Tuesday, October 25, 2016

IGCSE - Selamat Berjuang Solehah..!

Sekarang adalah musim peperiksaan di peringkat persekolahan - rendah dan menengah. Salah satu daripadanya adalah IGCSE Exam.

IGCSE (International General Certificate of Secondary Education) adalah merujuk kepada modul peperiksaan peringkat antarabangsa yang disediakan oleh Cambridge University.

Di Malaysia, IGCSE biasanya diambil oleh para pelajar sekolah antarabangsa atau persendirian sebagai persiapan untuk mengikuti pengajian di luar negara. Difahamkan beberapa buah IPTS di negara kita turut memperakui kelulusan IGCSE sebagai kelayakan masuk.

Pembelajaran IGCSE ini bermula seawal Tingkatan 1 atau 2 dan berakhir dengan peperiksaan IGCSE ketika di Tingkatan 4 (usia 16 tahun).

Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memperkenalkan IGCSE ini beberapa tahun lalu di sebahagian besar MRSM kendaliannya, bermula dengan MRSM Pekan, Pahang (2011). Perlaksanaan di lain-lain MRSM dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Anakanda kami; Nur Solehah yang sedang berada di Tingkatan 4 di MRSM Ulul Albab Kota Putera, Besut, Terengganu adalah salah seorang daripada calonnya. Beliau bertuah kerana IGCSE di MRSM berkenaan hanya untuk 2 batch terawal sahaja iaitu Batch 2012/2015 dan 2013/2016. Ini kerana tekanan pengajian di MRSM Kota Putera amat berlainan daripada MRSM lainnya menyebabkan pihak MARA terpaksa menghentikannya.

Di MRSM, terdapat 6 subjek utama yang dipelajari iaitu English, Mathematics, Additional Mathematics, Biology, Chemistry dan Physics. Keseluruhan kertas peperiksaan yang perlu diambil adalah 16 termasuk English Oral.

Untuk tahun ini, peperiksaan bertulis telah pun bermula pada 17 Oktober lalu dan Inshaa ALLAH akan berakhir pada 14 November, 2016.

Sesi taklimat oleh Tuan Pengetua sebelum melangkah masuk ke dewan
Minggu ini adalah minggu maraton. Setiap hari ada sahaja kertas peperiksaan yang dijadualkan. Dua minggu seterusnya sedikit melegakan dengan tinggal lagi 7 kertas peperiksaan yang perlu diduduki.

Seperti mana lain-lain peperiksaan yang besar, debaran para pelajar cukup hebat. Apatah lagi pihak sekolah meletakkan harapan tinggi agar para pelajar dapat mengharumkan nama sekolah. Tidak dinafikan, bagi sesetengah pelajar, air mata sentiasa mengalir dan dada sentiasa sebak menahan tekanan dalaman. Maka ibu bapalah tempat mereka mengadu.

Pesan kami kepada Solehah... di musim peperiksaan, banyakkan rehat dan jaga kesihatan. Sekarang adalah masa untuk awasi diri bukan untuk study. Kawal diri daripada stress dan sentiasa ingatkan ALLAH SWT dengan zikir dan istighfar. Moga segalanya dipermudahkan olehNYA dan dikurniakan kejayaan bagaikan yang diimpikan.. dunia dan akhirat. Ameen.

Nur Solehah di depan kelompok pelajar prempuan
Bagi kami, sesuatu yang amat membanggakan adalah sokongan para ibu bapa kepada pelajar Tingkatan 4 amat luar biasa. Setiap pelajar diibaratkan anak sendiri - dilayan dan diberikan sokongan moral tidak berbelah bahagi terutama kepada pelajar yang tinggal berjauhan daripada ibu bapa.

Bagi pelajar yang HANYA mengambil IGCSE, cabarannya biasa sahaja  sama seperti menduduki SPM. Tidak seperti pelajar MRSM IGCSE yang perlu juga belajar untuk PT3, seterusnya SPM.

Manakala bagi pelajar MRSM Ulul Albab Kota Putera, cabarannya berlebihan lagi kerana turut sama melibatkan Hafazan. Dengan kata lain 3 in 1 - IGCSE + PT3/SPM + Hafazan. Bebanannya amat dirasakan. Berani kami katakan bukan calang-calang orang dapat lakukannya... inilah generasi al-Fateh.

