Tuesday, January 25, 2011

Kotak Australia Dah Sampai

Sejak pulang dari Australia pada 11/01/2011 lalu, kami sering tertanya-tanya, bilakah agaknya barang-barang yang dihantar melalui kapal akan tiba. Persoalan yang sama juga kerap ditanya oleh rakan-rakan seangkatan yang sama-sama menghantar barangan dan kini telah pun berada di tanah air.

Untuk makluman, kami berkongsi kontena seramai 6 orang dan barangan kami berenam hampir mencecah 2 kontena. Berdasarkan persetujuan, kesemuanya akan diturunkan di rumah kami di Hulu Klang.

Barangan tersebut telah dipungut dari rumah sewa kami di Dandenong pada 9/12/2010 dan dijangka tiba di tanah air 3 – 6 minggu selepasnya. Bermakna selewat-lewatnya minggu kedua Januari 2011.

Akhirnya penantian tiba di penghujungnya. Petang Khamis minggu lepas (20/01/2011) barangan selamat dipunggah turun. Sendat ruang tamu dibuatnya. Itupun bernasib baik barangan Dr. Faizal dihantar terus ke rumah mereka di Cheras. Di hujung minggu, barangan Lajiman dihantar ke rumah mereka di Tanjong Malim. Manakala barangan Dr. Radziah diambil sehari selepasnya, terus dibawa pulang ke Bentong. Barangan Dr. Norhana pula diangkut balik ke Terengganu menaiki MPV petang semalam.

Kini kerja-kerja menguruskan hampir seratus kotak/beg kepunyaan kami dilakukan secara beransur-ansur. Kotak-kotak buku dilambakkan di tingkat atas menunggu rak-rak buku disediakan. Kami berhasrat menyediakan perpustakaan keluarga. Kain-baju pula dimasukkan ke almari pakaian masing-masing, samada dilipat atau digantung. Barangan dapur disimpan di stor dapur atau terus diletakkan di rak dapur.

Itupun masih banyak lagi barangan yang tersadai di ruang tamu, belum pasti lagi dimana nak diletakkan. Apa-apa pun kesemuanya perlu dikemaskan dengan kadar segera. Ruang tamu perlu dibersihkan dan kembali berfungsi seperti sedia kala.

Thursday, January 20, 2011

NZ17: Auckland - Melbourne

Jam 4:00 pagi, telefon di bilik motel berderingan, mengejutkan kami dari lena. Itulah wake up call yang diprogramkan untuk kami, bagai diminta. Menghampiri jam 5:00 pagi (seusai solat Subuh), kami bertolak ke lapangan terbang, dihantar oleh kenderaan motel. Penerbangan JetStar dijadualkan berlepas jam 7:20 pagi (waktu New Zealand, 5:20 pagi waktu Melbourne).

Sebelum memasuki pemeriksaan kastam, kami ditegur oleh pegawai bertugas kerana membawa banyak beg, setiap orang 2 buah beg dengan berat tidak melebihi 7kg. Hairan juga, apa salahnya kerana sememangnya dibenarkan. Malah hampir semua penumpang lain melakukan perkara yang sama. Akhirnya dilepaskan dengan peringatan, lain kali bawa sebuah beg sahaja seorang. Double standard betul, kenapa penumpang lain tidak diberikan peringatan yang sama. Biarkanlah...

Selamat Tinggal Auckland. Selamat Tinggal New Zealand.

AlhamduliLlah, penerbangan JetStar selama 4 jam selamat mendarat di Melbourne International Airport kira-kira jam 9:20 pagi. Segala urusan kastam dan imigresen berjalan lancar. Keluar dari lapangan terbang, kami dijemput oleh Sdr Shaharuddin, terus dibawa ke rumahnya di Wattle St, Thomastown.

Setelah lebih 2 minggu makan-minum kami tidak ketentuan, apabila dihidangkan nasi ayam dan kueh mueh, sedapnya tidak terkira. Masing-masing makan penuh berselera. Sedap, memang sedap... soal masak-memasak Gee memang pakarnya. Terima kasih Din dan Gee.

Malamnya kami tidur di rumah mereka. Keesokan harinya kami dihantar pulang ke Dandenong, seterusnya ke rumah Dr. Asmadi @ Keysborough di mana kami tinggal selama 10 hari sebelum berangkat pulang ke tanah air pada 11-01-2011.

Demikianlah kembara kami sekeluarga selama 16 hari di bumi New Zealand. Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT yang memberi kami peluang. Juga dikurniakan keselamatan dan dipermudahkan segala urusan di sepanjang perjalanan kami. AlhamduliLlah.

NZ16: @ Auckland

Auckland adalah bandaraya terbesar di New Zealand, terletak di antara 2 buah pelabuhan yang cantik, Waitemata Harbour dan Manukau Harbour. Auckland juga dikenali sebagai The City of Sails, merujuk kepada kegiatan bot pelancong dan perahu layar yang diaktif di sini.

Seharian di Auckland City, tidak banyak tempat yang sempat kami kunjungi. Kesibukan jalan rayanya ibarat Bandaraya Kuala Lumpur, sesuatu yang tidak kami gemari , membuatkan masing-masing cepat merasa rimas. Itu persepsi kami, bagi orang lain mungkin lain pula kisahnya.

Pemandangan di Westhaven Marina

Singgahan kami adalah di Viaduct Harbour di mana perkhidmatan bot pelancongan disediakan bagi yang ingin berkunjung ke pulau-pulau berdekatan. Kami sekadar berjalan-jalan di sekitarnya sahaja. Asalnya kami berhasrat memasuki Voyager NZ Maritime Museum yang terletak bersebelahan i-Site tetapi anak-anak tidak mengemarinya. Begitu juga dengan Dolphin & Whale Cruise juga tidak menarik minat kami. Apatah lagi menaiki bot/feri ke pulau-pulau pelancongan. Semuanya telahpun kepenatan.

Ikutkan hati ingin juga berkunjung ke beberapa lokasi menarik di utara Auckland, seperti Bay of Islands, Cape Reinga, Ninety Mile Beach, Sheepworld Farm, Kauri Museum dan banyak lagi tetapi tidak berkesempatan.

Menjelang tengahari, kami menuju ke Sandringham, kira-kira 30 minit dari Auckland City. Tumpuan kami adalah untuk mengisi perut yang telah pun berkeroncong minta diisi. Dari carian Halal Outlet di internet, terdapat kedai makan yang menghidangkan nasi beriani; Desi Biryani @ 523, Sandringham Rd. Di sanalah kami menjamu selera; nasi beriani dan ayam mentega.

Setibanya di Pekan Sandringham, didapati persekitarannya amat kontra sekali dari Auckland City. Deretan kedai di kiri kanan jalan umpama di Setapak, Kuala Lumpur. Lebih menarik lagi outlet halal (kedai makan, kedai daging dan pasar mini) ada di mana-mana. Difahamkan, majoriti masyarakatnya pula dari keturunan India, sebahagiannya beragama Islam. Tidak hairanlah makanan halal mudah diperolehi. Jika berminat masakan kari pun tiada masalah.

Makan tengahari di Desi Briyani, Sandringham

Dimaklumkan oleh empunya Desi Biryani, terdapat masjid berwarna hijau di hujung Sandringham Rd tetapi kami tidak ingin mengambil risiko kerana waktu solat Jumaat telahpun semakin hampir. Kami terus ke Masjid Al-Jamie @ 17, Vermont St, Ponsonby. Berhadapannya tersergam 2 buah gereja yang terletak bersebelahan. AlhamduliLlah, ketika tiba di masjid, khutbah Jumaat sedang disampaikan. Seronok melihat begitu ramai jemaah memenuhi seluruh pelusuk masjid.

Dari Masjid Al-Jamie, kami kembali ke Westhaven. Di tepian teluk tidak jauh dari Harbour Bridge, kelihatan ramai sekali kaki pancing sedang menebarkan joran. Tidak jauh darinya pula adalah Westhaven Marina yang menempatkan ratusan perahu layar, teroleng-oleng di dada air.

Sebelum kembali ke motel, kami singgah di kedai cenderamata, Aotea New Zealand – mencari ole-ole Auckland dan New Zealand sebagai kenang-kenangan.

