Friday, August 21, 2015

Musim Haji Kembali Lagi

Munculnya bulan Zulkaedah, maka bermulalah perjalanan bakal-bakal jemaah haji Malaysia menuju 2 Tanah Suci iaitu Madinah al-Munawwarah dan Makkah al-Mukarramah. Inilah antara bulan-bulan haji yang bermula daripada Syawal hinggalah Zulhijjah.

Dengan keteguhan iman dan patuh akan tuntutan rukun Islam yang ke-5, saban tahun berbondong-bondong umat Islam dari segenap penjuru dunia mendatangi BaituLLAH, menyahut seruan untuk menjadi tetamu agung ke rumahNYA. Beruntunglah kepada mereka yang menjadi insan terpilih, khusus dipilih oleh ALLAH SWT. SubhanaLLAH.

Firman ALLAH dalam surah al-Hajj:27 
"Dan berserulah kepada manusia supaya mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus. Mereka datang dari segenap penjuru yang jauh (seluruh dunia)"
Nostalgia di Dataran Kaabah: Suasana padat dan sendat
Setiap kali tibanya musim haji, maka setiap kali itulah hati ini diulit rasa rindu yang amat sangat untuk kembali ke bumi nan barakah. Lebih-lebih lagi ketika mendengar laungan talbiyyah. Terimbau saat-saat indah menunaikan ibadah tersebut 3 tahun lepas. 

Walaupun pelbagai kepayahan dan keperitan yang dilalui namun kenikmatan dan keseronokan menjadi igauan. Terlalu banyak pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi. Terasa akan ibadah yang lalu masih banyak yang kurang dan berazam untuk melakukan yang lebih baik daripadanya. 
"Ya ALLAH, panjangkan usia kami dalam kesihatan dan kekuatan untuk kembali lagi ke Masyair Haram demi melaksanakan tuntutan haji. Aameen Ya ALLAH."
Untuk tahun ini, difahamkan kuota jemaah haji kekal kurang 20% kerana pembangunan di sekitar Masjid Haram masih lagi belum selesai. Diwartakan seramai 22,320 orang berpeluang menunaikan haji melalui muassasah Tabung Haji pada tahun ini. TAHNIAH kepada bakal-bakal haji dan hajjah. Moga kalian semua dianugerahi haji yang mabrur. Aameen Ya Rabbal 'aalameen.

Nostalgia di Arafah: Berehat di khemah
Dikatakan suhu di Arab Saudi ketika ini agak panas. Malamnya sekitar 35C, manakala siangnya adakala melebihi 50C. Ditambah pula dengan persekitaran yang berdebu daripada pelbagai projek pembangunan yang giat dijalankan terutama di Makkah. Malah dengan kehadiran ramai jemaah dari segenap pelusuk dunia, maka bermacam penyakit senang melekat seperti batuk, lelah, kulit kering dan demam. 

Justeru itu diharapkan para jemaah dapat bersedia dengan pelbagai keperluan sampingan seperti ubat-ubatan dan losyen pelembab kulit (sebaiknya bawa dari Malaysia), minum banyak air terutama air zam-zam yang mudah diperolehi, kurangkan pergerakan di luar bangunan - sebaiknya beriktikaf di dalam masjid dengan pelbagai amalan sunat hatta tidur sekalipun.

Ingatlah, TUJUAN UTAMA ke Tanah Suci adalah demi misi yang suci - menunaikan ibadah haji bagi meraih redha ILLAHI yakni HAJI YANG MABRUR. Maka gunakanlah kesempatan yang julung-julung kali ini (anggaplah yang pertama dan terakhir) untuk mengabdikan diri kepadaNYA. Apatah lagi ganjaran beramal di kedua-dua Tanah Suci ini amat lumayan sekali. Tidak nampak di dunia tetapi mengunung tinggi di akhirat nanti. Inshaa ALLAH.
Daripada Jabir r.a., bersabda RasuluLLAH SAW, "Solat di masjidku (Masjid Nabawi) adalah lebih afdhal daripada 1,000 solat di masjid-masjid lain kecuali di Masjidil Haram. Dan solat di Masjidil Haram adalah lebih afdhal daripada 100, 000 solat di masjid-masjid lain."  (HR Ibn Majah)
Maka rebutlah peluang menjadi tetamu ALLAH ini dengan sebaik-baiknya. Tidak dinafikan kemuncak haji hanyalah 5-6 hari sahaja, bermula 8 Zulhijjah hinggalah 12hb (Nafar Awal) / 13hb (Nafar Thani). Namun jangka waktu selama lebih 40 hari (lazimnya) di Tanah Suci sewajarnya tidak disia-siakan.

Dengan kata lain, sibukkanlah diri dengan melakukan amalan-amalan wajib dan sunat, banyakkan masa di masjid daripada berlengkar di hotel atau tawaf kedai ke kedai. Usahakan berada di Raudhah dan juga hadapan Kaabah dengan datang awal untuk melakukan solat, munajat dan tawaf.

Al-Quran diturunkan di Mekah dan Madinah. Demi kemuliaan al-Quran dan rasa kasih kepada RasuluLLAH SAW, maka tekadkan diri untuk khatam bacaan al-Quran di Tanah Suci ini. Pengalaman kami; 8 hari di Madinah kami mampu khatam sekali. Di Makkah pula sebanyak 2 kali khatam termasuklah 1 kali berserta terjemahan. Malah ada jemaah yang khatam lebih daripada itu. Inshaa ALLAH boleh dilakukan. Cuma peruntukkan lebih masa bersama al-Quran, paling mudah ketika di masjid.

Nostalgia di Jamrah: Seusai melontar di pagi 10 Zulhijjah
Dari pengamatan kami, ramai yang tewas dek sedikit ujian kepayahan dan kepanasan. Di peringkat awal, ramai yang berpusu-pusu datang ke masjid namun akhirnya sekadar solat di hotel, di masjid berdekatan atau hanya di dataran masjid sahaja. Alangkah ruginya... 

Dari pemerhatian kami, dalam beramal, perkara paling utama adalah ILMU. Usahakan untuk menuntut ilmu berkaitan ibadah samada tentang solat, umrah dan haji serta yang apa-apa sahaja yang berkaitan amalan di Tanah Suci. Bawalah bersama buku-buku panduan haji yang diberikan. Tekuni setiap patah ilmu yang ada dan bertanya para pembimbing haji jika musykil.

Tanpa ilmu kita mungkin mengikut sahaja apa yang orang lain buat (pak turut) lebih-lebih lagi oleh jemaah haji dari negara-negara luar. Tanpa disedari kita telah melanggar hukum agama yang boleh merosakkan ibadah kita seperti bercampur lelaki dengan perempuan dalam satu saf sedangkan ianya boleh dielakkan, melontar pada waktu yang diharamkan, bertawaf dalam keadaan berhadas dan sebagainya.

Seperkara lagi yang amat banyak berlaku adalah sikap yang buruk seperti mementingkan diri sendiri, bersifat bongkak/ sombong, suka mengumpat, mengadu domba, membuang masa dan bermacam-macam hal lagi. Berusahalah sedaya mungkin untuk bersihkan hati. Dan untuk bersihkan hati juga perlukan ILMU.

Akhir kalam... Selamat Berangkat ke Tanah Suci. Berusahalah untuk melakukan yang terbaik berpandukan ILMU. Moga kalian semua dianugerahi maqam tertinggi yakni haji mabrur.

Wednesday, August 19, 2015

Masihkah Ramadhan Diingati?

[Muhasabah diri khusus untuk diriku sendiri dan untuk kalian. Moga bermanafaat]

Ramadhan semakin jauh meninggalkan kita. Syawal pun baru berlalu.  Kini kita di bulan Zulkaedah. Diikuti pula Zulhijjah dan seterusnya tahun baru hijriah, 1437H. Hampir setahun lagi baru ketemu kembali dengan Ramadhan. Itu pun jika ALLAH SWT masih memanjangkan usia kita.

