Tuesday, May 28, 2013

Muhasabah 46

Bagi setiap yang hidup, suatu angka yang bergelar usia sentiasa mengiringi setiap detik perjalanan kehidupan. Setiap saat ianya bertambah, selagi mana nyawa masih dikandung badan. Lazimnya ia akan diingati apabila genap tarikh kelahirannya, tidak kiralah kiraan Masihi mahupun Hijrahi. Maka sinonimnya ucapan selamat hari lahir akan bertalu-talu diterima dari setiap kenalan yang mengingatinya.

Begitulah lumrahnya.

Hari ini, 28 Mei 2013, dari segi usia saya semakin tua. 46 tahun sudah usianya. Kudrat 46 tidak akan sama seperti 16 tahun mahu pun 26 atau pun 36 tahun. Sakit-sakit, sengal-sengal dan lenguh-lenguh badan mula bersarang.

Demikianlah hakikatnya. Secara tidak langsung ianya sebagai tanda amaran bahawa sisa-sisa kehidupan semakin berengsot ke penghujungnya.

Teringat akan pesan seorang teman, "Semakin meningkatnya usia kita bermakna semakin singkat masa di dunia dan semakin dekat masa untuk mengadapNYA".

Merenung ke dalam diri sendiri.... Cukupkah sudah amalanku untuk dibawa sebagai bekalan?  SubhanaLLAH, terasa amat kerdil diri ini.

"Ya ALLAH, ampunilah setiap dosa dan kesalahanku, tolonglah daku agar dapat melaksanakan segala perintahMU dengan sebaiknya dan jadikanlah daku hambaMU yang diredhai. Ameen"

Kepada semua, setinggi-tinggi penghargaan atas ingatan dan doa kalian. Moga kita semua sentiasa dirahmati Illahi.

Tuesday, May 21, 2013

Dilema Pulang Bercuti

Hari Khamis di penghujung minggu ini adalah hari terakhir persekolahan Semester 1/2013 @ Penggal 2/2013 bagi semua sekolah di Malaysia. Ini kerana hari Jumaat keesokan harinya adalah cuti umum, Hari Wesak. Seterusnya bersambung dengan Cuti Pertengahan Tahun selama 2 minggu. Inilah detik yang amat dinanti-nantikan oleh setiap pelajar, lebih-lebih lagi bagi pelajar yang tinggal di asrama.

Dua orang anak kami tinggal di asrama penuh. Abang sulung, Izzuddin di MRSM Serting, Jempol, Negeri Sembilan. Manakala anak ke-3, Nur Solehah di MRSM Kota Putera, Besut, Terengganu. Seorang di selatan, manakala seorang lagi di timur. Pening kepala dibuatnya. 

Macam mana nak berkejar ke 2 tempat berjarak hampir 500 km yang mengambil masa sekitar 7 jam perjalanan. Pulak tu pada hari yang sama dan waktu yang sama (petang Khamis). Jika tiada jalan, biasanya kami akan berpecah dua - saya ke Besut, manakala ibunya pula ke Jempol.

Kami merancang, ALLAH juga merancang. Ternyata ketentuan ALLAH yang lebih baik dan memudahkan. Setinggi-tinggi kesyukuran kepadaNya.

Begini kisahnya. Mulai semalam (Isnin) Laili telah pun berada di Kelantan atas urusan kerja di USM Kubang Kerian sehingga hari Rabu. Maka ditangguhkan kepulangannya sehingga hari Khamis untuk menjemput Solehah di Besut pada petangnya, kemudian pulang bersama ke Kuala Lumpur pada malamnya menaiki kapalterbang. Selesai satu masalah.

Manakala Izzuddin pula hanya boleh keluar dari asrama selepas jam 5:00 petang Khamis. Kebiasaannya jalan dari Jempol ke KL sejauh 130km agak sibuk dan amat perlahan pergerakannnya apabila sekolah mula bercuti. Perjalanan biasa selama 2 jam boleh jadi 2 kali ganda atau lebih masanya. Sedangkan pada malamnya saya perlu bergegas ke KLIA untuk mengambil Laili dan Solehah yang tiba dari Kelantan.  

Rupa-rupanya Izzuddin telah pun berpakat dengan rakan-rakannya untuk pulang menaiki bas-komuter-LRT pada pagi Jumaat.  Selesai  masalah kedua.

AlhamduliLlah segalanya dipermudahkanNya. Moga semuanya di bawah lindungan dan peliharaan Ilahi. Ameen.

Monday, May 20, 2013

PRU : Pilihanraya Tanpa Poster

Di tanah air tercinta Malaysia ini, setiap kali pilihanraya, tidak kiralah PRUmum atau PRKecil; maka bermacam bentuk bahan kempen akan dinaikkan. Bermula dengan bendera, kain rentang, propaganda parti dan akhirnya muka-muka calon. Di tempat-tempat tertentu penuh dengan semuanya ini hinggakan jalan-jalan menjadi redup, simpang-simpang terhalang pandangan dan berbagai jenis arca pun turut sama direka khas. Semuanya nak tunjuk gagah, megah dan entah apa-apa tujuannya.

Cuba bayangkan jika pilihanraya di negara kita ini benar-benar tiada poster. Emm... macam mana rasanya ya? Mungkin rasa pelik bin ajaib yang teramat-amat sangat... Silap-silap boleh terlupa tarikh mengundi atau terus terlupa nak mengundi. Entahlah...

Dari pengamatan kami, dengan adanya poster (dan seumpamanya) lebih banyak buruknya daripada baiknya. Lihat sahaja apa yang berlaku sepanjang kempen pilihanraya ini... cuba fokuskan kepada pelbagai peristiwa berkaitan poster.

Banyak kes-kes negatif berkaitan poster dilaporkan. Ada yang terbunuh/ tercedera dek tercucuk tiang bendera, ada yang mati terjatuh dari pokok kerana memasang bendera, pondok panas dibakar, bendera dan kain rentang dikhianati. Malah ada yang ditakik betis dek sengketa bendera. Provokasi, ugutan, cercaan dan bermacam luahan emosi kepuakan menjadi mainan sehingga menimbulkan kekecohan dan pergaduhan. 

Itulah natijahnya, dari hanya helaian bendera dan kain rentang.

Lihat pula dari segi pembaziran. Berapa juta duit yang dilaburkan untuk menyediakan kesemuanya itu? Belum masuk lagi kos-kos operasi dan kos-kos tersembunyi. Tidakkah pelik bunyinya... ketika kita disarankan untuk bersederhana tetapi pada masa sama pembaziran berleluasa di pihak yang berebut kuasa.

Itu belum dilihat dari sudut 'keserabutan' pandangan mata dan 'kecacatan' pemandangan. Jika dipasang dengan kemas, teratur dan tidak menganggu penglihatan, mungkin boleh diterima. Namun, lazimnya tidak begitu. Walaupun ada peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan SPR tetapi kebanyakannya pakai redah sahaja. Apabila ditimpa hujan, ditiup angin dan tali pengikat terputus, tiada lagi keindahan. Paling menyedihkan, tiada siapa pun yang peduli, hatta si pemasang, si agen mahu pun calon pilihanraya. Agaknya begitulah mentaliti orang-orang kita...

Bagaimana pula dengan lambakan poster dan kain pemidang selepas pilihanraya? Adakah ianya dikumpul dan digunakan semula? Rasanya semua orang boleh lihat sendiri. Semua poster dan seumpamanya ini dilonggokkan sahaja di tepi-tepi jalan, di sesetengah tempat ianya dibakar dan banyak yang dihumban ke tong-tong sampah/ tempat pembuangan sampah.

Sebahagiannya pula langsung tidak diturunkan - lebih rela duit deposit kempen sebanyak RM5,000 (parlimen) atau RM3,000 (negeri) hilang begitu sahaja. Sekaligus menambah beban kerja kepada pihak berkuasa tempatan.

Aduhai... jutaan ringgit terbuang begitu sahaja. Alangkah bermanafaatnya jika duit-duit berkenaan dihulurkan ke rumah-rumah kebajikan yang bertaburan di seluruh negara yang saban hari merintih memohon bantuan untuk menyara hidup insan-insan yang 'terbiar tanpa pembelaan'.

Jika diperhalusi secara saksama, pelaburan poster ini satu budaya negatif yang sewajarnya dielakkan.

Apa kata dalam PRU akan datang atau PRK (jika ada), pemasangan poster hanya dihadkan di kawasan-kawasan markas dan di lokasi-lokasi ceramah sahaja. Selain daripadanya tidak dibenarkan. Untuk berkempen, setiap calon/ parti diberikan hak sama rata samada di media cetak, media elektronik dan pentas bergerak.

Kami mempunyai pengalaman bagaimana kaedah seumpamanya dilaksanakan di Australia. Jika tidak silap, cara yang sama dipraktikkan di kebanyakan negara-negara yang diagung-agungkan sebagai negara maju. Banyak manafaatnya untuk semua. Dunia terasa aman walaupun setiap hari bahang pilihanrayanya semakin terasa.

