Wednesday, May 27, 2009

Swine Flu Melanda Australia

Berita terkini sehingga pagi ini, kes positif swine flu (selsema babi) @ Influenza A (H1N1) di Australia meningkat begitu mendadak, mencecah 50 kes kesemuanya. Sekali ganda dari hari sebelumnya. Semalam (Selasa) baru sahaja dilaporkan 25 orang telah disahkan menghidap swine flu – masing-masing 10 kes di Victoria dan New South Wales dan 5 kes lagi di Queensland.
Kes terbaru kebanyakannya melibatkan penumpang penerbangan dari Los Angeles ke Sydney dan Brisbane, penerbangan tempatan dari Brisbane ke Gold Coast dan penumpang kapal persiaran Pacific Dawn di Sydney.

Jika dilihat, kesemua kes di atas melibatkan pergerakan penghidap melalui penerbangan mahupun pelayaran. Bayangkan berapa ramai penumpang yang turut serta bersama mereka.
Bersama kapal Pacific Dawn sahaja hampir 2,000 penumpang menaikinya. Penerbangan pula ratusan penumpang lagi. Pasti masing-masing kini berada dalam kegelisahan dan kebimbangan. Pihak berkuasa telah pun mengeluarkan arahan agar mereka yang terlibat menjalani pemeriksaan kesihatan segera dan dinasihatkan berada dalam kuarantin untuk jarak waktu tertentu sehingga dipastikan mereka bukannya pembawa virus H1N1.

Malangnya kesemua kes tidak dapat dikesan ketika pendaratan/ persinggahan tetapi sehari dua selepas itu. Alat pengesan haba yang terdapat di lapangan terbang nampaknya tidak berfungsi sepenuhnya, mungkin turut sama terkena virus H1N1..8)

Virus H1N1 yang bermula di Mexico sejak lebih sebulan lalu ini nampaknya begitu cepat sekali merebak. Dari laporan WHO (Petubuhan Kesihatan Sedunia), kini 46 negara telah terlibat dengan mangsanya sehingga semalam telah pun mencecah hampir 13,000 orang dengan 91 kematian (Mexico sahaja 4,700 kes dan 85 kematian).

Risau juga di hati, terlebih lagi Victoria (negeri yang kami tinggal), sehingga kini telah mencatatkan jumlah mangsa tertinggi di Australia, 32 kes kesemuanya.
Dalam pergaulan dan pergerakan seharian, kita terdedah kepada pelbagai kemungkinan. Tambahan pula dalam suasana sejuk sekarang. Ramai yang mengalami demam dan selsema. Kami sendiri pun tidak terkecuali. Dan di awal Jun nanti, Laili pula akan menghadiri konferens di Hong Kong, sebuah negara antara 46 negara yang terlibat.
Hanya padaNya dipanjatkan doa dan harapan, moga-moga kami terpelihara dari semuanya itu. Ameen.

No comments: