Thursday, January 28, 2016

UPKK & PT3 > TAHNIAH Imran & Solehah..!

Ujian Penilaian Kelas KAFA

Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) adalah peperiksaan aliran agama kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), khusus untuk para pelajar Tahun 5 di sekolah rendah agama. Untuk tahun 2015, anak bongsu kami, Muhammad Imran mendudukinya di KAFA (I) al-Ridhuan, Ulu Kelang.

Setelah sesi persekolahan 2016 dibuka, kami masih tertanya-tanya bilakah keputusannya akan dikeluarkan. Akhirnya pada petang Jumaat, 15 Januari 2016, ianya diumumkan di peringkat pusat oleh Ketua Pengarah JAKIM. Selangor mengungguli pencapaian di peringkat negara dengan 5,152 pelajar mendapat 8A, diikuti Kelantan (4,559) dan Terengganu (4,148).

Setelah hampir 2 minggu berlalu, barulah semalam keputusan UPKK diterima oleh sekolah. Aduhai... jauh betul perjalanan dari Putrajaya ke Shah Alam dan Gombak. Tak bolehkah... selepas pengumuman di peringkat pusat terus diedarkan kepada para pelajar di sekolah.

AlhamduliLLAH... dipulangkan kesyukuran kepada ALLAH SWT,  Imran berjaya cemerlang bersama 5,000 pelajar cemerlang Selangor.

TAHNIAH Imran..!

Pentaksiran Tingkatan 3

Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pula adalah khusus untuk pelajar Tingkatan 3. Tahun lepas adalah kali kedua ianya dilaksanakan bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Anak ketiga kami, Nur Solehah adalah salah seorang calon yang mendudukinya.

Keputusan PT3 telah pun diumumkan pada 14 Disember 2015. Ketika itu kami sekeluarga berada di perantauan Melbourne. Solehah tidak senang duduk dibuatnya. Dengan bantuan applikasi Messenger, SMS dan WhatsApp, satu persatu berita tentang keputusan rakan-rakannya diketahui. Berlebihan lagilah risaunya. Akhirnya dengan dibantu oleh ibu saudaranya, keesokan harinya barulah diketahui keputusannya. 

AlhamduliLLAH, setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat ILLAHI. Tercapai sudah apa yang dicita-citakannya bagi menempatkan diri di kalangan 49 pelajar terbaik MRSM Kota Putera.

TAHNIAH Solehah..!

---------------------------
Cabaran Sebenar

Santai Aussie bersama Imran dan Solehah
Untuk 2016 ini, cabaran yang perlu ditempuhi Imran lebih besar. Dua peperiksaan utama perlu dihadapi. Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah rendah kebangsaan dan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) seliaan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) di sekolah rendah agama.  

Bagi Solehah pula, cabarannya lebih hebat lagi. Pada tahun ini Solehah perlu menduduki peperiksaan Cambridge IGCSE (International General Certificate of Secondary Education), manakala pada tahun hadapan pula SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

Didoakan moga mereka berdua berupaya menghadapi segala cabaran dan dugaan dengan jayanya dan beroleh kecemerlangan bagai yang diimpikan. Berjaya dunia dan akhirat. Aameen.

Paling utama adalah usaha yang berterusan dengan pergantungan setulusnya kepada ILLAHI. Selebihnya bertawakal kepada ALLAH SWT kerana segala-galanya adalah milikNYA.

Thursday, January 21, 2016

Kelate > Bertemu Tok Janggut, Al-Fateh & Firaun

Hampir seminggu sekembalinya dari Melbourne, kami berangkat pulang ke Terengganu bagi menjenguk keluarga di kampung halaman. AlhamduliLLAH terlepas rindu yang bersarang di hati.

Beberapa hari di Kuala Terengganu, kami bergerak pula ke MRSM Kota Putera, Besut - ada urusan persekolahan Nur Solehah di sana. Seterusnya ke Kelantan Darul Naim.

Misi kami ke Kelantan semata-mata kerana PAMERAN PENDIDIKAN PERDANA - Tok Janggut, Sultan Muhammad al-Fateh dan Mumia Firaun yang sedang berlangsung di Muzium Negeri dari 20 Oktober 2015 hingga 31 Januari 2016. Ianya dibuka setiap hari dari jam 8:30 pagi hingga 5:30 petang. Bayaran masuknya RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak.

Tok Janggut adalah Pahlawan Melayu Kelantan yang gigih menentang kuasa penjajah yang bertapak di bumi Serambi Mekah. Sultan Muhammad al-Fateh pula adalah Penakluk Kota Konstanstinopel. Manakala Firaun pula adalah musuh utama para nabi.

Dari Besut, kami tiba di Muzium Negeri ketika azan zohor berkumandang. Maka langkah pertama kami adalah dahulukan tuntutan agama - solat jamak di surau muzium. Seterusnya menjamu selera di kantin muzium. AlhamduliLLAH... selesai sudah 2 keperluan utama. Barulah selesa untuk bergerak ke mana-mana.

Kami menapak masuk ke dalam muzium sekitar jam 3:00 petang. Di pintu masuk, kami diserahkan beberapa salinan Borang Teka Silangkata di mana jawaban dari pembayang ringkasnya hanya terdapat pada bahan pameran yang dipamerkan - terbuka untuk semua. Inshaa ALLAH banyak manafaatnya - usaha menjawab tanpa sedar menambah pengetahuan.

Perjuangan al-Fateh

Al-kisah siapa dia Sultan Muhammad al-Fateh
Melangkah masuk ke dewan pameran, tumpuan pertama kami adalah terhadap tayangan gambar kisah perjuangan Muhammad al-Fateh dan bala tenteranya dalam usaha menawan Kota Konstantinopel dari penguasaan Byzantine yang diuar-uarkan amat kebal.

Berbekalkan keimanan dan ketaqwaan yang kental, akhirnya ALLAH SWT menganugerahkan kemenangan kepada al-Fateh. Hadis RasuluLLAH SAW benar-benar menjadi sumber motivasi utama untuknya.
"Akan dibebaskan Kota Konstantinopel itu, maka sebaik-baik raja itulah raja, sebaik-baik tentera itulah tentera" (HR Imam Ahmad Ibn Hanbal)
Susur galur perjuangan, strategi peperangan, keperibadian mujahiddin, dasar pendidikan dan pembangunan adalah antara keistimewaan al-Fateh yang menjadi kebanggaan semua. Sewajarnya ia menjadi inspirasi betapa hebatnya insan Muslim jika Islam dimartabatkan.

Inilah keranda emas Tutankhamun
Misteri Firaun

Bersebelahan al-Fateh adalah kisah-kisah misteri raja-raja Kerajaan Mesir Kuno yang digelarkan sebagai Firaun. Pelbagai cerita (fakta?) ditonjolkan dari kehidupan para raja dan permaisuri serta dewa-dewi berasaskan kepercayaan kuno mereka.

Dipaparkan juga mumia-mumia Firaun yang diawet, replika keranda emas Firaun Tutankhamun dan ukiran kepala Permaisuri Nefertiti.

Di sebalik kisah-kisah misteri ini, paling utama adalah kisah dari al-Quran yang berkaitan penentangan keras Firaun (yang mengaku dirinya Tuhan) terhadap usaha dakwah Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. Akhirnya ALLAH SWT kuburkan Firaun bersama tenteranya di dasar laut. Semuanya ini perlu diambil iktibar betapa kekuasaan ALLAH SWT mengatasi segala-galanya. Insafilah diri...!

Penentangan Tok Janggut

Ruang pameran Tok Janggut terdapat di bahagian atas muzium.

Bergaya bersama Tok Janggut
Tok Janggut atau nama sebenarnya Hj Mat Hassan bin Munas adalah pejuang Melayu yang tersohor di Kelantan dalam melawan British yang sewenang-wenangnya mengenakan pelbagai cukai ke atas penduduk. Akibat penentangan tersebut, beliau telah terbunuh di dalam pertempuran dengan askar-askar British pada bulan Mei, 1915 di Pasir Puteh.

Sesungguhnya jasa Tok Janggut amat besar dalam menaikkan semangat jihad di kalangan umat Islam Kelantan ketika itu. Tanah air kita adalah hak kita, maka kewajiban kita untuk mempertahankannya.

Sebahagian foto berkaitan terdapat di Album Foto Kami "al-Fateh-Tok Janggut-Firaun". Lebih mudah lagi, klik sahaja di sini untuk capaian terus ke album.

Khalifa Suites Hotel & Apartment
Menginjak jam 5:00 petang, kami beredar meninggalkan Muzium Negeri terus ke Khalifa Suites di Jalan Sultanah Zainab. Di sinilah kami menginap.

Paling istimewa adalah berhadapan dengan Masjid Muhammaddi. Mudah untuk kami berjemaah solat Maghrib-Isyak dan Subuh. AlhamduliLLAH. Ini satu anugerah dariNYA. Tidak sewajarnya dipersia-siakan.

Lokasi Khalifa Suites amat strategik. Di sekitarnya terdapat banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati seperti Muzium Islam, Muzium Diraja, Muzium Perang, Istana Batu, Tambatan Diraja, Menara Jam, Pusat Kraftangan, Kota Sultan Ismail dan banyak lagi. Sebahagiannya telah kami kunjungi sebelum ini.

Keesokan harinya, selepas bersarapan di Restoran Wau, kami mula bergerak meninggalkan Bandaraya Islam Kota Bharu melalui Lebuhraya Gua Musang-Kuala Lumpur. Perjalanan yang amat memenatkan akibat jalan yang sesak di beberapa lokasi tertentu. AlhamduliLLAH kami selamat tiba di Ulu Kelang selepas 12 jam di jalanan.

Monday, January 18, 2016

Melbourne > Memetik Ceri Di Red Hill

Bertolak dari Port Campbell, misi kami seterusnya adalah menjejak kenangan memetik ceri yang berlaku setahun sekali. Itupun hanya di musim panas sahaja, dari bulan Nov - Jan. Paling elok di pertengahan musim iaitu pada bulan Disember di mana buah telah cukup masak. Rasanya lebih enak dan manis.

Dari Port Campbell ke Melbourne City, kami memilih melalui Princess Hwy berbanding laluan pantai, The Great Ocean Road. Kami perlu cepat sebelum ladang ceri ditutup pada jam 5:00 petang.

Pada peringkat awalnya kami berhajat ke Cherry Haven Farm di Silvan, Dandenong Ranges tetapi berubah arah ke Red Hill di Mornington Peninsula kerana kesuntukan masa. Tambahan pula Red Hill juga terkenal dengan tanaman ceri dan seumpamanya.

Mudik Feri

SeaRoad Ferry
AlhamduliLLAH, kami tiba di Queenscliff Harbour di Bellarine Peninsula sekitar jam 10:30 pagi, seterusnya membeli tiket feri, SeaRoad Ferries untuk menyeberangi Port Phillip Bay ke Sorrento Pier di Monington Peninsula. Sengaja kami menggunakan perkhidmatan feri bagi merasai pengalamannya.

Keseluruhan perjalanan dari Queenscliff ke Sorrento mengambil masa kira-kira 1 jam. Dapatlah kami bersantai di dek atas feri - melihat persekitaran teluk sambil disapa angin yang lembut. Adakalanya kami turun ke ruangan menunggu di dalam feri sambil makan dan minum. Ada cafe di dalamnya.

Petik Ceri

Ranum di tangkai
Perjalanan seterusnya ke Red Hill hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja. Di Red Hill, banyak sekali kelihatan ladang-ladang ceri di sepanjang jalan. Singgahlah mana-mana yang disukai. Akhirnya kami membelok masuk ke Ride n Ready Cherry Farm di Arkwells Lane. Pertama kali kami ke sini, dahulu kami ke Red Hill Cherry Farm.

Bayaran masuknya AUD10 seorang untuk dewasa dan separuh harga bagi kanak-kanak. Ketika di ladang, makanlah sepuas-puasnya sambil mencari  buah yang terbaik. Jika berkenan, isikan ke dalam baldi (isian 5 kg) yang disediakan. Untuk 5 kg, harganya AUD 60 dan baldinya diberi percuma. Jika dibandingkan dengan harga di pasar-pasar, sememangnya harga di ladang lebih mahal tetapi kelebihannya setiap biji buah adalah pilihan terbaik oleh diri sendiri.

Ladang ceri Ride n Ready amat luas. Pepohon cerinya rendah-rendah, rimbun daunnya dan ditanam berderetan menjadikan persekitarannya teduh dan redup. Buah-buahnya pula berjuntaian di dahan hingga  mudah dicapai tangan.

Seronok sekali menjamu buah-buah dari setiap pokok yang disinggahi hingga lupa mana satu pokok yang paling enak buahnya. Apabila ketemu terus diisikan ke baldi. Jenuh juga untuk dipenuhkan. Akhirnya kami hanya tertumpu kepada sebatang pokok yang masih lebat buahnya. Paling penting buahnya sedap, ranum dan manis rasanya. Kata orang white cherry dan red cherry sedap rasanya tetapi sayangnya tidak banyak yang menarik hati.

Petik, makan... Petik, makan... Emm... sedapnya!
Untuk memetik buah ceri ada caranya. Di kebanyakan ladang, lazimnya para petugas kaunter akan memaklumkan kaedah memetik yang betul bagi mengelak tampuk tangkainya rosak. Malah buah yang dipetik juga boleh bertahan lama. Jika tidak tahu, bertanyalah kepada para petugas berkenaan sebelum melangkah masuk ke ladang.

Sedar tak sedar, hampir 2 jam kami berada di antara pepohon ceri. AlhamduliLLAH, dapatlah sedikit bekalan ceri untuk dibawa pulang ke Malaysia. Sekotak 5 kg memang tidak cukup. Keesokan harinya tambahan 2 kotak lagi dibeli di Victoria Market.

Untuk melihat sebilangan foto kami, sila klik di sini atau selusuri Album Foto Kami "Ferry n Cherry" di kiri laman.

Beredar dari Ride n Ready Cherry Farm, kami terus bergerak pulang ke Springvale, ke rumah teman lama dalam komuniti Kg. Dandy, Sdr Rasydan-Dr. Rohani. Inilah tempat bermalam terakhir kami di Melbourne sebelum berangkat pulang ke tanah air pada sebelah petang keesokan harinya (Jumaat, 18/12/2015).

Friday, January 15, 2016

Melbourne > Jalan2 Di Port Campbell

Perjalanan dari Mt. Gambier ke Port Campbell sejauh 260 km mengambil masa kira-kira 3 jam merentasi Princess Hwy (laluan pantai) melalui Nelson, Portland, Port Fairy dan Warrnambool.

Untuk makluman, jalan dari Warrnambool ke Port Campbell adalah sebahagian daripada The Great Ocean Road yang terkenal. Laut-laut di sepanjang jalan ini terutama selepas Cape Otway sehingga Port Fairy banyak mencatatkan sejarah kapal-kapal yang karam sehingga lebih dikenali sebagai The Shipwreck Coast. Punca utamanya adalah terlanggar atau terhempas ke batu-batu yang terdapat di laut. Lebih-lebih lagi ketika laut mengganas.

Peterborough

Sejuknya Newfield Bay
AlhamduliLLAH kami tiba di Peterborough sekitar jam 7:00 petang.

Peterborough terkenal dengan pantainya yang landai dan deretan teluk yang cantik, antaranya Bay of Martyrs, Bay of Islands, Wild Dog Cove dan Newfield Bay.

Singgahan kami adalah di Bay of Islands dan Newfield Bay. Angin yang bertiup amat sejuk sehingga mengigil dibuatnya.

Suatu ketika dahulu kami pernah menginap di salah sebuah kabin di Newfield. Suasana sejuk ketika itu masih sama bagai dirasai kini. Ketika itu tanpa hiraukan kesejukan, anak-anak turun bermain pasir dan mandi manda di pantai bersebelahannya. Sekarang bila dah besar, mereka dah tidak berminat lagi. Cukup sekadar melihat persekitarannya sahaja.

Pemandangan utama di laut adalah bongkahan batu yang menonjol dari permukaan laut. Di sinilah beberapa buah kapal telah tenggelam dan sebahagian besar penumpangnya turut terkorban.


"London Bridge Is Falling Down.."
London Bridge

Menghampiri Port Campbell, kami singgah di London Bridge Lookout. Arca batuan yang mengunjur ke laut bagaikan jambatan kini telah terputus dua dihempas ombak dan ditolak dek angin pada Januari 1990.

Fenomena alam ini mengingatkan betapa batu yang dianggap keras pun akhirnya kalah kepada air dan angin yang dikatakan lembut. Hanya masa yang menentukan. Itulah aturan ALLAH SWT.

Terdapat juga beberapa tempat menarik di sekitarnya seperti The Grotto dan The Arc tetapi kami sengaja tidak singgahi kerana jaraknya jauh sedikit ke tepian laut sedangkan kami telah pun kepenatan.

Summers Rest Units, Port Campbell
Summers Rest Units

Menghampiri jam 8:00 petang, kami segera beredar untuk mencari tempat penginapan. Tidak ingin kami alami detik-detik cemas seperti di Mt. Gambier apabila semua reception telah pun ditutup selepas jam 8:30 petang. Melewati beberapa tempat penginapan di sekitar Pekan Port Campbell, tertera di hadapannya NO VACANCY.

Akhirnya kami sedikit menjauh, tergerak hati untuk mengintai penginapan di McCue St. AlhamduliLLAH Summers Rest Units masih ada kekosongan. Rumah 2 bilik lengkap dengan ruang tamu dan dapur amat bersih dan selesa sekali.

Loch Ard Gorge

Di pantai Lorc Ard Gorge
Penjelajahan kami di Port Campbell diteruskan keesokan harinya. AlhamduliLLAH cuacanya amat baik sekali, terang benderang disuluhi mentari pagi.

Check out sekitar jam 9:00 pagi, tumpuan pertama kami adalah ke Loch Ard Gorge. Di kisahkan, di sinilah terselamatnya 2 orang daripada 54 penumpang kapal Loch Ard yang karam di laut berhadapannya.

Loch Ard Gorge adalah sebuah gaung/ teluk yang amat cantik dan mendamaikan. Dua tebing tinggi mengunjur ke laut membentuk muara teluk yang pipih menjadi pelindung kepada keganasan laut. Air teluk pula amat tenang dan pantainya juga bersih.

Untuk ke pantai teluk, tiada cara lain selain menuruni anak-anak tangga yang disediakan kerana sekelilingnya adalah tebing yang amat tinggi.

Twelve Apostles

Sekitar setengah jam di Loch Ard Gorge, tumpuan kami seterusnya adalah menjengah Twelve Apostles. Suatu ketika dahulu tertegaknya 12 bongkahan batu di tepian pantai. Difahamkan ianya adalah perlambangan kesetiaan 12 pengikut Nabi Isa a.s. Kini hanya tinggal 7 atau 8 bongkah sahaja. Selebihnya telah pun 'syahid' di hempas ombak dan badai.

Namun, keindahan pesisiran lautnya amat menarik hati. Tebing-tebingnya yang berlekuk-lekuk dilanda badai berserta lautan membiru dengan hempasan ombak menghempas pepantainya yang menguning emas. Demikianlah keindahan hasil ciptaan ILLAHI. SubhanaLLAH... Betapa hebatnya kekuasaan Sang Pencipta.

Terdapat 2 lookout utama di sini yang disambungkan dengan laluan pejalan kaki menghadap ke laut luas terbentang.

Kami sengaja memilih kunjungan ke Twelve Apostles pada waktu pagi kerana ingin menghayati panorama alam yang cantik dan unik ini tanpa gangguan sinar mentari yang masih bertentangan arah pada ketika itu. Cantik untuk bergambar. Sebaliknya di sebelah petang, matahari berkedudukan di belakang Twelve Apostles di mana rakaman foto akan menjadi gelap.

Sebagaimana di Loch Ard Gorge, di Twelve Apostles pun kami tidak berlama-lamaan. Selepas setengah jam, kami pun beredar daripadanya, sekaligus meninggalkan Port Campbell menuju Queenscliff Harbour di Melbourne City.

Sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami "Jelajah Port Campbell" atau untuk capaian terus ke album, sila klik di sini.

Wednesday, January 13, 2016

Melbourne > Jalan2 Di Mt. Gambier

Pagi Rabu, 16/12/2015 - AlhamduliLLAH mentari pagi bersinar terang. Kami bersarapan ala kadar dari bekal yang dibawa. Check-out dari Arkana Motor Inn kira-kira jam 9:45 pagi, kami terus ke Blue Lake yang berjarak 3 km sahaja.

The Blue Lake

Blue Lake merupakan kawah besar yang terbentuk daripada letusan gunung berapi lebih 5,000 tahun dahulu. Keluasan permukaannya menjangkau 170 ekar dengan purata kedalamannya kira-kira 80 meter dengan kapasiti airnya mencecah 8,000 juta gelen.

Sebagai makluman, air tasik ini menjadi sumber air minum yang disalurkan keseluruh Mt. Gambier dan kawasan sekitarnya yang berkepadatan penduduk hampir 40,000 orang.

Ketika musim panas, umumnya dari bulan Disember-Mac, di saat suhu melepasi 20C berserta simbahan matahari ke permukaan tasik, Blue Lake akan berubah warna dari kekelabuan kepada kebiru-biruan. SubhanaLLAH, pemandangannya amat cantik sekali. Apatah lagi jika dilihat dari jauh atau pandangan dari tempat tinggi bagaikan sebuah takungan yang berkilauan. 

Berlatarkan Blue Lake
Di sekeliling tasik, terdapat beberapa singgahan yang disediakan. Banyak maklumat yang boleh diperolehi, antaranya ukuran keluasan Blue Lake, punca pembentukan tasik, tinggalan lapisan abu dan larva yang mengeras, monumen Adam Lindsay dan bekas tasik yang telah kering (Leg of Mutton Lake).

Di suatu singgahan tepian tasik, kami telah disapa dalam bahasa Melayu oleh seorang lelaki berkulit sedikit gelap (mungkin Ghana). Rupa-rupanya beliau pernah bekerja di Malaysia selama 10 tahun kira-kira 5 tahun lalu dan kini menetap di New South Wales, Australia.

The Lady Nelson Visitor and Discovery Centre

Menghampiri jam 12:00 tengahari, kami beredar dari Blue Lake menuju Lady Nelson. Di laman hadapannya tersergam replika kapal kecil, HMS Lady Nelson bermuatan 60 tan yang telah belayar dari England ke Australia pada tahun 1800 di mana Mt. Gambier adalah salah satu singgahannya.

Di samping menjadi pusat maklumat bagi pelancong, di Lady Nelson juga terdapat laluan penjelajahan sejarah silam Mt. Gambier termasuk penglibatan kaum pribumi, Aborigines. Kami sempat merentasi laluan ini. Walaupun simple sahaja tetapi amat bermaklumat. Cuma perlu rajin membaca, mendengar dan menghayatinya.

The Engelbrecht Cave

Hampir 2 jam di Lady Nelson, kami berkunjung pula ke Engelbrecht Cave di Chute St. - gua bawah tanah yang mengunjur di bawah bandar Mt. Gambier, sebahagian besarnya dilitupi air. Penjelajahan di dalamnya adalah berjadual. Setiap sesi mengambil masa hampir sejam. Oleh kerana kesuntukan masa, kami batalkan hajat kami. 

Taman hijau di musim panas
The Umpherston Sinkhole

Melewati jam 2:00 petang, kami tiba di Umpherston Sinkhole, juga dikenali sebagai Sunken Garden (taman tenggelam).

Asalnya ia sebuah gua batu kapur yang mengalami hakisan air, akhirnya bumbung gua runtuh, maka terbentuklah lubang yang luas. Kini ia telah dibangunkan sebagai sebuah taman bunga yang amat indah dan mempesonakan pada musim bunga. 

Kunjungan kami di musim panas ini tidak menemukan keindahan tersebut. Hanya bunga ros merah jambu, bunga raya dan bunga lupin biru sahaja yang kelihatan. Selebihnya warna hijau daun yang melatari hampir keseluruhan taman. Tidak hairanlah amat susah untuk melihat pengunjung di sekitarnya. Tidak mengapalah... pada tahun 2009 dahulu kami pernah ke sini. Memang menakjubkan..!

Foto Lama 2009
Sebenarnya tujuan kami ke Umpherston Sinkhole adalah untuk makan tengahari dan paling utama menunaikan solat jamak Zohor-Asar tidak jauh dari sumber air (tandas).

Sebahagian foto di Mt. Gambier terdapat di sudut Album Foto Kami "Jelajah Mt. Gambier" atau klik di sini untuk terus ke album.

Selain tempat-tempat pelancongan di atas, terdapat beberapa lokasi lagi yang tidak sempat kami lawati seperti The Crater Lakes dan The Centenary Tower (kedua-duanya bersebelahan The Blue Lake) serta Cave Garden di tengah bandar Mt. Gambier. Kami tidak terkilan kerana tujuan utama ke Mt. Gambier telahpun tercapai. AlhamduliLLAH.

Menghampiri jam 4:00 petang, kami bertolak meninggalkan Mt. Gambier menuju Port Campbell.

Tuesday, January 12, 2016

Melbourne > Perjalanan Ke Mt. Gambier

Mt. Gambier letaknya di selatan South Australia, bersempadan dengan Victoria. Dari Melbourne, jaraknya sekitar 450 km melalui Western Hwy dan Glenelg Hwy. Mengikut kiraan biasa, perjalanannya mengambil masa sekitar 5 - 6 jam.

Blue Lake dan sekitarnya
Mt. Gambier termasuk di dalam senarai lokasi yang mesti dilawati oleh kami. Walaupun menjangkaui Melbourne tetapi kami amat menyukainya terutama tasiknya yang membiru di musim panas, taman bunga tenggelam di musim bunga dan deretan tempat bersejarah yang masih dipertahankan. Lebih utama untuk 'mengembalikan ingatan' anak-anak kepada tempat tersebut yang pernah mereka kunjungi ketika usia anak-anak kecil.

Perjalanan kami ke Mt. Gambier adalah pada hari ke-4 berada di Melbourne (Isnin, 15/12/2015), yakni seusai majlis konvokesyen Laili di Monash University. Namun kami bertolak agak lewat, sekitar jam 4:30 petang - setelah selesai makan tengahari di Singapore Kampung Restaurant di pekan Clayton serta bersolat jamak.

Igauan Mt. Gambier

Mentari terbenam menampakkan sinar kemerahan... apakan daya kami masih di jalanan

Mengingatkan perjalanan yang jauh dan lama di mana pasti akan tiba di Mt. Gambier pada waktu malam hari, timbul kegusaran di hati. Tambahan pula tanpa tempahan penginapan. Jadi... perlukah kami terus ke Mt. Gambier atau menukar arah ke Port Campbell yang lebih dekat (250 km ~ 3 jam). Keesokan harinya barulah ke Mt. Gambier.

Akhirnya kami nekad untuk terus ke Mt. Gambier. Jika tidak perancangan kami untuk ke ladang ceri pada hari ke-6 mungkin tidak kesampaian.

Teringat kami masa tinggal di Melbourne dahulu - itulah sikap kami yang sentiasa berani menempuh cabaran ketika melancong semata-mata memenuhi perancangan padat yang telah ditetapkan. AlhamduliLLAH dapat diatasi dengan iringan doa kesejahteraan dan lindungan rahmat dari ILLAHI.

Menuju Mt. Gambier

Bongkahan hay siap dituai
Di sepanjang jalan ke Mt. Gambier,  pemandangan yang biasa dilihat adalah padang rumput kekuningan yang melaut pandangan berserta bongkahan hay (rumput kering untuk simpanan ternakan di musim sejuk) dan juga kawasan penanaman hutan untuk tujuan pembalakan berjadual.

Ketika melewati pekan-pekan kecil selepas jam 6:00 petang, ianya bagai pekan tanpa penghuni. Premis perniagaan telah pun ditutup kecuali stesen minyak . Kenderaan di jalanan pula jarang-jarang sahaja ditemui. Lazimnya itulah suasana kehidupan yang terdapat di kebanyakan tempat di Australia terutama di pedalaman.

Namun satu perkara yang sentiasa menjadi pemerhatian kami adalah Had Laju. Ianya amat dipatuhi walaupun jalan lenggang ataupun di malam hari tanpa kenderaan. Tidak kira berapa had laju ditetapkan seperti 110 km/j di lebuhraya (100 km/j di South Australia), 80 km/j, 60 km/j mahupun hanya 40 km/j, para pemandunya amat berdisplin sekali. Atas dasar ini, kenderaan berat seperti kontena dan trak tiada dibezakan had lajunya di lebuhraya seperti di negara kita.

Tiba di Mt. Gambier

Arkana Motor Inn di pagi hari
Akhirnya kami tiba di Mt. Gambier sekitar jam 10:30 malam. Langkah pertama adalah mencari tempat untuk menginap. Kami tidak membuat tempahan awal kerana khuatir perancangan berubah di saat-saat akhir. Rupa-rupanya risikonya amat besar disebabkan kesemua reception di tempat penginapan di Mt. Gambier ditutup seawal jam 8:30 - 9:30 malam.

Berpusing-pusing kami mencari mana-mana tempat yang masih dibuka, malangnya tiada satu pun. Mati akal dibuatnya. Mungkinkah kami perlu tidur di kereta sahaja? Satu langkah yang amat-amat merbahaya. Lebih membebankan adalah kami belum lagi solat jamak Maghrib-Isyak.

Cubaan terakhir, tekan butang reception di Arkana Motor Inn. Sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar keluhan hati kami. AlhamduliLLAH ada jawapan dan ada kekosongan bilik. Dapatlah kami bersolat dan merehatkan diri dengan selesa.

Thursday, January 7, 2016

Melbourne > Seharian di Phillip Island

Hari kedua di Melbourne, Sabtu (12/12/2015).

Ramalan cuaca: panas dengan suhu 10C/17C (min/maks). Suasana yang baik untuk berada di luar rumah - sejuk tetapi nyaman.

Perancangan kami, ada baiknya ke Phillip Island kerana hampir semua tempat yang ingin dikunjungi di sana adalah tempat terbuka. Sekitar jam 10:00 pagi, kami mula bertolak ke Phillip Island. Perjalanan kurang lebih 100 km dari Springvale lancar.

Pelican Feeding Session

AlhamduliLLAH kami tiba di San Remo Jetty kira-kira sejam selepasnya. Singgahan untuk melihat 'sesi memberi makan burung undan dan camar' (pelican and seagull feeding session) pada jam 12:00 tengahari. Kedua-dua jenis burung ini sedia menunggu di tepian air bersebelahan jeti. Itulah rutin mereka setiap hari.

Angin di sekitar jeti terasa amat sejuk. Menantikan waktu 'beri makan', kami makan dahulu di Pelican View Restaurant - menu kami: fish n chips + air coklat panas. Malah tandas di restoran ini amat bersih dan selesa. Diingatkan, tiada air disediakan untuk beristinjak.

Pelican Feeding Session
Melewati jam 12:00, semua pengunjung sedia mengerumuni pesisiran air berpagar.

Kelihatan seorang sukarelawan warga emas wanita rancak berceloteh sambil tangannya rancak melempar dan menyuap ikan kepada burung undan dan camar putih. Celotehnya berkaitan burung undan dan pemakanannya serta usaha-usaha yang dilakukan untuk memelihara kelangsungan hidup burung berkenaan. 

Rupa-rupanya... di sebalik air nan cetek di tepian jeti, kelihatan beberapa ekor ikan pari berenang-renang mengiringi burung undan yang berendam. Si pari pun ada bahagiannya. Hasil buangan si burung itulah rezekinya. SubhanaLLAH, begitulah ketentuan ILLAHI.

Sebelum bergerak ke Wildlife Park, kami singgah dahulu di Koala Conservation Centre. Singgahan kami bukannya masuk ke pusat berkenaan tetapi sekadar menggunakan tandasnya untuk bersuci dan berwuduk, seterusnya bersolat jamak bersebelahan pohon eucalyptus besar (daunnya makanan koala). Untuk melihat koala, kami lebih suka ke Wildlife Park - lebih menjimatkan.

Wildlife Park

Suasana di Wildlife Park berkeluasan 60 ekar ini tiada bezanya seperti beberapa kali kunjungan kami dahulu. Sememangnya habitat lebih 100 spesis haiwannya tidak boleh sewenang-wenangnya diubahsuai kerana memberi impak kepada haiwan berkenaan.

Berbekalkan sebungkus makanan haiwan setiap seorang, penjelajahan kami bermula dengan cicak berlidah biru yang berlonggok berehat di kandangnya. Diikuti pula ke kandang echidna, seterusnya rumah koala. Koala terkenal sebagai 'kaki tidur'. Bangunnya hanya untuk makan sahaja. Kami bernasib baik - seekor koala 'jaga', bergaya sakan di bumbung rumahnya.  

Menyuap kangaroo - basah tangan dek air liurnya
Berjalan-jalan di sekitar taman, mudah sahaja ketemu beberapa jenis haiwan yang dibiarkan bebas bergerak, antaranya wallaby, pademelon (kedua-duanya dari keluarga kangaroo), angsa dan kangaroo.

Kesemua haiwan ini amat jinak dan amat mudah memberi makan di tangan. Jangan terkejut jika tangan pemberi makan ditarik kangaroo ke mulutnya ketika menyuakan makanan.

Untuk melihat dan merasai lebih keseronokan memberi makan kepada kangaroo, tempatnya adalah di wetland di bahagian belakang taman, yakni melepasi pagar berdawai di mana terdapat pulau-pulau buatan yang dilatari pepohonan bakau kering. Cuma berhati-hati dengan denai-denai yang dipenuhi tahi angsa dan kangaroo, kot-kot terpijak yang 'fresh' pula.

Banyak lagi haiwan lain yang terdapat di Wildlife Park ini, antaranya burung kasuari, kookaburra, cockatoo, emu, helang, merak, dingo, Tasmanian devils, wombat, quoll, pelbagai spesis ular dan banyak lagi. 

Sememangnya inilah antara tempat tumpuan utama di Phillip Island.

Check point terakhir. Fuhh... lega!
Amaze n Things

Anak-anak amat berkeinginan masuk ke sini. Di dalamnya terdapat pelbagai permainan simulasi dan cabaran ilusi yang berasaskan sains. Segalanya menguji IQ dan pemahaman konsep yang terdapat di sebaliknya. Macam main silap mata pula rasanya.

Sebelum beredar, kami bermain 3D maze tembok kayu - berusaha mencari laluan tembus ke empat lokasi yang bertanda 4 warna bendera. Penat juga dibuatnya. Anak-anak begitu aktif sekali mencari formula dan andaian bagaimana untuk sampai ke setiap bendera. Akhirnya berjaya juga. Masa dicatatkan sekitar 20 minit. Not bad...!

The Nobbies Centre

Di Phillip Island, hampir semua tempat lawatan berbayar ditutup sekitar jam 5:00 petang kecuali Penguin Parade. Sebenarnya masih awal jika berhajat melihat penguin kecil naik ke darat tika sore (kira-kira jam 8:50 malam). Sementara menunggu masuk ke Penguin Parade, The Nobbies Centre menjadi tumpuan pengunjung.

Berlatarkan The Nobbies Centre
Pusat pemeliharaan spesis anjing laut dan burung camar ini terletak di hujung pulau, tidak jauh daripada Penguin Parade Centre. Ianya tidak berbayar. Pengunjung dapat menyelami usaha-usaha pemeliharaan yang dilakukan.

Disediakan juga laluan pejalan kaki menuruni tebing menghadap ke laut luas. Ratusan burung camar bebas berterbangan di sekitarnya di mana dapat dilihat sarang-sarang burung di dalam tanah di tebing-tebing.

Jika bernasib baik, kelompok anjing laut akan kelihatan bersantaian di atas bongkah-bongkah batu besar di permukaan laut. Lebih bernasib baik lagi jika dapat melihat spesis ikan paus yang berenang merentasi laut menuju destinasi perpindahan bermusim. 

Penguin Parade

Little penguin adalah penguin terkecil di dunia yang hanya terdapat di Australia dan New Zealand. Tempat tinggalnya di dalam tanah di celah-celah tebing seumpama burung camar. Di siang hari, penguin ini berada di laut, manakala ketika menginjak malam, ianya muncul di permukaan gigi air, terkedek-kedek berjalan ke sarangnya. Inilah saat-saat yang ditunggu oleh para pengunjung.

Sementara menunggu masanya, pelbagai maklumat berkaitan dipaparkan di ruang pameran untuk santapan minda. Banyak manafaatnya.

Menjelang jam 8:00 malam, kami beredar menuju pantai melalui laluan yang disediakan. Sarang-sarang penguin jelas kelihatan di sekitar laluan. Tempat-tempat duduk bertingkat menghadap laut beransur-ansur dipenuhi para pengunjung.

Sejuknya yang amat sehingga terasa kebas tangan dan kaki. Hidung pula berair tanpa disedari. Tidak cukup sekadar berbaju tebal dan berstokin sahaja. Penutup kepala dan muka juga diperlukan.

Jika ingin bergambar, lakukan seawal mungkin sebelum larangan diwartakan oleh ranjer bertugas. Selepas itu, pengawasan ketat akan dilakukan terutama ketika matahari mula terbenam. Hairannya, ramai yang seakan-akan terlupa, seolah-olah teruja sehingga kerap ditegur oleh ranjer.

Foto ihsan Phillip Island Penguin Parade
Kira-kira jam 8:53 malam, seekor demi seekor penguin mula muncul di gigi air. Ada juga yang kelihatan terpinga-pinga kemudian masuk kembali ke air. Mungkin terkejut atau pun menunggu rakan-rakan lain muncul bersama. Seterusnya dari pelbagai penjuru pantai dapat diperhatikan kelompok penguin bergerak menuju daratan.

Selepas itu para pengunjung pun mula meninggalkan tempat duduk. Tumpuan mereka adalah memerhatikan penguin-penguin ini dari dekat dari atas laluan pejalan kaki ketika ianya berjalan masuk ke sarang-sarang yang disediakan. Malah diperingatkan juga, sebelum beredar, pastikan tiada penguin di bawah kenderaan masing-masing kerana di sekitar kawasan parkir masih lagi kawasan penempatan little penguin.

Sebahagian foto Jelajah Phillip Island terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini untuk capaian terus.

Kami bertolak pulang kira-kira jam 9:00 malam meredah kepekatan malam dan tiba di an-Naim Melb Home hampir 2 jam selepasnya. AlhamduliLLAH... Seusai solat jamak ta'akhir, semuanya mudah sahaja terlena.

Tuesday, January 5, 2016

Melbourne > Jalan2 Dandenong

Beberapa hari berada di Springvale, kami kerap berulang alik ke Dandenong, antaranya menziarahi rakan lama, Sdr Wafir-Dr. Suharti sekeluarga, mencari makanan halal, menjengok rumah sewa kami dahulu dan juga rumah sewa rakan-rakan yang lain, menyinggah ke beberapa tempat yang kerap dikunjungi suatu ketika dahulu dan meninjau lain-lain tempat yang menjadi sebahagian daripada sejarah kehidupan kami di Dandenong. Segalanya kini tinggal kenangan yang sentiasa diingati.

Berlatarkan Dandenong Market
Dandenong (singkatannya Dandy), letaknya di tenggara Melbourne. Menelusuri sejarah, Dandenong dikatakan berasal dari ungkapan kata 'Tangenong' dalam bahasa puak orang asli Woiwurrung bermaksud 'gunung mulia', merujuk kepada Banjaran Dandenong yang melatari daerah ini.

Di sinilah kami sekeluarga menetap hampir tiga setengah tahun lamanya (2007-2010) menemani Laili yang menyambung pengajiannya di Monash University kampus Clayton. Manakala anak-anak pula bersekolah rendah dan menengah tidak jauh dari rumah.

Dandenong menjadi pilihan kami kerana keunikannya dari segi budaya, agama dan cara hidup. Di sini terdapat Masjid Emir Sultan dan banyak Halal Mart di mana keperluan halal amat mudah diperolehi. Sekaligus menunjukkan ramainya komuniti Muslim di sini (kira-kira 25%) terutamanya keturunan Turki, Albania, Bosnia dan Afghanistan. 

Terlebih istimewa lagi, di Dandenong ketika itu terdapat ramai keluarga dari Malaysia dari kalangan pelajar saarjana/PhD dan juga penduduk tetap (PR), sekaligus menjadi sahabat dan saudara terdekat bagaikan adik beradik, bersama-sama berkongsi susah dan senang. Dari sini terbentuknya komuniti Warga Kg. Dandy yang aktif bersilaturrahim.

Maka kunjungan kami kali ini ibarat sirih pulang ke gagang -  berusaha menjejakinya kembali sambil mengimbau memori lama.

Masjid Emir Sultan, Dandenong
Masjid Emir Sultan di Cleeland St. asalnya sebuah gereja yang telah ditukar statusnya kepada Pusat Islam @ masjid pada tahun 1991. Pada tahun 2011, struktur asalnya telah dirombak menjadi sebuah binaan masjid yang indah dengan dewan solat yang lebih luas dan tersedia tempat wuduk lelaki dan perempuan serta dewan serbaguna di sebelahnya.

Menariknya kos pembinaannya adalah sumbangan orang ramai termasuk projek amal jariah tajaan batu bata yang turut disertai oleh ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai yang berkunjung ke rumah kami ketika itu. Inshaa ALLAH sedekah jariah tersebut bakal menjadi pendinding daripada panasnya Jahanam. Aameen.

Setelah tiba di Melbourne, Masjid Emir Sultan inilah lokasi pertama yang dituju selepas check-in di an-Naim Melb Homestay. Tambahan pula telah hampir masuk waktu solat Jumaat. AlhamduliLLAH, sebak rasa di hati setelah sekian lama merinduinya. Tercapai impian yang lama terpendam - tempat yang kerap dikunjungi ketika tinggal di Dandenong.

Menyusuri Cleeland St. membelok ke David St., terpesona kami melihat sekolah anak-anak yang telah berubah landskapnya. Dandenong North Primary School telah bertambah bangunan kelasnya, mengunjur hingga ke padang sekolah. Manakala Dandenong High School pula mempunyai bangunan baru bertaraf kolej/ universiti.

Dandenong Market adalah pasar besar yang kerap dikunjungi setiap minggu terutama membeli buah-buahan dan sayur-sayuran. Pasar ini telah dibangunkan semula sekitar tahun 2010 dengan dilakukan pembesaran dan pemisahan ruangan jualan barangan kering dan basah.

Berjalan-jalan di pasar ini mudah sahaja bertemu gerai dan kedai milik Muslim, antaranya kedai buku, cenderahati dan makanan. Begitu juga para pekerja di kalangan Muslim.

Dua kali kami kunjungi pasar ini. Singgahan kami adalah di gerai Dough Works (Halal) untuk mendapatkan gozlema, kentang goreng dan kebab sebagai makanan tengahari. Juga ke kedai cenderahati serta kedai buku terpakai – semuanya milik Muslim Turki.

Betul-betul di sebelah pasar adalah pasaraya murah dikenali sebagai ALDI Stores. Menariknya sejak dahulu lagi tiada beg plastik disediakan. Jika tiada shopping bag/ trolley, pandai-pandailah dapatkan kotak kosong di rak atau minta dari pekerja. Coles Supermarket juga menjadi pilihan kami. Lokasinya tidak jauh dari Dandenong Market.

Dandenong Library baru
Dandenong Library, bersebelahan Dandenong Market sering menjadi singgahan kami terutama ketika cuti sekolah. Perpustakaan setingkat ini kecil sahaja tetapi suasananya amat santai dan mesra pengguna.

Beberapa tahun lalu ianya telah dipindahkan ke bangunan baru 3 tingakt yang lebih besar dan selesa di Lonsdale St. Ketika berada di Dandenong baru-baru ini, kami sempat merasai suasana dahulu yang masih ceria dan santai.

Marmara Halal Meats. Dahulu bersebelahan Dandenong Plaza dan beberapa langkah sahaja dari Dandenong Market. Inilah sumber utama daging halal dan makanan laut. Walaupun banyak pilihan halal butcher, Marmara tetap jadi pilihan. 

Kini ianya telah berpindah ke lokasi baru yang lebih besar. Bukan sahaja menjual daging dan seafood tetapi berubah kepada pasaraya yang menjual barangan halal dari negara-negara Islam lain. Malah makanan siap masak juga ada dijual. Carian kami di Marmara kali ini hanyalah daging kisar, sosej dan salami untuk penyediaan sarapan pagi dan bekalan di perjalanan. 

Afghans Kebab
Paradise Halal Pizza adalah antara pilihan makanan sampingan kami ketika tinggal di Dandenong. Letaknya juga berdekatan Dandenong Market. Pizzanya lembut dan sedap. Dahulu saya tidak menggemari pizza tetapi setelah merasai Paradise Pizza, saya mula menyukainya. 

Bakhl Charcoal Kebab di Thomas St. adalah kedai makan Afghanistan. Di sini kami makan kebab Afghans pula. Ianya kepingan roti tebal berserta beberapa cucuk daging kambing dan ayam bakar seakan sate berserta sos pencicah. Satu hidangan biasanya untuk seorang makan tetapi ‘perut kami kecil’, dikongsi berlima pun sudah terasa berisi.

Di sepanjang Thomas St. ini majoritinya adalah kedai-kedai halal samada kedai makan ataupun kedai daging (butcher). Jika susah nak cari tempat menjual makanan halal, datang sahaja ke sini. 

Thrash 'n Treasure Market yang terletak di tapak pawagam terbuka bersebelahan South Gippsland Hwy dibuka setiap hari Ahad. Mengumpul ratusan penjual barangan terpakai dan keperluan harian dengan pelbagai jenis barangan seperti peralatan jentera, perhiasan rumah, alatan dapur, koleksi hobi dan bermacam-macam lagi. 

Dahulu kami kerap ke sini untuk mencari barangan keperluan yang masih elok dengan harga yang amat murah. Kali ini kami pergi lagi untuk mencari barangan cenderahati untuk dibawa pulang. Hasilnya sekotak soft toy dibawa pulang untuk anak-anak kecil di tanah air. 

'Rumah Kami' di Heatherton Rd
Rumah Sewa @ Dandenong. Tidak sempurna kiranya bertandang ke Dandenong jika tidak meninjau rumah-rumah yang pernah meninggalkan kenangan pahit manis selama berada di sana.

‘Rumah kami’ di Heatherton Rd masih seperti dahulu. Begitu juga rumah rakan-rakan lain di Cleeland St dan Suzanne St. Hanya rumah di Bedwell Ave sahaja telah diubahsuai hingga kami keliru mana satu rumahnya.

Banyak lagi tempat yang meninggalkan kenangan ketika berada di Dandenong namun tidak sempat kami singgahi. Tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya apa yang telah dilalui sedikit sebanyak berjaya mengubat kerinduan kepada 'kampung halaman yang telah lama ditinggalkan'.

Sebahagian daripada foto di sekitar Dandenong boleh diakses di Album Foto Kami 'Dandenong Kini' atau klik di sini untuk capaian segera.

Sedikit maklumat berkaitan: Bagi yang memandu di Australia, AlhamduliLLAH, pemanduannya di sebelah kanan dan lesen memandu Malaysia diperakui sah penggunaannya di sana. Cuma berhati-hati dengan beberapa peraturan jalanraya yang berbeza daripada kita.

Setiap orang di dalam kereta diwajibkan memakai talipinggang keledar. Kanak-kanak tidak boleh duduk di kerusi sebelah pemandu walaupun tiada penumpang di bahagian hadapan. Bayi pula dimestikan berada dalam chair seat sendiri yang diikat kepada kerusi.

Untuk parkir di tepian jalan terutama di kawasan pekan atau bandar, pastikan arah kenderaan sehala dengan arus lalulintas, bukannya bertentangan arah. Juga, perhati dan fahami arahan parkir samada berbayar atau percuma dan berapa lama masa dibenarkan.

Malah banyak lagi peraturan jalanraya yang perlu dipatuhi. Sebaiknya ambil maklum sebelum memandu di Australia, nanti tak pasal-pasal kena saman. Baru-baru ini kami tersilap sedikit sehingga ditahan oleh polis. Puncanya tidak berhenti dengan sempurna di simpang jalan kawasan perumahan, sedangkan tiada kenderaan dari arah bertentangan. Akhirnya dilepaskan dengan amaran setelah mengaku pelancong. AlhamduliLLAH.