Ayuh kita berkempen Pilihanraya Tanpa Poster! Malaysia Boleh!

Friday, May 17, 2013

Sajak 'GURU OH GURU' - Dato' Usman Awang

Di sini diperturunkan sajak Guru Oh Guru yang ditulis oleh Sasterawan Negara, Almarhum Dato' Usman Awang. 

Isinya ringkas tetapi amat mengesankan. Ianya untuk semua yang pernah bergelar pelajar/ murid. Terlebih lagilah kepada kelompok guru/ pendidik, tidak kiralah di peringkat mana sekali pun - sebagai pembakar semangat dan meningkatkan motivasi diri agar berusaha menjadi seorang guru yang amanah, berdedikasi dan ikhlas dalam melaksanakan kewajiban mendidik dan menunjuk ajar. 

Insyaa Allah, rahmat Illahi akan sentiasa memayungi diri dan akan dikenangi walaupun jasad telahpun lama bersemadi. Selamat berbakti wahai para guru semua.
 
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca 
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku 
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Thursday, May 16, 2013

Terima Kasih Cikgu

Setiap tahun tanggal 16 Mei disambut meriah di seluruh negara. Semua proses pembelajaran formal di sekolah-sekolah bagaikan terhenti seketika. Para pelajarnya riuh rendah dengan pelbagai aktiviti sendiri. 

Di sesetengah kelas, meja-meja diatur kemas berlapikkan kain alas meja. Bermacam-macam juadah pula memenuhi hampir segenap penjuru meja. Semuanya dibawa sendiri oleh para pelajar. 

Di meja hadapan, guru kelas dan guru-guru yang mengajar mata pelajaran tertentu tersenyum megah diraikan penuh hormat. Lazimnya bermacam acara dipersembahkan termasuklah pemberian hadiah dan cenderahati untuk guru-guru sebagai tanda penghargaan anak-anak didik.

Demikianlah sekilas ingatan memori lama ketika zaman persekolahan dahulu. Sehingga kini kami amat terkesan dengan bingkisan sajak Guru oh Guru yang dinukilkan oleh Dato' Usman Awang @ Tongkat Warrant.

Kini, kami kurang pasti bagaimana sambutannya. Anak-anak tidak pula sibuk dengan juadah apa yang akan dibawa. Berlenggang sahaja mereka ke sekolah. Cuma hadiah biasa-biasa berserta kad ucapan yang direka sendiri yang dibawa. Mungkin pihak sekolah telah mengatur sendiri program untuk mereka. Para pelajar hanya datang untuk meraikannya. Pelik pula bunyinya...8)

Sebahagian daripada sajak panjang Guru oh Guru
Umumnya, mereka yang mengajar kita di sekolah/ universiti itulah guru-guru kita. Merekalah yang mendidik kita untuk mengenal A B C , seterusnya membentuk perkataan dan ayat-ayat sehinggalah terhasilnya karangan/ tesis yang diperakui para ilmuan. 

Begitu juga mengenalkan kita dengan 1 2 3 hinggalah dapat merumuskan pelbagai kaedah pengiraan yang tidak terjangkau oleh akal di peringkat awal pendidikan. Malah sumbangan para guru dalam membentuk sahsiah diri kita juga tiada nilainya. 

Tiada ungkapan yang paling cocok untuk para guru selain daripada ungkapan Terima Kasih Cikgu (walaupun ianya seorang pensyarah/ pengajar/ pendidik/ pengasuh/ dll... tetap berstatus cikgu) dengan iringan doa moga jasa bakti kalian mendapat pengiktirafan di sisi ALLAH Azzawajalla. Ameen.

Namun usah dilupakan insan-insan lain di sekeliling kita yang banyak membantu diri kita hingga menjadi sebagaimana kita pada hari ini. Jika ingin disenaraikan terlalu panjang. Paling utama adalah ibu bapa kita. Mereka berdualah guru kita yang selayaknya kita sanjungi di sepanjang zaman - di dunia dan di akhirat. Jasa bakti mereka tiada tandingan dan bandingan. Tanpa mereka siapalah kita. Terima kasih Ibu dan Ayah.

Ya ALLAH, Engkau ampunilah segala dosa dan kesalahan mereka. Jadikanlah mereka hamba-hambaMu yang beriman dan beramal soleh serta rahmatilah mereka dengan syurgaMu tanpa hisab. Ameen Ya Rabbal 'alameen.