Thursday, June 20, 2013

Kipas Gergasi @ Masjid al-Ridhuan

Masjid Al-Ridhuan, Ulu Kelang letaknya bersebelahan MRR2. Ianya menjadi tumpuan para musafir yang melalui lebuhraya berkenaan menyinggah untuk solat mahupun beristirehat. 

Tambahan pula kemudahan tandasnya yang baru dinaik taraf amat selesa dan setaraf dengan pusat sehenti R & R di lebuh raya utama. Tidak hairanlah Masjid Al-Ridhuan kini dikenali sebagai Pusat S & R (Solat dan Rehat).

Di mana-mana masjid dan surau pun, keselesaan para jemaah adalah menjadi keutamaan. Lebih-lebih lagi ketika solat Jumaat dengan ribuan Muslimin berkumpul setempat. Maka tidak hairanlah pemasangan pendingin hawa adalah menjadi pilihan yang popular di samping kipas-kipas yang sedia ada. Tidak terkecuali di Masjid Al-Ridhuan. 

Namun ianya tidak dapat menghilangkan bahang panas yang mendekam di dalam masjid. Ini kerana masjid ini adalah masjid lama dengan rekabentuk ruang solat yang luas dan tinggi. Malah lubang-lubang angin adalah sebahagian daripada ciri-ciri yang terdapat di masjid ini. 

Justeru itu kesejukan daripada pendingin hawa berserta puluhan kipas siling, kipas industri, kipas dinding dan kipas berdiri tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Penyelesaiaan terbaru adalah memasang kipas gergasi. Maka beberapa hari lalu, ianya menjadi realiti. Dua unit kipas berkenaan telah siap dipasang. Setiap kipas terdiri daripada 10 bilah, setiap bilah bersaiz 8 meter. Dikatakan berat kipas ini sekitar 300 kg. Emm.. bayangkan betapa kuat besi pemegang dan penyangga yang diperlukan. 

Menurut sumber tertentu, harga seunit kipas ini mencecah RM 45,000 dan mampu menjimatkan penggunaan elektrik sehingga 30%. Ada benarnya kerana apabila kipas ini berpusing, hampir semua kipas-kipas lain tidak dibuka. 

Jika diperhatikan, pusingan kipas gergasi ini tampak sentimental/ perlahan sahaja tetapi hembusan anginnya ibarat berada di tepian pantai. Fuhh... enak dan nyaman sekali. Cuma bagi yang memakai kain pelikat perlu berhati-hati, dibimbangi terselak pula kainnya ketika sujud. Nanti lain pula kesnya.

Bagi kami, inilah pertama kali kami melihat kipas sebesar itu. Walaupun kerap kali menyinggah di masjid-masjid di sepanjang perjalanan, tidak pernah kami temui kipas gergasi seumpamanya. 

Andaian kami mungkin inilah masjid pertama yang menggunakannnya. Setiap jemaah yang masuk ke ruang masjid pasti mendonggakkan kepala ke atas sambil berbisik kagum. Mungkin mereka pun tidak pernah melihat kipas seperti itu.

Rupa-rupanya telah banyak masjid dan tempat-tempat awam yang memasang kipas gergasi tersebut, antaranya di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat; Masjid Al-Imam as-Syafie, Taman Maluri dan UiTM Cawangan Pulau Pinang. Dengar khabar Masjid Sultan di Singapura antara pelopor terawal menggunakan kipas gergasi dari Australia ini.

Walau apa pun, bersyukur kehadrat Illahi atas anugerah dan nikmat yang tidak terhingga ini. Insya ALLAH setiap orang akan beroleh manafaat daripadanya, lebih-lebih lagi ketika beribadah di sepanjang Ramadhan nanti. 

Tunggu sahaja apa komen Ustaz Azhar Idrus ketika Majlis Ralli Ilmu #3 pada 29-Jun-2013 di Masjid Al-Ridhuan nanti.

No comments: