Thursday, May 14, 2009

Musim Luruh di Bright - Day 2

Ahad – 10/05/2009

Pagi ini amat sejuk sekali. Kabus putih menutupi cermin pintu hadapan. AlhamduliLlah ruang dalam kabin terasa suam dengan alat pemanas yang terpasang sepanjang malam sehingga ke pagi.

Bertemankan Imran yang lengkap bersarung tangan serta memakai beanie (sarung kepala) dan muffler (selendang leher), kami berdua berjalan-jalan di sekitar Pine Valley Tourist Park. Anak-anak lain semuanya tak nak ikut. “Sejuklah”, kata mereka.

Pemandangan musim luruh di sekitarnya ceria sekali dengan disinari lembut mentari pagi. Tidak lama kami di luar, bergegas kami masuk ke dalam kabin. Sejuknya amat terasa, seakan menyentuh ketulan ais. Imran yang lengkap berpakaian musim sejuk pun mengeluh kesejukan. Entah berapa suhunya.

Selepas bersarapan pagi dan memasak bekalan makan tengahari, kami check-out sekitar jam 10:00 pagi. Destinasi pertama kami adalah ke Wandiligong Nut Festival dan seterusnya ke Buckland Valley.
Foto-fotonya dapat dilihat di ruangan Album Foto Kami (Bright Autumn) atau klik di sini.

Terdapat juga cadangan untuk ke kawasan pergunungan yang dikatakan telahpun mulai diliputi salji. Letaknya kira-kira 1 ½ jam pemanduan. Namun rasanya kurang sesuai, lebih baik berkunjung ke tempat-tempat menarik di sekitar Bright. Tambahan pula sememangnya ada cadangan untuk bermain salji ketika musim sejuk nanti.

Wandiligong Nut Festival

Berkebetulan ianya berlangsung dari 08/05 hingga 10/05/2009 (3 hari sahaja), elok benarlah kami ke sana. Lokasinya hanya 3 km dari tempat kami menginap di kawasan padang yang sederhana luasnya. Bayaran masuknya gold coin ($1 atau $2), terserahlah berapa yang nak dibagi.

Gerai-gerai sekitar 20 buah didirikan berkeliling padang dengan pelbagai jualan, antaranya kekacang (seperti chestnut (buah berangan), hazelnut dan walnut yang berbuah ketika musim luruh sahaja), madu, sos, wine, pokok bunga, barangan kait dan pakaian. Jika dilihat seimbas lalu, rasanya tidak kena dengan temanya. Namun jika diteliti pada program yang disenaraikan, banyak aktiviti yang disediakan, bukan hanya berkaitan kekacang tetapi juga lain-lain program kemasyarakatan.

Roasted chestnut adalah antara yang menjadi tumpuan kami. Sedap juga rasanya, seakan biji nangka atau cempedak. Tertanya-tanya kami akan bentuk pokoknya dan bagaimana buahnya.
Dari maklumat diperolehi, kami menyusuri School Rd, tidak jauh dari tapak pesta sambil mencari pokoknya. Bertanyakan penduduk tempatan, kenallah kami akan pokoknya. Ianya tidak berapa tinggi, daunnya merendang dengan buahnya berbalut selaput berduri landak. Kini telah pun di akhir musim.

Alpaca @ Buckland Valley

Seterusnya kami menuju ke Blackburn Valley yang terletak hampir 35 km ke selatan Bright. Di sini terletaknya ladang penternakan alpaca, binatang unik di mana kepalanya seakan unta, manakala badannya berbulu tebal seperti biri-biri. Bulunya diproses menjadi benang dan juga pakaian terutama untuk kegunaan musim sejuk.

Tiada bayaran masuk dikenakan. Berbaloilah kerana para pengunjung hanya dibenarkan melihatnya dari tepi kandang sahaja sambil berinteraksi dengan penjaganya. Untuk memudahkan pengunjung, sekelompok alpaca dimasukkan ke kandang kecil sambil diberi makan rumput. Dapatlah kami menyentuh dan melihatnya dari dekat.

Bersebelahannya terdapat kedai yang menjual hasil bulu alpaca ini seperti baju sejuk, jaket dan pelbagai lagi. Harganya… wow… ratusan dollar. Cukuplah sekadar membeleknya sahaja.

Sebelum pulang, sempat kami mengutip chestnut yang gugur bertaburan di bawah pokok di hadapan ladang. Durinya yang tajam kerap mencucuk jari ketika cuba mengeluarkan chestnut dari sarungnya. Akhirnya terpaksa menggunakan hujung kasut menekan bijinya keluar. Dapatlah segenggam dua untuk dibakar menggunakan microwave di rumah.

Perjalanan Pulang

Bergerak keluar dari kawasan ladang alpaca, kami terus bertolak pulang melalui jalan yang sama ketika datang ke Bright. Waktu telah pun melewati jam 02:00 petang. Singgah seketika di Coles di Myrtleford untuk berbelanja bekalan di jalanan. Hampir 2 jam di jalanan, kami berhenti di kawasan rehat di Makaon untuk makan tengahari dan solat jamak.
Setibanya di Clayton kira-kira jam 06:30 petang, kami singgah di rumah Kak Mai untuk solat jamak dan seterusnya pulang ke rumah di Dandenong. AlhamduliLlah perjalanan yang lancar dan dipermudahkan olehNya. Cuaca seharian juga amat baik sekali, panas sepanjang hari.

No comments: