Monday, April 21, 2014

Pesta Buku KL @ PWTC

Saban tahun inilah yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang ada kaitan dengan buku. Saat untuk berpesta dengan pelbagai genre bahan bacaan. Jutaan buku-kitab-majalah-makalah dan pelbagai jenis bahan penerbitan bertebaran di merata ceruk, menanti untuk dihabiskan.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ini dijadualkan berlangsung selama 11 hari, daripada 24 April - 04 Mei, 2014 yang dibuka secara PERCUMA dari jam 10:00 pagi - 09:00 malam. Difahamkan terdapat 918 gerai/booth dengan 214 pempamer dalam dan luar negara.

Bagi peminat buku, setiap kali pesta buku, potongan harga yang ditawarkan benar-benar meruntun jiwa. Semua buku nampak best, kalau boleh semuanya nak dibawa pulang. Gelap mata dibuatnya. Tak sedar bahu dah sengget sebelah. Jalan pun makin membongkok. Walaupun penat tetapi masih bersemangat.

Menariknya kali ini diadakan ruangan khusus berkonsepkan "Dunia Novel dan Komik" bertempat di Dewan Merdeka. Apa istimewanya? Entah... nak tahu kena pergi jenguk! Lebih-lebih lagi kepada kaki novel dan komik.

Sebahagian hasil tuaian PBAKL 2013
Manakala bagi para penerbit, pengedar dan penjual, tidak terkecuali para penulis; inilah saatnya untuk melariskan jualan. Dengan pengunjung yang dijangka mencecah 2 juta orang, segalanya tidak mustahil. Justeru itu tidak hairanlah ketika pesta buku inilah, banyak buku-buku baru yang diterbitkan terutama hasil karya para penulis yang sedia ada nama dan peminat tersendiri. Jangan lupa sesi bersama penulis-penulis kesayangan terutama di booth penerbit buku berkaitan.

Bagi kami sekeluarga, setiap tahun kami tidak pernah melepaskan peluang keemasan ini. Walaupun banyak diadakan pesta buku berkala di merata tempat tetapi aura PBAKL tidak dapat menandinginya. Rasa terujanya amat berbeza sekali.

Apakan tidak, inilah masanya kesemua para penerbit tempatan dan penerbit tersohor antarabangsa berada di bawah satu bumbung mempromosikan bahan penerbitan masing-masing. Maka bagi para pembaca pula lebih memudahkan mereka untuk membuat perbandingan dan pembelian. Cuma bajet kena kembung sedikit bagi memuaskan nafsu memiliki bahan bacaan yang dihajati.

Jika sebelum ini, setiap kali PBAKL berlangsung, sayalah  antara pengunjung terawal, nampaknya pada tahun ini saya terpaksa lewatkan sedikit kunjungan kerana ada urusan keluarga di Terengganu. Tidak mengapalah, Inshaa ALLAH saya akan sampai juga. Biar lambat asalkan dapat.

Jom kita gi Pesta Buku!

Sheikh Nuruddin al-Banjari @ Ulu Kelang

Sebagai makluman, Tuan Sheikh Nuruddin al-Banjari, seorang agamawan tersohor di Nusantara, Inshaa ALLAH akan berkuliah Maghrib di Masjid al-Ridhuan, Ulu Kelang sebagaimana makluman pada poster di sebelah, yakni:-

SELASA 22/04/2014 selepas solat Maghrib

Kepada muslimin dan muslimat yang berada di sekitar Ulu Kelang dialu-alukan untuk hadir bagi menambahkan keceriaan majlis ilmu berkenaan. Sekaligus menambah saham akhirat sebagai bekalan untuk menghadap ALLAH SWT.
Sabda RasuluLlah SAW, "Barangsiapa pergi ke masjid hanya untuk mempelajari kebaikan atau mengajarnya, dia dapat ibarat pahala orang yang buat haji secara sempurna". (HR at-Tabarani)  
Di dalam satu hadis lagi, RasuluLlah SAW menyatakan, "Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, ALLAH akan mudahkan untuknya jalan ke syurga". (HR Muslim)

Alangkah bertuahnya para penuntut ilmu. Tidak inginkah kita untuk turut sama merebut tawaran lumayan daripada ALLAH SWT ini?

Jom kita gi kuliah!

Friday, April 11, 2014

Prof Dr. Muhaya @ Ulu Kelang

Hebahan ini khusus untuk para pencinta majlis ilmu di Ulu Kelang dan sekitarnya, yang pasti untuk para peminat Prof Dr Hjh Muhaya Mohamad. Inshaa ALLAH Prof Muhaya akan menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Al-Ridhuan, Ulu Kelang pada hujung minggu ini:

Sabtu 12/04/2014 mulai jam 10:00 pagi

Kepada para muslimat, jangan lepaskan peluang keemasan ini - tiada bayaran, segalanya percuma. Namun jika inginkan keuntungan yang lebih besar, ringan-ringankanlah tangan untuk memasukkan sedikit sumbangan RM ke tabung-tabung masjid. Inshaa ALLAH ganjarannya tiada terperi banyaknya - yang penting adalah keikhlasan. 

Malah As-Sohwah Publications, penerbit buku-buku inspirasi tanah air juga akan turut membuka gerai jualan produk inspirasi mereka khususnya buku-buku dan CD/DVD Prof Muhaya dengan potongan harga istimewa - harga runtuh. Siapa tahu anda di kalangan pembeli yang berkesempatan mendapat tandatangan Prof serta beramah mesra dengan beliau.

Kepada para muslimin, kehadiran kalian amat dialu-alukan. Lebih baik lagi jika datang bersama isteri dan ahli keluarga. Ajaklah sama saudara mara, jiran tetangga dan rakan taulan. Inshaa ALLAH kita pun turut sama mendapat saham akhirat, pemudah jalan menyeberangi Siraatul Mustaqim.

Bersama-sama kita imarahkan masjid dan meriahkan majlis ilmu. Menyesal di dunia gembira di akhirat, menyesal di akhirat sudah terlambat. 

Bahagia membahagiakan, itulah kebahagian nan hakiki. Hargailah setiap kurniaan ALLAH SWT agar kita dihargaiNYA. Kembalikan diri kepada fitrah Illahi kerana segalanya adalah milik ALLAH SWT.

Ingat... Celik Mata Reset Minda, Inspirasi Diri, Refleksi Diri dan banyak lagi. 

Moga kita tergolong di kalangan hamba-hamba ALLAH SWT yang sentiasa dirahmati dan diredhaiNYA. Ameen.

Wednesday, April 9, 2014

Pusat Tahfiz al-Ulum



Pusat pengajian ini terletak di kampung halaman mertua saya, bersebelahan dengan Masjid al-Ulum, salah sebuah masjid yang pernah dikategorikan masjid terindah di Selangor. Kini, ipar saya, Ustaz Nasrul Hadi adalah salah seorang penggerak utama pusat ini. Beliau adalah lulusan Ilmu Wahyu daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang amat menyintai bidang keagamaan.

Berikut adalah hebahan yang diuar-uarkannya untuk dikongsi bersama. Moga ada manafaatnya untuk bekalan akhirat kita. Ameen.  


ALHAMDULILLAH... Pusat Pengajian Al-Qur'an dan Tahfiz Masjid Al-Ulum (PPQT Masjid Al-Ulum), Kg Bkt. Bangkong, Sg. Pelek, Sepang, SELANGOR baru sahaja beroperasi. Setakat ini proses pembangunan masih dijalankan untuk menyediakan kemudahan yang lebih selesa untuk kemasukan pelajar baru. 

Sebahagian Pelajar Tahfiz
Sehingga kini kami telah mempunyai 12 orang pelajar yang menduduki asrama secara tetap dari umur 10-15 tahun dan telah memulakan pengajian secara talaqqi dan pengajian madah diniyyah. Pihak PPQT al-Ulum masih membuka peluang kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti pengajian di sini.

Pusat ini bermatlamat melahirkan generasi yang celik Al-Qur'an yang memahami isi kandungannya juga mengamalkannya kepada sesiapa sahaja. 

Kami masih memerlukan dana untuk mengurus dan membangunkan pusat ini. Perancangan akan datang adalah untuk menempatkan kompleks pendidikan asasi bagi muallaf sebelum mereka melanjutkan pengajian ke pondok atau seumpamanya. 

Kami juga membuka peluang bagi sesiapa yang mahu menginfaq dana tunai atau perkakasan seperti tilam, kipas dinding, meja belajar, white board dan sebagainya untuk kegunaan di pusat ini. 

Salah sebuah Blok Asrama Pelajar
Sumbangan tunai boleh disalurkan ke:

PUBLIC BANK ISLAMIC
Penama: PPQT AL-ULUM
No Akaun: 3187560711

atau melawat ke pusat kami di alamat:

PUSAT PENGAJIAN AL-QUR'AN DAN TAHFIZ MASJID AL-ULUM
Kompleks Akademik Masjid Al-Ulum,
Jalan Besar, Kg Bukit Bangkong,
43950, Sg Pelek, Sepang

Moga ALLAH membantu kita semua dalam membentuk generasi yang mencintai AL-QUR'AN dan AS-SUNNAH dengan diamalkan dan disampaikan. Insya-ALLAH.

Thursday, April 3, 2014

Jalan-jalan @ Pangkor

Pulau Pangkor adalah sebuah pulau peranginan yang terletak bersebelahan Lumut, dipisahkan oleh Selat Melaka dan Selat Dinding. Difahamkan keluasannya kira-kira 2,204 hektar sahaja dengan penduduknya sekitar 15,000 orang. Tarikan utama ke Pangkor adalah kecantikan serta keunikan pantai dan pulau-pulau kecil di sekitarnya, antaranya Pantai Pasir Bogak, Pantai Teluk Nipah, Pantai Puteri Dewi, Pulau Pangkor Laut, Pulau Mentagor dan Pulau Giam. Bagi kami, tarikan utama adalah tinggalan sejarah Pangkor seperti Perjanjian Pangkor 1874 dan Kubu Belanda.

Pemandangan di atas dek feri
Kami bertolak dari Terminal Jeti di Lumut sekitar jam 1:00 tengahari menaiki feri 2 tingkat dan tiba di Jeti Pangkor hampir 30 minit selepasnya. Tiket dewasa RM10/orang dan RM5/kanak-kanak usia bawah 12 tahun untuk perjalanan pergi-balik.

Air selatnya tenang beralun dan tidak terasa dilambung ombak. Terpadam kerisauan kerana ada diantara kami yang tidak tahan alunan ombak. Penuh ceria anak-anak naik ke dek feri untuk melihat dan merakam keindahan alam ciptaan Illahi sambil menikmati hembusan angin nyaman, ubat paling mujarab untuk pening dan loya.

Tiba di Jeti Pangkor, tugasan utama kami adalah menunaikan solat jamak di surau jeti. Lazimnya apabila tiba di sesuatu tempat pelancongan, kami akan mencari Pusat Maklumat Pelancongan dahulu untuk mendapat maklumat berkaitan. (Nota: Rupa-rupanya ia hanya beberapa langkah sahaja dari jeti, bersebelahan Maybank). Namun, khuatir akan kesuntukan masa, kami terus menyewa kereta Proton Iswara dengan harga RM50, mengisi minyak sebanyak RM10 di Buraq Oil berhampiran jeti. Harganya RM2.25/liter - mahal 15sen/liter berbanding di daratan. Menurut agen sewaan, RM10 cukup untuk berpusing mengelilingi Pangkor - risau juga tetapi tawakal sahajalah.

Di samping memandu sendiri, para pengunjung juga boleh menyewa teksi atau van pink (bas pelancong). Bagi kami memandu sendiri lebih menyeronokkan - bebas bergerak ke mana sahaja. Jika inginkan kelainan, boleh sahaja menyewa motorsikal ataupun basikal (itupun kalau larat mengayuh). 

Melepas lelah di Kubu Belanda
Tumpuan pertama kami adalah ke Kg. Teluk Gedung di selatan Pulau Pangkor di mana terdapatnya Kubu Belanda dan Batu Bersurat Belanda.

Dari Pekan Pangkor ianya mengambil masa kira-kira 15 minit sahaja, melalui jalan kampung 2 hala dengan deretan kedai dan  rumah lama di sekitarnya. Tidak jauh dari pekan, terdapat sebuah masjid kecil, Masjid Teluk Raja Bayang. Sebuah lagi masjid terdapat di Kg Sg Pinang Kecil. Kedua-duanya bersebelahan pantai menghadap selat kecil. Menandakan majoriti Muslim menetap di pesisiran pantai berkenaan, sebahagian besarnya adalah nelayan.

Kembali ke Kg. Teluk Gedung.

Kubu Belanda dikatakan dibina pada tahun 1670 sebagai tempat simpanan timah, sekaligus sebagai kubu pertahanan bagi Belanda. Menariknya mereka telah dihalau keluar oleh penduduk tempatan diketuai oleh Panglima Kulup sekitar tahun 1690an dan sebahagian kubu berkenaan telah diruntuhkan. Ketika pendudukan semula Belanda pada tahun 1743, kubu ini dibina semula dan ditinggalkan pada tahun 1748.

