Tuesday, August 26, 2014

Pengantin Baru - 'Alimi dan Athirah

Bersama ahli keluarga Ummi dan Walid
Pada hujung minggu baru-baru ini berlangsungnya Walimatul Urus anak saudara kami, Muhammad 'Alimi Fahmi Zakaria iaitu anak ke-3 kepada Kak Long Terengganu. 

Majlis akad nikah telah diadakan di rumah pengantin perempuan, Nur Athirah Saidon di Gambang, Pahang pada hari Jumaat malam Sabtu, diikuti kenduri kahwin pada keesokan harinya.

TAHNIAH kepada kedua pengantin... Sesungguhnya isteri mahupun suami dan anak-anak adalah anugerah serta amanah ALLAH SWT yang akan dipersoalkan di kemudian hari. Moga dikurniakan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat. Ameen.

Juga TAHNIAH kepada Kak Long dan Abang Ya atas kurniaan menantu pertama (langkah bendul 2 abang.. ada denda persalinan ke?...8). Diharapkan keceriaan dan rahmat ALLAH SWT sentiasa melingkungi kehidupan seharian. Ameen.

Monday, August 25, 2014

100 Tahun Usianya

Iddin bersama Oyang Leman
Hari ini, 25/08/2014, genap seabad (100 tahun) usia datuk kepada Laili, Hj. Sulaiman bin Hj. Harun (Atuk Leman).

Satu usia yang jarang-jarang dapat dirasai oleh kebanyakan orang. Ianya satu anugerah Illahi kepada hamba-hambaNYA yang terpilih. AlhamduliLlah.

Atuk Leman dianugerahkan 10 orang anak. Darinya dikurniakan deretan cucu-cicit yang telah menjangkau sekitar 150 orang.

Kini kesihatan Atuk Leman kurang stabil. Pelbagai penyakit yang dihidapinya; antaranya sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi; boleh datang secara tiba-tiba dek daya ketahanan badan yang semakin lemah.

Pergerakannya juga terbatas. Itu pun dalam setahun ini sahaja tampak perubahannnya. Sebelum ini atuk Leman kelihatan kuat dan cergas walaupun sesekali penyakitnya datang menyerang.

Namun semangat Atuk Leman amat luar biasa. Dengan daya ingatannya yang masih kuat, segalanya diterima penuh redha dan sentiasa berserah kepada ALLAH SWT. Itulah sifat perhambaan yang amat hebat yang sedia sebati di jiwa.

Moga Atuk @ Oyang Leman sentiasa dirahmati ALLAH SWT di dunia dan di akhirat. Ameen.

Sunday, August 24, 2014

Iddin Kini Di California

AlhamduliLlah, setinggi kesyukuran ke hadrat Illahi... Iddin selamat tiba di San Francisco International Airport (SFIA), California mengikut jadual; sekitar jam 8:00 pagi waktu tempatan (11:00 malam waktu Malaysia) pada hari Sabtu.

Satu perjalanan yang amat memenatkan. Iddin dan rakan-rakan sepengajiannya berlepas dari KLIA menaiki Penerbangan Malaysia pada awal pagi semalam (Sabtu, 23/08/2014) jam 01:25 pagi. Tiba di Taipei, Taiwan 5 jam selepasnya di mana mereka transit kira-kira 5 jam sebelum menaiki United Airlines untuk penerbangan selama 12 jam ke San Francisco. Seterusnya ke rumah penginapan yang disediakan di Sunnyvale, kira-kira 30 batu dari SFIA (nota: US guna batu, bukannya kilometer) tetapi tidak jauh daripada Foothill College.

Bermula dari KLIA hingga ke SFIA, hampir 24 jam mereka berada dalam perjalanan. Dari segi jarak masa, menariknya California lewat 15 jam daripada Malaysia. Bermakna, mereka bertolak dari KL pada pagi Sabtu, mereka tiba di SF juga pada pagi Sabtu, seolah-olah hanya 6 1/2 jam sahaja masa yang diambil, sedangkan mereka telahpun hampir sehari semalam berdekam dalam perjalanan.

Setibanya di San Francisco (kredit: FB Izzuddin)
Walaupun jauh di mata, namun setiap perkembangan terkini cepat sahaja diterima selagi terdapat kemudahan Wifi, WhatsApp dan Facebook (dan seumpamanya), antaranya maklumat perlepasan di KLIA, tiba di Taipei, berlepas ke USA, selamat mendarat di San Francisco dan suasana penginapan di Sunnyvale. AlhamduliLlah. 

Ketika menghantar Iddin ke KLIA, kami tiba sekitar jam 8:45 malam. Rakan-rakan Iddin yang seangkatan dengannya pun mulai tiba bersama ahli keluarga masing-masing.

Tidak terkecuali, rakan-rakan sepengajian mereka ketika di alama persekolahan dahulu. Begitu juga Iddin di mana belasan rakan-rakan sekolah di MRSM Serting dahulu yang kini berada di institusi pengajian tempatan turut datang merai dan melepaskan keberangkatan Iddin dan seorang lagi rakan mereka, Ridhuan yang turut bersama Iddin ke California. Itulah nilai sebuah persahabatan.

Sekitar jam 9:30 malam, taklimat ringkas diberikan oleh petugas MARA, diikuti dengan pendaftaran masuk (check-in) di kaunter bagasi. Selepas itu mereka dilepaskan untuk bersama keluarga sehinggalah jam 11:40 malam mereka berkumpul kembali untuk mendengar taklimat penerbangan, agihan passport dan boarding pass berserta pembahagian kumpulan.

Bersama sebahagian keluarga di KLIA
Kami dan ahli keluarga yang menghantar termasuk atuk dan nenek, ibu dan bapa saudara serta anak-anak sepupu-sepapat tidak dapat menunggu lama. Masing-masing tampak keletihan dan rona ngantuk mulai menguasai diri. Menghampiri jam 12:00 tengah malam, kami mula beredar meninggalkan KLIA.

Sebelum berpisah, masing-masing menitipkan pesanan dan ingatan untuk Iddin sebagai panduan dan pakaian hidup ketika berada di perantauan. Paling utama, jangan tinggal solat, usahakan solat berjemaah dan jaga diri dengan akhlak yang baik.

Keberangkatan Iddin ke bumi asing ibarat kami menghantar seorang al-Fateh yang bakal menegakkan kebenaran atas kebatilan. Tidak dinafikan, rasa amat berat untuk berpisah tetapi itulah pengorbanan yang perlu dilalui. Apatah lagi ianya satu jihad fiisabiliLlah dalam konteks menuntut ilmu.

Moga Iddin sentiasa dipelihara dan dirahmati oleh ALLAH SWT serta sentiasa istiqamah di bawah keredhaanNYA. Moga Iddin akan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Ameen.

Thursday, August 21, 2014

Iddin Ke California

Selepas tamat era persekolahan di MRSM Serting, anak sulung kami, Muhammad Izzuddin @ Iddin telah mengikuti MARA American Degree Preparatory Program (MADPP) selama hampir 6 bulan bertempat di Kolej Kemahiran Tinggi Ledang (KKTM).

Langkah seterusnya adalah terbang ke bumi Uncle Sam, khususnya California untuk memulakan pengajian awalan dalam bidang Biologi di Foothill College sebelum melangkah ke universiti terpilih di California bagi melengkapkan pengajian ijazah pertamanya.

Inshaa ALLAH, Iddin akan berlepas ke USA pada awal pagi Sabtu ini, 23/08/2014, kira-kira jam 01:25 pagi.

Terdetik kerisauan di lubuk hati kami kerana terpaksa berpisah jauh. Berada di bumi asing tidak sama keadaannya berada di tanah air sendiri. Perbezaan budaya, gaya hidup, sikap masyarakat, persekitaran dan pelbagai kelainan lazimnya boleh menimbulkan bermacam masalah. Tersilap langkah celaru jadinya. Di sinilah perlu kepada ketahanan diri terutama dari segi mental. Lebih-lebih lagi bagi seorang Muslim di usia remaja. Moga Iddin sentiasa di bawah lindungan dan rahmat ALLAH SWT. Ameen.

Tidak dinafikan, Iddin pernah berkelana di bumi kangaroo selama hampir 4 tahun. Akan tetapi ketika itu Iddin bersama ibu dan ayah serta ahli keluarga lain. Namun diharapkan banyak perkara yang dilalui dan dipelajari semasa di Australia dahulu dapat mematangkan diri untuk menghadapi dunia asing di USA pula. Inshaa ALLAH.

Persekitaran Foothill College
Justeru itu, alangkah baiknya jika ada insan yang lebih dewasa dan lebih berpengalaman dapat membimbing dan 'tolong tengok-tengokkan'.

Sememangnya akan kedapatan senior yang sedia membantu. Namun adalah lebih baik lagi jika Iddin dan rakan-rakan seangkatannya dapat mengenali dengan lebih dekat lagi rakyat Malaysia yang menetap di sana. Pengalaman kami ketika di Adelaide dan Melbourne menunjukkan rakyat Malaysia di perantauan amat baik dan amat suka membantu terutama para pelajar baru dari tanah air.

Dek kerana itulah kami cuba menghubungi salah seorang pengunjung setia laman Salam Monash ini yang membuat capaian daripada Mountain View, California - sekitar 5 km sahaja ke La Altos Hills di mana terletaknya Foothill College (rujuk posting sebelum ini). Sehingga kini kami belum mendapat maklum balas daripadanya. Mungkin beliau belum mendapat mesej daripada kami. Kami masih setia menunggu.

Begitu juga jika ada penjenguk laman ini yang kini tinggal tidak jauh daripada Foothill College ataupun mempunyai ahli keluarga dan rakan taulan di sana yang tulus ingin membantu, amatlah dialu-alukan. Hanya kepada ALLAH SWT selayaknya dirafakkan rasa syukur dan selayaknya memberikan balasan.

Thursday, August 14, 2014

Cerita Cinta Ahmad Ammar - RM20 sahaja

Buku Cerita Cinta Ahmad Ammar keluaran Karya Bistari ini telah mendapat sambutan hebat ketika kami membuat jualan di Ulu Kelang. Istimewanya buku ini adalah ianya ditulis oleh mereka yang dekat dengan arwah Ahmad Ammar; antaranya ibu, ayah, kakak, ipar serta rakan kenalan yang amat rapat dalam hidupnya.

Stok terkini di dalam simpanan kami hanya tinggal kira-kira 10 buah sahaja lagi. Jadi sebagai jualan Penghabisan Stok, kami tawarkan potongan RM 3.00 daripada harga asal. Jangan lepaskan peluang keemasan ini. Siapa cepat dia dapat.
 
Harga Asal : RM 23.00

Harga Tawaran : RM 20.00 
                                             (caj pos RM 5.00 = RM25.00)
  
Kaedah Pembayaran:
  
1. - Maybank acc. #: 1644 1800 2912 (masukkan nama pembeli)
    - Caj pos adalah RM5.00, jumlah harga RM 25.00
    - Maklumkan pembayaran melalui emel: ropidi567@gmail.com
      atau SMS 019-655 0567 dgn nama, alamat pos & no telefon.
    - Penghantaran dilakukan setelah maklumat bayaran diterima.

2. - Tunai - bayar ketika serahan tangan (RM 20.00)
    - Hubungi saya (Ropidi) 019-655 0567
  
Sinopsis

Ahmad Ammar, sebaris nama yang tidak dikenali semasa hayat, namun menjadi kebanggaan selepas pemergiannya. Tiada yang diinginkan melainkan sebuah syahid. Tiada yang diperlukan selain redha ALLAH dan tiada yang lebih mengujakan selain bertemu bidadari-MU di syurga abadi. Alangkah bertuah ayahanda dan bonda dapat melihat perjalanan akhir anakanda tercinta dengan sebuah pengakhiran yang baik.

Subhanallah... indahnya rencana-MU ALLAH. Benar, ia bukan kebetulan. Engkau pergi ketika membawa misi ALLAH dan Rasul. Moga Jannah jua sebagai ganti. Tenanglah adinda Ammar di sana. Tabahlah duhai ibu bapa dan keluarga. Wahai sahabat seperjuangan yang masih dalam kelana ilmu di Turki, jangan patah hati. Perjuangan kita perlu diteruskan. Impian Ammar adalah realiti kita.

Jasad Ahmad Ammar telah disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan menghadap Laut Golden Horn yang menempatkan lebih 60 jasad para sahabat nabi (termasuk Saidina Abu Ayub al-Ansari), auliya', panglima Uthmaniyyah dan orang-orang kenamaan di Turki. Dan jasad Ahmad Ammar menjadi rakyat Malaysia pertama yang dikebumikan di situ.

Moga roh Ahmad Ammar sentiasa dirahmati ALLAH SWT dan ditempatkan di Jannah bersama para syuhada'. Ameen.

Tuesday, August 12, 2014

Pengunjung Dari Mountain View

Assalaamualaikum warahmatuLlahi wabarakaatuh.

Menyemak senarai Live Traffic bagi blog Salam Monash, hampir setiap hari pasti kedapatan seorang pengunjung dari Mountain View, California, Amerika Syarikat.

Salam perkenalan kepada pengunjung berkenaan dan sekalung terima kasih atas kesetiaan anda (tuan/puan***) menyinggah di Salam Monash. 

Ingin sekali kami mengenali anda. Harap dapat hubungi segera kami melalui emel: ropidi567@gmail.com. Harap tidak dihampakan.

*** Tidak terkecuali kepada para pengunjung setia lain. Tanpa anda semua tiada ertinya blog ini. Terima kasih daun keladi.

JazakaLlahukhairan kathira.

ropidi/laili.

Wednesday, August 6, 2014

Muhasabah Pasca Ramadhan

[Muhasabah diri, lebih kepada diri sendiri. Moga ada manafaat bersama]

Rasanya belum terlewat untuk kami lafazkan ucapan SELAMAT HARI RAYA EID FITR berserta MAAF ZAHIR dan BATIN atas segala salah silap dan dosa kami pada para penjenguk blog Salam Monash. Moga kita semua sentiasa dirahmati oleh ALLAH SWT - dulu, kini dan selamanya. Ameen.

Di dalam kesibukan dan keseronokan kita menyambut Syawal, usahlah kita lupa didikan yang kita terima selama sebulan di bulan Ramadhan. Marilah sama-sama kita merenung ke dalam diri kita sendiri sambil menilai sejauh mana Ramadhan berjaya membina ketaqwaan di jiwa kerana itulah matlamat utama pengisian Ramadhan.

Bagaimana dengan puasa enam hari kita di bulan Syawal? Kita sedia maklum, ganjarannya amat besar - apabila disekalikan dengan Ramadhan, ianya umpama berpuasa sepanjang tahun. Tidak terliurkan kita dengannya? 

Ingatlah... walaupun habuannya tidak kelihatan di dunia tetapi amat besar gunanya ketika di akhirat. Apatah lagi jika dapat menyelamatkan kita dari siksaan api neraka. Usahlah bertangguh. Marilah kita bersegera melakukannnya sebelum tersedar Syawal telah pun tiba di penghujungnya.

Ada baiknya amalan puasa sunat ini kita teruskan selepas tamatnya puasa enam hari Syawal ini, antaranya puasa sunat Isnin-Khamis, 3 hari di pertengahan bulan Islam dan hari-hari tertentu di bulan Islam. Malah bagi yang berkemampuan, elok sekali jika dapat berpuasa sunat Nabi Daud as yang amat digemari oleh ALLAH SWT iaitu puasa selang sehari.

Sebelum terlupa, adalah diingatkan kepada yang perlu menggantikan puasa, janganlah bertangguh. Lakukan dengan segera terutama bagi kaum wanita. Didapati ramai wanita yang terkejar-kejar mengqadhakan puasa mereka apabila telah hampir dengan Ramadhan sehingga ada yang terpaksa membayar fidyah/denda. Hairan juga, tidak cukupkah hari-hari yang dianugerahkan selama setahun setelah ditolak hari-hari yang ditimpa keuzuran syarie'? Kata ustaz, ianya berdosa kerana melenggahkan yang wajib mengatasi urusan harian yang harus. Beringatlah sebelum terlambat...

Sebagai seorang Muslim, sudah pasti kita tidak meninggalkan yang fardhu terutama solat. Akan tetapi bagaimana dengan solat berjemaah kita di masjid/surau terutama bagi kaum lelaki? Ketika Ramadhan, kita istiqamah bersolat di masjid/surau, kini bagaimana pula?

Ingatlah... RasuluLlah SAW amat memberatkan solat berjemaah sehingga sanggup membakar rumah umatnya yang tidak berjemaah di masjid. Kita kata kita sayangkan Nabi SAW tetapi kita engkar akan perintahnya. Maka layakkah kita mendapat syafaat Baginda SAW ketika berhempas pulas di Padang Mahsyar?

Bagaimana pula dengan bangun malam kita? Di bulan Ramadhan kita dilatih bangun bersahur. Biasanya kita ambil peluang untuk bersolat sunat. Alangkah baiknya amalan bangun malam ini kita teruskan dengan bersolat sunat Tahajjud, Taubat, Hajat dan Witir sambil bermunajat kepadaNYA. Jika berkesempatan tunaikan sama solat sunat Tasbih.

Di samping itu, bagaimana pula dengan rutin Ramadhan dalam membaca al-Quran? Teruskanlah amalan mulia ini. Sebaiknya selepas setiap solat fardhu bacalah beberapa lembaran mushaf secara konsisten. Lebih baik lagi jika dapat menghayati (tadabbur) makna dan pengajaran ayat-ayat ALLAH tersebut dengan turut sama membaca terjemahan dan jika mampu bersekali dengan tafsirnya. Inshaa ALLAH kita akan lebih terkesan untuk mengamalkan segala suruhan dan laranganNYA.

Ketika Ramadhan, tanpa disedari tangan kita begitu mudah menghulurkan sedekah. Bagaimana pula sekarang? Sewajarnya sifat pemurahnya ini terus dikekalkan selamanya. Bagaimana pula dengan minat kita dengan majlis-majlis ilmu? Marilah kita sentiasa mengimarahkannya, duduk bersama-sama para malaikat di taman-taman syurga nan indah.

Bagaimana pula dengan bermacam amalan sunat dan sunnah serta amal kebajikan dan kebaikan yang sentiasa diamalkan sepanjang Ramadhan, adakah ianya masih tetap dipertahankan ataupun hanya tinggal kenangan?

Begitu juga dengan pelbagai kesederhanaan kita ketika Ramadhan, sewajarnya diteruskan sepanjang Syawal dan bulan-bulan seterusnya, malah selama hayat dikandung badan. Sesungguhnya itulah yang disukai ALLAH SWT.

Moga didikan selama sebulan berada di Madrasah Ramadhan melayakkan kita mengungguli anugerah istimewa dari ALLAH SWT sebagai bekalan kita menghadap al-Khaliq apabila tiba saatnya nanti. Ameen.

Ayuh.. kita hidupkan Ramadhan sepanjang tahun!