Friday, June 28, 2013

Ralli Ilmu @ Hulu Kelang

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a., bahawasanya bersabda RasuluLlah SAW, "Barangsiapa keluar pada menuntut ilmu, adalah baginya pada jalan ALLAH (fiisabiliLlah) hinggalah ia pulang" (riwayat Imam at-Tarmizi)

Insya ALLAH, untuk kali ke-3nya, pihak Masjid al-Ridhuan akan mengadakan program pengisian ilmu sehari semalam pada esok hari, Sabtu 29 Jun 2013. 

Berdasarkan tentatif program yang dipamirkan, ralli ilmu ini bermula seawal jam 4:00 pagi dengan program Qiamullail yang akan dipimpin oleh Ustaz Dr. Badrolamin. Seterusnya pelbagai slot perkongsian ilmu diadakan bersama tokoh-tokoh agama tersohor tanah air terutama di sekitar Lembah Kelang. Pada sela masa tertentu, dimasukkan sama program Khatam Quran oleh 500 orang anak-anak Tahfiz Selangor dan juga Majlis Tahlil Perdana. Penutup kepada ralli ilmu ini adalah Ceramah Perdana yang bakal disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus.

Berikut adalah antara program yang dirancangkan:-

4:00 pagi - Qiamullail (Ust. Dr. Badrolamin)
6:00 pagi - Kuliah Subuh (Ust. Hanafiah Malek)
9:00 pagi - Kuliah Dhuha I (Ustz. Norhafizah Musa)
11:00 pgi - Kuliah Dhuha II (Ust. Dr. Zulkifli al-Bakri)
2:00 ptg   - Majlis Khatam Quran (anak2 Tahfiz)
                  (Jualan air khatam RM 5/botol 1.5L)
3:00 ptg   - Kuliah Zohor (Ust. Datuk Ismail Kamus)
5:00 ptg   - Forum Istimewa
                  - Ust. Haslin Bollywood
                  - Ust. Hariyanto Rizal
                  - Sdr. Amin Idris (moderator TV)
8:00 mlm  - Majlis Tahlil Perdana
                   (selepas solat Maghrib)
9:00 mlm  - Ceramah Perdana (Ust. Azhar Idrus)

Kepada para pencinta ilmu, elok sangatlah jika boleh berkampung sehari suntuk sehingga ke malam di Masjid al-Ridhuan. Inilah salah satu cara untuk mendapatkan saham ke Jannah kerana RasuluLlah SAW mengatakan majlis-majlis ilmu adalah sebahagian daripada taman-taman syurga.

Soal makan minum tiada masalah, banyak gerai jualan yang disediakan. Kemudahan bilik airya juga amat selesa. Tambahan pula ruangan dalam masjidnya telah pun dilengkapi kipas gergasi yang amat nyaman sekali hembusan anginnya (silap-silap boleh tertidur dibuatnya).

Kepada yang ingin hadir program di sebelah malam, adalah dinasihatkan datang awal, paling lewat pun sebelum waktu Maghrib. Jika tidak terpaksalah menapak jauh. Di pinggir MRR2 pun boleh diletak kenderaan, berkemungkinan pihak polis trafik/ RELA akan turut sama membantu.

Cuma ingin dikongsi bersama, terdapat suatu ruangan parkir bersebelahan SK Hulu Kelang yang berjarak sekitar 400 meter dari masjid. Selalunya kosong kerana sedikit tersorok. Laluan masuknya - dari MRR2, di penghujung pagar sekolah masuk ke Lorong Penghulu, di belakang Kediaman Penghulu adalah lokasinya. Untuk ke masjid, boleh berjalan melalui tepian MRR2 ataupun menyusuri jalan bertar di tepian sungai.

RasuluLlah SAW bersabda, "Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap mukmin lelaki dan perempuan".

"Ya ALLAH, kami mohonkan kepadaMU ilmu yang bermanafaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima. Ameen." (riwayat Ibnu Majjah)

Thursday, June 20, 2013

Kipas Gergasi @ Masjid al-Ridhuan

Masjid Al-Ridhuan, Ulu Kelang letaknya bersebelahan MRR2. Ianya menjadi tumpuan para musafir yang melalui lebuhraya berkenaan menyinggah untuk solat mahupun beristirehat. 

Tambahan pula kemudahan tandasnya yang baru dinaik taraf amat selesa dan setaraf dengan pusat sehenti R & R di lebuh raya utama. Tidak hairanlah Masjid Al-Ridhuan kini dikenali sebagai Pusat S & R (Solat dan Rehat).

Di mana-mana masjid dan surau pun, keselesaan para jemaah adalah menjadi keutamaan. Lebih-lebih lagi ketika solat Jumaat dengan ribuan Muslimin berkumpul setempat. Maka tidak hairanlah pemasangan pendingin hawa adalah menjadi pilihan yang popular di samping kipas-kipas yang sedia ada. Tidak terkecuali di Masjid Al-Ridhuan. 

Namun ianya tidak dapat menghilangkan bahang panas yang mendekam di dalam masjid. Ini kerana masjid ini adalah masjid lama dengan rekabentuk ruang solat yang luas dan tinggi. Malah lubang-lubang angin adalah sebahagian daripada ciri-ciri yang terdapat di masjid ini. 

Justeru itu kesejukan daripada pendingin hawa berserta puluhan kipas siling, kipas industri, kipas dinding dan kipas berdiri tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Penyelesaiaan terbaru adalah memasang kipas gergasi. Maka beberapa hari lalu, ianya menjadi realiti. Dua unit kipas berkenaan telah siap dipasang. Setiap kipas terdiri daripada 10 bilah, setiap bilah bersaiz 8 meter. Dikatakan berat kipas ini sekitar 300 kg. Emm.. bayangkan betapa kuat besi pemegang dan penyangga yang diperlukan. 

Menurut sumber tertentu, harga seunit kipas ini mencecah RM 45,000 dan mampu menjimatkan penggunaan elektrik sehingga 30%. Ada benarnya kerana apabila kipas ini berpusing, hampir semua kipas-kipas lain tidak dibuka. 

Jika diperhatikan, pusingan kipas gergasi ini tampak sentimental/ perlahan sahaja tetapi hembusan anginnya ibarat berada di tepian pantai. Fuhh... enak dan nyaman sekali. Cuma bagi yang memakai kain pelikat perlu berhati-hati, dibimbangi terselak pula kainnya ketika sujud. Nanti lain pula kesnya.

Bagi kami, inilah pertama kali kami melihat kipas sebesar itu. Walaupun kerap kali menyinggah di masjid-masjid di sepanjang perjalanan, tidak pernah kami temui kipas gergasi seumpamanya. 

Andaian kami mungkin inilah masjid pertama yang menggunakannnya. Setiap jemaah yang masuk ke ruang masjid pasti mendonggakkan kepala ke atas sambil berbisik kagum. Mungkin mereka pun tidak pernah melihat kipas seperti itu.

Rupa-rupanya telah banyak masjid dan tempat-tempat awam yang memasang kipas gergasi tersebut, antaranya di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat; Masjid Al-Imam as-Syafie, Taman Maluri dan UiTM Cawangan Pulau Pinang. Dengar khabar Masjid Sultan di Singapura antara pelopor terawal menggunakan kipas gergasi dari Australia ini.

Walau apa pun, bersyukur kehadrat Illahi atas anugerah dan nikmat yang tidak terhingga ini. Insya ALLAH setiap orang akan beroleh manafaat daripadanya, lebih-lebih lagi ketika beribadah di sepanjang Ramadhan nanti. 

Tunggu sahaja apa komen Ustaz Azhar Idrus ketika Majlis Ralli Ilmu #3 pada 29-Jun-2013 di Masjid Al-Ridhuan nanti.

Tuesday, June 18, 2013

Kuota Haji Kurang 20%

Menunaikan ibadah haji di Mekah adalah pelengkap kepada Rukun Islam yang lima. Tidak kiralah bagi yang mampu atau sebaliknya, sewajarnya ia menjadi impian setiap Muslim. Langkah pertama, mendaftar dahulu di Tabung Haji, selebihnya berusaha merealisasikannya. Insya ALLAH, dapat pergi atau pun tidak akan tetap diganjari pahala dan rahmatnya oleh ALLAH SWT, Tuhan Yang Maha Mengetahui.

Saban tahun, bagi setiap negara, pemergian ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji bergantung kepada kuota yang ditetapkan oleh Arab Saudi. Lazimnya satu peratus (1%) daripada jumlah penduduk sesebuah negara. 

Di Tangga Dataran Kaabah Pada Musim Haji 2012M
Dua tiga hari lepas terbaca di sebuah portal, kerajaan Arab Saudi telah mengarahkan kuota jemaah haji untuk tahun ini dikurangkan sebanyak 20% daripada tahun-tahun sebelumnya. Manakala bagi rakyatnya sendiri pula dikurangkan sehingga 50%.

Semalam berita ini telah disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khir Baharom setelah mendapat makluman rasmi daripada Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Firhad Al-Rashid tiga hari lalu.

Dalam diam, terdetik di sudut hati - AlhamduliLLAH, setinggi-tinggi kesyukuran kerana kami telah menjadi tetamu di rumahNya pada tahun lepas. Sebenarnya pada peringkat awal timbul juga kerisauan kuota dikurangkan kerana ketika itu kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram dan peruntuhan/ pembinaaan bangunan-bangunan hotel di sekitarnya giat dijalankan. Itulah ketentuanNYA. AlhamduliLLAH.

Difahamkan pengurangan kuota kali ini berikutan kerja-kerja pembesaran sekitar Masjidil Haram dan menaik taraf kawasan tawaf di Dataran Kaabah kepada laluan bertingkat.

Tentang kawasan tawaf ini, sememangnya telah disediakan laluan bertingkat untuk bertawaf tetapi laluannya agak jauh kerana mengambil ruang di sekeliling masjid menyebabkan masa bertawaf menjadi lebih panjang berbanding di Dataran Kaabah. Itu pun penuh sesak ketika waktu puncak musim haji. Jika laluan baru ini siap pasti dapat menampung lebih ramai jemaah.

Malah itulah perancangannya, selari dengan pembangunan pesat hotel-hotel puluhan tingkat di sekitar Masjidil Haram dan juga pembesaran masjid itu sendiri yang sedang giat dijalankan. Salah satu penyebab pengurangan kuota jemaah untuk tahun ini.

Berikut adalah video terkini kerja-kerja naik taraf sedang dijalankan.

Bagi jemaah haji Malaysia, kuotanya kira-kira 28,000 daripada jumlah penduduk seramai 28 juta orang. Bagi negara-negara yang padat penduduk, bilangan jemaahnya berkali-kali ganda walaupun kuotanya tetap 1%.

Contohnya, jemaah Indonesia mencecah 211,000 orang dan India seramai 170,000 orang. Ditambah pula dengan jemaah haji Iran, Pakistan, Bangladesh dan lain-lain negara. Bayangkan betapa sesaknya Masjidil Haram ketika puncak musim haji.

Dengan pengurangan kuota ini, seramai 5,600 orang bakal jemaah haji Malaysia dijangka terlibat pada tahun ini. Tidak dinafikan pasti ramai yang akan merasa kecewa jika tidak terpilih untuk menjadi tetamu ALLAH. Bayangkan lebih 1 juta yang menunggu giliran untuk ke Mekah tetapi masih tidak berpeluang.

Pembinaan Laluan Tawaf Bertingkat (Kredit: Hj Arshad)
Kepada pihak-pihak berwajib, khususnya Tabung Haji ingin saya sarankan, kurangkanlah semaksimum mungkin pelbagai kuota istimewa yang ada. Dahulukanlah orang-orang tua dan kurang upaya serta yang menunggu lama mendaftar di Tabung Haji.

Dari pengalaman dan pemerhatian kami, mereka ini lebih bersedia dan lebih berilmu untuk melaksanakan ibadah haji dengan baik dan sempurna berbanding dengan sebilangan besar yang mendapat kuota 'durian runtuh' yang banyak melakukan amalan ibadah yang bercanggah dengan ajaran Islam.


Untuk yang tidak terpilih, usahlah kecewa. Jika kita redha, pasti kita disayangiNYA. Sekiranya kita memberontak, seolah-olah kita mengingkari takdirNYA. Ingatlah pada ketentuan ILLAHI. Itulah sebahagian daripada ujian daripadaNYA. BaitulLLAH adalah rumah ALLAH, terserahlah padaNYA untuk menjemput sesiapa yang diinginiNYA.  Jika dipanjangkan usia, Insya ALLAH kita akan dijemputNYA pada tahun-tahun mendatang. Yakinlah, pasti ada hikmahNYA yang tidak terjangkau oleh akal kita.

Kepada yang terpilih, sekalung tahniah untuk anda. Ambillah peluang keemasan sekali seumur hidup ini untuk sentiasa mengabdikan diri kepadaNYA. Setiap detik yang ada, gunakanlah sebaik mungkin untuk berlama-lamaan di Masjid Nabawi, Madinah dan Masjidil Haram, Mekah serta menyelusuri sejarah nabawiyyah di kedua-dua Tanah Suci tersebut. Paling utama, berusahalah untuk melengkapkan diri dengan ilmu beribadah yang betul, bukannya bertaqlid atau bertalfiq buta mengikut orang.

Selamat Menunaikan Ibadah Haji. Sampaikan salam kami untuk junjungan mulia, RasuluLLAH SAW. Moga setiap amalan kita sentiasa di dalam redhaNYA. Ameen.

Wednesday, June 12, 2013

Teladan Abu Hurairah

Nama Abu Hurairah r.a. amat terkenal di kalangan umat Islam. Beliau adalah salah seorang sahabat RasuluLlah SAW yang banyak meriwayatkan hadis-hadis secara langsung daripada baginda SAW. 

Nama sebenar Abu Hurairah setelah memeluk agama Islam adalah Abdul Rahman bin Sakhr ad-Dausi. Gelaran Abu Hurairah telah diberikan oleh RasuluLlah SAW ketika mendapati betapa kasih dan sayangnya Abu Hurairah terhadap makhluk ALLAH SWT yang bernama kucing.

Diceritakan, suatu ketika Abu Hurairah mendatangi RasuluLlah SAW. Maka ditanya oleh RasuluLlah SAW apa yang ada di dalam lengan bajunya. Lalu dijawabnya anak kucing. Sedari itulah baginda SAW mengelarnya Abu Hurairah yang bermaksud Bapa Kucing Kecil. Bermula saat itu, Abdul Rahman lebih suka dipanggil Abu Hurairah tanpa merasa kecil hati atau terhina kerana ianya diberikan oleh RasuluLlah SAW.

Jadi, jika di zaman ini kita berjumpa dengan insan yang menyayangi kucing, amatlah layak digelarkan mereka Abu Hurairah.

Teringat saya akan kisah di setiap awal pagi, menjelang masuknya waktu Subuh di Masjid al-Ridhuan, Ulu Kelang. Ketika tiba di perkarangan masjid menghadap MRR2, pasti akan kelihatan seorang jemaah lelaki sekitar usia 50an berlegar-legar mencari dan memanggil kucing-kucing yang berkeliaran di sekitar masjid. Kucing-kucing ini pula sudah memakluminya dan setiap pagi akan menunggu-nunggu kehadiran jemaah ini.

Berbekalkan paket plastik makanan kucing berjenama setiap kucing ini akan disuakan makanan berkhasiat ini. Tidak hairanlah kucing-kucing ini tampak sihat dan gebu. 

Betapa besarnya pahala, barakah dan rahmat ALLAH SWT yang Abu Hurairah ini perolehi dengan hanya memberi makan kucing sahaja. Apatah lagi kucing adalah salah seekor haiwan yang amat disayangi oleh baginda SAW. Malah baginda amat dukacita kiranya mendengar ada orang yang menyakiti kucing seperti tidak memberi makan ketika ianya kelaparan sehingga mengancam tempatnya di akhirat adalah neraka. NauzubiLlahi minzalik.

Moga ada manafaatnya.

Tuesday, June 11, 2013

Kembali Ke Sekolah

Cuti sekolah Penggal II 2013 selama 2 minggu telah pun berakhir. Pasti ramai yang merasakan jarak waktu 2 minggu amat pendek, lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang tinggal di asrama.

Suka atau tidak masing-masing perlu menerima hakikat bahawa perjuangan sebagai seorang pelajar wajib diteruskan. Bukan sahaja anak-anak kembali kepada rutin harian, malah setiap orang pun kembali merasai kesannya termasuk ibu bapa/ penjaga, guru-guru dan pengguna jalan raya. Malah para peniaga/ pengusaha kecil juga kembali bergerak aktif.

Bagi kami sekeluarga tiada terkecuali. Di awal cuti, anak-anak kelihatan begitu teruja sekali. Lebih-lebih lagi semuanya dapat berkumpul bersama. Izzuddin dan Solehah yang tinggal di asrama terlebih lagilah. Si bongsu Imran pula seronok sekali menyakat dan mengusik abang dan kakaknya yang lama tidak bertemu. Selama ini hanya Hanisah yang menjadi temannya di rumah, di samping sepupu-sepupunya yang lain.

