangani dengan sebaik mungkin kerana syariat Allah adalah mengatasi segala-galanya.
Ust. Razak sedang menyampaikan tazkirah. Di kirinya adalah tuan rumah, Sdr. Haidar
Sememangnya majlis pengisian ilmu seumpamanya seharusnya sentiasa diadakan sebagai wadah untuk memuhasabah diri. Bukan sahaja untuk kalangan dewasa tetapi juga untuk anak-anak. Sesungguhnya hati perlu dididik agar nilai-nilai Islam sentiasa mekar di jiwa sebagai bekalan harian dan hari-hari nan mendatang.
Acara kemuncak... makan..8). Sambil meratah daging BBQ serta pelbagai juadah yang amat menyelerakan, masing-masing beramah mesra. Tambahan pula masing-masing sibuk dengan urusan kerja dan pengajian, inilah peluang yang ada. Kami sekeluarga tak lama kerana perlu pulang segera ke rumah. Kenalan dari Adelaide dalam perjalanan ke rumah kami.

Terima kasih Haidar dan terima kasih rakan-rakan semua. Moga usaha murni kalian dirahmati dan diganjari oleh Allah SWT. Ameen.

Monday, August 11, 2008

08.08.08 - Olimpik Beijing 2008

08.08.08. Cantik sekali susunan nombornya. Bagi masyarakat Cina, nombor 8 dikatakan membawa tuah. Apatah lagi jika digabungkan.

Di negara China, susunan nombor di atas adalah tarikh keramat pada tahun ini. Beberapa hari yang lalu, pada malam 8hb. Ogos, 2008 (08.08.08), Sukan Olimpik kali ke-29, temasya sukan peringkat dunia terbesar dan paling berprestij telah pun dilangsungkan secara rasminya, bertempat di Beijing (dikenali sebagai Beijing 2008). Acara pembukaanya amat menarik sekali dengan pelbagai formasi persembahan berteraskan kebudayaan China yang penuh warna-warni. Diikuti pula dengan nyalaan obor kejohanan serta perarakan masuk 204 kontijen negara peserta makin memeriahkan suasana. Diberitakan sekitar 840 juta orang di seluruh dunia terpaku di layar TV menontonnya.

Kini, kehangatan pelbagai acara sukan yang dipertandingkan diikuti dengan penuh minat oleh warga dunia. Dari hari ke hari menjelang penutupnya pada 24/08/2008, bahangnya makin terasa. Satu persatu rekod baru dicipta. Pungutan pingat pula sentiasa dihitung. Tangisan emosi samada kerana gembira atau sebaliknya dapat ditemui di mana-mana medan saingan. Sesuatu yang boleh dibanggakan, melalui sukan, persengketaan antara negara seolah-olah dilupakan. Semangat kesukanan mengatasi segala-galanya. Penyertaan USA, Iran, Cuba, Israel dan Russia yang sering bertelagah membuktikannya.

Di Australia, tumpuan rakyatnya tiada tolak bandingnya. Banyak acara sukan yang disertai mereka, tambahan pula oleh para peserta bertaraf dunia. Malah syarikat penyiaran Sunrise (TV7) telah bersiaran langsung terus menerus setiap hari dari Beijing.

Stephanie Rice (tengah) mengungguli pingat emas pertama Australia melalui acara renang 400 meter medley

Malah anak-anak di Dandenong North Primary School sejak 2 bulan yang lalu sehingga kini sentiasa didedahkan dengan pelbagai kegiatan dan tugasan berkaitan Sukan Olimpik. Antaranya menghiasi topi terendak dengan mascot Beijing 2008, merekabentuk arca gaya atlit sukan, membuat teka silang kata, mengkelaskan acara sukan yang dipertandingkan, meringkaskan bahan berita Olimpik dari akhbar/internet, berdiskusi bersama atlit negara dan pelbagai lagi. Tidak menghairankan, pengetahuan dan minat anak-anak lebih terkehadapan dari ibu bapa mereka sendiri.

Malah, lebih ironi lagi, semangat kenegaraan mereka terhadap Australia terbina tanpa disedari. Mereka sedih dan hampa apabila Australia kalah. Walaupun Malaysia turut serta dalam beberapa acara, namun seakan-akan tidak diendahkan langsung. Di manakah silapnya? Mungkin peserta negara kita tidak menyerlah dan tiada harapan untuk meraih sebarang pingat. Ataupun semangat keMalaysiaan tidak tertanam di jiwa mereka.

Mungkin benar perumpamaan kata orang-orang lama,

“Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum”

“Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung”


Balik ke tanah air nanti, mungkin segalanya berubah, bak kata perumpamaan lain,

"Sekali bah, sekali pasir berubah"

Malaysia Boleh!

Wednesday, August 6, 2008

Fenomena Musim Sejuk

Australia adalah pulau yang terbesar di dunia, terletak di hemisfera selatan, yakni menghampiri kutub selatan. Bahagian utaranya yang mendekat ke arah khatulistiwa di Kepulauan Timur Leste iaitu Northern Territory dan bahagian utara Queensland mengalami musim tropika sepanjang tahun, menyamai Malaysia. Kawasan selatannya pula yang merangkumi Tasmania, Victoria, South Australia dan sebahagian Western Australia dan New South Wales mengalami fenomena 4 musim termasuk musim sejuk dari bulan Jun sehingga Ogos setiap tahun.

Apabila memperkatakan musim sejuk atau winter season, pasti ramai yang teringatkan salji (kata omputih snow). Terbayanglah akan fresh snow yang berterbangan turun bagaikan hujan. Lapisan salji di jalan-jalan mahupun sekeliling rumah. Dan semua orang memakai baju tebal berbulu dengan kain lilit di leher (muffler), sarung tangan dan serkup (beanie) menutup kepala termasuk telinga. Itulah gambaran yang biasa ditonton di dalam filem. Hakikatnya tidak semuanya begitu.

Memutih frost di padang hadapan rumah

Di Australia, fenomena seumpamanya hanya dapat dilihat di kawasan rekreasi salji sahaja yakni di kawasan pergunungan. Di lain-lain kawasan, lapisan salji dan fresh snow pun susah nak jumpa. Sedia maklum, salji hanya terbentuk di kawasan yang bersuhu sekitar tahap beku (0 darjah Celcius) sedangkan purata suhu musim sejuk di Victoria hanya dalam lingkungan 10-15 darjah Celcius. Ada juga ketikanya mencecah bawah 5 darjah Celcius terutama di awal pagi. Saat ini akan kelihatan lapisan frost memutih di padang hadapan rumah, juga di beranda dan dedahan pokok di belakang rumah.

Walaupun suhunya sekitar 10-15 darjah Celcius tetapi boleh tahan jugalah sejuknya. Lebih-lebih lagi jika berserta angin dan hujan. Pakaian tebal adalah satu kemestian. Ada juga yang memakai muffler dan beanie. Malah pergerakan manusia di luar rumah di musim ini menjadi semakin berkurangan kecuali ke tempat kerja, sekolah dan urusan penting sahaja. Mereka lebih suka berada di dalam rumah, dalam kehangatan pemanas. Sesekali matahari bersinar terang amat dihargai. Hangat cahayanya menyentuh kulit terasa bagaikan satu nikmat.

Ketika musim sejuk, kulit biasanya menjadi kekeringan dan menegang, mengakibatkan kegatalan. Adalah disarankan untuk menyapu krim pelembab, terutama ketika berada di luar rumah. Bibir pula biasanya merekah dan adakala berdarah. Di samping perlu lebih kerap minum air, pelembab bibir seumpama gincu juga perlu dipakai.

Jarak waktu siang di musim sejuk ini agak pendek, sekitar 10 jam sahaja. Matahari pagi keluar kira-kira jam 07:30 pagi dan tenggelam menjelang jam 05:00 petang. Bagi Muslim, dikatakan inilah masa paling sesuai untuk berpuasa samada sunat, qadha’ mahupun nazar kerana faktor masa dan suhu. Tambahan pula sebulan dua selepasnya akan masuk pula bulan mulia, Ramadhan al-Mubarrak. Eloklah sebagai latihan awal.

