Monday, August 26, 2013

Banjir Kilat

Banjir kilat. Ianya amat merungsingkan kami setiap kali hujan turun dengan lebatnya.

Air bergenang di halaman rumah
Itulah yang kami alami pada dinihari Jumaat beberapa hari lalu. Sekitar jam 5:00 pagi hujan turun sederhana lebat membasahi bumi Ulu Kelang berserta angin, kilat dan guruh.

Terdetik di hati, "Jika berterusan, air sungai di hadapan rumah mungkin akan melimpah. Rumah-rumah jiran tetangga pasti dimasuki air. Silap-silap rumah kami pun turut terkena." Begitulah lazimnya jika hujan turun berterusan tanpa henti.

Benar bagai yang dijangka. Dalam jarak waktu setengah jam, air sungai telah pun memasuki jalan di tepi rumah. Sekejap sahaja halaman rumah kami bergenang air, seterusnya pantas sekali memanjat anak-anak tangga terus masuk ke dalam rumah.

Kejadian yang tidak dijangka dan disangka-sangka. Kelam kabut kami dibuatnya kerana menurut Abah, sejak 28 tahun menetap di rumah tersebut inilah pertama kali air melimpah masuk sehingga ke dalam rumah. Paling teruk pun sebelum ini sehingga anak tangga sahaja.

Limpahan air di dalam rumah
Lebih mengharukan, 9 buah kereta di laman rumah tidak sempat dialihkan. Natijahnya hampir semua kereta dimasuki air. Beberapa kereta terpaksa dibawa ke bengkel dan perlu disenggara dan dibaikpulih kerosakan yang dialami. Berayalah mekanik nampaknya...8). Selebihnya di bawah pemantauan, moga-moga tiada kerosakan yang dialami.

Ledakan airnya tidak lama. Datangnya cepat, perginya juga cepat. Namanya pun banjir kilat. Maka tinggallah tempelan lumpur di merata tempat yang disinggahi air. Alahai... kenalah dibersihkan segera.

Apakah puncanya banjir kilat tersebut? Kata orang kesan daripada kerja-kerja penaiktarafan sungai di AU2 yang masih dalam pembinaan menyebabkan laluan air menjadi sempit dan tersekat, mengakibatkan aliran deras air melimpahi kawasan sekitarnya dan laluan air sebelum tiba di tempat pembinaan tersebut. Maka kawasan rumah kami antara yang merasai bahananya.

Lumpur tebal tinggalan banjir
Persoalannnya, apakah projek berkenaan mengambil kira kesan yang mungkin timbul di kemudian hari? Moga pihak berkaitan terutamanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dapat melakukan post mortem yang telus dan tulus bagi mencari jalan yang terbaik daripada berulang kembali.

Dalam susah kami, jiran-jiran di belakang rumah dan yang berdekatan sungai lebih merasa peritnya. Rumah mereka habis ditenggalami air. Perkakas rumah dan pakaian tidak sempat diselamatkan. Sebahagiannya terpaksa dibuang atau dibersihkan. Begitu juga sebahagian sekolah rendah dan tadika bersebelahan rumah kami turut ditenggalami air.

Emm... dah ketentuan Illahi - qada' dan qadar yang perlu diterima dengan redha.

Insya ALLAH, di sebalik setiap kesulitan pasti ada kesenangan dan hikmahnya yang tersurat dan tersirat. Sekurang-kurangnya sebagai pengajaran kepada kami - "Usah diambil mudah akan setiap kemungkinan walaupun ianya tidak pernah berlaku."

Wednesday, August 21, 2013

Raya Cuti Sekolah

Tahun ini Cuti Penggal ke-3 persekolahan dipercepatkan di mana dilanjutkan daripada Cuti Aidil Fitri yang jatuh di penghujung minggu sebelumnya. Di sesetengah sekolah, mereka telahpun bercuti seawal minggu raya lagi, bermakna mereka dapat bercuti selama 2 minggu. Ini biasanya di negeri-negeri di mana cuti hujung minggunya pada hari Sabtu-Ahad. Manakala di negeri-negeri cuti hujung minggu pada hari Jumaat-Sabtu, pada hari Ahad dan Isnin mereka masih lagi bersekolah.

Di rumah Nenek Munah (adik Atuk Sulaiman)
Hari Raya pertama - kami bersolat sunat di Ulu Klang. Seterusnya beramah mesra dengan ahli keluarga Abah yang tidak putus-putus bertandang ke rumah seusai solat sunat sehinggalah ke petang.

Begitulah adat dan adabnya - yang tua dikunjungi, yang muda mendatangi. Ini kerana Abah adalah yang tertua di dalam keluarganya. Tambahan pula sebilangan besar adik beradik Abah seramai 10 orang bermastautin di sekitar Ampang dan KL.

Petangnya kami bergegas pula pulang ke kampung halaman Abah-Emak di Kg. Bukit Bangkong, bersebelahan kawasan pelancongan Bagan Lalang. Dua hari di kampung, sempatlah kami menyinggah di rumah Atuk Sulaiman (ayah kepada Emak yang kini berusia 99 tahun) dan juga beberapa rumah keluarga Abah-Emak yang 'wajib ziarah' (taraf nenek dan emak/bapa saudara).

Mana-mana rumah saudara-mara yang belum sempat disinggahi, Insya Allah akan diusahakan di sebelah malam ataupun hujung minggu. Begitulah lazimnya saban tahun bagi sanak saudara yang tinggal di Lembah Kelang dan sekitarnya.

Di rumah Nenek Su @ Batu Laut, Sepang
Hari-hari berikutnya anak-anak memerap di rumah sahaja sambil menyiapkan lambakan kerja kursus/ sekolah yang perlu disiapkan di sepanjang cuti sekolah. Alahai cikgu, kasihan kat para pelajar, musim raya pun masih dibebankan dengan kerja sekolah yang bertimbun.

Terpaksalah kami mengalah. Ada hikmahnya kerana kami dapat tunaikan puasa enam Syawal dengan aman.

Seminggu selepas raya, kami bertolak pulang ke Terengganu pula untuk menziarahi keluarga di sana. Sebenarnya projek 2 dalam 1 - beraya dan hantar anak-anak pulang ke asrama. Tidak semua rumah yang dihajati yang dapat dikunjungi kerana kekangan masa yang suntuk. Sekurang-kurangnya dapatlah kami menjenguk kesemua bapa dan emak saudara yang amat jarang ditemui.

Petang Sabtu, kami ke Besut menghantar Solehah pulang ke asrama di MRSM Kota Putera. Pagi Ahadnya pula kami bertolak ke Jempol, Negeri Sembilan menghantar Izzuddin ke MRSM Serting melalui LPT-Temerloh-Triang-Kemayan-Jempol. Lima jam perjalanan yang lancar - awalnya bimbang juga jalan sesak kerana hari Ahad adalah hari terakhir cuti sekolah.

Jika tidak silap ingat, inilah pertama kali kami merentasi Pahang ke Negeri Sembilan melalui Temerloh. Di pesisiran Sungai Pahang kelihatan deretan bangsal jualan ikan patin-talapia menjadi tumpuan pengemar ikan sungai - itulah ikon Temerloh. Cuma yang menghairankan, air sungainya bak teh tarik warnanya - macam tu ke selalunya ataupun bermusim?

Perjalanan hujung minggu yang amat memenatkan tetapi perlu dilalui demi memenuhi tuntutan ukhuwah dan tanggungjawab terhadap anak-anak.

Salam Aidil Fitri untuk semua. TaqabalaLlahu minna wa minkum.

Thursday, August 8, 2013

Salam Aidil Fitri 1434H

Salam Aidil Fitri untuk semua rakan-rakan penjenguk blog Salam Monash. Moga kalian semua sentiasa dirahmati dan diberkati Illahi. Ameen.

Ramadhan telahpun berlalu pergi, Syawal pula menjengahkan diri. 

Bersyukur kita kehadrat Illahi kerana diberikan kesempatan untuk menghirup udara Syawal. Paling utama kesyukuran yang teramat tulus kepadaNYA kerana kita berpeluang melalui hari demi hari bulan Ramadhan sehingga ke penghujungnya.

Sewajarnyalah kita bergembira menyambut kehadiran Syawal sebagai tanda kemenangan menundukkan gelora nafsu yang sentiasa cuba menunggangi kita. Justeru itu marilah kita bersama meraikannnya dengan menurut tuntutan syariat terutama dalam soal pergaulan, penjagaan waktu solat, pemakanan berhemah dan saling memperatkan sillaturahmi. Semoga dengannya kita beroleh keberkatan yang berpanjangan, dulu, kini dan selamanya. Insya ALLAH.

Persoalannya, bagaimana dengan Ramadhan yang kita tinggalkan? Apa yang ditekankan di sini adalah dari segi pengabdian diri - jiwa dan raga - terhadap al-Khaliq. Apakah segala azam dan tekad kita di awal Ramadhan tertunai dengan jayanya atau sebaliknya pula yang berlaku? Bagaimana dengan kesan didikan dan ujian yang dilalui selama sebulan, mampukah mengubah sempadan iman dan amal kita? 

Marilah bersama kita menghisabnya kerana tiada siapa yang dapat menilainya selain diri kita sendiri di samping penghisaban paling tepat pada ALLAH SWT.  

Sebanyak mana pun amal yang telah kita lakukan, pasti masih banyak kekurangan dan rasa terkilan di hati kerana tidak merebut sepenuhnya peluang yang terhidang. Lebih-lebih lagi amalan di 10 terakhir Ramadhan. Sesalan pun tidak berguna lagi kerana ianya telah pun meninggalkan kita, semakin menjauh sebelum tibanya Ramadhan tahun hadapan yang belum pasti kita temui atau pun tidak. Berdoalah moga kita dipertemukan lagi. Ameen.

Ramadhan yang pergi, biarkanlah ia pergi. Yang penting diri kita sendiri serta hari-hari yang mendatang. Selama sebulan kita berusaha menjadi hamba ALLAH yang terbaik, semata-mata mengharapkan ganjaran yang besar daripadaNYA. 

Setiap waktu solat, tidak kira sunat apatah lagi fardhu dijagai. Saban hari dan malam masjid/ surau dikunjungi. Al-Quran dibaca setiap hari, AlhamduliLLAH mampu dikhatami, pancaindera sentiasa diawasi, majlis ilmu dan tazkirah sentiasa dihadiri. Malah qiamullail dan iktikaf adalah rutin yang disantuni.

Untuk muhasabah diri, apakah dengan beredarnya Ramadhan, maka mampukah kita mengekalkan momentum harian ini, sekurang-kurangnya solat berjemaah di masjid/ surau (terutama kaum lelaki), Al-Quran dibaca setiap hari, kuliah dan ceramah tidak ditinggalkan, bangun malam menggantikan sahur dan puasa sunat menjadi amalan mingguan atau bulanan - jangan lupa puasa enam di bulan Syawal.

Inilah cabaran sebenar untuk kita sebagai tanda pengiktirafan bahawa didikan yang diterima dari Madrasah/ Universiti Ramadhan berjaya kita raih dengan jayanya.

Selamat Berhari Raya. Maaf Zahir dan Batin dari kami sekeluarga.