Saturday, May 23, 2009

Banjir di NSW dan QLD

New South Wales (NSW) dan Queensland (QLD) adalah antara negeri di dalam Australia. Dari segi geografi, New South Wales terletak di sebelah timur laut Victoria, manakala Queensland pula di utara New South Wales.
Berita terkini, ianya sedang dilanda banjir besar yang melibatkan kawasan di tenggara Queensland dan kini merebak ke utara New South Wales. Kawasan-kawasan berkenaan kini telah diisytiharkan zon bencana alam. Bermaksud ianya dalam situasi yang kritikal dan perhatian pihak berkuasa diletakkan sepenuhnya ke atasnya.
Banjir ini telah bermula sejak hampir seminggu lalu di Queensland melibatkan kawasan di Sunshine Coast (di mana terletaknya Underwater World dan Australia Zoo) dan juga Gold Coast (kawasan pelancongan pantai terkenal). Sehari dua ini ianya telah melanda pula kawasan bersempadan di utara New South Wales terutama di Grafton dan Kempsey.
Para penduduk di kawasan-kawasan tersebut telah diarahkan berpindah segera diiringi amaran keadaan banjir dan cuaca yang dijangka semakin buruk dari Biro Meteorologi. Difahamkan sehingga kini puluhan ribu penduduk telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan dan diyakini akan terus bertambah.
Hujan lebat masih berterusan turun dengan angin kencang bertiup sekitar 100km sejam. Atap-atap bangunan diterbangkan angin, pokok-pokok tumbang di merata tempat, sumber kuasa terganggu dan kebanyakan bandar terputus hubungan. Air dari Wilson River dan Clarence River dikhabarkan terus melimpah, memburukkan lagi keadaan.
Difahamkan tragedi banjir ini adalah kali ketiga melanda Queensland terutama di sekitar Lismore. Masih diingat lagi, ketika sebahagian Victoria marak dibakar api bushfire di bulan Februari lalu, pada ketika yang sama sebahagian Queensland digenangi air banjir. Begitu juga kali ini. Ketika Victoria mula selesa diselimuti kabus dan kesejukan, ada tempat penduduknya terpaksa menyabung nyawa menyelamatkan diri dari air.
Suatu tragedi yang amat kontra. Itulah kuasa Allah, tiada siapa yang dapat menjangkanya. Diyakini, setiap kejadian itu ada hikmah Allah yang tersembunyi. Hanya mereka yang berfikir sahaja yang dapat merasainya. Namun apakah hikmahnya itu? Sama-samalah kita merenunginya. SubhanaLlah. AlhamduliLlah. Allahu Akbar.
Cuma hati sedikit gusar mengingatkan menjelang hujung minggu hadapan, saudara dari Hulu Kelang dijadualkan bercuti di Gold Coast. Apakah keadaan banjir buruk atau dalam sehari dua ini ianya bakal pulih seperti sedia kala? Moga segalanya dipermudahkan oleh Allah. Ameen.

No comments: