Wednesday, May 6, 2009

Fenomena Musim Luruh

Musim luruh (autumn season) kini telah hampir tiba di kemuncaknya. Sementelahan pula jika mengikut perkiraan kalendar, Mei adalah bulan terakhir dari 3 bulan musim luruh sebelum menjengahnya permulaan musim sejuk (winter season) pada bulan Jun.

Daun Gugur

Di sesetengah tempat jelas kelihatan dedaun pokoknya telah pun berubah warna kepada kekuningan ataupun kemerahan dan beransur-ansur gugur bertaburan ke bumi. Berselerak di merata tempat samada di taman-taman, di persekitaran rumah mahupun di bahu-bahu jalan. Pemandangan nan indah kepada pencinta alam semulajadi, hanya berlaku setahun sekali.

Di sepanjang Cleeland Rd (foto sebelah) berhadapan sekolah anak-anak menuju ke Dandenong Market, pepohonan hiasan di kiri kanan jalan mulai memerah dedaunannya. Bermula dari bahagian atasnya (puncak) membawa ke bahagian bawah. Sebahagiannya telahpun gugur melatari pangkal pokok. Dalam jangkamasa terdekat kesemua daunnya akan berubah warna kemerahan dan akhirnya hanya tinggal ranting dan dahan berceracak menunggu akhir musim sejuk untuk kembali bertunas dan menghijau.

Di sesetengah halaman rumah, fenomena seumpamanya juga adalah pemandangan biasa. Begitu juga di rumah kami. Dedaun pokok plum kecil di hadapan rumah pun sudah mula kekuningan. Dedaun pokok tiin @ fig di belakang rumah pun serupa. Jika didasarkan pengalaman pada tahun lepas, dalam jarak masa sebulan ini sehinggalah awal Jun, keseluruhan daunnya akan luruh berguguran meninggalkan hanya dahan dan ranting.

Sebenarnya tidak semua pokok mengalami perubahan seperti di atas.. Masih banyak kedapatan pokok yang terus menghijau sepanjang tahun tanpa mengikut musim. Malah lebih segar menghijau ketika musim sejuk nanti disebabkan persekitaran cuaca dan suhunya yang lebih segar. Sesetengah pokok bunga pula mula mengeluarkan kuntuman bunga, mekar berkembang di musim luruh ini.

Cuaca dan Suhu

Cuaca sekarang ini amat sejuk sekali. Adakala hujan turun hampir setiap hari berserta angin yang lebih menyejukkan persekitaran. Sesekali cahaya mentari menyimbah bumi terasa bahangnya begitu nyaman sekali, nikmat Illahi yang tidak dapat diungkapkan.

Suhu harian pula paling maksima pun puratanya hanya mencecah 17 darjah Celcius sahaja. Suhu malam dan awal pagi pula kebiasaannya di bawah paras 10 darjah Celcius, malah ada saatnya melewati negatif darjah Celcius.

Dipercayai suhu harian musim luruh pada tahun ini lebih rendah berbanding pada tahun lepas. Sejuknya lebih terasa. Tidak hairanlah di kawasan pergunungan telahpun menampakkan tanda-tanda mula diliputi salji sejak seminggu lalu. Menurut berita TV, Mount Buller, destinasi pelancongan bersalji yang terletak hampir 300 km dari rumah kami telahpun dibuka kepada umum. Di Lake Mountain, kawasan bersalji kegemaran kami yang terletak kira-kira 100km dari rumah, kawasannya telah pun mulai diseliputi salji (foto atas dari laman web Lake Mountain).

Waktu Siang Pendek

Waktu Subuh makin lama makin lewat. Bermakna waktu keluar matahari juga makin lambat, kini sekitar jam 07:00 pagi. Manakala waktu terbenam matahari (Maghrib) pula lebih awal, kira-kira jam 05:30 petang. Waktu Isyak pula sebelum jam 07:00 malam. Ini menjadikan waktu siangnya lebih pendek dari waktu malamnya. Dapatlah kami tidur lebih awal dan lama sedikit, tambahan pula dengan suhu sejuk, makin lenalah beradunya diselimuti kain kasa yang tebal.

Bagi yang berpuasa, ketika ini amat sesuai sekali, kurang terasa lapar dan kurang lama masa menunggu waktu berbuka. Ada hikmahnya musim seumpamanya.

Kesan Sejuk

Dengan keadaan suhu sedemikian, jari jemari kaki dan tangan sering terasa sakit dan kebas kesejukan. Kulit muka dan bibir pula mula kekeringan, perlu disapu pelembab setiap hari lebih-lebih lagi jika banyak masa berada di luar rumah. Begitu juga kulit lengan dan juga betis pun sama, kering dan gatal-gatal dek kulit yang menegang. Dengan pelembab, kuranglah kerengsaannya.

Suhu dalam rumah pun tidak kurang sejuknya. Jika tiada sistem pemanas, mungkin semuanya jadi pasif dan pemalas. Badan pula akan terasa sengal di sana sini walaupun telah dibungkus pakaian berlapis. Nak ke tandas pun akan terasa berat dek rasa sejuknya. AlhamduliLlah mereka masih lagi aktif dan bebas bergerak ke sana sini, berkat adanya ducted heating.

Jika dilihat manusia di sekitar kita terutama wanita, masing-masing telahpun berpakaian sopan menutupi setiap inci tubuh dek kerana kesejukan. Itulah antara kelebihannya bila musim luruh membawa ke musim sejuk dan awal musim bunga, kurang sedikit maksiat mata yang adakala tidak dapat dielakkan.

Melancong dan Melencong

Di musim luruh, lebih-lebih lagi di penghujung musim, kebiasaannya kurang sesuai untuk melancong ke kawasan-kawasan yang terbuka terutama pantai-pantai. Udaranya amat sejuk, apatah lagi jika disertai sama hujan yang tidak dapat dijangka dan angin walaupun hanya bertiup sepoi-sepoi bahasa. Menggeletar tubuh dibuatnya. Tambahan pula masa siangnya lebih pendek.

Namun bagi peminat keindahan alam dengan pemandangan berbeza dari biasa, terdapat banyak tempat yang boleh disinggahi. Bright (foto sebelah dari laman web Bright) adalah salah satu kawasan tumpuan para pengunjung untuk menikmati keunikan alam dengan persekitaran musim luruh dari pepohonan Europhean yang ditanam khas.
Kami belum pernah ke Bright. Insya Allah, di penghunjung minggu ini kami bercadang untuk ke sana. Jika berkesempatan mungkin kami boleh melencong pula samada ke Mt Hotham atau Mt Bufallo mahupun ke Falls Creek untuk "menjamah" salji yang sedang menipis di sana.
Moga perjalanan kami dipermudahkan olehNya. Ameen.

2 comments:

Anonymous said...

sangat menarik, terima kasih

Unknown said...

Perfect