Di penghujung minggu kedua, bermulalah detik-detik sedih. Hari Khamis, Izzuddin kembali ke asrama MRSM Serting kerana kelas tambahan SPMnya akan bermula secara intensif pada keesokan harinya. AlhamduliLlah, semangatnya untuk merangkul kejayaan cemerlang begitu menyerlah. Moga tercapai apa yang diimpi-impikannya. Ameen.

Hari Jumaat, bersama Solehah dan Imran, kami bertolak pulang ke rumah orang tua di Kuala Terengganu. Terubat rindu setelah bertentangan mata dengan Ayah yang bersendirian setelah Che' dijemput olehNYA hampir 8 bulan lalu.

Petang Sabtu, Solehah kembali ke asrama MRSM Kota Putera, Besut. Kesedihan yang amat dirasai olehnya. Berpisah bagaikan ditinggalkan sendirian di perantauan, jauh dari ibu ayah dan keluarga tercinta.

Itulah hakikat yang perlu diterima. Sesiapa pun yang berjauhan pasti mengalaminya. Namun, demi sebuah perjuangan murni (menuntut ilmu), Solehah sewajarnya pasrah.

Emm... amat mudah untuk diungkapkan tetapi pedih untuk ditanggung oleh empunya badan. Air mata berlinangan berserta lambaian lemah ketika kereta mulai bergerak meninggalkan kawasan asrama.

Malamnya, kami bermalam di Kuala Terengganu.

Pagi Ahad, menghampiri jam 8:30 pagi, kami bertolak pulang ke Ulu Kelang melalui LPT Telemong-Bukit Besi, Jalan AMBS ke LPT Jabor-Karak dan Lebuhraya Karak ke MRR2. AlhamduliLlah, perjalanan kami lancar tanpa mengalami sebarang kesesakan jalan raya. Sesuatu yang amat dibimbangi. Lazimnya begitu, sehari sebelum sekolah dibuka lebuhraya-lebuhraya utama pasti padat dan sendat dengan kenderaan yang bergerak masuk ke Lembah Kelang.

Kami tiba di Ulu Kelang kira-kira jam 1:00 tengahari (4 1/2 jam). Sempat lagi kami memenuhi jemputan walimah seorang rakan sekerja Laili di Hulu Langat. AlhamduliLlah.

Tuesday, June 4, 2013

Jalan2 Ke Paya Indah Wetland

Cuti sekolah, anak-anak semuanya ada di rumah. Bersama berkumpul di rumah @ Saujana Puchong yang hanya didiami setiap hujung minggu dan cuti sekolah. Meriah sepanjang masa. Lebih-lebih lagi dengan keletah usik mengusik abang-adik dan kakak. Demikianlah lakunya apabila bertemu. Kami tumpang seronok walaupun adakalanya gurau senda berakhir dengan sengketa.

Lazimnya setiap kali cuti panjang, kami akan membawa anak-anak berjalan-jalan makan angin. Kami sememangnya amat teruja dengan kehijauan, keindahan dan keunikan tanah air tercinta. Jauh dekat bergantung kepada keadaan. 

Salah satu tempat yang kami idamkan untuk kunjungi adalah Paya Indah Wetland yang terletak di KM 4, Jln Dengkil-Banting di dalam Daerah Kuala Langat, Selangor. Hanya kurang lebih 30km dari rumah kami dan dikatakan sekitar 50km jaraknya daripada Kuala Lumpur.

Paya Indah berkeluasan kira-kira 3,100 hektar. Untuk bergerak, para pengunjung boleh memilih samada ingin berkenderaan sendiri ataupun menaiki basikal yang disediakan dengan sewa RM5/ buah/ 2 jam.

Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di Paya Indah ini termasuk dewan seminar/ mesyuarat, dewan terbuka, bangunan penyelidikan, rumah penginapan, kawasan perkhemahan, kawasan rekreasi, hutan rentas dan menara tinjau. Manakala kolam dan tasik pula ada  fungsinya tersendiri seperti memancing, berkayak, ternakan ikan dan juga habitat bunga-bungaan air. Di samping itu terdapat juga bermacam jenis haiwan peliharaan, antaranya badak air, buaya tembaga, merak, kura-kura dan ratusan burung-burung air.

Pagi Ahad, menghampiri jam 10:00 pagi kami tiba di Paya Indah Wetland. Masuk percuma. AlhamduliLlah. Cuma kami perlu mendaftar di Kaunter Pendaftaran tidak jauh daripada pintu masuk dengan diberikan penerangan ringkas oleh petugas berserta pas pelawat dan peta kawasan. 

