Wednesday, December 31, 2014

Nahas QZ8501 : TAKZIAH...!

Penantian itu satu penyeksaan. Namun menghadapi kenyataan adalah lebih menyeksakan. Itulah hakikat yang perlu dilalui oleh para waris Penerbangan AirAsia Indonesia QZ8501 yang dilaporkan terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara pada pagi Ahad lalu. Kejadian berlaku di ruang udara antara Kalimantan dan Pulau Belintung di Laut Jawa.

Pelbagai spekulasi timbul. Semuanya masih mengharap. Selagi tidak ditemui bangkai pesawat, maka selagi itulah harapan masih ada.

 
Satu tragedi seumpama kehilangan MH370 pada awal Mac lalu di mana sehingga kini masih belum dapat dikesan nasibnya. Pada masa yang sama, kesedihan MH17 yang ditembak 'pengganas' di Ukraine pada Julai lalu masih lagi belum hilang sepenuhnya.

Akhirnya penantian ada noktahnya. Setelah 3 hari operasi pencarian dilakukan, pagi semalam, beberapa mayat dan serpihan berserta barangan ditemui terapung-apung di perairan Selat Karimata, kira-kira 10 batu nautika daripada lokasi terputus hubungan. Dan disahkan ianya adalah milik QZ8501.

Sebahagian serpihan QZ8501 di Selat Karimata
Suasana pilu dan mengharukan menyelubungi Pusat Krisis Lapangan Terbang Juanda. Di sebalik raung tangis dan saling berpelukan, terdapat waris yang pengsan menerima perkhabaran menyedihkan ini.

Sebagai orang luar, kami turut merasakannya. Tiada kata yang dapat kami luahkan selain daripada "Moga kalian tabah menerima dugaan dan ujian kehidupan ini. Sesungguhnya setiap insan akan tetap meninggalkan dunia ini, cuma bagaimana caranya tiada siapa yang dapat menjangkakannya. Segalanya itu adalah urusan ALLAH".

Kepada yang beriman kepada ALLAH SWT dan Hari Akhirat, redhalah setiap ketentuan daripadaNYA. Doakan moga ALLAH SWT mengampuni setiap dosa mereka dan digolongkan di kalangan hamba-hambaNYA yang dirahmati. Ameen.

Salam TAKZIAH untuk keluarga penumpang dan kru AirAsia QZ8501.

Thursday, December 18, 2014

Kelate > Muzium Adat dan Masjid Kg Laut


Seusai majlis walimah adinda Nordin-Rahaslina di Ketereh pada petang Jumaat (12/12/2014), kami terus mendaftar masuk ke Hotel Perdana di tengah Bandaraya Islam Kota Bharu. Tidak melepaskan kesempatan untuk melancong di negeri Cik Siti Wan Kembang yang terkenal dengan budaya dan cara hidup Islam. Sekaligus memenuhi permintaan anak bongsu kami, Imran untuk berjalan-jalan makan angin ketika cuti persekolahan akhir tahun ini.

Hotel dari arah kolam mandi
Hotel Perdana Kota Bharu

Langkah pertama Imran ketika di hotel adalah masuk ke kolam mandi. Keesokan paginya sekali lagi Imran turun ke kolam. Itulah yang telah lama diidam-idamkannya. Akhirnya tercapai juga. Lebih-lebih lagi dapat berendam di kolah jakuzi. Terserlah keseronokan dan keterujaan pada wajahnya. 

Sememangnya Hotel Perdana di Jalan Mahmud dengan 272 buah bilik ini tampak indah dan anggun, sesuai dengan status 5 bintangnya. Namun kedapatan sedikit sebanyak kekurangan yang perlu diperbaiki agar lebih menepati syariah (syariah compliant), antaranya sewajarnya azan diperdengarkan pada setiap kali masuk waktu, surau diimarahkan dengan solat berjemaah, tiada percampuran lelaki-wanita ketika menggunakan kolam mandi dan ditetapkan kod etika pakaian mandi tertutama bagi wanita.

Bersantai di Jakuzi
Kami dimaklumkan oleh pelayan hotel, Pasar Malam Wakaf Che' Yeh adalah antara tarikan utama para pelancong. Pasar malam yang luas ini beroperasi sehingga menjelang waktu Subuh dengan jualan pelbagai barangan.

Kami tidak pergi ke pasar, sekadar singgah makan malam di warung/ restoran tepian jalan di Wakaf Che' Yeh . Anak-anak dah kepenatan, masing-masing menolak untuk berjalan lagi. Hanya tilam dan bantal yang menjadi idaman.

Keesokan paginya kami bersarapan di Cerana Coffe House yang terletak bersebelahan kolam mandi. Bermacam juadah terhidang, pilihlah mana yang disukai terutamanya makanan tradisi Kelantan, antaranya nasi kerabu, laksam dan laksa. Itulah juga antara pilihan kami.

Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan

Bergerak dari Hotel Perdana sekitar jam 11:30 pagi pada keesokan harinya, kami terus menuju ke Muzium Adat Istiadat Diraja yang terletak bersebelahan Gerbang Sultan Ismail Petra, Istana Balai Besar dan Masjid Muhammadi. Muzium 2 tingkat ini asalnya adalah Istana Raja Bendahara Tengku Long Kundor ibni Sultan Ahmad. Ianya lebih dikenali sebagai Istana Jahar dan telah siap dibina pada tahun 1887. Istana ini melambangkan rekabentuk tradisional dengan dilengkapi hiasan kesultanan Kelantan.

Terdapat 2 galeri utama. Galeri di tingkat bawah mempamerkan Adat Istiadat Perkahwinan Diraja iaitu pertunangan dan persandingan, Istiadat Puri Peraduan, jenis-jenis tekstil tradisional tempatan, barangan perhiasan dan barangan tembaga.

Adat Istiadat Melenggang Perut
Manakala galeri di tingkat atas pula mempamerkan Adat Istiadat Menyambut Kelahiran Diraja seperti melenggang perut, beranak, membelah mulut, berendoi, mencukur jambul, pijak tanah, bersiram dan berkhatan.

Bagi setiap adat istiadat tersebut tertera helaian penerangan dwi bahasa bagi memberi pemahaman disertakan dengan pelbagai peralatan, bahan-bahan dan gambaran adat istiadat. Semuanya dilatari warna kuning - warna diraja.

Kebanyakan daripada adat-adat ini bukan sahaja diamalkan oleh kerabat diraja tetapi turut dilakukan oleh orang awam. Sebahagian daripadanya pernah kami lihat ketika kanak-kanak dahulu. Cuma kini ianya semakin ditinggalkan kerana sebahagiannya mempunyai elemen khurafat dan tahyul.

Namun bagi generasi sekarang ianya amat elok untuk diketahui sebagai tinggalan sejarah. Malah itulah yang ditekuni oleh anak-anak kami terutama Imran. Bagi mereka segalanya amat asing dan perlu dipandu bimbing bagi memahamkannya.

Balai Senjata

Menarik... banyak pengetahuan baru

Di belakang Istana Jahar adalah Balai Senjata. Pelbagai jenis senjata lama dipamerkan di galeri atas rumah seperti keris, lembing, tombak, rencung, pedang, beladau, kapak, kelewang, badik, beliung, golok, parang, serampang, sengat pari, cucuk sanggul dan banyak lagi.

Senjata-senjata ini dikategorikan berdasarkan kaedah penggunaannya seperti senjata menetak, melibas, menikam, membaling dan lain-lain. Sebahagian daripada senjata ini terutamanya keris dinyatakan asal usulnya seperti keris Semenanjung, Jawa, Pattani dan Madura.

Di bahagian bawah rumah pula dipamerkan beberapa model rumah tradisional Kelantan seperti rumah tiang dua belas dan rumah kampung serta beberapa buah perahu dan sampan.

Kesemua bahan sejarah ini amat menarik hati dan minat kami terhadap budaya hidup orang-orang dahulu terutama masyarakat Kelantan.

Terletak di sebelah belakang Muzium Adat Istiadat Diraja, terdapat beberapa lagi muzium iaitu Muzium Kraftangan, Muzium Diraja, Muzium Islam dan Muzium Perang. Manakala Muzium Negeri pula terletak tidaklah jauh sangat daripadanya iaitu di Jalan Hospital. Namun dek kesuntukan masa, kami tidak berkesempatan untuk melanjutkan penerokaan kami ke tempat pengumpulan sejarah berkaitan.

Masjid Muhammadi

Hadapan Ruangan Solat Wanita di Masjid Muhammadi
Masjid Muhammadi yang terletak bersebelahan muzium juga menarik perhatian kami. Tidak sempat untuk kami menerokai, cukup sekadar melihat persekitarannya ketika menyinggah untuk bersolat jamak. Menariknya, ruang solat lelaki dan wanita terpisah di dua bangunan yang berlainan, dicantumkan oleh gerbang/arca menara.

Masjid ini asalnya diberi nama Masjid Besar Kota Bharu, juga dikenali sebagai Masjid Negeri. Ianya telah dibina pada tahun 1867 ketika pemerintahan Sultan Muhammad II menggunakan kayu. Pengubahsuaian kepada struktur konkrit pula telah dilakukan pada tahun 1922 dan ditukar nama kepada Masjid Muhammadi pada 31 Julai 1931.

Masjid ini terkenal di alam Nusantara sebagai pusat penyebaran dan pendidikan ilmu agama oleh para ulama besar, antaranya Tok Kenali dan Tuan Taba sehingga Kelantan dikenali sebagai Serambi Mekah. 

Masjid Kg. Laut

Selesai bersolat jamak Zohor-Asar di Masjid Muhammadi, kami terus bergerak ke Nilam Puri. Tumpuan kami adalah Masjid Kg Laut. Difahamkan ianya adalah masjid tertua di Malaysia menjadikan satu-satunya mercu tanda sejarah Islam khususnya di Kelantan.

Masjid Lama Kg Laut di Nilam Puri
Terpesona kami melihat masjid hitam berdinding kayu yang amat indah ini. Nilai sejarahnya amat tinggi dan mengkagumkan. Inilah antara warisan turun temurun yang sewajarnya dijaga dengan sebaiknya.

Tapak asal masjid ini adalah di Kg Laut, Tumpat, Kelantan tetapi telah dipindahkan ke tapak sekarang pada tahun 1968 setelah ianya rosak teruk dilanda banjir besar pada akhir tahun 1966.

Dikisahkan bahawa masjid ini telah dibina pada abad ke 15 oleh sekumpulan alim ulama yang berulang alik dari Champa dan Jawa dengan dibantu oleh penduduk setempat. Ciri-ciri rekabentuknya mempunyai persamaan dengan Masjid Kuno di Champa dan Masjid Agung Damak di Jawa yang telah dibina pada tahun 1401. 

Uniknya masjid ini, pembinaannya tidak menggunakan sebarang paku, sekadar dipasak dengan potongan kayu dan buluh sahaja. Sekaligus membuktikan kemahiran tinggi para tukang rumah di zaman dahulu, sehingga kini ianya masih kukuh dan utuh.

Kepada yang berminat dengan foto, sebahagian daripadanya terdapat di Album Foto Kami di kiri laman atau klik di sini

Melewati jam 4:00 petang, kami mula bergerak ke Terengganu. Menyinggah bermalam di rumah ayahanda di Telok Menara, seterusnya bertolak pulang ke Ulu Kelang pada pagi keesokan harinya.

Monday, December 15, 2014

Selamat Pengantin Baru

Hari Bahagia Din dan Ina
Di hujung minggu baru-baru ini kami sekeluarga berada di Ketereh, Kelantan - meraikan hari bahagia bagi kedua mempelai; adinda kami, Nordin Mohd Noor bersama pasangannya, Rahaslina Abdul Ramli. 

Selamat Pengantin Baru Din dan Ina.

Tidak dilupakan, ucapan selamat pengantin baru kepada adinda di Ulu Kelang, Nasrul Hadi Mohd Tauhid yang juga mengakhiri usia bujangnya 2 minggu sebelumnya, juga dengan oghe Kelate iaitu Asmar Hafizah di Tanah Merah.

Moga kedua-dua pasangan ini sentiasa dirahmati Illahi hingga ke akhir hayat, kekal bahagia selamanya sehingga membawa ke Jannatul Firdaus.

Inshaa ALLAH majlis walimah di sebelah pengantin lelaki bagi kedua-dua pasangan ini akan diadakan berturutan akhir minggu dalam seminggu dua ini. Pada akhir minggu ini (20/12//2014) adalah majlis di Ulu Kelang, manakala minggu selepasnya (26/12/204) pula di Kuala Terengganu. 

Sememangnya sepanjang cuti persekolahan akhir tahun ini, kami agak sibuk sedikit - berkejar ke Tanah Merah, Ketereh, Ulu Kelang dan Kuala Terengganu. Walaupun agak penat tetapi kami merasa amat gembira kerana masing-masing telah pun berkeluarga, memenuhi salah satu sunnah RasuluLLAH SAW yang amat diberati kepada umatnya.
 
Juga ucapan Selamat Pengantin Baru kepada para penjenguk Salam Monash yang baru menyambut hari bahagia sebagai pasangan sehidup semati. Moga kita semua beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan berlebihan lagi di akhirat. Ameen.

Tuesday, December 9, 2014

Menerjah Big Bad Wolf Di Pagi Buta

The Big Bad Wolf Book Sale datang lagi. Masih lagi di lokasi yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu di Malaysia International Exhibition and Convention Centre (MIECC) di The Mines, Seri Kembangan.

Jualan mega jutaan buku dengan potongan harga yang maha hebat ini telahpun beberapa hari berlalu dan akan berakhir pada 16/12/2014. 

Paling menarik, ianya dibuka 24 jam sehari semalam, non stop. Datanglah pukul berapa pun ianya masih dibuka. Tambahan pula kini adalah musim cuti persekolahan, amat sesuai membawa anak-anak memilih buku-buku kegemaran bagi mengisi senggang masa lapang mereka yang panjang.

Imran ralit memilih buku
Bagi kami sekeluarga, The Big Bad Wolf Book Sale adalah acara jualan buku tahunan yang menjadi tumpuan kami di samping Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan pada awal tahun. Lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang amat menggemari bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris di mana hampir semuanya terbitan luar negara. Paling utama adalah banyak pilihan dan harganya pula amat murah, sekitar RM 5 - RM 15 sebuah. Berbaloi... amat berbaloi.

Untuk tahun ini pun kami tidak lepaskan peluang keemasan ini. Cuma kali ini kami terpaksa ambil tindakan sedikit gila. Dek kesuntukan masa dengan bermacam urusan di siang hari, kami terjah MIECC pada awal pagi, sekitar jam 2:30 pagi Ahad baru-baru ini. Kesemua anak-anak tidak kisah malah amat teruja menunggu masa dikejutkan dari tidur.

Setibanya di ruang pemeran, suasananya masih lagi meriah. Pengunjungnya masih lagi ramai, akhirnya beransur-ansur berkurangan. Dengan keadaan lenggang, lebih memudahkan bagi kami bergerak dan membuat pilihan. Anak-anak pula bebas mencari bahan yang mereka sukai.

Solehah dengan pilihan sendiri
Pelbagai ragam dan pemandangan dapat dilihat. Ramai para ibu-bapa yang turut membawa anak-anak kecil bersama samada dikendong di dada atau ditolak di dalam stroller. Malah masih kedapatan anak-anak yang masih segar dan ceria.

Sebahagian pengunjung telah pun bersedia dengan troli pasar mahu pun bagasi beroda bagi mengisi buku-buku yang menarik hati. Selebihnya ramai yang mengelek kotak-kotak yang disediakan, bergerak penuh minat dari booth ke booth. Kami sendiri terpaksa membawa kotak, beg sandang, shopping bag kerana terlupa menyediakan troli seperti tahun sebelumnya.

Ruang pameran MIECC luas terbentang, saujana mata memandang dengan deretan booth buku mengikut genre dan kategori tertentu seperti General Fiction, Non Fiction, Young Adult, Children, Travel Cookery, Readest Digest, Magazines dan bermacam lagi.

Sebahagian koleksi terbaru
Kesemuanya dalam Bahasa Inggeris kecuali buku-buku di ruangan Malay Books yang amat terhad - kebanyakannya novel dan buku umum sahaja. Mungkin pihak penganjur (BookXcess) dengan kerjasama dengan penerbit-penerbit buku tempatan dapat menambah koleksi Buku-buku Melayu di masa hadapan.

Hampir 3 jam berlegar ke hulu ke hilir, akhirnya kami bergerak ke suatu sudut di tepi ruang pameran untuk berehat sambil mebelek dan menyisih buku-buku mengikut keperluan. Selebihnya diserahkan kepada petugas untuk disusun kembali di tempatnya.

AlhamduliLlah, perjalanan yang lancar di awal pagi, kami tiba di rumah sejurus sebelum azan Subuh berkumandang. Semuanya tampak ceria dengan hasil yang diperolehi di pagi buta.