Wednesday, May 13, 2009

Musim Luruh di Bright - Day 1

Bright adalah sebuah bandar kecil, terletak di Ovens Valley, timur laut Victoria. Ia terkenal dengan warna-warni musim luruh dari pepohonan European yang menghiasi hampir setiap pelusuk bandarnya, sekaligus menjadi tarikan utama pelancong. Dan setiap tahun diadakan Bright Autumn Festival selama hampir 2 minggu dengan Gala Day pada hari Sabtu terakhir pesta tersebut. Pada tahun ini ianya berlangsung dari 25 April sehingga 06 Mei dan Gala Day-nya pada 02 Mei.

Seimbas lalu, Bright mula diterokai pada tahun 1824 dan dinamakan Morse’s Creek sempena nama F.H. Morse. Pada tahun 1861 namanya diubah kepada Bright yang diabadikan daripada nama negarawan British, John Bright. Di peringkat awal Bright terkenal dengan aktiviti perlombongan emas yang didominasi oleh orang-orang China sebelum diambil alih oleh etnik Anglo-Irish selepas rusuhan kaum, Buckland Riot pada tahun 1857.

Kini pelbagai aktiviti-aktiviti pelancongan lebih menyerlah, tambahan pula Mt. Buffalo, Mt. Feathertop, Mt. Bogong, Mt. Hotham dan Falls Creek yang terkenal terutamanya di musim sejuk terletak tidak jauh daripada Bright.

Sabtu – 09/05/2009

Pada hujung minggu baru-baru ini, tercapai juga hajat hati kami sejak tahun lepas untuk ke sana. Telah banyak cakap-cakap dari rakan kenalan didendangkan mengisahkan keindahan Bright ketika musim luruh. Setakat manakah indahnya sedangkan pokok-pokok dengan dedaunan kekuningan dan kemerahan boleh ditemui di merata tempat ketika musim luruh ini. Jika tidak melihat sendiri mana mungkin ianya dapat dibandingkan. Sewajarnya impian diterjemahkan kepada kenyataan. Namun musim pesta telah berakhir beberapa hari lalu. Lebih baik begitu, lebih aman dan tenang.

Bersama kami ke Bright adalah Dr. Maimunah (Kak Mai) dan Azidah yang menaiki kereta yang disewa dari Avis, Tarago GLi yang boleh memuatkan 8 orang. Turut serta Tengku Rashdan sekeluarga; Zura, Tengku Hana dan ibu mertuanya dengan keretanya sendiri. Bekalan makanan untuk sarapan pagi dan makan tengahari siap dimasak dari rumah. Manakala bekalan beras dan sardin dibawa untuk dimasak di sana sebagai bekalan hari esok.

Perjalanan ke Bright

Bright terletak kira-kira 350 km dari Dandenong. Perjalanan kami lancar melalui Monash Freeway, melencong ke Burke Road, seterusnya ke Hume Freeway sebelum memasuki Great Alpine Road menuju ke Pine Valley Tourist Park di mana kami menyewa sehingga esok harinya. Di sepanjang perjalanan, kami hanya berhenti 2 kali iaitu ketika di Hume Freeway untuk ke tandas dan sekali lagi di Myrtelford, singgah seketika di Information Centre.

Lebih kurang 4 jam di jalanan kurang terasa penatnya. Bukan sahaja disebabkan jalannya yang baik tetapi terpesona kami memerhatikan pemandangan sekeliling yang pelbagai. Cuaca yang pada awalnya bergerimis dengan ramalan hujan kini bertukar panas dan cerah sekali. AlhamduliLlah ianya berterusan sehingga kami tiba di Bright.

Ketika melalui Kilmore, tiba-tiba hati diragut sayu. Di kiri kanan jalan berceracak pepohonan yang hanya tinggal dahan berserta batang pokok kehitaman bagaikan arang. Begitu juga permukaan tanahnya, berwarna kehitaman. Itulah pemandangan yang tinggal, kesan tragedi Black Saturday yang tercetus pada tanggal 7-Februari baru-baru ini yang merekodkan kejadian kebakaran besar (inferno) yang terburuk dalam sejarah Australia, mengorbankan lebih 200 orang (foto atas).

Indahnya Bright

Memasuki Myrtelford, pemandangan dedaunan kekuningan dan kemerahan, berselang seli warna kehijauan mula memukau pandangan. Semakin menghampiri Bright, paduan warna kekuningan dan kemerahan lebih menyerlah, merendang memayungi kiri-kanan jalan dan kawasan persekitarannya.
Permukaan tanah pula berselerak dilitupi dedaunan yang gugur. Sesekali angin bertiup, maka berterbanganlah dedaunan jatuh ke tanah. Amat indah sekali. Begitu teruja sekali hati melihatnya. Tidak terungkap dek kata-kata.
Terdetik nakal di hati, “inilah sampah yang paling dihargai semua orang, malah sanggup berpesta kerananya”. Begitulah ketentuanNya.

Di sekitar Tourist Park pun sama juga fenomenanya. Bersepah dedaunan di lamannya, terbiar tidak terurus. Ketika ketibaan kami, Madam Robyn, empunya kabin sewaan sedang berusaha membersihkannya tetapi diakuinya sendiri, segalanya sia-sia sahaja kerana dedaunan akan terusan berguguran sehinggalah tinggal hanya dahan dan ranting. Tidak mengapa, terserlah keindahan disebaliknya, ibarat lapisan salji di musim sejuk.

Selepas beristirehat sambil makan dan solat jamak, kami keluar lagi menuju pusat bandar Bright sambil berklip-klap foto dirakamkan ketika berkesempatan. Di bandar Bright, masing-masing membawa haluan sendiri sambil menghayati pemandangan di sekitarnya. Anak-anak tiada lain yang ditujuinya selaian taman permainan yang terletak bersebelahan Ovens River, tidak jauh dari Morse’s Creek. Air sungai Ovens tenang mengalir. Itik-itik bebas berenang, sesekali terbang mengejar kumpulannya.
Sebahagian foto terdapat di Album Foto Kami atau klik di sini.

Ukhwah di Bright

Tanpa diduga, bersua dengan kenalan baru dari Kingsbury, keluarga Ibrahim-Fadzlina berserta anak-anak kecil mereka, Alia dan Waiz yang juga sedang melancong di Bright. Fadzlina adalah pensyarah undang-undang dari UiTM Perak, kini pelajar post-graduate di La Trobe University. Mereka singgah solat jamak Maghrib-Isyak di kabin kami dan dijamu nasi lemak sebelum bertolak pulang ke Kingsbury. Moga ketemu lagi.

Berserta Kak Mai, Azidah dan keluarga Tengku Rashdan, kami makan malam bersama-sama di kabin kami. Suasana penuh ceria dan mesra. Itulah sillaturahim yang sedia terjalin, sentiasa dipupuk atas ukhwah yang jitu. Moga berterusan selamanya.

Menjelang jam 09:30 malam, masing-masing beredar pulang ke kabin. Dengan kepenatan masih terasa, kami anak-beranak terus bersiap masuk tidur. Kabin 2 bilik agak selesa dengan katil bertingkat untuk anak-anak dan double bed untuk ibu ayah. Moga hari esok bersinar terang seumpama hari ini, sesuai dengan namanya, Bright.

1 comment:

NAA said...

salam...i will visit monash U & RMIT on may 2009...can u help me in basic info about aussie...??

thanks..=)