Tidak jauh daripada Kubu Belanda, terdapat bongkah batu besar yang diukir gambar harimau dan beberapa rangkap tulisan Belanda, antaranya 'if Carlo 1743'. Ada pelbagai versi cerita di sebalik batu berkenaan tetapi tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Pantai Pasir Bogak
Perjalanan kami seterusnya melalui jalan utama di pesisiran pantai, bermula dari Pantai Pasir Bogak, Teluk Ketapang dan ke Teluk Nipah. Tiada pantai yang kami singgahi. Dari pemerhatian kami, tumpuan utama pelancong adalah ke Pantai Teluk Nipah di mana pantainya cantik dan terdapat banyak kemudahan rekreasi laut disediakan serta bersebelahan pula dengan Pulau Mentagor dan Pulau Giam.

Jalanraya di Pangkor sedikit mencabar; bengkang bengkok bagai ular dipalu, adakala selekohnya agak tajam (perlu bunyikan hon) serta kerap mendaki dan menuruni bukit. Di sepanjang jalan, banyak juga ditemui rotunda (menara peninjau) terutama di tepian pantai dan atas bukit menghadap laut/selat.

Watikah Pemashyuran Perjanjian Pangkor
Melewati Teluk Dalam, seterusnya Teluk Cempedak dan Kg Sg Pinang Kecil, kami singgah di Galeri Pangkor. Kami diberi penerangan ringkas tentang sejarah Pulau Pangkor dan budaya kehidupan silam penduduknya, antaranya Perjanjian Pangkor yang ditandatangani oleh Sultan Abdullah dan British (Andrew Clark - Gabenor Negeri2 Selat) pada 20 Januari 1874 di kapal wap HMS Pluto (Difahamkam replika kapal ini akan dibina tidak lama lagi dan akan ditempatkan bersebelahan galeri).

Jujurnya, banyak ilmu yang boleh diperolehi dari Galeri Pangkor ini dan kami amat menyukainya.

Di Pekan Pangkor, kami membeli hasil laut dan buahan kering sebagai buah tangan. Pertama kali mendengar nama ikan bilis mata biru (agaknya keturunan mat salleh..8). Cukuplah sebagai kenangan berada di bumi Pangkor, di samping foto-foto yang sempat dirakamkan. Jam 5:00 petang, feri satu tingkat yang kami naiki mula bergerak meninggalkan Pulau Pangkor menuju Jeti Lumut.

AlhamduliLlah atas anugerah Illahi kerana memberi peluang untuk kami bertamu di tanah Pangkor. Walaupun tidak banyak tempat yang kami terokai, namun pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi amat berharga sekali. Bukan sekadar apa yang tersurat pada pandangan mata dan pendengaran telinga tetapi juga yang tersirat di sebalik keagungan Illahi. Inshaa ALLAH ada hikmahnya.

Nak lihat foto kami di Pulau Pangkor? Silalah ke Album Foto Kami (sebelah kiri laman) atau klik di sini untuk terus akses ke album. Terima kasih atas kunjungan anda..8)

Wednesday, April 2, 2014

Santai @ Swiss-Court & Lumut

Cuti persekolahan Penggal I selama seminggu baru sahaja berlalu. Cuti yang pendek tetapi penuh bermakna bagi kami sekeluarga. Ini kerana kesemua ahli keluarga berkumpul bersama. 

Setiap kali musim cuti persekolahan, lazimnya kami berusaha mengaturkan percutian bersama. Kali ini destinasi kami adalah ke Lumut dan Pulau Pangkor di negeri Perak, selama 3 hari 2 malam, dari 26/03 - 28/03/2014. Sebagai ahli Swiss Garden International Vacation Club (SGIVC), tentu sahaja pilihan kami adalah di Damai Laut iaitu di Swiss-Court Holiday Apartment.

Penginapan kami di Blok D
Perjalanan sejauh 270km dari Ulu Kelang ke Lumut lancar. Atas urusan keluarga, kami bertolak lewat sedikit, sekitar jam 1:00 tengahari melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), keluar di Bidor merentasi Teluk Intan ke Manjung. AlhamduliLlah kami tiba di Swiss Garden kira-kira jam 4:45 petang.

Di jalanan terutama di PLUS, diperhatikan banyak tempat yang mengalami kebakaran, kesan cuaca kering yang melanda negara sekarang seperti di sekitar Rawang dan Lembah Beringin. Malah di mana-mana pun mudah ditemui pemandangan seumpamanya.

Sebelum ini telah beberapa kali kami menginap di Swiss Garden Damai Laut, samada di apartmen atau pun hotel. Jika tidak silap, kali terakhir hampir 10 tahun lalu. Kunjungan kali ini menemukan pelbagai perbaharuan yang telah dilakukan terutamanya jalan masuk sejauh 4km telah pun diturap tar berserta lampu jalan. Dahulu ianya hanya jalan tanah merah sahaja yang dikelilingi pepohonan sawit dan bakau. Berjalan di malam hari terasa amat menyeramkan.

Bunga kertas menghiasi pinggir jalan
Satu lagi setiap apartmen telah diceriakan dengan penataan warna dan cahaya yang lebih hidup, pengubahsuaian perabut dan hiasan dalaman serta persekitaran yang mendamaikan. Persekitaran apartmen juga amat mendamaikan dengan bunga-bungaan pelbagai warna mekar berkembangan di merata ceruk. Indah sekali.

Namun, keterujaan hati kami terencat apabila mendapati terdapat beberapa kemudahan dan peristiwa yang kurang menyenangkan. Tidak payahlah diuar-uarkan di sini. Mungkin kami sahaja yang merasainya ataupun hanya bersifat sementara. Jika berkesempatan kami akan maklumkan terus kepada pihak berkenaan.

Di Lumut, tidak banyak tempat yang kami terokai. Cuma jalannya sahaja yang kerap dilalui. Tidak dilupakan Jambatan Raja Permaisuri Bainun, Jambatan Tebok Raja Semalon dan Jambatan Sitiawan. Di kedua-dua bahagian jambatan ini mempunyai 2 pemandangan yang kontra - satu arah pembangunan sedang giat dijalankan, manakala satu arah lagi masih kekal asli. Apakah suatu hari nanti kedua-duanya akan berubah wajah? Tunggu dan lihat...!

Satu lagi, sana sini kelihatan alam sedikit kelam dek jerebu. Suasana ini jelas kelihatan apabila melintasi jambatan. Ini juga kesan daripada cuaca kering yang melanda negara, berpunca daripada kebakaran hutan dan belukar yang berlaku di merata tempat.

Imran tanpa teman di kolam mandi kanak-kanak - airnya cetek
Hari pertama kami tidak ke mana-mana. Tambahan pula kami tiba sedikit lewat. Hanya Imran mandi di kolam sambil dipantau oleh abangnya, Izzuddin. Solehah dan Hanisah hanya memerap di bilik menyiapkan kerja-kerja sekolah yang bertimbun. Kasihan mereka terpaksa mengusungnya ke hulu ke hilir.

Mencari tempat makan malam sedikit sukar kerana kami tidak biasa dengan persekitaran Lumut. Akhirnya kami singgah di Nasrin Seafood yang terletak di tepian jalan utama Sitiawan-Changkat Jering, tidak jauh daripada U-tung Heavy Industries. Boleh tahan makanannya terutama sup kambing yang mendapat pujian anak-anak.

Di sebalik replika rangka paus di Pekan Lumut
Hari kedua pula kami ke Pekan Lumut. Umumnya banyak tempat menarik seperti Lumut Waterfront, Muzium Kapal Perang, Yatch Club, Teluk Batik, Teluk Senangin dan banyak lagi tetapi kami tidak berkesempatan merayau di sekitarnya. Ini kerana kami keluar menjelang tengahari, makan-makan di Terminal Jeti dan terus menaiki feri ke Pulau Pangkor. 

(Inshaa ALLAH cerita Pangkor akan menyusul di entri berikutnya)

Keesokan harinya pun kami tidak ke mana-mana, memberi peluang kepada Solehah meneruskan misi menyiapkan kerja-kerja sekolah. Tidak mengapalah, yang penting kami sekeluarga dapat menghabiskan masa bersama-sama.

Sememangnya tidak banyak cerita di Lumut - kami benar-benar bersantai di Swiss-Court Apartment sahaja.

Sebahagian daripada koleksi foto di Swiss-Court Apartments dan sekitar Lumut terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini.

Melewati jam 12:30 tengahari, kami bertolak pulang ke Ulu Kelang. Kali ini melalui kawasan pendalaman Sabak Bernam-Tanjung Karang-LATAR. Singgah makan dan solat jamak Jumaat-Asar di Masjid Nurul Hidayah, Sri Manjung dan juga Masjid Salahuddin Desa Bayu tidak jauh daripadanya untuk memberi ruang Laili-Hanisah-Solehah menunaikan solat jamak Zohor-Asar.

AlhamduliLlah, kami selamat tiba di Ulu Kelang kira-kira jam 6:30 petang.