Thursday, April 28, 2011

Ke Pesta Buku Lagi...

Kelmarin saya berkesempatan ke Pesta Buku lagi. Tujuannya sekadar menukar buku yang tersalah beli di booth PTS pada hujung minggu baru-baru ini. Iddin tidak perasan buku Quran Saintifik karya Dr. Danial Zainal Abidin telah pun sedia ada di rak khutub khanah keluarga. Emm, tukar sebuah buku, tidak sedar lebih 5 buah pula yang diborong di booth PTS. Lima enam buah lagi dibeli dari beberapa booth lain. Begitulah keadaannya apabila dah terlajak sampai ke tempat buku. Jika diikutkan hati semua buku nak diangkut pulang.
Tanpa dirancang, semalam saya terpaksa ke Pesta Buku lagi. Buku motivasi wanita terjemahan karangan Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni yang dibeli kelmarin pula kosong di beberapa muka suratnya. Ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Kali ini hanya tambahan buku latih tubi untuk Iddin yang bakal menduduki PMR. Walaupun tiada bahan bacaan umum baru yang dibeli tetapi seronok rasanya apabila dikelilingi bermacam jenis buku. Bak kata seniman Tan Sri Ramli Puteh (P. Ramlee), "dunia ini ana yang punya"...8)
Setakat ini kebanyakan bahan bacaan yang dibeli adalah komik dan novel berbahasa Melayu. Khusus untuk anak-anak. Satu usaha untuk memperbaiki penguasaan Bahasa Melayu mereka yang telah lama ketinggalan setelah hampir 4 tahun bersekolah di Australia. Pada masa yang sama dapat menyemaikan nilai-nilai Islam nan murni yang digarapkan dalam setiap karya berkenaan. Untuk itu buku-buku keluaran PTS dan Ana Muslim menjadi pilihan untuk mereka. Sambil menyelam minum air. Moga ada manafaatnya.
Untuk diri sendiri, saya belikan kitab tasauf Minhaj Al-'Abidin (terjemahan), nukilan Imam Al-Ghazali, terbitan Perniagaan Jahabersa; Jutawan Senyap oleh Dr. Rusly Abdullah (Al-Ameen); Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas tulisan Zamri Mohamad (PTS) dan Fotografi Mudah - Fokus & Klik (PTS). Untuk isteri tersayang pula, dihadiahkan untuknya Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia karangan Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni (Jasmin Publications).
Untuk kali ini tidak banyak saya berbelanja untuk bahan bacaan umum kerana masih banyak buku-majalah di rak buku yang masih belum ditatap lagi. Baca dahulu apa yang ada, kemudian baru ditambahi dengan yang baru. Melainkan ianya diperlukan untuk tujuan tertentu.

Wednesday, April 27, 2011

Pesta Buku 2011

Sekarang sedang berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Kali ke 30 yang akan berlangsung selama 10 hari, bermula Jumaat lepas (22/04/2011) sehingga 01/05/2011. Lokasinya tempat biasa, Putra World Trade Centre (PWTC).
Bagi peminat dan penggemar buku @ ulat buku, inilah saat yang ditunggu-tunggu. Pesta bahan bacaan besar-besaran yang diadakan secara tahunan ini sememangnya tidak dilepaskan. Berpinar mata melihat ratusan gerai dengan lambakan jutaan buku dan majalah memenuhi setiap inci ruang pameran yang disediakan.
Bagi saya, saban tahun tidak pernah tidak menyinggahinya. Bukannya sekali, biasanya lebih dari itu. Walaupun berkerja puluhan kilometer dari PWTC, saya pasti mengambil cuti separuh hari di sebelah petang semata-mata untuk memenuhi impian dikelilingi buku-buku. Tambahan pula dengan potongan harga yang amat menarik.
Sewaktu di Melbourne dari tahun 2007 - 2010, saya berpeluang mengunjunginya pada tahun 2009 di saat pulang bercuti. Kepulangan yang tepat pada ketikanya. Sekurang-kurangnya terubat rasa rindu.
Untuk Pesta Buku 2011 ini, telah 2 kali saya mengunjunginya. Kedua-duanya di hujung minggu (Sabtu-Ahad), salah satunya bersama anak-anak serta sepupu-sepupunya. Wow... sambutannya amat memberangsangkan.
Di sesetengah booth yang popular seperti PTS, Ana Muslim, Grup Karangkraf, Telaga Biru, Al-Hidayah, Jahabersa, Creative Enterprise, Pustaka Darus-Salam, Al-Ameen dan Galeri Ilmu; pengunjungnya ramai sekali terutama dari jam 11:00 pagi - 3:00 petang. Hendak bergerak pun susah, apatah lagi nak menyelit masuk, seterusnya berbaris panjang menunggu giliran membayarnya. Ini yang membuatkan rasa rimas, akhirnya menepi dan mengubah haluan ke booth lain.
Dari pemerhatian saya pada kedua-dua hari tersebut, booth PTS (foto atas dari laman web Pn Ainon PTS) yang terletak bersebelahan Ana Muslimlah yang paling sesak dan sendat. Malah bagi anak-anak dan sepupu-sepupunya, itulah juga booth tumpuan mereka. Komik M dan novel remaja menjadi pilihan utama mereka. Belilah... buku punya pasal tidak mengapa. Terima kasih pada Cik Eusni-Ayah Fahimey yang membawa mereka dan turut berbelanja untuk mereka.
Dalam limpahan dan kesesakan pengunjung, kasihan juga melihat beberapa booth yang lenggang. Hairan juga, kebanyakan pengunjung sekadar melewatinya sambil menjeling sahaja. Sesetengahnya ada menawarkan potongan menarik tetapi masih tidak dapat menarik perhatian ulat buku. Entahlah kenapa...
Menjelang penamatnya Pesta Buku ini, jika berkesempatan Insya Allah sekali dua lagi saya berhajat untuk menyinggahinya. Masih ada buku-buku idaman yang belum sempat dibeli. Moga dipermudahkanNya.

Tuesday, April 26, 2011

Tiada Masa?

Salam untuk semua,
Mohon maaf pada semua penjenguk Salam Monash. Dah lebih 2 minggu tiada sebarang berita terbaru yang dimasukkan. Apa nak buat, masa tidak mengizinkan. Itulah alasan yang boleh diberikan sedangkan masa 24 jam sehari tidak berubah.
Salahnya diri sendiri, tidak pandai menggunakan setiap detik masa yang dianugerahkan Allah SWT. Apa tidaknya, bila berpeluang menjengah internet, maka satu persatu laman web dan portal berita yang disinggahi. Berlarutan tanpa disedari masa terus bergerak pantas meninggalkan azam menulis yang tidak kesampaian. Maka sudah terang lagi bersuluh, siapa yang bersalah...
Kata sebilangan cendekiawan Islam, sayugia tidak sewajarnya menyalahkan masa kerana masa itu adalah milik Allah SWT.
Ya Allah jika demikian adanya, ampunilah diri ini.

Sunday, April 10, 2011

Happy Birthday Imran & Zara

Hari ini, 10-April adalah ulang tahun ke-7 Masihi bagi anak bongsu kami, Muhammad Imran. Beberapa hari sebelumnya (4-April), sepupunya Dahlia Az-Zahra genap usianya 2 tahun.
Petang semalam, sambutan ringkas majlis ulang tahun kelahiran mereka berdua telah diadakan di rumah Datuk dan Nenek di Hulu Kelang. Walaupun ringkas tetapi meriah dengan dirai bersama 13 orang adik beradik dan sepupu sepapat mereka.
Keseronokan apabila bersama, lebih-lebih lagi di kalangan anak-anak membuatkan mereka seolah-olah tenggelam dalam dunia fantasi dan realiti kehidupan tersendiri.
Sedari pagi lagi mereka telah berkumpul. Betah berada di dalam rumah, mereka turun ke laman rumah pula. Dengan disertai sama oleh sebilangan ibu dan bapa saudara, mereka bermain bola dan badminton. Diikuti pula permainan tradisional galah panjang dan membaling selipar. Riuh rendah dibuatnya.
Selepas puas bermandikan peluh, barulah diadakan majlis sambutan hari lahir bertempat di ambeng rumah yang dibina khusus ketika majlis perkahwinan Hakim-Nora pada minggu lepas.
Kad ucapan Selamat Hari Lahir direka khas hasil idea kreatif anak-anak. Cantik sekali. Lebih ceria dan berharga dari kad-kad yang dijual di kedai-kedai. Hadiahnya pula buku-buku yang sememangnya menjadi hadiah tradisi keluarga.
Berbanyak-banyak terima kasih pada datuk-nenek, ibu-bapa dan sepupu-sepapat yang turut memeriahkannya.
Selamat Hari Lahir Imran. Selamat Hari Lahir Zara.
"Ya Allah, jadikanlah mereka anak-anak yang soleh dan solehah serta bertaqwa, menyejukkan mata dan hati ibu bapa di dunia dan di akhirat. Ameen."

Thursday, April 7, 2011

Rewang-Rewang @ Ibu Kota

Di kampung-kampung, majlis gotong royong ketika kenduri perkahwinan, lebih dikenali sebagai rewang adalah satu lumrah. Tidak dinafikan angin perubahan kepada perkhidmatan catering telah pun mula memasuki kampung tetapi tidak berapa ketara.

Keintiman hubungan sesama saudara mara dan jiran tetangga yang begitu utuh menyaksikan aktiviti merewang masih kekal dilaksanakan di kampung-kampung, penuh ceria dan meriah sekali.

Beberapa hari sebelum majlis kenduri dilangsungkan, warga kampung berkumpul di rumah pengantin, menyiapkan segala keperluan untuk kenduri dan majlis raja sehari. Suasana yang amat sukar ditemui di kawasan bandar dan pinggir bandar termasuklah di sekitar Hulu Kelang.

Majlis kenduri perkahwinan kami 16 tahun lalu di Hulu Kelang pun menggunakan khidmat catering dengan tambahan 2-3 hidangan dari tuan rumah. Lain pula suasananya dengan majlis yang sama di kampung halaman di Terengganu, semuanya dimasak sendiri sesama saudara mara dan jiran tetangga.

Di penghujung minggu baru-baru ini (Ahad, 3/4/2011), bertempat di rumah kami di Hulu Kelang, majlis kenduri perkahwinan adik bongsu Laili, Nasrul Hakim bersama pasangannya, Nor Azmah telah dilangsungkan secara rewang.

Beberapa hari sebelumnya, saudara mara terdekat serta jiran tetangga mula berkumpul. Dibantu sama oleh anak-anak tahfiz dari Maahad Tahfiz Masjid Al-Ridhuan, tidak jauh dari rumah kami.
Masing-masing dengan tugasan tersendiri. Mengupas, memotong, melapah, membasuh, memasak, menggoreng, menghidang dan bermacam kerja lagi dilakukan penuh harmoni, diselangi gelak ketawa dan buah bicara yang menceriakan suasana.

Sehari sebelum majlis kenduri, dilangsungkan pula majlis kesyukuran/ aqiqah untuk cucu ke-14 emak dan abah, anak ketiga Pisal dan Fairuz iaitu Muhd Wafi Rayyan. Merdu dan penuh syahdu alunan Selawat Nabi SAW yang disampaikan oleh anak-anak tahfiz. Moga Wafi menjadi anak yang soleh, membahagiakan kedua ibu bapanya, dunia dan akhirat serta menjadikan RasuluLlah SAW sebagai idola dalam kehidupan seharian. Ameen.

Majlis kenduri perkahwinan berjalan penuh meriah. Kehadiran para tetamu amat menggalakkan. Lebih seribu jemputan memenuhi khemah yang disediakan di hadapan rumah, bersilih ganti sedari tengahari sehinggalah melewati waktu Asar. Tidak cukup tangan rasanya untuk melayannya.
AlhamduliLlah, segalanya berjalan lancar. Kerjasama semua amat membanggakan. Jelas terpancar kepuasan di wajah emak dan abah yang amat beria-ia mengadakan majlis kenduri secara rewang.
Bagi kami sekeluarga, kehadiran keluarga dari Terengganu (foto sebelah) amat-amat mengharukan. Che' (ibu) bersama Abang Zakaria, Kak Long, Rahima dan anak-anak saudara; Aida, Ammar, Amalina, Ilhami, Izat dan Iklima.
Jemputan sememangnya disampaikan kepada mereka tetapi sekadar memaklumkan sahaja. Jarak perjalanan yang jauh mungkin menyusahkan mereka terutama Che' yang tidak berapa sihat. Mereka bertolak pada malamnya dan berangkat pulang di sebelah petangnya. Berbanyak-banyak terima kasih pada mereka. Juga pada adik-adik di Kuala Lumpur; Lutfi dan Latifah serta anak saudara; Arif Mustakim.
Setinggi-tinggi pujian ke hadrat Illahi atas setiap anugerahNya.