Thursday, December 18, 2014

Kelate > Muzium Adat dan Masjid Kg Laut


Seusai majlis walimah adinda Nordin-Rahaslina di Ketereh pada petang Jumaat (12/12/2014), kami terus mendaftar masuk ke Hotel Perdana di tengah Bandaraya Islam Kota Bharu. Tidak melepaskan kesempatan untuk melancong di negeri Cik Siti Wan Kembang yang terkenal dengan budaya dan cara hidup Islam. Sekaligus memenuhi permintaan anak bongsu kami, Imran untuk berjalan-jalan makan angin ketika cuti persekolahan akhir tahun ini.

Hotel dari arah kolam mandi
Hotel Perdana Kota Bharu

Langkah pertama Imran ketika di hotel adalah masuk ke kolam mandi. Keesokan paginya sekali lagi Imran turun ke kolam. Itulah yang telah lama diidam-idamkannya. Akhirnya tercapai juga. Lebih-lebih lagi dapat berendam di kolah jakuzi. Terserlah keseronokan dan keterujaan pada wajahnya. 

Sememangnya Hotel Perdana di Jalan Mahmud dengan 272 buah bilik ini tampak indah dan anggun, sesuai dengan status 5 bintangnya. Namun kedapatan sedikit sebanyak kekurangan yang perlu diperbaiki agar lebih menepati syariah (syariah compliant), antaranya sewajarnya azan diperdengarkan pada setiap kali masuk waktu, surau diimarahkan dengan solat berjemaah, tiada percampuran lelaki-wanita ketika menggunakan kolam mandi dan ditetapkan kod etika pakaian mandi tertutama bagi wanita.

Bersantai di Jakuzi
Kami dimaklumkan oleh pelayan hotel, Pasar Malam Wakaf Che' Yeh adalah antara tarikan utama para pelancong. Pasar malam yang luas ini beroperasi sehingga menjelang waktu Subuh dengan jualan pelbagai barangan.

Kami tidak pergi ke pasar, sekadar singgah makan malam di warung/ restoran tepian jalan di Wakaf Che' Yeh . Anak-anak dah kepenatan, masing-masing menolak untuk berjalan lagi. Hanya tilam dan bantal yang menjadi idaman.

Keesokan paginya kami bersarapan di Cerana Coffe House yang terletak bersebelahan kolam mandi. Bermacam juadah terhidang, pilihlah mana yang disukai terutamanya makanan tradisi Kelantan, antaranya nasi kerabu, laksam dan laksa. Itulah juga antara pilihan kami.

Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan

Bergerak dari Hotel Perdana sekitar jam 11:30 pagi pada keesokan harinya, kami terus menuju ke Muzium Adat Istiadat Diraja yang terletak bersebelahan Gerbang Sultan Ismail Petra, Istana Balai Besar dan Masjid Muhammadi. Muzium 2 tingkat ini asalnya adalah Istana Raja Bendahara Tengku Long Kundor ibni Sultan Ahmad. Ianya lebih dikenali sebagai Istana Jahar dan telah siap dibina pada tahun 1887. Istana ini melambangkan rekabentuk tradisional dengan dilengkapi hiasan kesultanan Kelantan.

Terdapat 2 galeri utama. Galeri di tingkat bawah mempamerkan Adat Istiadat Perkahwinan Diraja iaitu pertunangan dan persandingan, Istiadat Puri Peraduan, jenis-jenis tekstil tradisional tempatan, barangan perhiasan dan barangan tembaga.

Adat Istiadat Melenggang Perut
Manakala galeri di tingkat atas pula mempamerkan Adat Istiadat Menyambut Kelahiran Diraja seperti melenggang perut, beranak, membelah mulut, berendoi, mencukur jambul, pijak tanah, bersiram dan berkhatan.

Bagi setiap adat istiadat tersebut tertera helaian penerangan dwi bahasa bagi memberi pemahaman disertakan dengan pelbagai peralatan, bahan-bahan dan gambaran adat istiadat. Semuanya dilatari warna kuning - warna diraja.

Kebanyakan daripada adat-adat ini bukan sahaja diamalkan oleh kerabat diraja tetapi turut dilakukan oleh orang awam. Sebahagian daripadanya pernah kami lihat ketika kanak-kanak dahulu. Cuma kini ianya semakin ditinggalkan kerana sebahagiannya mempunyai elemen khurafat dan tahyul.

Namun bagi generasi sekarang ianya amat elok untuk diketahui sebagai tinggalan sejarah. Malah itulah yang ditekuni oleh anak-anak kami terutama Imran. Bagi mereka segalanya amat asing dan perlu dipandu bimbing bagi memahamkannya.

Balai Senjata

Menarik... banyak pengetahuan baru

Di belakang Istana Jahar adalah Balai Senjata. Pelbagai jenis senjata lama dipamerkan di galeri atas rumah seperti keris, lembing, tombak, rencung, pedang, beladau, kapak, kelewang, badik, beliung, golok, parang, serampang, sengat pari, cucuk sanggul dan banyak lagi.

Senjata-senjata ini dikategorikan berdasarkan kaedah penggunaannya seperti senjata menetak, melibas, menikam, membaling dan lain-lain. Sebahagian daripada senjata ini terutamanya keris dinyatakan asal usulnya seperti keris Semenanjung, Jawa, Pattani dan Madura.

Di bahagian bawah rumah pula dipamerkan beberapa model rumah tradisional Kelantan seperti rumah tiang dua belas dan rumah kampung serta beberapa buah perahu dan sampan.

Kesemua bahan sejarah ini amat menarik hati dan minat kami terhadap budaya hidup orang-orang dahulu terutama masyarakat Kelantan.

Terletak di sebelah belakang Muzium Adat Istiadat Diraja, terdapat beberapa lagi muzium iaitu Muzium Kraftangan, Muzium Diraja, Muzium Islam dan Muzium Perang. Manakala Muzium Negeri pula terletak tidaklah jauh sangat daripadanya iaitu di Jalan Hospital. Namun dek kesuntukan masa, kami tidak berkesempatan untuk melanjutkan penerokaan kami ke tempat pengumpulan sejarah berkaitan.

Masjid Muhammadi

Hadapan Ruangan Solat Wanita di Masjid Muhammadi
Masjid Muhammadi yang terletak bersebelahan muzium juga menarik perhatian kami. Tidak sempat untuk kami menerokai, cukup sekadar melihat persekitarannya ketika menyinggah untuk bersolat jamak. Menariknya, ruang solat lelaki dan wanita terpisah di dua bangunan yang berlainan, dicantumkan oleh gerbang/arca menara.

Masjid ini asalnya diberi nama Masjid Besar Kota Bharu, juga dikenali sebagai Masjid Negeri. Ianya telah dibina pada tahun 1867 ketika pemerintahan Sultan Muhammad II menggunakan kayu. Pengubahsuaian kepada struktur konkrit pula telah dilakukan pada tahun 1922 dan ditukar nama kepada Masjid Muhammadi pada 31 Julai 1931.

Masjid ini terkenal di alam Nusantara sebagai pusat penyebaran dan pendidikan ilmu agama oleh para ulama besar, antaranya Tok Kenali dan Tuan Taba sehingga Kelantan dikenali sebagai Serambi Mekah. 

Masjid Kg. Laut

Selesai bersolat jamak Zohor-Asar di Masjid Muhammadi, kami terus bergerak ke Nilam Puri. Tumpuan kami adalah Masjid Kg Laut. Difahamkan ianya adalah masjid tertua di Malaysia menjadikan satu-satunya mercu tanda sejarah Islam khususnya di Kelantan.

Masjid Lama Kg Laut di Nilam Puri
Terpesona kami melihat masjid hitam berdinding kayu yang amat indah ini. Nilai sejarahnya amat tinggi dan mengkagumkan. Inilah antara warisan turun temurun yang sewajarnya dijaga dengan sebaiknya.

Tapak asal masjid ini adalah di Kg Laut, Tumpat, Kelantan tetapi telah dipindahkan ke tapak sekarang pada tahun 1968 setelah ianya rosak teruk dilanda banjir besar pada akhir tahun 1966.

Dikisahkan bahawa masjid ini telah dibina pada abad ke 15 oleh sekumpulan alim ulama yang berulang alik dari Champa dan Jawa dengan dibantu oleh penduduk setempat. Ciri-ciri rekabentuknya mempunyai persamaan dengan Masjid Kuno di Champa dan Masjid Agung Damak di Jawa yang telah dibina pada tahun 1401. 

Uniknya masjid ini, pembinaannya tidak menggunakan sebarang paku, sekadar dipasak dengan potongan kayu dan buluh sahaja. Sekaligus membuktikan kemahiran tinggi para tukang rumah di zaman dahulu, sehingga kini ianya masih kukuh dan utuh.

Kepada yang berminat dengan foto, sebahagian daripadanya terdapat di Album Foto Kami di kiri laman atau klik di sini

Melewati jam 4:00 petang, kami mula bergerak ke Terengganu. Menyinggah bermalam di rumah ayahanda di Telok Menara, seterusnya bertolak pulang ke Ulu Kelang pada pagi keesokan harinya.

1 comment: