Tuesday, November 21, 2017

Cuti2 Malaysia > Mendaki Bukit Keluang

Pada 19 Oktober lalu ketika menghadiri Majlis Khatam Hafazan al-Quran di MRSM Kota Putra, kami bermalam di Bukit Keluang Beach Resort - resort berkonsep senibina Melayu. 

Salah satu Laluan ke Puncak
Turut serta adalah Hanisah dan Imran serta Abah, Emak dan Fairuz bersama ketiga-tiga orang anaknya; Karimah, Hawa dan Wafi. Mengambil peluang berjalan-jalan makan angin sempena cuti persekolahan.

Ketika kami berdua bersama abah dan emak meraikan majlis khatam Solehah di maktabnya, Fairuz berserta kelima-lima anak mempunyai rancangan lain - mendaki Bukit Keluang yang terletak hanya sekitar 200 meter sahaja dari resort

Sebenarnya tiada perancangan awal untuk mendaki, jadi tiada persediaan khusus termasuk kasut yang bersesuaian. Yang ada hanyalah selipar dan capal. Pakai sahajalah apa yang ada, asalkan matlamat tercapai. 

Difahamkan terdapat beberapa laluan mendaki untuk sampai ke puncak Bukit Keluang. Tiada siapa yang tahu laluan mana yang lebih mudah, cepat dan kurang risiko. Lebih-lebih lagi bagi yang tidak pernah mendaki dan turut disertai oleh kanak-kanak. Hanya Imran yang pernah ke sana pada awal tahun ini. Itupun dibawa oleh keluarga angkatnya, Ustaz Zaki.

Untuk memudahkan pendakian, pilihan mereka adalah menggunakan laluan bertangga. Rupa-rupanya laluan yang diambil hanyalah sebahagian sahaja bertangga. Selebihnya perlu mendaki di celah-celah pokok sambil berpaut pada tali yang disediakan. 

Cabaran yang amat menyulitkan serta memenatkan. Jika diikutkan hati, ingin sahaja berhenti mendaki dan turun ke kaki bukit.  Namun berbekalkan semangat kental, akhirnya mereka berjaya juga tiba di puncak Bukit Keluang. TAHNIAH...!

Hilang seketika rasa penat. Malah teruja pula melihat keindahan panorama alam sekitar. Bukan sahaja pepohonan menghijau tetapi nun jauh saujana mata memandang... terbentang luas Laut Cina Selatan nan tenang. 

Cabaran seterusnya adalah turun ke kaki bukit, juga menggunakan laluan yang sama sewaktu naik. Kesukarannya lebih dirasai lebih-lebih lagi ketika berada di laluan yang curam. Apatah lagi apabila melihat tingginya lereng bukit yang perlu dituruni... seram sejuk dibuatnya. Syukurlah ada tali rentang untuk berpegang.

Akhirnya mereka tiba juga di kaki bukit. AlhamduliLLAH... Lega. Tampak semuanya kepenatan. Ingatkan semuanya tidak berdaya lagi tetapi tidak bagi anak-anak bertiga; Imran, Hawa dan Wafi... bergegas pula mereka untuk berendam di kolam mandi. Aduhai..! Dah nama anak-anak, penatnya sekejap sahaja, yang penting seronok...!

Sebenarnya telah pun hampir 5 tahun kami berdua berulang alik ke Besut tetapi tidak pernah lagi berkesempatan mendaki Bukit Keluang. Malah pantainya pun belum sempat untuk duduk bersantaian atau mandi manda. Begitu juga pulau-pulau di sekitarnya sentiasa terpanggil untuk berkunjung tetapi masih belum kesampaian. Segala hajat terpendam masih belum tertunai. In shaa ALLAH suatu hari nanti akan jadi kenyataan dengan asbab Imran masih lagi ada di Imtiaz Besut untuk jangka masa 4 tahun lagi.

Tuesday, November 14, 2017

Duku Terengganu...

Duku adalah buahan bermusim. Sekarang ini Duku Terengganu dah pun habis musimnya. Sekitar sebulan setengah hingga dua bulan sahaja. Biasanya di akhir September hinggalah awal November.

Duku Terengganu... kulitnya nipis, tidak seperti Duku Johor yang berkulit tebal. Isinya berulas, jernih warnanya. Bijinya pahit jika tergigit.

Duku awal musim
Di luar Terengganu, terutama di Pantai Barat... Duku Terengganu dikenali sebagai Duku Langsat. Bagi mereka, Duku Johor itulah Duku. Namun bagi orang Terengganu, tiada duku langsat atau selainnya daripada duku yang mereka kenali sejak zaman berzaman. Langsat pula adalah spesis duku yang berlainan rupa dan rasanya. Samalah seperti dokong.

Pada tahun ini duku di Terengganu kurang menjadi. Justeru itu harganya sedikit mahal daripada kebiasaan iaitu sekitar RM4.00 - RM7.00 sekilogram. Lazimnya harga di saat lambakan duku sekitar RM2.00 sekilogram sahaja. Bagi pengemar duku, harga bukan penghalang. Apatah lagi datangnya hanya setahun sekali dalam jarak waktu yang amat pendek. Jika berkira pada harga, tidak merasalah jawabnya...

AlhamduliLLAH, kali ini kami dapat makan duku sepuas-puasnya sehingga terasa se'eh perut (kekenyangan) dibuatnya. Di pertengahan Oktober lepas kami pulang ke kampung halaman di Kuala Terengganu. AlhamduliLLAH ada rezeki untuk kami dari pokok duku di belakang rumah ayahanda. Sebagai buah tangan untuk ahli keluarga dan kenalan di Lembah Kelang pula kami dapatkannya di Pasar Kedai Payang.

Satu fakta yang menarik tentang duku ini ialah lazimnya buah ini dipetik pada waktu tengahari atau petang bagi mengelakkannya daripada pecah. Ini kerana ianya amat sensitif kepada cuaca lebih-lebih lagi jika datangnya musim hujan. 

Satu lagi yang menarik... untuk memetik duku, pokoknya mestilah dipanjat. Si pemanjat pula mestilah memakai kain sarung, jika tidak tiada gunanya memanjat. Inilah yang menjadi gurauan ramai sehingga terpingga-pingga orang yang tidak tahu hujung pangkalnya.

Selempang Sarung (sumber internet)
Sebenarnya kain sarung ini dijadikan selempang dan diikatkan kedua-dua hujungnya. Di dalam kain sarung inilah diletakkan buah-buah duku yang dipetik dari tangkainya. Setelah penuh maka diturunkan menggunakan tali panjang yang turut dibawa bersama untuk disambut oleh orang yang menunggu di bawah pokok. Setelah dikosongkan, kain sarung ini dinaikkan kembali untuk diteruskan tugasan memetik buah duku.

Inilah keunikan memetik buah duku. Hingga kini masih dipraktikkan kaedah yang sama. Pemandangan menarik bagi generasi baru dan juga orang luar dari Terengganu.

Teringat akan zaman kanak-kanak dahulu. Di saat buah duku sedikit menguning di tangkai, pokoknya dah pun dipanjat dek tidak tahan 'menanggung rindu' akan keenakan isinya. Yalah datangnya setahun sekali sahaja...

Cuma kanak-kanak zaman sekarang... sebahagian besarnya buat endah tak endah sahaja walaupun buah duku berlonggok di depan mata... Kebanyakannya lebih sukakan donut, pizza, muffin dan lain-lain makanan segera daripada buah-buahan tempatan. Nampaknya sesuatu yang tidak sihat sedang menyerang generasi alaf moden...

Salah siapa...? Jawapan ada pada diri kita sendiri...!

Saturday, November 11, 2017

Muhasabah Di Sebalik Musibah

Kejadian buruk lazimnya dianggap sebagai musibah termasuklah bencana alam. Tidak kiralah samada atas ketentuan ILLAHI mahupun disabitkan kecuaian manusia. Datangnya tidak berjemput, perginya amat diharapkan.
Cities: melbourne 1, bush, 2009
Nostalgia... Black Saturday (7 Feb 2009) di Victoria, Australia
Mutakhir ini kerap kali kedengaran bermacam jenis bencana yang melanda alam semesta, antaranya Taufan Harvey, Irma, Maria dan Nate di Amerika Syarikat; kebakaran hutan di New South Wales dan California; letusan Gunung Agung di Indonesia, beberapa siri gempa bumi di New Caledonia dan Tonga.

Tidak terkecuali bencana banjir dan tanah runtuh di India, Bangladesh dan Nepal yang meragut lebih 1,200 nyawa. Malah banyak lagi bencana yang berlaku di seluruh dunia.

Menjelang penghujung tahun, negara kita sinonim dengan banjir terutama di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung. Walaupun sudah kalih (biasa) tetapi adakala ancamannya tidak dijangka, mampu melumpuhkan segala-galanya. Contohnya banjir besar di Kelantan pada akhir tahun 2014 yang dikenali sebagai Bah Kuning yang menenggelamkan sebahagian besar jajahan di negeri tersebut.

Terbaru... pada 5 November lalu, Banjir Kilat melanda seluruh Pulau Pinang menyebabkan terputus hubungan. Dikatakan berpunca daripada hujan lebat selama 15 jam tanpa henti dan bertembung pula dengan air pasang di laut. Diburukkan lagi dengan kerja-kerja pembinaan atas nama pembangunan yang tidak mengendahkan sistem perparitan.

Banjir di Pulau Pinang
Setiap bencana yang berlaku biasanya dikaitkan dengan fenomena alam. Sudah taqdir ILLAHI. Terimalah dengan penuh redha. Ya... bagi yang beriman, begitulah selayaknya kerana setiap yang berlaku adalah ketentuan daripadaNYA.

Namun sebagai insan, sewajarnya kita mengambil iktibar atau pengajaran di sebaliknya. Renungi dan selidiki segala punca yang menyebabkan berlaku bencana tersebut.

Firman ALLAH SWT,
"Telah terlihat kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia. ALLAH mahu mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)" (Surah ar-Rum: 41)
Sekiranya berpunca daripada kecuaian manusia, penyelewengan kuasa, keangkuhan penguasa dan kemungkaran berleluasa, maka insafilah dan berusahalah untuk perbaiki diri/ komuniti/ institusi agar lebih berintegriti. Pastikan setiap peraturan dipatuhi agar tidak berulang lagi sebarang kesilapan yang boleh mengundang bencana. 

Dengan kata lain, ketelusan dan ketulusan dalam mematuhi peraturan sedia ada samada yang ditetapkan manusia, apatah lagi ketetapan hukum Yang Maha Berkuasa.

Bagi menghadapi apa-apa bentuk kemungkinan bencana, maka persediaan dan persiapan perlukan dilakukan sedari awal. Bukan sahaja dalam bentuk bantuan tenaga kerja, peralatan, pengangkutan, perubatan dan makanan tetapi termasuk sama kecanggihan teknologi dalam membuat ramalan serta prosedur bantuan kecemasan yang berstruktur dan pantas bertindak.

Justeru itu marilah sama-sama kita bermuhasabah demi mencari penyelesaian yang terbaik untuk semua. Ini kerana di sebalik sesuatu musibah yang berlaku pasti ada hikmah dan ibrah (pengajaran)nya. Itulah salah satu kaedah ALLAH SWT mendidik jiwa setiap insan kearah mendekatkan diri kepadaNYA.

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
"Dengan nama Allah, dengan nama-Nya tidak akan berbahaya sesuatu yang ada di bumi maupun yang ada di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"

Moga ada manafaatnya...

Monday, November 6, 2017

SPM 2017 > Selamat Berjuang...!

Hari ini, 06 November 2017... bermulalah perjuangan terakhir para pelajar Tingkatan 5 di seluruh negara. SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) menjadi medan percaturan untuk mencorak sebahagian daripada rona kehidupan mendatang.

Nur Solehah
Seramai 443, 883 orang calon SPM kini sedang berjuang di seluruh negara dan Nur Solehah adalah salah seorang daripadanya. Inshaa ALLAH perjuangan Solehah bersama-sama rakan-rakan sepersekolahannya di MRSM Kota Putra, Besut akan berakhir pada 27 November nanti.

Dalam kalangan ahli keluarga terdekat, sepupu Solehah... Arif Farhan Fahimey yang bersekolah di Kuala Lumpur juga menduduki SPM 2017.

SPM adalah cabaran getir yang perlu dilalui. Debarannya amat terasa sehingga boleh menimbulkan tekanan perasaan yang tidak ketentuan. Inilah juga yang diluahkan oleh Solehah kepada kami.

Pesan kami... perbanyakkan beristighfar, sentiasa mengingati ALLAH SWT dan bersalawat ke atas RasuluLLAH SAW serta keluarga baginda. Mohon agar dikurniakan ketenangan, ditajamkan pemikiran, mengingati apa yang lupa dan dipermudahkan segala urusan terutama ketika berada di dewan peperiksaan.
 
Kenangan Bergraduasi
Di samping itu jaga kesihatan diri dengan tidur awal terutama pada malam peperiksaan. Makan minum perlu dijaga dan jangan sesekali tertinggal untuk makan pagi dan tengahari sekiranya tidak berpuasa sunat.

Seterusnya fokus sepenuhnya dan jawablah dengan tenang serta bahagikan masa dengan sebaiknya agar semua soalan dapat dijawab dalam waktu yang ditetapkan.

Inshaa ALLAH setiap masa kami doakan yang terbaik untuk Solehah agar beroleh kejayaan dan kecemerlangan bagai yang diimpikan, sekaligus membawa kebahagian hidup di dunia, terlebih lagilah di akhirat yang kekal abadi. Ameen.

Begitu juga kepada para pelajar Tingkatan 5 MRSM Kota Putra. Tidak dilupakan kepada Arif Farhan dan semua pelajar yang menduduki SPM 2017. All The Best...!


اَللَّهُمَّ لا سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَ أَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزْنَ إِذَا شِئْتَ سَهْلاً

“Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikan mudah. Sedangkan yang sukar Engkau boleh jadikan mudah sekiranya Engkau menghendakinya menjadi mudah”.

Saturday, November 4, 2017

Hari Graduasi MRSM Kota Putra ke-19

Para Pelajar Tingkatan 5 bersama Para Pendidik
AlhamdulILLAH... pada 26 Oktober, 2017... seminggu selepas Majlis Khatam Hafazan, MRSM Kota Putra dimeriahkan pula dengan Majlis Graduasi kali ke-19. Majlis yang diadakan khusus bagi meraikan para pelajar Tingkatan 5 yang bakal menamatkan persekolahan mereka tidak berapa lama lagi, termasuklah Nur Solehah.

Majlis Graduasi ini ringkas dan santai sahaja tetapi susun atur dan persembahannya diakui setaraf dengan Majlis Konvokesyen di IPT. 

Bermula sekitar jam 10:00 pagi dengan perarakan masuk para graduan, diikuti pula perarakan masuk Tetamu Kehormat dan Ahli Senat Maktab yang didahului oleh pembawa cokmar dan Mushaf al-Quran. Di samping penganugerahan sijil graduasi, para hadirin juga dihidangkan dengan bacaan dan tafsir ayat-ayat al-Quran, persembahan muzik gamelan dan nyanyian lagu berkumpulan. 

Menerima Sijil Graduasi
Apa yang menariknya, semua petugas Majlis Graduasi ini adalah di kalangan para pelajar maktab sendiri termasuk pengacara, pembaca doa, pembaca al-Quran dan tafsir, pemain gamelan, penyanyi dan lain-lain tugasan logistik. Tahniah anak-anak maktab...!

Majlis gilang gemilang ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dato' Prof Dr. Nor Aieni Hj Mokhtar. Rupa-rupanya beliau adalah anak jati Kg Raja, Besut... tidak jauh daripada MRSM Kota Putra. 

Ucapan beliau amat baik sekali terutama dalam usaha mengapai dan mencorak haluan hidup di kemudian hari. Diselitkan juga pengalaman beliau sejak zaman persekolahan hinggalah ke tahap sekarang. Sudah pasti perkongsian ini menjadi motivasi, sekaligus inspirasi kepada para pelajar yang bakal menduduki SPM dalam masa yang terdekat. Tahniah Prof...!

Pendekatan menjemput ahli akademik profesional sebagai perasmi majlis, lebih-lebih lagi melibatkan para pelajar amatlah dialu-alukan kerana mereka diyakini akan kehebatannya. Malah ibu bapa pun dapat merasakan auranya.

Maaf cakap... banyak majlis yang dirasmikan oleh orang politik, buah bicaranya langsung tidak mampu merangsang daya intelek para pelajar. Bukan nak mengata tetapi itulah hakikatnya.

Bersama Cikgu Su yang ibarat Ibu
Kehadiran para ibu bapa serta ahli keluarga ke Majlis Graduasi ini amat memuaskan. Walaupun ada yang tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan tetapi ibu bapa lain turut meraikan anak-anak ini dengan pelukan dan kata-kata galakan. Itulah manifestasi kemesraan sesama ibu bapa yang terjalin di alam maya di kalangan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB).

Anak-anak graduasi tersenyum riang, tampak akan penghujung zaman persekolahan yang bakal berakhir. Namun, sebenarnya jiwa mereka dilanda perasaan yang berbaur... gembira, sedih, gementar dan bermacam rasa lagi. 

Yang pasti, debaran hati menunggu detik-detik SPM lebih dirasai lagi. Itulah ujian terbesar sebagai pelajar yang wajib ditempuh sebelum dilafazkan ungkapan Selamat Tinggal Maktabku Yang Tersayang, MRSM Ulul Albab Kota Putra. 

All The Best...! Moga kalian semua beroleh kejayaan cemerlang... gemilang... dan... terbilang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017. Ameen.

Usah dilupakan jasa para guru yang bertungkus lumus memberi didikan yang terbaik - bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam pembentukan akhlak dan sahsiah diri ke arah menjadi insan kamil di dunia dan di akhirat. Terima kasih Cikgu..! Moga rahmat ALLAH SWT sentiasa memayungi perjalanan hidup kalian. Ameen. 

Seusai Majlis Graduasi, di sebelah petangnya pula diadakan Jamuan Hi-Tea, khusus untuk para guru dan pentadbir MRSM Kota Putra yang dianjurkan oleh para ibu bapa. Majlis ringkas sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi dan penghargaan tidak terhingga atas setiap usaha pihak maktab dalam memberikan yang terbaik kepada anak-anak.

Juadah tersedia amat mewah sekali, buah tangan daripada ibu bapa. Tidak disangka pula, walaupun tengaharinya telah dijamukan dengan makanan tengahari, apa yang dihidangkan di sebelah petang masih jadi rebutan... habis licin semuanya. AlhamduliLLAH...!

Sekali lagi... Terima Kasih Cikgu...! Selamat Menduduki SPM Wahai Anak-Anak...! All the Best...!

Friday, November 3, 2017

Khatam Hafazan al-Quran MRSM Kota Putra ke-6

AlhamduliLLAH... pada 19 Oktober 2017 bersamaan 30 Muharram 1439H telah berlangsungnya Majlis Khatam Hafazan al-Quran kali ke-6 bertempat di Dewan Ulul Albab, MRSM Kota Putra, Besut, Terengganu yang telah dirasmikan oleh YDP MAIDAM, Datuk Shaikh Harun.

Para Huffaz Bersama Para VIP
Majlis Khatam Hafazan al-Quran ini adalah acara tahunan yang menghimpunkan para pelajar MRSM Kota Putra yang khatam tasmi' 30 juzuk al-Quran sepanjang tahun semasa. Untuk tahun 2017, seramai 103 orang huffaz dari Tingkatan 2 - Tingkatan 5 telah diraikan dan Nur Solehah adalah salah seorang daripadanya.

Nur Solehah menerima Sijil Khatam Hafazan
AlhamduliLLAH dan TAHNIAH Solehah...!

Hampir 5 tahun, siang dan malam menempuh penat-jerih bagi melancarkan hafazan, akhirnya tercapai apa yang dicita-citakan. Satu kejayaan dan pencapaian peribadi yang amat bermakna untuk Solehah.

Dalam kekangan jadual pengajian harian yang amat padat dengan cabaran 3 peperiksaan besar yang berturutan tahun; PT3-IGCSE-SPM bukanlah satu rutin mudah untuk dirangkumkan sekali dengan matlamat khatam hafazan al-Quran.

Sememangnya amat menekan perasaan. Namun tiada yang mustahil jika disertakan dengan daya usaha yang gigih untuk mencapainya. AlhamduliILLAH... Selayaknya pujian hanya untukNYA.

Dan sesungguhnya KAMI telah memudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil pengajaran? (Surah al-Qamar: 17) 

Di sebalik keterujaan dan kepuasan diperakui sebagai seorang hafizah, sebenarnya terbeban satu amanah yang amat besar iaitu berusaha mengekalkan hafazan Quran dan mentadabbur maknanya serta diamalkan dalam kehidupan seharian. Moga sentiasa dipermudahkan ALLAH SWT untuk istiqamah bersama al-Quran. Ameen.

Solehah bersama Atuk, Nenek dan Ibu seusai majlis
Itulah juga yang dipesan oleh Ustaz Pakhruddin ketika sesi taujihad serta disentuh pula oleh Tuan Pengetua, En Jasmi dan Datuk YDP MAIDAM dalam ucapan mereka.

Dengan kejayaan Solehah dan para huffaz ini, diharapkan ianya menjadi pembakar semangat serta motivasi kepada rakan-rakan dan adik-adik yang lain untuk mengejar matlamat Khatam Hafazan al-Quran... khususnya kepada si bongsu kami, Muhammad Imran yang sedang menekuni hafazan al-Quran di SM Imtiaz Besut.
"Ya ALLAH, Berikan kami beroleh daripada isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa. Ameen"
Setinggi-tinggi penghargaan kepada para guru atas segala didikan dan tunjuk ajar. Moga kalian sentiasa dirahmati ALLAH SWT. Ameen.