Wednesday, May 27, 2009

Swine Flu Melanda Australia

Berita terkini sehingga pagi ini, kes positif swine flu (selsema babi) @ Influenza A (H1N1) di Australia meningkat begitu mendadak, mencecah 50 kes kesemuanya. Sekali ganda dari hari sebelumnya. Semalam (Selasa) baru sahaja dilaporkan 25 orang telah disahkan menghidap swine flu – masing-masing 10 kes di Victoria dan New South Wales dan 5 kes lagi di Queensland.
Kes terbaru kebanyakannya melibatkan penumpang penerbangan dari Los Angeles ke Sydney dan Brisbane, penerbangan tempatan dari Brisbane ke Gold Coast dan penumpang kapal persiaran Pacific Dawn di Sydney.

Jika dilihat, kesemua kes di atas melibatkan pergerakan penghidap melalui penerbangan mahupun pelayaran. Bayangkan berapa ramai penumpang yang turut serta bersama mereka.
Bersama kapal Pacific Dawn sahaja hampir 2,000 penumpang menaikinya. Penerbangan pula ratusan penumpang lagi. Pasti masing-masing kini berada dalam kegelisahan dan kebimbangan. Pihak berkuasa telah pun mengeluarkan arahan agar mereka yang terlibat menjalani pemeriksaan kesihatan segera dan dinasihatkan berada dalam kuarantin untuk jarak waktu tertentu sehingga dipastikan mereka bukannya pembawa virus H1N1.

Malangnya kesemua kes tidak dapat dikesan ketika pendaratan/ persinggahan tetapi sehari dua selepas itu. Alat pengesan haba yang terdapat di lapangan terbang nampaknya tidak berfungsi sepenuhnya, mungkin turut sama terkena virus H1N1..8)

Virus H1N1 yang bermula di Mexico sejak lebih sebulan lalu ini nampaknya begitu cepat sekali merebak. Dari laporan WHO (Petubuhan Kesihatan Sedunia), kini 46 negara telah terlibat dengan mangsanya sehingga semalam telah pun mencecah hampir 13,000 orang dengan 91 kematian (Mexico sahaja 4,700 kes dan 85 kematian).

Risau juga di hati, terlebih lagi Victoria (negeri yang kami tinggal), sehingga kini telah mencatatkan jumlah mangsa tertinggi di Australia, 32 kes kesemuanya.
Dalam pergaulan dan pergerakan seharian, kita terdedah kepada pelbagai kemungkinan. Tambahan pula dalam suasana sejuk sekarang. Ramai yang mengalami demam dan selsema. Kami sendiri pun tidak terkecuali. Dan di awal Jun nanti, Laili pula akan menghadiri konferens di Hong Kong, sebuah negara antara 46 negara yang terlibat.
Hanya padaNya dipanjatkan doa dan harapan, moga-moga kami terpelihara dari semuanya itu. Ameen.

Saturday, May 23, 2009

Banjir di NSW dan QLD

New South Wales (NSW) dan Queensland (QLD) adalah antara negeri di dalam Australia. Dari segi geografi, New South Wales terletak di sebelah timur laut Victoria, manakala Queensland pula di utara New South Wales.
Berita terkini, ianya sedang dilanda banjir besar yang melibatkan kawasan di tenggara Queensland dan kini merebak ke utara New South Wales. Kawasan-kawasan berkenaan kini telah diisytiharkan zon bencana alam. Bermaksud ianya dalam situasi yang kritikal dan perhatian pihak berkuasa diletakkan sepenuhnya ke atasnya.
Banjir ini telah bermula sejak hampir seminggu lalu di Queensland melibatkan kawasan di Sunshine Coast (di mana terletaknya Underwater World dan Australia Zoo) dan juga Gold Coast (kawasan pelancongan pantai terkenal). Sehari dua ini ianya telah melanda pula kawasan bersempadan di utara New South Wales terutama di Grafton dan Kempsey.
Para penduduk di kawasan-kawasan tersebut telah diarahkan berpindah segera diiringi amaran keadaan banjir dan cuaca yang dijangka semakin buruk dari Biro Meteorologi. Difahamkan sehingga kini puluhan ribu penduduk telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan dan diyakini akan terus bertambah.
Hujan lebat masih berterusan turun dengan angin kencang bertiup sekitar 100km sejam. Atap-atap bangunan diterbangkan angin, pokok-pokok tumbang di merata tempat, sumber kuasa terganggu dan kebanyakan bandar terputus hubungan. Air dari Wilson River dan Clarence River dikhabarkan terus melimpah, memburukkan lagi keadaan.
Difahamkan tragedi banjir ini adalah kali ketiga melanda Queensland terutama di sekitar Lismore. Masih diingat lagi, ketika sebahagian Victoria marak dibakar api bushfire di bulan Februari lalu, pada ketika yang sama sebahagian Queensland digenangi air banjir. Begitu juga kali ini. Ketika Victoria mula selesa diselimuti kabus dan kesejukan, ada tempat penduduknya terpaksa menyabung nyawa menyelamatkan diri dari air.
Suatu tragedi yang amat kontra. Itulah kuasa Allah, tiada siapa yang dapat menjangkanya. Diyakini, setiap kejadian itu ada hikmah Allah yang tersembunyi. Hanya mereka yang berfikir sahaja yang dapat merasainya. Namun apakah hikmahnya itu? Sama-samalah kita merenunginya. SubhanaLlah. AlhamduliLlah. Allahu Akbar.
Cuma hati sedikit gusar mengingatkan menjelang hujung minggu hadapan, saudara dari Hulu Kelang dijadualkan bercuti di Gold Coast. Apakah keadaan banjir buruk atau dalam sehari dua ini ianya bakal pulih seperti sedia kala? Moga segalanya dipermudahkan oleh Allah. Ameen.

Monday, May 18, 2009

GPS Navigator - Rakan Di Jalanan

Di dalam entri sebelum inii telah disentuh tentang buku direktori jalan sebagai co-pilot ketika di jalanan. Satu lagi co-pilot yang amat popular kini adalah GPS Navigator, alat elektronik pemanduan arah bersatelit. Ianya bukan hanya digunakan oleh orang-orang persendirian sahaja tetapi juga digunakan hampir kesemua pemandu teksi, kenderaan perdagangan dan pelbagai lagi. Malah sesetengah telefon bimbit telah pun dilengkapi GPS navigation system ini.

Dengan adanya navigator, pergerakan kenderaan menjadi lebih mudah dan cepat. Cukup sekadar memasukkan alamat yang ditujui, maka jarak lokasi, anggaran tempoh masa perjalanan dan laluan yang akan ditempuhi akan dipaparkan untuk makluman. Ianya biasanya turut dilengkapi dengan beberapa pilihan setting untuk keselesaan pemandu seperti perjalanan terpantas mahupun terdekat, menghindari laluan tol dan lain-lain.

Dari masa ke semasa arahan akan diberikan sebagai panduan dan peringatan kepada pemandu. Jika tersalah jalan pun tiada masalah, navigator akan mencari laluan baru ke destinasi yang telah disetkan.

Banyak kelebihan jika memiliki navigator tetapi kekurangannya tetap ada. Yang paling ketara adalah pemandu menjadi kurang peduli akan jalan yang dilalui (walaupun versi baru dilengkapi pemberitahuan nama jalan), simpang mana yang dibelok dan apa nama tempat di sekitar laluan Yang penting sampai ke tempat yang ditujui. Bayangkan apa akan terjadi jika navigator ini meragam, boleh mati kutu dibuatnya. Justeru itulah ramai pemilik navigator masih juga menyediakan buku direktori jalan, Melway di dalam kereta sebagai langkah berjaga-jaga.

Walaupun pengguna navigator merasa selamat kiranya navigator ada bersama, pengetahuan asas laluan yang dilalui dengan dibantu oleh common sense adalah penting. Apatah lagi jika perisian navigator yang digunakan adalah bukan versi terkini. Dikhuatiri kita akan dibawa melalui laluan lencongan yang sedikit menjauh sedangkan laluan sebenar dekat sahaja. Ianya pernah kami alami ketika merentasi Pacific Highway dari Gold Coast ke Sydney. Suatu ketika di Pacific Highway kami dilencongkan hampir 7 km melalui jalan sempit dikelilingi ladang tebu sebelum kembali ke Pacific Highway. Rupa-rupanya sebelum itu (rekod navigator kami) Pacific Highway di tempat berkenaan ditutup sementara untuk kerja-kerja pembaikan.

Di pasaran kini terdapat pelbagai jenis navigator dijual dan semakin mendapat sambutan meluas. Harga di Australia kini dari AUD 200 sehingga mencecah AUD 500, bergantung kepada jenama, saiz (3.5” dan 4.3”) dan kelebihan yang ditawarkan. Jenama yang terkenal di Australia adalah Navman, TomTom dan Gurmin.

Sebahagian daripada navigator kini telah dipertingkatkan dengan suara pemberitahuan nama jalan (spoken street names), tambahan kepada pemberitahuan membelok dan jarak sahaja. Sesetengah navigator pula kini disertakan dengan perisian tambahan masa nyata (real time) yang boleh memberi isyarat akan kesesakan trafik jalan yang akan dilalui serta menyatakan jalan alternatifnya. Amat berguna sekali kepada yang mengejar masa dan ingin mengelakkan kesesakan. Namun harganya masih mahal.

Kami sendiri pun telahpun memiliki navigator, jenis Navman S30 (foto sebelah). Saiznya hanya 3.5” dengan fasiliti asas. Cukuplah untuk dibuat teman ketika berjalan-jalan. Ianya dibeli pada awal tahun lepas (2008) ketika emak dan abah serta ipar datang melancung ke Australia. Mereka mendarat di Gold Coast, Queensland. Di Gold Coast kami bertemu dan dari situ kami turun ke Sydney, New South Wales dan Canberra ACT sebelum kembali ke Melbourne. Dengan dipandu arah oleh navigator, bebas kami bergerak menuju tempat yang dihajati tanpa ragu tersesat jalan.

Namun terkena juga kami ketika keluar dari Darling Harbour, Sydney; kami tersilap masuk ke tengah Bandaraya Sydney. Dalam kesibukan jalan yang amat dahsyat dikelilingi bangunan pencakar langit menyayup tinggi, navigator kehilangan arah tanpa dapat mengesan kedudukan kami. Berpusing-pusing hampir sejam sebelum ketemu arah jalan ke Malaysia Hall yang ditujui yang terletak tidak berapa jauh dari Darling Harbour.
Umumnya, dengan bantuan navigator ini benar-benar memudahkan perjalanan dan pencarian kami. Bukan sahaja untuk berkunjung ke tempat-tempat pelancungan tetapi juga ada ketikanya mencari rumah kenalan yang sentiasa bertambah dari masa ke semasa. Malah rakan-rakan di Melbourne pun semakin ramai yang memilikinya.

Mendengar khabar dari rakan-rakan di Malaysia dan yang baru kembali dari sana, navigator kini mula digunakan secara meluas di tanah air. Begitu juga beberapa orang bloggawan (bloggers) dalam web blog mereka tampak seronok sekali menggunakannya, siap menguji ketepatannya ketika melalui laluan rutin. Perisiannya pun dikatakan mudah untuk diperolehi dan sentiasa dikemaskini.

Rakan sendiri pun telahpun berpesan, pulang ke Malaysia nanti jangan lupa bawa balik navigator. Insya Allah.

Sunday, May 17, 2009

Melway - Buku Direktori Jalan

Untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain, pengetahuan tentang jalan yang dilalui adalah satu kemestian. Jika tidak teraba-rabalah mencari arahnya walaupun lokasi yang ditujui hanyalah dekat sahaja. Apatah lagi jika berada di tempat yang asing kepada kita seumpama di bumi Australia.

Ketika kami tiba di Melbourne hampir 2 tahun lalu, antara perkara utama yang diperingatkan oleh rakan-rakan adalah dapatkan buku direktori jalan, dikenali Melway. Ianya penting untuk berjalan-jalan di Melbourne dan kawasan sekitarnya walaupun tanpa kereta. Apatah lagi jika telahpun mempunyai kereta. Begitu juga ketika kami mula tiba di Adelaide menjelang akhir tahun 2006 lalu. Perkara yang sama dimaklumkan oleh rakan-rakan di sana. Ketika itu GPS, direktori elektronik telahpun ada tetapi harganya agak mahal.

Misi awal kami setibanya di Melbourne, mahupun Adelaide adalah mencari rumah sewa. Ketika ini buku direktori berkenaan amat berguna sekali. Begitu juga jika ingin pergi ke mana-mana seperti melancung di sekitar Melbourne dan Adelaide. Berpandukan alamat yang diperolehi, mudah sekali mencari arahnya dari kedudukan semasa kita. Ianya amat boleh dipercayai, malah setiap tahun versi kemaskini dikeluarkan. Cuma tidak perlulah dibeli setiap tahun, memadai ada sebuah walaupun versi yang telah beberapa tahun terkebelakang.

Jika memandu sendirian dengan laluan yang berliku-liku, timbul sedikit kesulitan, sukar untuk merujuk setiap simpang dan nama jalan yang perlu dilalui. Terlebih lagi kiranya perlu dirujuk beberapa halaman yang berlainan. Jika dibimbangi tersasar, kenalah berhenti di bahu jalan untuk memastikannya. Itulah yang kami alami kiranya melalui laluan yang tidak pernah ataupun kurang dilalui. Kiranya ada pembantu, tidaklah merisaukan kerana ada suara yang mengarahkah untuk ke kiri atau ke kanan.

Dari segi sejarahnya, Melway ini mula dikeluarkan pada Mei, 1966. Di peringkat awal harganya agak mahal yang hanya digunakan oleh pihak tertentu sahaja. Menjelang awal tahun 1980an, ianya semakin popular di Melbourne sehingga menguasai lebih 80% pasaran tempatan dengan harganya semakin menurun. Kini harganya sekitar AUD40.00 sebuah.

Hampir semua pemilik kenderaan, samada persendirian mahupun perdagangan termasuk teksi, bas dan kenderaan sewa mempunyainya. Ianya turut sama digunakan oleh Victoria Police, bomba, ambulan dan pelbagai agensi lagi. Pengiklan juga biasa menggunakan rujukan grid di dalam Melway (contoh 90 K5 – m/s 90 kedudukan grid melintang K dan menegak 5) sebagai peta lokasi kedai, rujukan kepada pembaca.