Pemandangan bersalji di Mt. Baw Baw
Industri pelancongan pula lebih tertumpu di kawasan bersalji berbanding kawasan pelancongan lain. Antaranya, Mt. Hotham, Mt. Buller, Mt. Baw Baw, Falls Creek dan Lake Mountain. Mungkin kerana waktu siangnya yang pendek dan juga persekitarannya yang tidak selesa untuk bergerak.

Haiwan dan serangga di musim sejuk ini kebanyakannya tidur (hibernate). Tiada kelihatan nyamuk dan lalat berterbangan. Malah semut pun sepatutnya susah kelihatan. Tapi di rumah kami, lain pula ceritanya. Semut ada di mana-mana. Pantang ada sumber makanan pasti dihurunginya. Mungkin kerana sistem pemanasan menyeluruh (ducted heating) di rumah kami menyebabkan serangga ini selesa bergerak.

Pepohonan termasuk rerumput kelihatan subur menghijau, malah lebih galak tumbuhnya berbanding musim panas dan musim luruh sebelumnya. Pepohonan yang gugur dedaunannya di musim luruh dahulu masih kekal togel tanpa daun. Namun telah kelihatan tunas-tunas kecil pada dahan, menunggu masa untuk kembali merimbun.

Kuntuman bunga di halaman rumah, mekar berkembang
Sekarang musim sejuk telahpun sampai di penghujungnya. Akan diganti pula dengan musim bunga atau spring season. Telah kelihatan di sana-sini pepohon bunga mula berbunga. Malah 2 pokok bunga di hadapan rumah kami pun telah pun meriah dengan bunganya. Menurut lazimnya, dalam sebulan dua ini kesemua bunganya akan gugur. Yang tinggal hanyalah dedaunan yang menghijau. Mungkin ianya jenis bunga pembuka musim bunga.

Demikianlah serba ringkas akan fenomena musim sejuk. Malah banyak lagi perkara berkaitan yang tidak disentuh tetapi memadai rasanya untuk setakat ini. Maaf atas kekurangan mahupun kesilapan info kiranya ada.

Monday, August 4, 2008

Salam Takziah - Cik Baharom Kembali KepadaNya

Khabar duka diketahui malam tadi ketika menghubungi emak di Ulu Klang. Beliau meninggal dunia malam semalam (Sabtu malam Ahad) akibat serangan strok/ angin ahmar.
Arwah Pak Cik Baharom adalah adik ipar abah, yakni suami kepada Mak Cik Tugini. Menetap di kampung halaman di Kg. Bkt. Bangkong, Selangor. Di kalangan 10 adik beradik abah, keluarga Cik Baharom-Tugini antara yang masih kekal di kampung selain arwah Wak Long yang telah meninggal beberapa tahun lalu. Yang lain kesemuanya tinggal di sekitar Ulu Klang dan Klang.
Begitulah ketentuanNya. Sempat saya mengunjungi Cik Baharom ketika pulang ke tanah air sebulan yang lalu. Kesihatannya agak membimbangkan setelah diserang strok kira-kira 2 minggu sebelumnya. Menurut abah dan emak yang ada bersama ketika itu, keadaan Cik Baharom seumpama arwah Atuk Zubir sebelum meninggal dunia lebih 10 tahun dahulu. Tambah abah, mungkin usianya tidak lama.
Masih segar diingatan akan Cik Baharom yang peramah dan sentiasa tersenyum. Hatta ketika terbujur sakit di katil pun, senyuman masih terukir di bibirnya. Moga rohnya dihimpunkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh dan sentiasa mendapat rahmat dariNya. Ameen.
Salam Takziah pada Mak Cik Gini dan keluarga. Moga tabah menghadapi cubaan dariNya.