Mulai kemasukan 2014, tiada lagi IGCSE di MRSM Kota Putera. Mereka kembali fokus kepada matlamat penubuhan asalnya iaitu Ulul Albab: PT3/SPM + Hafazan. Pada masa yang sama MARA mengadakan IGCSE di MRSM lain. Maka terserah kepada ibu bapa dan anak-anak membuat pilihan MRSM ketika mengisi borang kemasukan ke Tingkatan 1.

Kepada semua calon IGCSE Exam... teruskan perjuangan kalian sehingga ke garis penamatnya. All the best n Good Luck. Inshaa ALLAH. Ameen.

Kredit foto : Setiap satunya adalah sumbangan En. Malik yang sedang berkampung di Kota Putera. Terima kasih.

Friday, October 7, 2016

Salam Ma'al Hijrah 1438H

Kini kita berada di awal Muharram, 1438H. Masih berbahang lagi. Maka, tidak terlewat rasanya untuk kami mengucapkan:

Salam Ma'al Hijrah 1438H

Lazimnya kehadiran tahun baru akan disertai dengan tekad dan azam baru. Secara umumnya setiap orang mengharapkan masa hadapan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Demikianlah realitinya yang juga menjadi fitrah manusiawi. Lebih-lebih lagilah bagi seorang Muslim... pastinya mengimpikan kehidupan nan indah di dunia dan jua di akhirat. Moga dikabulkan ALLAH SWT. Ameen.

Menyoroti peristiwa hijrah RasuluLLAH SAW dan pengikutnya dari Mekah ke Madinah... terselit kisah dua puak yang sering bertelagah di bumi Madinah iaitu puak Aus dan Khazraj yang akhirnya bersatu teguh atas roh Islam, dikenali sebagai kaum Ansar. Lebih manis lagi... keakraban persaudaraan Islam ini dimeterai bersama pendatang dari Mekah yakni kaum Muhajirin. Semuanya berpadu kemas atas nama Muslim. Hebatnya Islam yang dibawa oleh RasuluLLAH SAW.

Insafilah dengan fenomena yang berlaku di seantaro dunia sekarang. Umat Islam saling bercakaran sehingga sanggup membunuh saudara seagama semata-mata mengejar kuasa, harta dan takhta. Lihatlah apa yang berlaku muta'akhir ini di Syria, Yaman, Mesir, Sudan dan banyak lagi. Sebahagian umat pula terus-terusan ditindas oleh kuasa kufar seperti di Palestin, Chechnya, Myanmar, Pattani dan seumpamanya tanpa mendapat pembelaan dari negara-negara umat Islam. Amat menyedihkan...

Begitu juga di tanah air kita sendiri. Pertelingkahan sesama umat Islam semakin parah disebabkan perebutan kuasa politik dan perbezaan pendapat (khilafiah). Masing-masing berkeras dengan pandangan dan pendirian tersendiri. Lebih memilukan lagi... umpat keji, fitnah memfitnah, adu domba, caci maki dan kata nesta telah pun menjadi makanan harian.

Bagi mereka... aku/kami sahaja yang betul... Sedangkan jalan penyelesaiannya telahpun digariskan ALLAH SWT... kembalilah kepada al-Quran dan as-Sunnah. Bagi yang beriman dan bertaqwa, yakinilah penyelesaian melalui Islam.

Seterusnya berlapang dadalah atas perbezaan pandangan yang tidak menyentuh soal aqidah kerana ianya satu rahmat. Contohilah para ulama muktabar yang sentiasa terbuka hati mereka demi ukhuwah Islamiah sejagat.

Fahamilah Firman ALLAH SWT dalam surah as-Syura ayat 10:
"Dan apa pun yang kamu perselisihkan padanya tentang sesuatu, keputusannya terserah kepada ALLAH. Itulah ALLAH Tuhanku. KepadaNYA aku bertawakal dan kepadaNYA aku kembali"
Wahai sahabat-sahabat semua... AYUH...! Bersatulah kita Atas Nama ISLAM sebagaimana puak Aus dan Khazraj serta kaum Ansar dan Muhajirin... Inshaa ALLAH bahagia kita di dunia dan di akhirat...

Itukan tekad kita di tahun baru ini...!