Berlalunya Ramadhan, apakah kita masih terasa akan pemergiaannya? Sedihkah kita atau amat girang sekali? Terfikirkah kita bagaimanakah rupa Ramadhan kita pada tahun ini? Terpenuhkah segala tuntutan untuk mengimarahkan Ramadhan bagai yang disarankan RasuluLLAH SAW?

Berkata para ulama', ukuran paling mudah adalah bagaimana keadaan seseorang selepas Ramadhan. Apakah ia semakin dekat dengan ALLAH ataupun sebaliknya? Apakah kebersamaannya dengan ALLAH sepanjang Ramadhan diteruskan selepas Ramadhan atau tidak? Bagaimana dengan solat berjemaah, bangun malam beribadah, puasa sunat, bacaan al-Quran, majlis-majlis ilmu, amalan bersedekah dan sebagainya. Apakah telah menjadi kebiasaan atau dilupakan?

Masing-masing dapat mengukur sendiri. Tepuk dada tanyalah iman. Cuma RasuluLLAH SWT mengkhabarkan ALLAH mengutuk hamba-hambaNYA tika berlalunya Ramadhan ia langsung tidak mendapat ampunan daripadaNYA.

Ini kerana sepanjang Ramadhan, pintu pengampunan ALLAH dibuka seluas-luasnya. Hanya bergantung kepada individu itu sendiri samada berusaha untuk memasukinya atau pun tidak. Jika berjaya, maka BAHAGIA-lah ia, jika tidak CELAKA-lah.

Moga-moga kita tergolong di kalangan yang memperolehi kebahagian dan keredhaan Illahi.

Marilah bersama-sama kita merenung ke dalam diri kita sendiri. Moga dengannya hidup kita lebih terpimpin dan sentiasa mendapat rahmah, barakah dan maghfirah dari ALLAH SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa, Tuhan Semesta Alam.

Wahai ALLAH yang berupaya membolak-balikkan hati, janganlah ENGKAU palingkan ia daripada kebenaran kepada kebatilan dan hindarkan kami daripada kesesatan dan kemurkaanMU. Tetapkanlah kami pada jalan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Hendaknya keindahan Ramadhan sentiasa memayungi hati-hati kami sehinggalah dijemput kembali ke pangkuanMU. 

Ya ALLAH ampunilah kami dan rahmatilah kami. Aameen.

Saturday, August 15, 2015

Jalan2 Cari Makan > Dungun-Kemaman

Achik yang cepat mesra
Pada hari Sabtu, 08/08/2015 - dari Ulu Kelang, kami berdua sahaja hadir pada majlis perkahwinan di Kerteh. Imran tidak ikut kerana ada kelas tambahan di sekolah. Manakala Hanisah pula menemani Imran di rumah. Tambahan pula tiada orang lain di rumah. Masing-masing memenuhi jemputan di Melaka dan di Sepang. Selepas itu mereka berkampung di Kg. Bkt Bangkong.

Seusai makan kenduri, kami bertolak ke rumah sepupu Laili, Aryadi-Marina di Tmn Panalex, Kerteh - adalah dalam 8 km dari rumah pengantin. Sebenarnya kami dijemput oleh mereka di lokasi kenduri di mana mereka turut hadir.

Telah lama kami tidak ke rumah mereka. Kali pertama dan terakhir hampir 20 tahun lalu, kira-kira seminggu selepas perkahwinan kami. Tika itu Yadi masih lagi single.

Selepas Asar, kami dibawa oleh Yadi-Marina ke Pantai Teluk Lipat, Dungun, kira-kira 40 km jaraknya semata-mata mencari gerai ict, sct dan uct (ikan celuk tepung, sotong celuk tepung dan udang celuk tepung).

Melewati Dungun hinggalah tiba di Teluk Lipat, hujan turun agak lebat berserta angin menderu. Akhirnya kami singgah di Warung Pink House, bersebelahan Teluk Lipat Seaview Inn. Tercapai hajat tuan rumah nak menjamu kami dengan juadah tipikal orang Terengganu. Teringat zaman belajar dan awal berkerja - kedua-duanya di Dungun - ict, uct dan sct adalah antara kegemaran kami.

Warung Aziz Satar @ Cukai, Kemaman
Malamnya kami bermalam di Kerteh. Keesokan paginya pula kami dibawa pula ke Cukai, Kemaman untuk perkena satar, otak-otak dan pais bakar.

Menyusuri Jalan Dungun-Kemaman, melewati Jalan Dato' Omar, akhirnya kami menyinggah di Warung Aziz Satar yang terletak di Kg. Geliga Cik Akob, Cukai. Nama Pak Aziz amat bersesuaian digabungkan dengan Satar, menjadi Aziz Satar, nama yang sinonim dengan pelakon dan pelawak terkenal, Allahyarham Aziz Satar. Kebetulan sahaja tetapi ada nilai komersial.

Warung Aziz Satar agak luas dan terdapat kira-kira 7 sudut/corner yang menjual berlainan juadah dan minuman, antaranya aneka makanan bakar, keropok lekor, aneka celup tepung, makanan panas, air tebu dan air kelapa. Pilihan kami adalah satar, otak-otak, pais, keropok lekor rebus, air kelapa muda dan air tebu 'pior'.

Bersama merasai keenakan juadah Pantai Timur
Secara peribadi, kami menyukai satar, air tebu dan air kelapa. Manakala pais dan otak-otaknya 'kurang menyengat' dan tidak sama seperti yang pernah kami makan sebelum ini. Mungkin itu resepi mereka tersendiri.

Sebelum bertolak pulang ke Ulu Kelang, kami bungkus satar dan keropok lekor sebagai buah tangan untuk keluarga terutama untuk si bongsu kami, Imran peminat utama satar.

Tidak dilupakan, berbanyak terima kasih kepada Yadi-Marina sekeluarga yang begitu beria-ia membawa kami berjalan-jalan cari makan di Dungun dan Cukai. Tercapai juga hajat mereka dan impian kami.

Tuesday, August 11, 2015

Selamat Pengantin Baru



Dalam Islam, perkahwinan adalah suatu ibadat dan sunnah Rasulullah s.a.w. yang merupakan perlaksanaan terhadap tuntutan fitrah manusia. Allah s.w.t. menjadikan manusia dengan fitrahnya yang ingin hidup berpasang-pasangan, berkasih-sayang, bahagia dan dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal. Fitrah tersebut dapat dilaksanakan melalui ikatan perkahwinan yang sah. Orang yang berkahwin akan dapat mengatur suatu kehidupan yang baik, sempurna dan penuh bertanggungjawab. Sabda Rasulullah s.a.w: "Daripada Anas r.a, katanya telah bersabda nabi s.a.w. bahawa perkahwinan adalah sunnahku, sesiapa yg benci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku". Copy and WIN : http://bit.ly/1J3vX3K

Copy and WIN : http://bit.ly/1J3vX3K
Dalam Islam, perkahwinan adalah suatu ibadat dan sunnah Rasulullah s.a.w. yang merupakan perlaksanaan terhadap tuntutan fitrah manusia. Allah s.w.t. menjadikan manusia dengan fitrahnya yang ingin hidup berpasang-pasangan, berkasih-sayang, bahagia dan dapat memenuhi tuntutan syahwatnya melalui cara yang halal. Fitrah tersebut dapat dilaksanakan melalui ikatan perkahwinan yang sah. Orang yang berkahwin akan dapat mengatur suatu kehidupan yang baik, sempurna dan penuh bertanggungjawab. Sabda Rasulullah s.a.w: "Daripada Anas r.a, katanya telah bersabda nabi s.a.w. bahawa perkahwinan adalah sunnahku, sesiapa yg benci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku". Copy and WIN : http://bit.ly/1J3vX3K

Copy and WIN : http://bit.ly/1J3vX3K
Hidup secara berpasangan antara lelaki dan wanita adalah fitrah semulajadi manusia. Di dalam Islam diwajibkan agar diikatkan dengan perkahwinan yang sah. Malah ianya suatu ibadah dan sunnah RasuluLLAH SAW. 
Daripada Anas bin Malik r.a., bersabda RasuluLLAH SAW, "Perkahwinan adalah sunnahku. Barangsiapa yang membenci sunnahku maka ia bukan dari golonganku"
Berlalu sahaja Ramadhan, saban hujung minggu ada sahaja majlis perkahwinan dilangsungkan. Malah ada yang bertindih tindan jemputan yang diterima.

Begitu juga kami. Hujung minggu baru-baru ini, pada tarikh yang cantik: 8 Ogos - 88 (orang Cina kata ada 'ong') telah berlangsung 3 majlis akad nikah dan kenduri kahwin di kalangan saudara mara terdekat kami. 

Azlan Ngadi dan pasangan (kredit WA)
Majlis pertama melibatkan anak saudara di Kuala Terengganu, anak sulung Kak Long Na-Abang Ya iaitu Muhammad Sopiyuddin yang diadakan di Kg. Chabang, Kerteh, Terengganu. Majlis kedua pula di Melaka iaitu Azlan Ngadi, sepupu Laili di sebelah abah. Manakala majlis ke tiga bertempat di Kg. Bkt Bangkong, Sungai Pelek, Sepang, Selangor, juga sepupu Laili tetapi di sebelah emak; Asma' Amin. 

Kepada para pengantin, Selamat Pengantin Baru - Moga diberkati dan dirahmati ILLAHI dan bahagia selamanya hingga membawa ke Jannah. Ameen.

Bagi setiap majlis, ada wakil dari kalangan ahli keluarga kami yang hadir menyerikan majlis. Bagi kami, tiada pilihan lain selain bergerak ke Kerteh. Bertolak dari Ulu Kelang sekitar jam 7:30 pagi, tiba di Kg Chabang 3 jam selepasnya. AlhamduliLLAH... bersekali dengaan kehadiran juru nikah, diikuti majlis kenduri.

AlhamduliLLAH segalanya berjalan lancar. Tiada adat istiadat yang melanggar adab-adab Islami. Jika ada adat pun hanya sekadar makan beradab ringkas di dalam rumah, jauh dari kesibukan kenduri di luar rumah yang juga dipisahkan ruang makan lelaki dan perempuan.

Sopiyuddin dan pasangan
Turut hadir bersama rombongan dari Kuala Terengganu adalah ibu bapa dan adik beradik pengantin, ibu bapa saudara dan datuk-nenek saudara. Selepas menjamu selera, kesemuanya bertolak pulang ke Kuala Terengganu. Manakala kami bergerak ke rumah sepupu Laili, Aryadi-Marina di Taman Panalex. Tinggallah Sopiyuddin dengan keluarga baru di Kg. Chabang. 

Inshaa ALLAH majlis kenduri di pihak lelaki pula akan diadakan  pada minggu ke empat bulan September nanti.

Majlisnya agak lewat sedikit, menunggu anak kedua Kak Long-Abang Ya; Muhammad Arif Mustaqim yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 18 September nanti di Felda Keratong, Pahang. Manakala anak ketiga mereka, Muhammad Alimi Fahmi telah pun mendahului hampir setahun lalu di Kuantan, Pahang. Ketiga-tiga pasangan pengantin ini akan diraikan di dalam Majlis 3 Dalam 1 (3 Pasangan dalam 1 Majlis) pada tarikh berkenaan.

Nampaknya dalam sebulan dua ini Kak Long-Abang Ya sekeluarga agak sibuk dengan majlis perkahwinan yang berturutan. Walaupun sibuk dan penat, namun rasa lega kerana anak-anak telah pun selesai berumahtangga dan teruja menerima orang baru dalam keluarga. TAHNIAH...!