Sunday, October 31, 2010

Garage Sale

Garage Sale, adakalanya juga dikenali sebagai Yard Sale adalah merujuk kepada aktiviti jualan barangan terpakai atau tidak diperlukan lagi tetapi masih boleh digunakan yang dilakukan di halaman rumah atau di garaj bersebelahan. Kebiasaannya harga yang ditawarkan amat murah, adakalanya boleh diperolehi secara percuma sahaja.

Di Australia, khususnya di Melbourne dan di persekitaran Dandenong sendiri, aktiviti seumpamanya adalah amat lumrah di setiap hujung minggu, Sabtu dan Ahad.

Ketika di Adelaide dahulu dan juga di peringkat awal kami menetap di Melbourne, garage sale adalah tumpuan utama kami untuk mendapatkan barangan keperluan rumah. Dalam banyak keadaan, anak-anaklah yang paling untung - buku-buku, alat mainan dan aksesori semasa sentiasa diperolehi mereka.

Semalam (Sabtu) tiba giliran kami pula untuk mengadakan garage sale bertempat di laman hadapan rumah kami. Berkongsi bersama dengan Kak Norhana. Sofa dan meja makan antara barangan besarnya. Lain-lainnya adalah baju-baju, alatan dapur, kasut-kasut dan banyak lagi. Ianya dibuka dari jam 8:00 pagi sehingga 3:00 petang.

Malangnya, hanya sedikit sahaja barangan yang terjual. Para penyinggahnya juga tidak ramai. Kaum wanita hanya beberapa orang sahaja. Ahli keluarga berserta anak-anak pula langsung tidak kelihatan. Kebanyakan pengunjung adalah lelaki dewasa dengan tumpuan carian mereka pada peralatan berkebun, pertukangan, barangan elektrik dan seumpamanya.

Mungkin kerana keadaan cuaca yang kurang baik; hujan dan mendung dengan persekitaran yang sejuk, suhunya di bawah 20C. Mungkin juga kerana promosinya kurang bersungguh, sekadar signage di sekitar rumah sahaja dengan kedudukan rumah kami di hadapan jalan utama yang tiada hentian di tepi jalan.

Tidak mengapalah.

Kami bercadang akan mengadakan garage sale kali kedua di awal Disember nanti. Insya Allah ketika itu promosinya akan dilakukan lebih meluas lagi termasuk mengiklankannya di akhbar komuniti setempat dan juga disediakan signage yang lebih menarik perhatian di lokasi-lokasi yang lebih strategik. Diharapkan juga moga cuaca di musim panas ketika itu banyak membantu.

Apa-apa pun, sekurang-kurangnya ia menjadi satu pengalaman yang berharga untuk kami sekeluarga ketika di perantauan.

Friday, October 29, 2010

Menghitung Hari

Hari demi hari silih berganti. Semalam telah pun berlalu, hari ini terus berjalan, Insya Allah esok bakal ditempuhi. Begitu cepat masa berlalu.

Kini kami sedang menghitung hari-hari untuk pulang ke tanah air. Insya Allah perancangan kami adalah pada 11 Januari 2011 nanti. Ditolak hari ini, masih ada 74 hari lagi, tidak sampai pun 2 ½ bulan lagi untuk kami meninggalkan bumi Australia ini.

Kami merancang untuk keluar dari rumah sewa yang telah didiami hampir 3 ½ tahun ini di pertengahan bulan Disember ini. Manakala pungutan barangan untuk dibawa pulang menaiki kapal dijadualkan pada 9 Disember. Insya Allah kami menggunakan kontena, berkongsi bersama-sama beberapa orang rakan yang juga akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat ini.

Ini bermakna hanya tinggal kira-kira 40 hari lagi untuk kami uruskan kerja-kerja pembungkusan, pelupusan barangan yang tinggal dan pembersihan rumah sebelum diserahkan kembali kepada tuan rumah. Segalanya kelihatan mudah sahaja tetapi amat memenatkan. Apakan daya, semuanya perlu dilakukan sebaik mungkin.

Melihat sekeliling, masih banyak urusan yang belum selesai. Barang-barang berselerak di sana-sini. Sebilangannya telah pun dimasukkan ke dalam kotak, manakala sebahagiannya lagi masih digunakan lagi. Entah bila nak dikemaskan...

Manakala barangan yang tidak ingin dibawa pulang telah pun/ sedang diagih-agihkan kepada rakan-rakan sekampung samada secara percuma atau dijual dengan ‘harga kawan’. Mana-mana yang masih tinggal dikumpulkan untuk dijual melalui Garage Sale yang dijadualkan esok hari di halaman hadapan rumah kami. Selebihnya akan diadakan Garage Sale kali kedua pada awal Disember nanti, seterusnya dilupuskan jika masih berbaki. Harap-harap adalah pembelinya, cukuplah sebagai modal membeli kotak-kotak untuk pembungkusan.

Barangan kecil tidaklah merisaukan kami, mudah untuk dilupuskan tetapi barangan besar dan pukal seperti katil, tilam, set meja makan, sofa dan kereta amat membebankan sekiranya tidak terjual. Apa-apa pun kami amat berterima kasih kepada beberapa rakan yang telah pun membeli beberapa barangan besar seperti peti sejuk, mesin basuh, katil bujang dan televisyen.

Sebelum berangkat pulang, kami merancang untuk melancung ke New Zealand terlebih dahulu, suatu impian yang telah lama diidamkan. Kata orang, alang-alang dah dekat, baik diambil kesempatan. Insya Allah kami akan ke sana selama 2 minggu pada akhir bulan Disember nanti. Sekembalinya kami ke Melbourne, kami akan menumpang di rumah Dr. Asmadi di Keysborough sehingga tarikh penerbangan pulang nanti.

Wednesday, October 27, 2010

Minum Petang @ Heatherton

Pagi Ahad, selepas menghantar keluarga Cik Shuib ke Melbourne Airport, kami terus bergegas ke Dandenong Plaza dan Marmara Halal Butcher. Berbelanja sedikit sebanyak keperluan majlis minum petang ahli keluarga Kg Dandy di rumah kami pada sebelah petangnya.
Majlis 3 dalam 1 – makan/minum sambil berBBQ dan memilih barangan yang ingin kami lupuskan. Bolehlah dianggap sebagai majlis bersama terakhir di rumah sewa kami yang telah pun hampir 3 ½ tahun kami diami sebelum kami dijadualkan keluar pada 15/12/2010 nanti.
Cuaca di sebelah petangnya amat baik sekali. Matahari bersinar terang. AlhamduliLlah.
Melewati jam 5:00 petang, laman belakang mula dipenuhi rakan-rakan sekampung. Meja panjang yang disediakan dipenuhi pelbagai juadah ringan yang dibawa mereka. Kepulan asap BBQ menyelubungi kawasan sekitar. Aroma baunya membangkitkan selera. Lamb chop, ayam dan sosej menjadi rebutan. Begitulah lazimnya.
Turut sama diadakan sambutan ringkas hari jadi anak-anak, ibu dan bapa yang dilahirkan pada bulan Oktober. Happy Birthday, moga sentiasa dirahmati Allah SWT. Ameen.
Sisipan sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami (Minum Petang @ Heatherton).
Terbayang kegembiraan apabila dapat berjumpa sambil bertukar-tukar cerita dan khabar berita. Tidak kira ibu bapa mahupun anak-anak. Masing-masing dengan kelompok tersendiri.
Dalam keasyikan berinteraksi sesama sendiri, tanpa disedari rasa sejuk mula mencengkam kulit. Cahaya matahari pula mula menghilang. Petanda bahawa malam akan menjengah. Masing-masing bersalaman sambil melafazkan salam perpisahan untuk pulang ke rumah.
Terima kasih kepada semua kerana sudi datang. Terima kasih atas segalanya.

Tuesday, October 26, 2010

Berangkat Pulang

Kelmarin, Cik Shuib sekeluarga berlepas pulang ke tanah air. AlhamduliLlah mereka selamat tiba di LCCT kira-kira jam 4:00 petangnya.
Selama seminggu di Melbourne, mereka berkesempatan melancung ke Phillip Island, Great Ocean Road, Port Campbell, Brighton Beach dan Melbourne City. Tidak terkecuali berjalan-jalan di Dandenong, antaranya ke Lysterfield Park, Narre Warren, Dandenong Market, Dandenong Plaza dan kedai-kedai di sekitarnya.
Pasti banyak pengalaman dan pengetahuan yang dapat diambil pengajaran dan dihadami. Lain padang lain belalangnya. Lain lokasi lain pula situasinya. Demikianlah lumrahnya...
Dari pemerhatian kami; mereka amat kagum dengan keunikan, keindahan dan keteguhan seni reka setiap struktur binaan yang diketengahkan. Dari sekecil-kecil arca di tepi jalan sehinggalah bangunan yang tersergam megah di tengah-tengah kota metropolitan. Betapa sesuatu yang bernilai seni mendapat pengiktirafan sewajarnya dari pihak kerajaan dan komuniti setempat. Amat berbeza dari suasana penerimaan masyarakat di Malaysia.
Mereka juga diuji dengan cuaca panas dan sejuk yang tidak menentu. Ketika turun di Melbourne Airport seminggu lalu, cuacanya amat sejuk dengan suhu kira-kira 7C. Beberapa hari selepasnya, suhunya meningkat sehingga 30C. Ada harinya pula penurunan suhunya sedikit mendadak dari 29C kepada 18C, hanya berselisih sehari sahaja. Begitulah fenomena cuaca di Melbourne sekarang.
Ketika senggang masa yang ada, kami kerap bersembang tentang nilai-nilai hidup dan hala tuju setiap insan yang dipertanggungjawabkan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Dalam usaha meraih redhaNya, tanpa sedar ramai yang tersilap langkah. Ada yang terbabas dan ada yang terkhilaf. Pertelingkahan menjadi medan pilihan, sedangkan musyawarah dikesampingkan. Amat menyedihkan...
Sepanjang mereka berada di rumah kami, terasa begitu seronok sekali. Imranlah yang paling teruja. Atuk Shuib sentiasa didampinginya. Balik dari sekolah, Atuk Shuib yang dicarinya. Mengaji Iqra’, Atuk Shuiblah guru pilihannya. Ketika istirehat, Atuk Shuib juga tempat bermanjanya. Atuk Shuiblah tempat melepaskan rindunya pada Atuk Tauhid yang kini berada di Sydney, di rumah sepupu sebaya Imran, Adam Khaliq.
Kepada Cik Shuib, Cik Noriah, Roselina dan Adib Firdaus, diharapkan mereka bergembira selama berada di Melbourne. Mohon maaf atas setiap kekurangan dan layanan yang tidak seberapa. Sampaikan salam kami pada keluarga dan sanak saudara yang ditemui ketika di tanah air.

Thursday, October 21, 2010

Nasihat Orang Lama

Akhir-akhir ini ramai keluarga dari Malaysia yang berkunjung ke Melbourne. Bukan sahaja dari kalangan keluarga kami tetapi juga rakan-rakan seperantauan di Melbourne ini. Jika ada kesempatan kami akan menjemput mereka bertandang ke rumah kami. Lebih-lebih lagi jika yang datang itu adalah orang tua yang berstatus ibu atau bapa.
Memang seronok apabila dapat berjumpa mereka. Apatah lagi mendengar kisah kehidupan yang pernah mereka lalui, berserta pula ungkapan nasihat dan pandangan ikhlas sebagai pedoman untuk kami.
Malam semalam, kami menjemput mertua Dr. Norhana (Kak Hana), Tuan Haji Makmor dan isterinya makan malam di rumah kami, bersama-sama Kak Hana, Ain, Ina dan Adlan.
Hari ini mereka pulang ke tanah air. Telah hampir seminggu mereka berada di Melbourne, datang menziarahi menantunya serta cucu-cucu mereka. Kak Hana kini sedang mengikuti kursus 9 bulan di Monash University.
“Balik Malaysia nanti sambung kerja kat tempat lama ke?”, tanya Pakcik Makmor.
“Tak Pakcik... Saya dah berhenti. Kerja swasta tak boleh nak cuti panjang sampai 3 tahun. Saya cuma diberi cuti 6 bulan sahaja, lepas itu terus berhenti secara automatik”, jawabku sambil memandang ke wajah tuanya. Walaupun Pakcik Makmor dah berusia lebih 70 tahun tetapi masih tampak cergas dan bertenaga lagi.
“Insya Allah, mungkin saya buat bisnes tetapi belum tentu lagi apa bisnesnya”, tambahku lagi.
Termenung seketika Pakcik Makmor sebelum berkata,“Kalau buat bisnes, bermulalah dari kecil. Belajar selok belok berniaga dahulu”.
Tulus sekali ingatan yang diberikannya.
Tanpa menunggu lama, Pakcik Makmor menceritakan pengalamannya terlibat dalam dunia perniagaan. Suatu ketika dahulu keluarganya mempunyai syarikat percetakan yang besar di Negeri Sembilan. Malah pernah mempunyai cawangan di Shah Alam. Kegawatan ekonomi yang tercetus di tahun 1997 telah menyebabkan perniagaan mereka terjejas teruk dan terpaksa menanggung beban hutang yang besar.
Dalam rancak bercerita, Pakcik Makmor berpesan,“Kalau buat bisnes, jangan sesekali lupakan isteri. Susah senang biarlah bersama”. Berkali-kali diulanginya, diiringi nada sebak. Ada kisah sedih di sebaliknya.
“Insya Allah, Pakcik”, jawabku ringkas.
Dalam usia menghampiri ¾ abad, Pakcik Makmor masih lagi giat dalam perniagaan kiosk di Stesen Keretapi Nilai, Negeri Sembilan. Pendapatan hariannya cukup untuk menanggung diri dan isteri. Anak-anak semuanya telah pun berjaya dalam hidup.
“Pakcik buka kedai selepas Subuh, lepas itu tutup jam 10:00, pergi kebun, balik solat Zohor dan tidur. Jam 3:00 buka balik hingga jam 4:30, kemudian tutup sekejap untuk solat Asar. Sebelum waktu Maghrib ditutup dan dibuka selepasnya sehinggalah jam 10:30 malam”.
Demikian cerita Pakcik Makmor tanpa dipinta. Secara peribadi aku mengkagumi aturan hidup yang dilakukannya. Dalam kesibukan seharian mencari rezeki, masa untuk mendekatkan diri kepadaNya tidak diabaikan. Begitulah yang sewajarnya. Moga ianya menjadi ingatan padaku. Ameen.
Masa yang berlalu terasa begitu cepat sekali. Selepas solat Isyak berjemaah, mereka beredar pulang. Insya Allah, ketemu lagi di tanah air nanti.

Tuesday, October 19, 2010

Tetamu Malaysia : Famili Cik Shuib

Cik Shuib adalah adik kepada abah (mertua). Kini beliau di Melbourne, bersama-sama dengan isterinya, Cik Nor; anak perempuannya, Roselina dan anak saudara Cik Nor, Adib. Mereka tiba di Melbourne pada pagi Sabtu baru-baru ini (16/10/2010), berjalan-jalan makan angin sambil menziarahi kami di perantauan. Terima kasih atas ingatan.
Hari Sabtu, mereka banyak menghabiskan masa di rumah sahaja. Rasa penat dan mengantuk dalam penerbangan (jetlag) masih belum hilang lagi. Tambahan pula suhu di luar rumah sejuk, sekitar 15C disertai hujan dan angin. Di sebelah petangnya mereka dibawa berpusing-pusing sekitar Dandenong, sekadar mengenali secara umum kawasan di mana kami tinggal.
Hari Ahad pula kami sekeluarga sama-sama keluar ‘merayau’ di Melbourne City; antaranya ke Federation Square, menyusuri tepian Yarra River, menaiki Tram City Circle, ke Queen Victoria Market, Flagstaff Gardens, Harbourtown dan menyinggah solat di Masjid AFIC @ Jeffcot St. Masih banyak lagi tempat yang ingin dikunjungi tetapi kami kesuntukan masa. Malah masing-masing telah pun kepenatan.
Dua hari menginap di rumah kami, pada hari ketiga (semalam), mereka mengorak langkah lebih jauh dalam misi jalan-jalan makan angin, bermula dengan ke Phillip Island. Hari ini mereka menaiki feri melintasi Port Phillip Bay dari Sorrento ke Queenscliff, seterusnya menyusuri Great Ocean Road ke Port Campbell sebelum kembali ke Dandenong pada hari Khamis.
Penerbangan balik mereka dijadualkan pada hari Ahad ini (24/10/2010). Dengan dua hari yang masih tinggal (Jumaat dan Sabtu), Insya Allah, jika berkesempatan, mereka akan dibawa menjelajah ke beberapa tempat menarik di sekitar Dandenong.
Dengan keterbatasan masa yang ada, diharapkan setiap perancangan yang diatur terlaksana hendaknya.

Friday, October 15, 2010

Mohon Doakan Farid

[Nota: Saya mohon berbanyak kemaafan dari Sdr Farid dan Salwa serta keluarga mereka kerana menyiarkan kisah ini tanpa izin mereka. Saya merasa amat kasihan padanya dan merayu kepada semua pengunjung blog untuk sama-sama mendoakan kesembuhan kepada Farid. Terima kasih]
Sdr Farid Wajdi adalah rakan seperantauan kami di Melbourne ini. Beliau bersama anak lelakinya, Ziad mengiringi isterinya/ibunya, Salwa yang melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Monash University kampus Clayton sejak 1 ½ tahun lalu. Di sana jugalah mereka menetap. Farid, orangnya sentiasa ceria, mudah berkira dan aktif bermain bola sepak.
Wajah ceria Farid-Salwa sekeluarga ketika sambutan Eid Fitr 2010
Selepas 2 minggu Eid Fitri tahun ini berlalu, khabar duka diterima. Disahkan oleh doktor pakar, Farid mengidap penyakit Leukemia (barah/kanser sel darah putih) yang sangat agresif, dikenali sebagai Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL). Malah disahkan juga mempunyai gene penyakit yang ganjil dan serius, Philadelphia Chromosome.
Di peringkat awalnya, Farid dimasukkan ke Alfred Hospital sebelum dipindahkan ke Royal Melbourne Hospital untuk pemerhatian dan rawatan lanjut yang lebih terkawal. Kini beliau sedang giat menjalani rawatan kimoterapi.
Kami semua terutama rakan-rakan yang rapat dengan beliau dan keluarganya amat terkejut apabila mendengar berita duka tersebut. Berita yang amat tidak disangka-sangka. Begitulah takdir Illahi. Tiada siapa yang dapat menjangkanya.
Sememangnya Farid ada mengadu demam dan sakit/pening kepala sejak akhir bulan Ramadhan lagi tetapi ingatkan ianya sesuatu yang biasa sahaja. Memandangkan wabak demam, batuk dan selesema adalah sedang merebak akibat perubahan musim dan cuaca di awal musim bunga ini.
Pada hari Ahad baru-baru ini, bersama beberapa rakan Kg Dandy; Lajiman-Suraya, Ustaz Zain-Saliza, Dr. Asmadi, Rashdan dan Noh serta Ustaz Khairul-Dr. Intan dan Dr. Norliza dari Pascoe Vale; kami berkesempatan menziarahi Farid di Wad 5 North, Royal Melbourne Hospital.
Terasa sebak dan pilu melihat beliau terbaring lesu sambil dipicit kepalanya oleh isteri tersayang. Terbayang ketabahan di wajahnya. Beliau masih mampu tersenyum menyambut kami sambil bercerita tentang dirinya walaupun dalam keadaan kurang sedar, kesan daripada ubat penahan sakit yang diterimanya.
Di sampingnya Ziad yang berusia 4 tahun sedang tekun bermain computer game serta Sdr Anang Hudaya, rakan dari Clayton yang sentiasa mengambil berat keperluan beliau sekeluarga selama berada di hospital.
Sebelum berpisah, sempat saya memegang tangannya sambil membisikkan kata-kata semangat untuknya, selayaknya sebagai seorang Muslim. Moga beliau serta isteri tabah menghadapi dugaan Allah dan redha dengan ketentuanNya.
Kepada para pengunjung blog Salam Monash ini, marilah sama-sama kita mendoakan kesembuhan untuk Sdr Farid Wajdi. Walaupun kalian tidak mengenalinya tetapi doa kesejahteraan atas sesama saudara seIslam amatlah dituntut. Siapa tahu, doa kalian dimakbulkan oleh Allah SWT.
Ya Allah, tiada Tuhan selayaknya dipohon pertolongan selain dariMu. Ya Allah Ya Tuhan kami, sembuhkanlah hambaMu, Farid Wajdi dari penyakit yang dihidapinya. Sesungguhnya Engkau, Ya Allah Maha Penyembuh dan Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Ameen”.

Thursday, October 14, 2010

Alahai... Internet

Vodafone Hutchison Australia Pty Limited (lebih dikenali sebagai 3 (three)) adalah salah sebuah syarikat telekomunikasi yang terkenal di Australia. Produk utamanya adalah perkhidmatan mudah alih (mobile) internet dan telefon dengan tawaran pelbagai cap/plan dengan kadar tertentu.
Seawal tiba di Melbourne hampir 3 ½ tahun lalu, 3 (three) adalah pilihan kami. Sebabnya, caj bulanannya dirasakan lebih murah dan menjimatkan berkadar dengan penggunaan semasa kami, tidak kira telefon mahupun internet.
Bagi pelanggan telefon, dengan $29 Cap (kontrak 2 tahun), kami beroleh hand phone percuma. Tambahan pula majoriti rakan-rakan menggunakan 3, secara automatik tiada caj untuk panggilan sesama 3. Itulah yang menariknya. Sehingga kini walaupun telah melepasi kontrak 2 tahun, tiada masalah besar yang timbul.
Manakala bagi internet, lain pula ceritanya. Dua tahun pertama sehingga tamat kontrak, segalanya OK, tiada masalah.
Selepas 2 tahun, kami menggunakan 3 Mobile Broadband kepunyaan rakan yang pulang ke tanah air yang mendapat kadar caj istimewa, Half-Price 24 Month $29 Plan. Beliau hanya setahun di Melbourne, jadi baki 12 bulan lagi kami teruskan. Mobile Broadband milik kami ditamatkan perkhidmatannya. Kapasiti broadbandnya sama sahaja dengan apa yang kami gunakan sebelumnya.
Selepas beberapa bulan menggunakannya, masalah caj berlebihan mula timbul. Apabila dihubungi Customer Care (pusatnya di India), caj bulanan $14.50 telah ditukarkan kepada $29/bulan. Aduan telah dibuat tetapi tiada apa-apa perubahan dilakukan. Nak mengadu ke Kedai 3 pun tiada gunanya kerana mereka cuma pengedar/penjual sahaja.
Lebih menyakitkan hati, dengan kadar penggunaan yang setara seperti sebelumnya,belum pun sampai sebulan telah dikenakan caj melebihi had yang melambung tinggi, 10c/MB berbanding 1c/MB sebelum ini. Seolah-olah kaedah pengiraan penggunaannya telah berubah. Aduan juga telah dilakukan melalui Customer Care tetapi mereka tetap mempertahankannya. Benar-benar menyakitkan hati.
Boleh sahaja ditukar kepada ISP lain dengan kapasiti broadband yang lebih besar tetapi tiada faedahnya kerana kontrak baru (biasanya 2 tahun) perlu ditandatangani, sedangkan tidak sampai pun 3 bulan lagi kami akan berada di Australia.
Apa boleh buat... Nak jimatkan belanja, terpaksalah kami hadkan penggunaannya. Terpaksalah masing-masing ‘berpuasa’ internet untuk beberapa hari.
Sabar ajalah... Memang semuanya boleh bersabar kecuali si bongsu, Imran yang adakalanya tidak dapat menerima keadaan, ‘sehari tanpa internet bagaikan hilang sesuatu yang disayangi’.
Nampak gayanya balik ke Malaysia nanti kami perlu lebih berhati-hati agar pengalaman seumpamanya tidak berulang lagi.

Friday, October 8, 2010

Panas Menceriakan

Beberapa hari ini cuaca di Melbourne amat baik sekali. Suhu maksimum melewati 20 darjah Celcius (20C). Cuma semalam ianya turun kepada 17C. Begitu juga hari ini, suhunya dijangkakan antara 3C hingga 16C.
Sejuk sedikit tetapi limpahan cahaya matahari benar-benar menceriakan persekitaran. Esok dan hari-hari menjelang hujung minggu, diramalkan cuaca panas dengan suhu yang kembali meningkat. AlhamduliLlah.
Demikianlah sebahagian daripada fenomena alam di awal musim bunga ini.
Melihatkan pancaran cahaya membuatkan hati merasa seronok. Ketika panahan cahayanya menyentuh kulit, nyamannya amat terasa. Hilang rasa sejuk yang menyelimuti diri.
Teringat beberapa tahun lepas, ketika sang matahari mula bersinar, kami bersantai tidur di beranda belakang rumah. Kesejukan dan kesuraman di musim sejuk berganti kepanasan dan keceriaan yang menggembirakan.
Putaran masa dan musim mengubah segalanya. Betapa kerdilnya diri ini di sebalik kebesaran dan kekuasaan Allah SWT yang tidak terbanding.
SubhanaLlah... AlhamduliLlah... LaailahaiLlah... Allahu Akbar...

Monday, October 4, 2010

Pengggal Ke-4/2010

Hari ini anak-anak mula kembali bersekolah setelah 2 minggu bercuti. Maka bermulalah Penggal Ke-4 persekolahan di Victoria.
Penggal ini adalah sesi terakhir persekolahan bagi tahun 2010 ini, juga terakhir untuk anak-anak kami; Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Imran bersekolah di Victoria. Insya Allah awal tahun hadapan kami sekeluarga akan kembali ke tanah air.
Selama 2 minggu bercuti, diperhatikan anak-anak begitu seronok sekali.
Di minggu pertama, mereka di bawa berjalan-jalan makan angin melalui Great Ocean Road ke Port Campbell dan Warrnambool; menunggang kuda di Blazing Saddle, Aireys Inlet; bermain dengan kangaroo di Phillip Island dan menghayati keindahan bungaan tulip di Silvan.
Di minggu kedua mereka lebih banyak masa di rumah. Hampir saban petang mereka keluar bermain dan ada ketikanya tidur (sleepover) bersama rakan-rakan sebaya. Di masa terluang lain, mereka dibawa ke Dandenong Library untuk meminjam buku dan DVD kegemaran.
Di sebalik keseronokan bercuti, mereka juga kelihatan seronok untuk kembali ke sekolah. Tidak sabar untuk bertemu lain-lain rakan sekelas, guru dan juga sistem pembelajaran yang menyeronokkan.

Daylight Saving Melbourne

Bermula jam 2:00 pagi semalam (Ahad), waktu (jam) di Victoria, Australia telah dianjakkan ke hadapan sejam lebih awal. Jika sebelum ini waktunya 5:00 pagi, kini ia menjadi 6:00 pagi. Ianya akan terus berkekalan sehinggalah awal April, 2011 nanti.
Anjakan masa sejam awal ini bukan hanya melibatkan Victoria sahaja tetapi 3 lagi negeri di bahagian selatan Australia yang turut terlibat; New South Wales (termasuk ibu negara; Canberra), South Australia dan Tasmania. Cuma masanya sedikit berbeza mengikut kiraan GMT masing-masing.
Perubahan waktu/jam ini dinamakan sebagai Daylight Saving Time atau Summer Time yang dilaksanakan setiap tahun. Tujuannya adalah untuk mengseimbangkan waktu siang yang semakin memanjang dengan aktiviti/urusan harian. Dengan kata lain, waktu terbit matahari menjelang tibanya musim panas semakin awal berbanding sebelum ini.
Western Australia, Queensland dan Northern Territory tidak terlibat dengan perubahan masa ini, waktu (jam)nya kekal seperti biasa. Ini disebabkan kedudukannya di utara benua Australia, mendekat kepada kawasan Khatulistiwa di mana tidak terlibat secara langsung dengan perubahan 4 musim yang ketara (panas, luruh, sejuk dan bunga).
Dengan perubahan waktu ini menjadikan jarak waktu Victoria dengan Malaysia berubah kepada 3 jam lebih awal berbanding 2 jam sebelumnya. Jika sebelum ini jam 9:00 di Malaysia menyamai jam 11:00 di Victoria, kini ia menjadi jam 12:00 di Victoria. Begitulah sebaliknya.
Bagi anak-anak kami, mereka amat menyukainya kerana dapat menunaikan solat Zohor di rumah. Sebelum ini ianya perlu dilakukan di sekolah dengan kemudahan penggunaan bilik dan ambilan wuduk yang kurang selesa. Tambahan pula mereka mempunyai masa yang lebih panjang di sebalik petang. Begitu juga bagi yang berkerja.
Setiap kali bermulanya Daylight Saving, pasti akan ada sedikit sebanyak kekeliruan dalam urusan seharian. Ramai yang tidak perasan dan masih mengikut waktu seperti hari-hari sebelumnya. Banyak temujanji yang terlewat dan adakala menimbulkan keributan. Namun semuanya disambut dengan senyuman dan kemaafan.
Ada hikmahnya Daylight Saving Time ini. Sewajarnyalah kita bersyukur kepada Allah SWT.

Saturday, October 2, 2010

Teseelaar Tulip Festival

Pada hari Ahad, kami berehat sehari. Hari Isnin, para tamu dibawa ke Tesselaar Tulip Festival di Silvan, Monbulk; kira-kira 30 km dari rumah kami. Ianya adalah ladang bunga tulip yang hanya dibuka sebulan sahaja dalam setahun iaitu ketika bunga-bungaan sedang berkembang. Untuk tahun ini, ianya dibuka dari 16- Sept hingga 13-Okt.
Bagi peminat bunga, ianya bagaikan berada dalam ‘syurga nan mengasyikkan’ (nota diri : itu baru sekelumit dari keindahan syurga yang abadi).

Tidak disangka pula bayaran masuk pada setiap hari Isnin adalah harga istimewa, $10/dewasa berbanding $18/dewasa pada hari-hari lain. Bertuahlah kami. Bagi kanak-kanak di bawah 16 tahun adalah percuma setiap hari.
Sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami (Teseelaar Tulip Festival).

Melangkah masuk ke kawasan ladang, dari kejauhan kelihatan saujana mata memandang deretan batasan bunga tulip yang pelbagai warna dan jenis. Amat cantik sekali. SubhanaLlah. Para pengunjungnya tidaklah ramai berbanding komen rakan yang pergi sehari sebelumnya,”...ramai orang dari bunganya”.

Penjelajahan kami bermula dari kawasan atas (taman) yang menempatkan kelompok tulip mengikut asal-usul dan konsepnya seperti Belanda, Eropah, Turki dan lain-lain. Keindahan setiap kelompok bunga amat mempesona dan mengasyikkan. Tidak henti-henti kamera berklip klap di hampir setiap bunga yang disinggahi. Anak-anak pula dari awal lagi telahpun hilang, berkejar mereka ke sana sini mencari 7 Patung Kenik (Gnomes) yang tersembunyi di merata ceruk taman.

Disangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari. Zahirnya itulah yang dialami. Terpaksalah kami berteduh di bawah khemah yang disediakan menanti hujan berhenti sambil makan bekalan yang dibawa.

Bahagian taman telahpun dijelajahi, tinggal bahagian bawah ladang dengan lautan batas bunga yang belum dikunjungi. Kami tidak boleh lama, perlu segera beredar. Ketika hujan sedikit teduh, sempatlah kami ke bahagian bawah yang telahpun lecak tanahnya. Tidak lama di situ, kami terus bergerak pulang mengejar waktu Zohor yang masih berbaki.

Hajatnya kami ingin berhenti di mana-mana taman yang berdekatan tetapi terpaksa dibatalkan. Hujannya masih turun. Rumput dan tanah pula basah tidak memungkinkan untuk kami bersolat dalam keadaan seumpamanya. AlhamduliLlah segalanya dipermudahkanNya.

Phillip Island Wildlife Park

Penat 3 hari menyusuri Great Ocean Road masih lagi terasa. Keesokan harinya (Sabtu), kami bergerak pula ke Phillip Island yang terletak kira-kira 100 km dari Dandenong. Tumpuan kami di Phillip Island adalah ke Wildlife Park untuk memberi peluang kepada tetamu berlima (Cik Kamal, Kak Ijan, Ros, Fizi dan Wandah) merasai pengalaman dikerumuni oleh kangaroo sambil memberi makan dari tangan sendiri.
Koleksi sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami (Phillip Island Wildlife Park).

Kami bertolak dari Dandenong sesudah solat Zohor. AlhamduliLlah cuacanya baik sekali. Singgahan pertama kami adalah di Information Centre, seterusnya ke Panny’s Chocolate Factory yang hanya terletak di seberang jalannya. Kami tidak masuk melawat ke dalam kilang kerana kesuntukan masa. Sekadar berlegar-legar di kedai coklat sambil merasa sample yang disediakan serta membeli sepaket-dua coklat untuk bekalan dan santapan.

Dari Chocolate Factory, kami terus ke Phillip Island Wildlife Park. Masing-masing tidak sabar lagi untuk bersua muka dengan kangaroo dan lain-lain haiwan yang terdapat di dalamnya. Sebahagian besar haiwan diletakkan di dalam kandang/pagar/reban, antaranya koala, cicak, echidna, bandicoot, quiol, wombat, kangaroo merah, dingo, tasmanian devil, ular dan pelbagai jenis burung. Manakala haiwan yang dilepas bebas pula antaranya kangaroo kelabu, wallaby (kangaroo kecil), itik, angsa dan juga emu.

Melewati setiap haiwan yang dikurung terlintas rasa kasihan dan keinsafan. Renungan tajam mereka kepada setiap pengunjung bagaikan satu luahan dan permintaan, “Bebaskanlah kami. Tersiksa kami terkurung”. Terdetik di hati, “Betapa bertuahnya makhluk lain yang dapat lepas bebas mengikut naluri tersendiri”. Apakan daya...

Menghampiri pintu ke wetland/bush area, beberapa ekor kangaroo mula mendekati kami. Jinak sekali. Disuakan mulut meminta disuapkan makanan yang dibekalkan oleh petugas di kaunter masuk. Rasa takut yang timbul pada awalnya tanpa disedari hilang berganti rasa seronok. Sekejap sahaja makanan yang dibawa habis apabila semakin banyak kangaroo datang berkerumun.

Ketika kunjungan dahulu, Imran sedikit penakut tetapi kini begitu berani sekali. Begitu juga Wandah yang pertama kali bersua kangaroo. Yang lain-lain tiada masalahnya. Peluang bergambar tidak dilepaskan.

Sebelum beredar keluar, kami berjalan di wetland, melalui denai yang dikelilingi kolam berair dan pepohonan (bakau?) tidak berdaun. Suasana yang tenang dan aman. Di celah-celah pokok, banyak sekali kelihatan kangaroo dan wallaby sedang berehat. Mungkin telahpun kekenyangan melayan para pengunjung sedari pagi lagi.

Kami beredar dari Wildlife Park sekitar jam 5:00 petang. Kami berhenti di A Maze ‘N Thing untuk makan dan solat qasar Asar. Seterusnya kami singgah di tempat letak kereta San Remo untuk solat jamak Maghrib-Isyak sebelum pulang ke Dandenong.
Sememangnya timbul rasa tidak selesa bersolat seumpamanya dengan dikelilingi hiruk pikuk suara jeritan dari premis hiburan berdekatan. Namun apakan daya, itu sahaja pilihan yang ada. Paling utama perintah Allah SWT dapat ditunaikan. Moga dirahmatiNya. Ameen.