Bagai yang dinyatakan, Melway ini hanya merujuk kepada persekitaran Melbourne sahaja. Jika melampaui sempadannya, seperti ke Ballarat, Warnambool dan Bendigo serta memasuki negeri lain seperti South Australia mahupun Western Australia, perlulah kita mencari direktori jalan yang lain. Biasanya kami singgah di Visitor Information Centre untuk mendapatkan brosur yang mengandungi peta laluan dan tempat yang ingin dikunjungi. Ianya percuma, ditambah pula mendapat penerangan lanjut daripada petugasnya. Lebih jimat dan bermaklumat.

Buku seumpama Melway ini juga dikeluarkan mewakili lain-lain ibu negeri di Australia, antaranya Sydway di Sydney, New South Wales dan Brisway di Brisbane, Queensland. Kelompok ini dikenali sebagai Ausway. Pesaing utama kepada Ausway adalah UBD yang dijual dengan harga yang lebih murah.

Umumnya, buku direktori jalan ini amat berguna sekali. Amat memudahkan pergerakan kita dari satu tempat ke satu tempat. Walaupun kini GPS telah digunakan dengan meluas, Melway ini masih diperlukan, sekurang-kurangnya sebagai backup jika tersesat.

Thursday, May 14, 2009

Musim Luruh di Bright - Day 2

Ahad – 10/05/2009

Pagi ini amat sejuk sekali. Kabus putih menutupi cermin pintu hadapan. AlhamduliLlah ruang dalam kabin terasa suam dengan alat pemanas yang terpasang sepanjang malam sehingga ke pagi.

Bertemankan Imran yang lengkap bersarung tangan serta memakai beanie (sarung kepala) dan muffler (selendang leher), kami berdua berjalan-jalan di sekitar Pine Valley Tourist Park. Anak-anak lain semuanya tak nak ikut. “Sejuklah”, kata mereka.

Pemandangan musim luruh di sekitarnya ceria sekali dengan disinari lembut mentari pagi. Tidak lama kami di luar, bergegas kami masuk ke dalam kabin. Sejuknya amat terasa, seakan menyentuh ketulan ais. Imran yang lengkap berpakaian musim sejuk pun mengeluh kesejukan. Entah berapa suhunya.

Selepas bersarapan pagi dan memasak bekalan makan tengahari, kami check-out sekitar jam 10:00 pagi. Destinasi pertama kami adalah ke Wandiligong Nut Festival dan seterusnya ke Buckland Valley.
Foto-fotonya dapat dilihat di ruangan Album Foto Kami (Bright Autumn) atau klik di sini.

Terdapat juga cadangan untuk ke kawasan pergunungan yang dikatakan telahpun mulai diliputi salji. Letaknya kira-kira 1 ½ jam pemanduan. Namun rasanya kurang sesuai, lebih baik berkunjung ke tempat-tempat menarik di sekitar Bright. Tambahan pula sememangnya ada cadangan untuk bermain salji ketika musim sejuk nanti.

Wandiligong Nut Festival

Berkebetulan ianya berlangsung dari 08/05 hingga 10/05/2009 (3 hari sahaja), elok benarlah kami ke sana. Lokasinya hanya 3 km dari tempat kami menginap di kawasan padang yang sederhana luasnya. Bayaran masuknya gold coin ($1 atau $2), terserahlah berapa yang nak dibagi.

Gerai-gerai sekitar 20 buah didirikan berkeliling padang dengan pelbagai jualan, antaranya kekacang (seperti chestnut (buah berangan), hazelnut dan walnut yang berbuah ketika musim luruh sahaja), madu, sos, wine, pokok bunga, barangan kait dan pakaian. Jika dilihat seimbas lalu, rasanya tidak kena dengan temanya. Namun jika diteliti pada program yang disenaraikan, banyak aktiviti yang disediakan, bukan hanya berkaitan kekacang tetapi juga lain-lain program kemasyarakatan.

Roasted chestnut adalah antara yang menjadi tumpuan kami. Sedap juga rasanya, seakan biji nangka atau cempedak. Tertanya-tanya kami akan bentuk pokoknya dan bagaimana buahnya.
Dari maklumat diperolehi, kami menyusuri School Rd, tidak jauh dari tapak pesta sambil mencari pokoknya. Bertanyakan penduduk tempatan, kenallah kami akan pokoknya. Ianya tidak berapa tinggi, daunnya merendang dengan buahnya berbalut selaput berduri landak. Kini telah pun di akhir musim.

Alpaca @ Buckland Valley

Seterusnya kami menuju ke Blackburn Valley yang terletak hampir 35 km ke selatan Bright. Di sini terletaknya ladang penternakan alpaca, binatang unik di mana kepalanya seakan unta, manakala badannya berbulu tebal seperti biri-biri. Bulunya diproses menjadi benang dan juga pakaian terutama untuk kegunaan musim sejuk.

Tiada bayaran masuk dikenakan. Berbaloilah kerana para pengunjung hanya dibenarkan melihatnya dari tepi kandang sahaja sambil berinteraksi dengan penjaganya. Untuk memudahkan pengunjung, sekelompok alpaca dimasukkan ke kandang kecil sambil diberi makan rumput. Dapatlah kami menyentuh dan melihatnya dari dekat.

Bersebelahannya terdapat kedai yang menjual hasil bulu alpaca ini seperti baju sejuk, jaket dan pelbagai lagi. Harganya… wow… ratusan dollar. Cukuplah sekadar membeleknya sahaja.

Sebelum pulang, sempat kami mengutip chestnut yang gugur bertaburan di bawah pokok di hadapan ladang. Durinya yang tajam kerap mencucuk jari ketika cuba mengeluarkan chestnut dari sarungnya. Akhirnya terpaksa menggunakan hujung kasut menekan bijinya keluar. Dapatlah segenggam dua untuk dibakar menggunakan microwave di rumah.

Perjalanan Pulang

Bergerak keluar dari kawasan ladang alpaca, kami terus bertolak pulang melalui jalan yang sama ketika datang ke Bright. Waktu telah pun melewati jam 02:00 petang. Singgah seketika di Coles di Myrtleford untuk berbelanja bekalan di jalanan. Hampir 2 jam di jalanan, kami berhenti di kawasan rehat di Makaon untuk makan tengahari dan solat jamak.
Setibanya di Clayton kira-kira jam 06:30 petang, kami singgah di rumah Kak Mai untuk solat jamak dan seterusnya pulang ke rumah di Dandenong. AlhamduliLlah perjalanan yang lancar dan dipermudahkan olehNya. Cuaca seharian juga amat baik sekali, panas sepanjang hari.

Wednesday, May 13, 2009

Musim Luruh di Bright - Day 1

Bright adalah sebuah bandar kecil, terletak di Ovens Valley, timur laut Victoria. Ia terkenal dengan warna-warni musim luruh dari pepohonan European yang menghiasi hampir setiap pelusuk bandarnya, sekaligus menjadi tarikan utama pelancong. Dan setiap tahun diadakan Bright Autumn Festival selama hampir 2 minggu dengan Gala Day pada hari Sabtu terakhir pesta tersebut. Pada tahun ini ianya berlangsung dari 25 April sehingga 06 Mei dan Gala Day-nya pada 02 Mei.

Seimbas lalu, Bright mula diterokai pada tahun 1824 dan dinamakan Morse’s Creek sempena nama F.H. Morse. Pada tahun 1861 namanya diubah kepada Bright yang diabadikan daripada nama negarawan British, John Bright. Di peringkat awal Bright terkenal dengan aktiviti perlombongan emas yang didominasi oleh orang-orang China sebelum diambil alih oleh etnik Anglo-Irish selepas rusuhan kaum, Buckland Riot pada tahun 1857.

Kini pelbagai aktiviti-aktiviti pelancongan lebih menyerlah, tambahan pula Mt. Buffalo, Mt. Feathertop, Mt. Bogong, Mt. Hotham dan Falls Creek yang terkenal terutamanya di musim sejuk terletak tidak jauh daripada Bright.

Sabtu – 09/05/2009

Pada hujung minggu baru-baru ini, tercapai juga hajat hati kami sejak tahun lepas untuk ke sana. Telah banyak cakap-cakap dari rakan kenalan didendangkan mengisahkan keindahan Bright ketika musim luruh. Setakat manakah indahnya sedangkan pokok-pokok dengan dedaunan kekuningan dan kemerahan boleh ditemui di merata tempat ketika musim luruh ini. Jika tidak melihat sendiri mana mungkin ianya dapat dibandingkan. Sewajarnya impian diterjemahkan kepada kenyataan. Namun musim pesta telah berakhir beberapa hari lalu. Lebih baik begitu, lebih aman dan tenang.

Bersama kami ke Bright adalah Dr. Maimunah (Kak Mai) dan Azidah yang menaiki kereta yang disewa dari Avis, Tarago GLi yang boleh memuatkan 8 orang. Turut serta Tengku Rashdan sekeluarga; Zura, Tengku Hana dan ibu mertuanya dengan keretanya sendiri. Bekalan makanan untuk sarapan pagi dan makan tengahari siap dimasak dari rumah. Manakala bekalan beras dan sardin dibawa untuk dimasak di sana sebagai bekalan hari esok.

Perjalanan ke Bright

Bright terletak kira-kira 350 km dari Dandenong. Perjalanan kami lancar melalui Monash Freeway, melencong ke Burke Road, seterusnya ke Hume Freeway sebelum memasuki Great Alpine Road menuju ke Pine Valley Tourist Park di mana kami menyewa sehingga esok harinya. Di sepanjang perjalanan, kami hanya berhenti 2 kali iaitu ketika di Hume Freeway untuk ke tandas dan sekali lagi di Myrtelford, singgah seketika di Information Centre.

Lebih kurang 4 jam di jalanan kurang terasa penatnya. Bukan sahaja disebabkan jalannya yang baik tetapi terpesona kami memerhatikan pemandangan sekeliling yang pelbagai. Cuaca yang pada awalnya bergerimis dengan ramalan hujan kini bertukar panas dan cerah sekali. AlhamduliLlah ianya berterusan sehingga kami tiba di Bright.

Ketika melalui Kilmore, tiba-tiba hati diragut sayu. Di kiri kanan jalan berceracak pepohonan yang hanya tinggal dahan berserta batang pokok kehitaman bagaikan arang. Begitu juga permukaan tanahnya, berwarna kehitaman. Itulah pemandangan yang tinggal, kesan tragedi Black Saturday yang tercetus pada tanggal 7-Februari baru-baru ini yang merekodkan kejadian kebakaran besar (inferno) yang terburuk dalam sejarah Australia, mengorbankan lebih 200 orang (foto atas).

Indahnya Bright

Memasuki Myrtelford, pemandangan dedaunan kekuningan dan kemerahan, berselang seli warna kehijauan mula memukau pandangan. Semakin menghampiri Bright, paduan warna kekuningan dan kemerahan lebih menyerlah, merendang memayungi kiri-kanan jalan dan kawasan persekitarannya.
Permukaan tanah pula berselerak dilitupi dedaunan yang gugur. Sesekali angin bertiup, maka berterbanganlah dedaunan jatuh ke tanah. Amat indah sekali. Begitu teruja sekali hati melihatnya. Tidak terungkap dek kata-kata.
Terdetik nakal di hati, “inilah sampah yang paling dihargai semua orang, malah sanggup berpesta kerananya”. Begitulah ketentuanNya.

Di sekitar Tourist Park pun sama juga fenomenanya. Bersepah dedaunan di lamannya, terbiar tidak terurus. Ketika ketibaan kami, Madam Robyn, empunya kabin sewaan sedang berusaha membersihkannya tetapi diakuinya sendiri, segalanya sia-sia sahaja kerana dedaunan akan terusan berguguran sehinggalah tinggal hanya dahan dan ranting. Tidak mengapa, terserlah keindahan disebaliknya, ibarat lapisan salji di musim sejuk.

Selepas beristirehat sambil makan dan solat jamak, kami keluar lagi menuju pusat bandar Bright sambil berklip-klap foto dirakamkan ketika berkesempatan. Di bandar Bright, masing-masing membawa haluan sendiri sambil menghayati pemandangan di sekitarnya. Anak-anak tiada lain yang ditujuinya selaian taman permainan yang terletak bersebelahan Ovens River, tidak jauh dari Morse’s Creek. Air sungai Ovens tenang mengalir. Itik-itik bebas berenang, sesekali terbang mengejar kumpulannya.
Sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini.

Ukhwah di Bright

Tanpa diduga, bersua dengan kenalan baru dari Kingsbury, keluarga Ibrahim-Fadzlina berserta anak-anak kecil mereka, Alia dan Waiz yang juga sedang melancong di Bright. Fadzlina adalah pensyarah undang-undang dari UiTM Perak, kini pelajar post-graduate di La Trobe University. Mereka singgah solat jamak Maghrib-Isyak di kabin kami dan dijamu nasi lemak sebelum bertolak pulang ke Kingsbury. Moga ketemu lagi.

Berserta Kak Mai, Azidah dan keluarga Tengku Rashdan, kami makan malam bersama-sama di kabin kami. Suasana penuh ceria dan mesra. Itulah sillaturahim yang sedia terjalin, sentiasa dipupuk atas ukhwah yang jitu. Moga berterusan selamanya.

Menjelang jam 09:30 malam, masing-masing beredar pulang ke kabin. Dengan kepenatan masih terasa, kami anak-beranak terus bersiap masuk tidur. Kabin 2 bilik agak selesa dengan katil bertingkat untuk anak-anak dan double bed untuk ibu ayah. Moga hari esok bersinar terang seumpama hari ini, sesuai dengan namanya, Bright.

Wednesday, May 6, 2009

Fenomena Musim Luruh

Musim luruh (autumn season) kini telah hampir tiba di kemuncaknya. Sementelahan pula jika mengikut perkiraan kalendar, Mei adalah bulan terakhir dari 3 bulan musim luruh sebelum menjengahnya permulaan musim sejuk (winter season) pada bulan Jun.

Daun Gugur

Di sesetengah tempat jelas kelihatan dedaun pokoknya telah pun berubah warna kepada kekuningan ataupun kemerahan dan beransur-ansur gugur bertaburan ke bumi. Berselerak di merata tempat samada di taman-taman, di persekitaran rumah mahupun di bahu-bahu jalan. Pemandangan nan indah kepada pencinta alam semulajadi, hanya berlaku setahun sekali.

Di sepanjang Cleeland Rd (foto sebelah) berhadapan sekolah anak-anak menuju ke Dandenong Market, pepohonan hiasan di kiri kanan jalan mulai memerah dedaunannya. Bermula dari bahagian atasnya (puncak) membawa ke bahagian bawah. Sebahagiannya telahpun gugur melatari pangkal pokok. Dalam jangkamasa terdekat kesemua daunnya akan berubah warna kemerahan dan akhirnya hanya tinggal ranting dan dahan berceracak menunggu akhir musim sejuk untuk kembali bertunas dan menghijau.

Di sesetengah halaman rumah, fenomena seumpamanya juga adalah pemandangan biasa. Begitu juga di rumah kami. Dedaun pokok plum kecil di hadapan rumah pun sudah mula kekuningan. Dedaun pokok tiin @ fig di belakang rumah pun serupa. Jika didasarkan pengalaman pada tahun lepas, dalam jarak masa sebulan ini sehinggalah awal Jun, keseluruhan daunnya akan luruh berguguran meninggalkan hanya dahan dan ranting.

Sebenarnya tidak semua pokok mengalami perubahan seperti di atas.. Masih banyak kedapatan pokok yang terus menghijau sepanjang tahun tanpa mengikut musim. Malah lebih segar menghijau ketika musim sejuk nanti disebabkan persekitaran cuaca dan suhunya yang lebih segar. Sesetengah pokok bunga pula mula mengeluarkan kuntuman bunga, mekar berkembang di musim luruh ini.

Cuaca dan Suhu

Cuaca sekarang ini amat sejuk sekali. Adakala hujan turun hampir setiap hari berserta angin yang lebih menyejukkan persekitaran. Sesekali cahaya mentari menyimbah bumi terasa bahangnya begitu nyaman sekali, nikmat Illahi yang tidak dapat diungkapkan.

Suhu harian pula paling maksima pun puratanya hanya mencecah 17 darjah Celcius sahaja. Suhu malam dan awal pagi pula kebiasaannya di bawah paras 10 darjah Celcius, malah ada saatnya melewati negatif darjah Celcius.

Dipercayai suhu harian musim luruh pada tahun ini lebih rendah berbanding pada tahun lepas. Sejuknya lebih terasa. Tidak hairanlah di kawasan pergunungan telahpun menampakkan tanda-tanda mula diliputi salji sejak seminggu lalu. Menurut berita TV, Mount Buller, destinasi pelancongan bersalji yang terletak hampir 300 km dari rumah kami telahpun dibuka kepada umum. Di Lake Mountain, kawasan bersalji kegemaran kami yang terletak kira-kira 100km dari rumah, kawasannya telah pun mulai diseliputi salji (foto atas dari laman web Lake Mountain).

Waktu Siang Pendek

Waktu Subuh makin lama makin lewat. Bermakna waktu keluar matahari juga makin lambat, kini sekitar jam 07:00 pagi. Manakala waktu terbenam matahari (Maghrib) pula lebih awal, kira-kira jam 05:30 petang. Waktu Isyak pula sebelum jam 07:00 malam. Ini menjadikan waktu siangnya lebih pendek dari waktu malamnya. Dapatlah kami tidur lebih awal dan lama sedikit, tambahan pula dengan suhu sejuk, makin lenalah beradunya diselimuti kain kasa yang tebal.

Bagi yang berpuasa, ketika ini amat sesuai sekali, kurang terasa lapar dan kurang lama masa menunggu waktu berbuka. Ada hikmahnya musim seumpamanya.

Kesan Sejuk

Dengan keadaan suhu sedemikian, jari jemari kaki dan tangan sering terasa sakit dan kebas kesejukan. Kulit muka dan bibir pula mula kekeringan, perlu disapu pelembab setiap hari lebih-lebih lagi jika banyak masa berada di luar rumah. Begitu juga kulit lengan dan juga betis pun sama, kering dan gatal-gatal dek kulit yang menegang. Dengan pelembab, kuranglah kerengsaannya.

Suhu dalam rumah pun tidak kurang sejuknya. Jika tiada sistem pemanas, mungkin semuanya jadi pasif dan pemalas. Badan pula akan terasa sengal di sana sini walaupun telah dibungkus pakaian berlapis. Nak ke tandas pun akan terasa berat dek rasa sejuknya. AlhamduliLlah mereka masih lagi aktif dan bebas bergerak ke sana sini, berkat adanya ducted heating.

Jika dilihat manusia di sekitar kita terutama wanita, masing-masing telahpun berpakaian sopan menutupi setiap inci tubuh dek kerana kesejukan. Itulah antara kelebihannya bila musim luruh membawa ke musim sejuk dan awal musim bunga, kurang sedikit maksiat mata yang adakala tidak dapat dielakkan.

Melancong dan Melencong

Di musim luruh, lebih-lebih lagi di penghujung musim, kebiasaannya kurang sesuai untuk melancong ke kawasan-kawasan yang terbuka terutama pantai-pantai. Udaranya amat sejuk, apatah lagi jika disertai sama hujan yang tidak dapat dijangka dan angin walaupun hanya bertiup sepoi-sepoi bahasa. Menggeletar tubuh dibuatnya. Tambahan pula masa siangnya lebih pendek.

Namun bagi peminat keindahan alam dengan pemandangan berbeza dari biasa, terdapat banyak tempat yang boleh disinggahi. Bright (foto sebelah dari laman web Bright) adalah salah satu kawasan tumpuan para pengunjung untuk menikmati keunikan alam dengan persekitaran musim luruh dari pepohonan Europhean yang ditanam khas.
Kami belum pernah ke Bright. Insya Allah, di penghunjung minggu ini kami bercadang untuk ke sana. Jika berkesempatan mungkin kami boleh melencong pula samada ke Mt Hotham atau Mt Bufallo mahupun ke Falls Creek untuk "menjamah" salji yang sedang menipis di sana.
Moga perjalanan kami dipermudahkan olehNya. Ameen.

Saturday, May 2, 2009

Ketemu Rakan di Tanah Air

Bersua rakan kenalan lama sememangnya amat menggembirakan apatah lagi ketika berada di tanah air. AlhamduliLlah, dalam senggang masa yang terhad, kami dikurniakan kesempatan tersebut.

Rakan-rakan Melbourne

Di rumah baru Abang Nordin-Kak Siti
Dari masa ke semasa akan sentiasa ada rakan pelajar mahupun yang mengiringi pasangan di Melbourne pulang ke tanah air apabila tamat jangkamasa pengajian mereka. Kebiasaannya masing-masing akan kembali kepada rutin kerja yang tidak menentu dan kesibukan yang tidak dapat dielakkan. Dengan dikelilingi adik beradik, saudara mara, jiran tetangga, rakan taulan dan komuniti setempat, setiap hari yang dilalui dirasakan begitu pendek sekali.

AlhamduliLlah, kami berkesempatan berkunjung ke rumah Nizam-Ruby Jasmin di Taman Melawati, tidak jauh dari rumah kami. Mereka pulang ke tanah air kira-kira 5 bulan lalu.
Berpeluang juga kami ke rumah Abang Nordin-Kak Siti Hazar di Seksyen 7, BB Bangi. Rumah baru yang baru didiami hampir seminggu sebelumnya; besar, luas dan cantik sekali. Sebelumnya mereka tinggal sementara di rumah Mohd Nor-Suriati (sekarang di Dandenong, Melbourne) di Impian Putra sejak pulang ke tanah air pada akhir Februari lalu. Sempat juga kami singgah sekejap di rumah Mohd Nor, sehari selepas kami tiba di tanah air.

Nizam-Ruby menjamu lamb chop (kiri) dan Nazar-Yati bersama ibu mertua (kanan)
Ketika Majlis Aqiqah anak saudara, Dahlia Az Zahra pada 18/04/2009 di rumah emak-abah di Hulu Klang, mereka turut datang memeriahkannya. Turut serta Nazar-Noorhayati yang pulang ke tanah air hampir 2 bulan lepas.

Kepada rakan-rakan yang mengenali mereka, sambutlah salam ukhwah dari mereka untuk kalian semua. Tidak mampu untuk saya menyampaikannya secara lisan kepada setiap orang. Namun jika bersua muka, Insya Allah akan disampaikan juga.

Rakan Sekerja

Hubungan sesama rakan sekerja lama ketika di MSCSB masih lagi utuh seperti sebelumnya. Walaupun telah hampir 2 tahun berpisah, kami masih lagi berhubungan melalui e-mel. Ketika pulang bercuti, sememangnya berhajat hati ingin ke premis mereka di Kinrara tetapi ianya tidak kesampaian.

Tidak sangka pula mereka datang mencari dan berkirim salam melalui rakan-rakan. Terasa bersalah pula. Kenapa aku tidak mencari mereka, sedangkan masa boleh diatur? Tiba-tiba sahaja hati diragut pilu dan sendu. Ampun maaf dipinta.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua terutama Wan Nizam dan Safrizal yang datang berkunjung ke rumah bersama adik, Lutfi. Juga Talib dan Shafie yang datang sehari sebelum kami bertolak pulang ke Melbourne. Sampaikan salam ukhwah untuk semua rakan-rakan di MSCSB.