Bersebelahannya adalah deretan basikal menunggu untuk disewa. Sayangnya basikal-basikal ini tidak disenggarakan dengan baik. Banyak yang rosak dan tidak boleh digunakan seperti rantainya putus/ kendur, rim tayar bengkok dan tempat duduk tercabut. Kami menyewa 3 buah basikal, ditunggangi oleh ibu Laili, Izzuddin dan Hanisah. Manakala Solehah dan Imran berserta ayah memilih untuk menaiki kereta serta berjalan kaki.

Kundra dan Juwita Sedang Bersarapan
Tumpuan pertama kami adalah ke Kolam Hippo. Jika dibandingkan dengan di zoo, kolamnya amat luas. Difahamkan badak-badak ini berasal dari Botswana, Afrika.

Di sini terdapat 4 ekor badak air - seekor jantan berusia 19 tahun, diberi nama Kundra, 2 ekor betina iaitu Juwita berusia 16 tahun dan Chendana berumur 17 tahun berserta anaknya yang masih kecil, Lily.

Kami sedikit terlewat tiba di kandang hippo. Aktiviti harian memberi makan badak air dilakukan setiap hari pada jam 10:00 pagi. Terlepas peluang melihat bagaimana pasangan Kundra-Juwita membaham betik dan pisang dengan penuh berselera. Menurut petugas, Chendana dan Lily terpaksa dikurung bagi mengelakkan Lily daripada mengalami tekanan.

Dari Kolam Hippo, kami bergegas pula ke Kolam Buaya yang juga amat luas. Di permukaan air berhadapan tempat memberi makan kelihatan hampir 20 ekor buaya tenang mengapungkan diri menunggu saat diberi makan. Rutin masa yang diingati oleh setiap sang bedal di kolam tersebut.

Aktiviti memberi makan buaya dilangsungkan jam 11:00 pagi.  Peliknya bukan setiap hari tetapi hanya pada cuti hujung minggu dan cuti umum sahaja. Khusus untuk tontonan pengunjung. Hari-hari lain buaya-buaya yang berjumlah hampir 50 ekor di kolam tersebut tidak diberi makan. Eh..eh.. kasihan buaya-buaya tu kena dera..!

Sang Bedal Sedang Menjamu Selera
Rupa-rupanya sudah begitu dietnya. Buaya hanya makan sekali seminggu sahaja. Ya ke lagu tu? Entahlah, itulah kata-kata petugas yang memberi penerangan ketika sesi berkenaan.

Emm... ada kebenarannya kerana buaya-buaya tersebut macam tidak berselera atau buat tidak kisah sahaja apabila bangkai-bangkai ayam dicampakkan ke kolam. Mungkin buaya-buaya tersebut telah pun kekenyangan menjamu selera sehari sebelumnya (Sabtu). Malah hanya beberapa ekor sahaja dari kelompok yang berapungan yang menyambar makanan yang diberi.

Dari pemerhatian kami, para pengunjung lebih teruja untuk melihat aksi buaya menyambar makanan berbanding menonton aksi badak air makan. Perbandingan dibuat dari jumlah penonton yang berkerumun di antara 2 kolam tersebut. Itu hanya andaian kami. Mungkin juga mereka tiba selepas jam 10:00 pagi, jadi tumpuan mereka terus ke Kolam Buaya. Walau apa pun dan walau di mana jua, aktiviti memberi makan haiwan sentiasa menjadi tumpuan pengunjung.

Imran Dengan Gaya Pengembara
Tamat acara di Kolam Buaya, kami terus beransur-ansur bergerak keluar. Masing-masing kelihatan telah kepenatan dan kelaparan. Sambil berjalan kami sempat menyinggah di Kolam Undan Putih - burung-burung sedang berihat di hujung kolam.

Selepas itu menyinggah pula di Tasik Teratai - bunga-bungaan teratai putih dan merah jambu sedang berkembang mekar melatari permukaan tasik. Indah sekali. Kelompok angsa dan itik pula tampak santai berenang-renang di celah-celah pepohonan teratai.

Kami tidak boleh berlama-lamaan di Paya Indah Wetland. Di sebelah tengahari kami ada jemputan walimah saudara-mara di Bandar Tun Razak, Cheras. Insya Allah kami akan datang lagi di lain ketika untuk menerokai lain-lain tempat di dalam Paya Indah Wetland. Masih banyak lagi tempat menarik yang belum disinggahi.