Petangnya pula kami menghantar kereta sewa di Apex Car Rental, tidak jauh dari motel. Lebih baik dipulangkan di sebelah petang, pagi esoknya kami perlu berangkat awal ke Auckland International Airport, pulang ke Melbourne.

Catatan odometer MPV Previa menunjukkan perjalanan kami dari Queenstown di South Island sehingga ke Auckland di North Island menjangkau 3,ooo km. Satu perjalanan yang amat mencabar bagi kami sekeluarga. Segalanya terpelihara di bawah lindunganNya. Terima kasih Ya Allah.

Friday, January 14, 2011

NZ15: Rotorua - Auckland

Di samping terkenal dengan kawasan gunung berapi, Rotorua juga adalah pusat kebudayaan kaum Maori, etnik orang Asli yang utama di New Zealand, antaranya Mitai Village dan Tamaki Village. Lain-lain lokasi menarik di Rotorua adalah Rotorua Museum, Waitomo Caves dan juga Lake Rotorua.

Hari ini kembara kami adalah menuju Bandaraya Auckland, lokasi terakhir kami di bumi New Zealand.

Sebelum meninggalkan Rotorua, kami singgah dahulu di pusat bandarnya. Bandarnya agak besar juga dan kelihatan sentiasa sibuk. Bangunan-bangunan bersejarah dengan ukiran berbingkai sememangnya menjadi tarikan kami. Bangunan i-Sites dan Rotorua Museum (foto sebelah) antara yang menarik perhatian kami.

Taman Bunga Ros bersebelahan Rotorua Museum juga tidak kurang cantiknya walaupun bunganya telah pun berkurangan. Lake Rotorua yang luas terbentang dan tenang airnya adalah tarikan utama kaki pancing.

Mencari kedai makanan halal di tengah Bandar Rotorua tidaklah susah. Untuk makan pagi, kami makan di Mecca Kebab dan bekalan ayam pula dibeli di Moshims Shop @ Amohau St.

Meneruskan perjalanan ke Auckland, kami berhenti di Hamilton Gardens (foto sebelah). Asalnya sekadar untuk melepaskan hajat dan makan tengahari tetapi terhenti hampir 2 jam. Terpana kami dengan keindahan tamannya terutama ketika melewati Paradise Garden Collection yang memaparkan Japanese Garden, Chinese Garden, Italian Garden, Indian Garden dan bermacam-macam konsep lagi. SubhanaLlah, jiwa terasa begitu tenang sekali.

Kami tiba di Bandar Auckland kira-kira jam 5:30 petang. Disebabkan sebahagian jalan utama masih dalam pembinaan/naik taraf, GPS menghadapi masalah untuk mengenal pasti laluan yang betul. Hampir sejam kami berpusing-pusing mencari arah ke Airport Lodge Motel @ Kirkbirdie Rd. AlhamduliLlah akhirnya ketemu juga setelah merujuk kepada peta setempat.

NZ14: @ Rotorua

Rotorua dikenali sebagai New Zealand's Thermal Capital, merujuk kepada kedudukannya di Taupo Volcanic Zone yang masih aktif. Darinya terhasil fenomena alam yang berkaitan, antaranya lonjakan geyser, kolam air panas, kolam lumpur yang mengelegak dan kepulan asap menyelubungi alam berserta bau sulfur yang menyenak hidung.

Kembara kami di Rotorua bermula dengan Wai-O-Tapu Thermal Wonderland – kawasan thermal seluas 18 km persegi. Singgahan pertama adalah di Lady Knox Geyser (foto sebelah) yang meletus setiap hari jam 10:15 pagi. Ruang duduk bertingkat dipenuhi pengunjung sejak awal lagi.

Rasa curiga menghantui kami, bagaimana letusan boleh berlaku tepat pada masanya. Pelbagai andaian bermain di fikiran. Rupa-rupanya busut (bukit kecil), Lady Knox yang sentiasa berasap dimasukkan bahan pengaktifan ke lohongnya tepat jam 10:15, beransur-ansur melimpahkan buih, seterusnya melonjak tinggi kira-kira 15 minit lamanya, ada ketikanya sehingga mencapai 20 meter.

Dari Lady Knox Geyser, kami masuk pula ke Wonderland. Penjelajahan dalam 3 peringkat yang mengambil masa kira-kira 75 minit (3 km). Memasuki kawasan, bau sulfur begitu kuat sekali. Apatah lagi setiap kali melewati lubang-lubang dan kolam yang berasap. Izzuddin dan Hanisah mengaku kalah – mereka beredar keluar sebelum habis peringkat pertama dengan ditemani ibunya. Tanpa disangka, Imran dan Solehah begitu kuat sekali semangat dan ketahanan diri – habis ketiga-tiga peringkat dijelajahi. Bravo Imran n Solehah.

Melalui setiap lokasi di Wonderland, benar-benar menginsafkan diri. Terdapat jurang dalam yang berasap dan mengelegak airnya. Kolam air panas yang berwarna-warni pula sentiasa berasap tanpa henti. Lain-lain tempat pula tidak kurang teruknya. Teringat kami akan suasana neraka bagai yang dikisahkan di dalam Al-Quran.

Bayangkan manusia engkar menjadi bahan bakarnya, terapung-apung di dalam air panas... sesuatu yang amat menyeksakan. Sesetengah lokasi, namanya sahaja amat menjengkelkan, antaranya Hell Gates, Devil's Home, Devils' Bath, The Champangne Pool dan Devil's Ink Pot. Ya Allah, ampunilah kami semua dan hindarilah kami dari seksa neraka. Ameen.

Dari Wonderland, kami singgah di Mud Pools yang terletak tidak jauh darinya. Kolam lumpur yang berbuih-buih dan menggelegak lumpurnya. Satu lagi fenomena alam yang menakutkan, cebisan pemandangan neraka. NauzubiLlah.

Mengikut perancangan kami, selepas Wai-O-Tapu, kami ingin berkunjung ke Te Puia yang masyhur dengan Pohutu Geyser dan budaya Maori. Namun terpaksa dibatalkan, cukuplah dengan geyser dan suasana Maori yang dilihat di sekeliling.

Meninggalkan Wai-O-Tapu, kami terus pulang ke motel, anak-anak dah pun kepenatan. Ketika kami keluar di sebelah petang, anak-anak lebih suka berehat di rumah sahaja. Tumpuan kami berdua adalah ke Blue Lake yang mempunyai kawasan bermandi-manda; Green Lake yang dimiliki oleh individu dan ke Lake Tarawera yang menjadi pusat rekreasi bot. Di pertengahan jalan pula terdapat singgahan dan Buried Village Museum yang mengisahkan letusan gunung berapi yang menyayatkan hati di tengah malam pada 10-Jun-1886.

Sebelum pulang ke motel kami berhenti berbelanja di Pak 'n Save. Malamnya menu makan malam kami amat menyelerakan; mussel dan peha ayam Brinks. AlhamduliLlah.

Wednesday, January 12, 2011

Selamat Tiba di Malaysia

AlhamduliLlah, Penerbangan MAS; MH148 selamat mendarat di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) jam 8:30 malam tadi. Penerbangan selama hampir 8 jam lancar di bawah lindungan dan peliharaan Allah SWT.

Ketibaan kami disambut penuh gembira dan kesyukuran oleh emak-abah serta Bakhtiar-Suraya berserta si-comel, Zahra. Anak-anak kami; Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Imran kelihatan amat seronok sekali.

Dalam seminggu-dua ini kami agak sibuk dengan aturan hidup baru. Terkejar ke sana ke sini - antaranya urusan pendaftaran sekolah, urusan pejabat dan pulang menziarahi keluarga di Terengganu dan Sepang. Mungkin kurang masa yang terluang untuk mengemaskini blog ini. Mohon maaf.

Dalam kesibukan seharian, sering kali terkenang akan liku-liku kehidupan yang dilalui bersama-sama dengan rakan-rakan di Melbourne, khususnya warga Kg Dandy dan SEFC.

Keakraban ukhwah yang terjalin hampir 3 1/2 tahun banyak mengajar diri akan erti sebuah persahabatan dan persaudaraan. Hubungan kami ibarat adik beradik, susah senang ditanggung bersama. Alangkah indahnya silaturrahim di perantauan. Moga berkekalan selamanya. Ameen.

Selepas pulang dari New Zealand di awal tahun, kami tinggal sementara di rumah Dr. Asmadi @ Keysborough. Saban hari ada sahaja jemputan makan dari rakan-rakan, dari pagi hinggalah ke malam. Terima kasih, moga kalian dimurahkan rezeki. Ameen.

Sebelum bertolak ke Melbourne Airport, kami berkumpul di rumah lama kami di Heatherton Rd, kini didiami oleh keluarga Zain-Saliza. Sekaligus menjadi pusat pertemuan terakhir untuk kami. Suasana sedih dan sayu menyelubungi semua. Tidak sanggup rasanya untuk berpisah. Lambaian perpisahan bagaikan satu mimpi pula. Namun apakan daya, demikianlah adat merantau, sampai ketikanya perlu kembali ke tempat asal.

Tidak dilupakan juga, terima kasih kepada rakan-rakan yang menghantar kami dan juga kepada yang menunggu kami di lapangan terbang.

Insya Allah ketemu kita di tanah air nanti.

Monday, January 10, 2011

NZ13 : Hastings - Rotorua

Hastings, bandarnya sederhana besar, di tengah-tengah Hawke's Bay Region yang masyhur dengan gelaran New Zealand Wine Centre. Kebetulan pula semalam dan hari ini cuacanya panas, melewati 27C. Tak pasti pula hari-hari lain. Adakah disebabkan oleh arak yang berleluasa di sini? Allahu a'lam.

Check-out dari Frimley Lodge, kami berjalan-jalan di sekitar bandarnya. Sekadar ingin tahu keadaan sekitarnya. Seperti biasa, kami menyinggah di i-Site Visitor Centre di persimpangan Heretaunga East Rd – Russel St. Berhadapannya adalah menara jam dan kolam air pancur yang menandakan kedudukan pusat Bandar Hastings.

Dari pemerhatian kami, sumber makanan halal mudah diperolehi di Hastings. Selang beberapa kedai dari i-Sites terdapat Cafe Anatolia Turkish Cuisine (Halal). Tidak jauh daripadanya pula terdapat KBC Foods & Takeways, bersebelahan Subway juga halal. Ketika makan di Anatolia, kami ditegur oleh wanita Muslim Somalia yang beria-ia menunjuk arah ke Masjid Baitul Mokarram di Heretaunga Rd. Sebelum bertolak meninggalkan Hastings, kami berhenti di Baitul Mokarram tetapi ditutup. Mungkin di luar waktu solat.

Hampir 2 jam di Bandar Hastings, kami bergerak menuju Taupo melalui Awatoto dan menyinggah di Bandar Napier. Napier terkenal dengan kegiatan bot pelancongan yang berpusat di Napier Bay. Perjalanan kami seterusnya ke Taupo sejauh 143 km merentasi kawasan tanah tinggi dalam hujan renyai-renyai. AlhamduliLlah kami sampai kira-kira jam 3:30 petang.

Lake Taupo, tasik air tawar terbesar di Australasia adalah tarikan utama di Taupo terutama bagi kaki pancing ikan trout. Ianya adalah bekas kawah gunung berapi yang terbentuk sejak 12,000 tahun lalu. Dari segi pemandangan, kami beranggapan ianya biasa sahaja jika dibandingkan dengan Lake Pukaki @ Mt. Cook yang kami anggap antara tercantik yang pernah kami temui di New Zealand. Anak-anak tidak mengendahkan semuanya itu. Mereka leka bermain di taman permainan berhadapan tasik. Itu yang lebih menyeronokkan mereka sambil melepaskan lelah di perjalanan.

Di Taupo, di samping Lake Taupo; Huka Falls (air tejun), Craters of the Moon (kawah berasap), Hidden Village, Honey Hive, Botanical Gardens, Taupo Museum, Puzzle World, kegiatan sukan air dan meredah laluan hutan antara tumpuan pengunjung . Semuanya itu kami tidak berkesempatan kerana Taupo bukannya singgahan utama kami. Tumpuan kami adalah ke Roturoa, kira-kira 80 km dari Taupo.

Memasuki Roturoa, di kebanyakkan tempat kami menyaksikan kepulan-kepulan asap keluar dari rekahan tanah. Di celah-celah semak, di belakang rumah dan di tepian jalan. Di lokasi tertentu, boleh ditemui lumpur berbuih, lopak air mendidih dan pancutan air ke udara. Baunya pula amat kurang menyenangkan, seakan-akan bau telur busuk. Itulah gas sulfur. Anak-anak bising di kereta, mencari siapa yang melepaskan gas. Demikianlah rupanya Roturoa yang sememangnya kawasan gunung berapi. Malah itulah antara tarikan utama ke Roturoa, di samping kebudayaan kaum Maori yang masih kekal di sini.

AlhamduliLlah, kami tiba di Redwood Holiday Park kira-kira jam 6:00 petang. Kawasannya tidak luas. Di bahagian hadapan dan tengah dikhaskan untuk caravan/campervan dan khemah. Manakala di belakang dan tepinya pula adalah motel yang usang dimakan usia. Kadar termurah (NZD 160/hari) di Roturoa, menyamai kadar biasa di tempat lain. Tidak hairanlah kerana Rotorua antara destinasi pelancongan yang menjadi tumpuan.

Sunday, January 9, 2011

NZ12 : Wellington - Hastings

Wellington adalah ibu negara New Zealand, terletak menghadap ke Wellington Harbour dan tidak jauh dari Tasman Sea. Ianya sebuah bandaraya yang sibuk dan dikatakan mempunyai deretan kedai makan/cafe yang lebih banyak dari New York City. Cuma bagi Muslim, agak sukar sedikit untuk mendapatkan tempat makan yang halal sepenuhnya.

Difahamkan ada masjid di Wellington tetapi kami tidak berkesempatan mencari dan menyinggahnya, sesuatu yang sentiasa menjadi keutamaan kami, lebih-lebih lagi di bumi asing seumpama New Zealand.

Cuaca pada hari ini agak kurang baik – mendung, adakala hujan serta berangin. Hajat kami di pagi ini adalah ke Museum of New Zealand yang lebih dikenali dengan panggilan Te Papa Tongarewa, sebutannya dalam bahasa Maori. Namun Imran meminta untuk ke Wellington Zoo. Kami menurut sahaja. Kasihan pula, setiap hari dia hanya mengikut sahaja agenda perjalanan kami.

Wellington Zoo terletak di Daniell St, bersebelahan Newtown Park Stadium. Zoonya tidak berapa luas, berjalan di sekitarnya tidak terasa penatnya. Apatah lagi diteduhi pepohonan yang menghijau. Difahamkan terdapat kira-kira 500 ekor haiwan dari 100 spesis, dari haiwan savana hinggalah haiwan natif dan hampir pupus.

Bergerak dari satu lokasi haiwan ke lokasi yang lain amat menyeronokkan. Bukan sahaja dapat melihat haiwan secara dekat tetapi apa yang tertera di setiap papan tanda amat bermaklumat sekali. Pada slot masa tertentu, para pengunjung berpeluang mengikuti penerangan yang diberikan oleh petugas zoo serta berpeluang memberi makan haiwan tertentu.

Imranlah yang paling seronok. Berlari ke sana sini sambil membaca hampir setiap papan tanda haiwan yang ada. Sememangnya dunia haiwan adalah minat utamanya. Jika ditanya apa cita-citanya, pasti jawabannya zookeeper dan adakalanya animalogist. Manakala impiannya pula adalah untuk membina zoo sendiri. Minat yang menarik dan sewajarnya disokong.

Ketika di Kiwi Conservation Centre, kami tertarik dengan nama seekor kiwi yang berkaki satu, Tahi. Tergelak kami dibuatnya. Rupa-rupanya bermaksud satu dalam bahasa Maori.

Di sana sini kelihatan masih banyak lokasi haiwan baru yang sedang dibina atau dibangunkan semula. Malah pelbagai program pemeliharaan haiwan giat dijalankan bagi memastikan kesinambungan setiap sepsis yang ada. Salah satu yang menarik adalah The Nest (Maori : Te Kohanga) iaitu pusat rawatan haiwan turut dibangunkan.

Dari Wellington Zoo, kami ke Te Papa Tongarewa (Museum of New Zealand) di Cable St yang terletak di dalam bangunan 5 tingkat berkembar dua. Menariknya tiada bayaran masuk dikenakan - derma seikhlas hati (by donation). Cuma bayaran letak kereta di sekitarnya mahal sedikit, dari NZD 3.50/jam – NZD 5.00/entry.

Memasuki pintu masuk ke Te Papa, terasa atmosfera segar dan ceria, amat berbeza dari kelaziman muzium yang kelam dan suram. Ruang pamerannya direkabentuk penuh interaktif, sesuai dengan setiap konsep yang dipamirkan, gabungan mistik Maori dan realiti New Zealand. Seharian berada di dalamnya pasti tidak perasan perubahan waktunya. Tidak kira apa peringkat usianya. Secara peribadi kami amat menyarankan, jika ke Wellington, usah lupa berkunjung ke Te Papa.

Ruang pameran bermula di Tingkat 1, antaranya Nature Concept berkaitan dunia manusia; OurSpace dengan Deep Ride dan Undersea Volcano; Awesome Force dengan perubahan mukabumi NZ akibat bencana alam; serta Mountains to Sea memaparkan dunia haiwan dan alam yang menakjubkan termasuk spesimen colossal squid sepanjang 4.2 meter, seberat ½ ton.

Selama hampir 2 jam di Te Papa, kami sekeluarga hanya sempat menerokai Tingkat 1 sahaja, itupun tidak semua ruang dimasuki. Ruang pameran di tingkat atas tidak kurang menariknya seperti Blood Earth Fire, The Marae, Golden Days, Britten Bike, Tangata o le Moana (dunia Maori) dan banyak lagi.

Di lain ketika, jika berpeluang ke Wellington, ingin sekali menyinggah lagi di Te Papa. Malah tidak cukup sehari berada di Wellington, masih banyak lagi tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi.

Melewati jam 4:00 petang, kami memulakan perjalanan kami ke Hastings pula, hampir 300 km jaraknya. Sebelum bergerak, baru disedari kami tersilap tarikh check-in di Gloucester Motel @ Hastings. Sepatutnya 27 Disember tetapi ditempah 27 Oktober. Teruskan sahajalah, harap-harap pihak motel memahaminya dan ada kekosongan.

Di awal perjalanan kami melalui pesisir pantai sebelum melalui kawasan perkampungan/ padang rumput dan merentasi lereng gunung ke Palmerston North. Di pertengahan jalan ke Hastings, jalan ditutup kerana kemalangan. Terpaksalah kami melencong melalui jalan dalam yang mengelirukan walaupun dipandu arah oleh GPS. Bukan kami sahaja yang terpinga-pinga tetapi kebanyakan kereta mengalami nasib yang serupa. Masing-masing tidak pasti jalan keluar ke jalan utama. AlhamduliLlah akhirnya ditemui juga. GPS banyak membantu dalam mengira jarak terdekat.

Kami tiba di Hastings ketika malam mula menjengah. Menyinggah di Gloucester Motel, malangnya tiada kekosongan bilik untuk 6 orang. Dengan bantuan pihak motel, ada kekosongan di Frimley Lodge @ Pakowhai Rd, tidak jauh daripadanya. AlhamduliLlah.

Friday, January 7, 2011

NZ11 : Picton - Wellington

Pagi ini lena kami dikejutkan oleh kokokan ayam. Bersahutan, beriringan dengan terbitnya fajar sadiq. Emm, suasana yang telah lama hilang sejak kami merantau ke luar negara. Teringat akan suasana pagi di kampung samada di Terengganu mahupun Sepang.

Menjenguk persekitaran ladang Smiths Farm Holiday Park dengan banjaran gunung menghijau di belakangnya, terasa damai di hati. Tenang sekali.

Paginya, bersama anak-anak, kami berjalan-jalan di sekitar ladang sambil memberi makan ayam, arnab dan guinea pig di belakang rumah. Pengalaman baru bagi anak-anak.

Indahnya suasana kampung. Tidak sabar rasanya untuk pulang ke tanah air.

Seterusnya kami meredah kawasan ladang yang luas terbentang ke kawasan air terjun yang terletak di hujung ladang. Untuk ke bahagian atas air terjun, kami perlu melalui laluan sempit yang disediakan, dilingkungi hutan di sekelilingnya. Semakin ke dalam semakin jauh rasanya dari ladang. Penat mendaki pun makin terasa, namun punca air terjun masih belum ditemui. Separuh jalan kami berpusing balik. Cukuplah sekadar bermain air di alur yang mengalir turun.

Alpa kami di Smiths Farm, tidak sedar jam telahpun menunjukkan 11:00 pagi. Kami perlu cepat sampai di Picton Ferry Terminal untuk belayar merentasi Cook Strait ke Wellington di North Island. Waktu check-in terakhir adalah jam 12:10 tengahari. Tiada pilihan, kami perlu melalui Queens Charlotte Drive yang dilalui pada hari sebelumnya. Masing-masing bersedia menghadapi kemungkinan pening dan loya di jalanan. AlhamduliLlah, semuanya baik dan selamat tiba di Vehicle Assembly Point @ Islander Ferry Terminal di Lagoon Rd kira-kira jam 12:07 tengahari. Itupun kami telah tersilap masuk ke Passenger Ferry Terminal di Auckland St. Panik juga dibuatnya, khuatir tertinggal feri sedangkan tiketnya telah pun dibeli. AlhamduliLlah.

Feri mulai bergerak meninggalkan Picton Harbour kira-kira jam 1:10 petang, untuk pelayaran yang memakan masa 3 jam 10 minit menuju Wellington Harbour.

Islander Ferry yang dinaiki ini namanya Kaitaki, bermaksud Challenger dalam bahasa Maori. Ianya adalah feri terbesar di New Zealand yang mempunyai 10 dek kesemuanya yang boleh memuatkan 1,650 orang penumpang dan 600 buah kereta. Pelbagai kemudahan disediakan, antaranya Family Lounge, Nursery, Cafe, Food Court, Look out, Play Area, Cinema, hiburan untuk kanak-kanak dan bermacam-macam lagi termasuk capaian internet.

Awalnya ramai penumpang yang bersantaian di dek teratas yang terbuka menghadap laut. Setelah feri bergerak, masing-masing berlumba-lumba turun ke dek tertutup. Tidak tahan dengan tolakan angin kuat dan udara sejuk. Ketika melalui Queen Charlotte Sound, tidak terasa olengan air. Namun setelah memasuki Cook Strait yang berombak, olengannya mulai terasa. Bagi yang tidak tahan, akan mula terasa pening dan loya. Petua yang diberi, kemam air batu di mulut. Ramai yang mula melelapkan mata di kerusi, malah kedapatan juga bergelimpangan tidur di mana-mana ruang yang ada.

Melewati jam 4:00 petang, Kaitaki mulai memasuki Wellington Harbour dan berlabuh kira-kira 15 minit selepasnya. AlhamduliLlah kami selamat tiba di North Island, pulau kedua terbesar di New Zealand yang akan kami jelajahi. Selamat Tinggal South Island.

Motel singgahan kami di Wellington adalah 83 By The Sea yang terletak di The Esplanade @ Petone menghadap Wellington Bay. Itupun kami tersasar ke The Esplanade @ Wellington, gara-gara tersilap masuk surburb/kawasan di GPS. Ingatkan Petone letaknya di Wellington.

Petangnya kami keluar ke Pak 'n Save Supermarket yang terletak tidak jauh dari motel. Malangnya terlewat sedikit, ianya ditutup jam 7:00 petang. Berlegar-legar kami di Jackson St, bernasib baik masih ada kedai runcit yang masih dibuka. Itupun hanya barangan kering yang dijual seperti telur, minyak masak dan beras. Nampaknya makan nasi berlauk telur lagilah kami.


Thursday, January 6, 2011

NZ10 : Christchurch - Picton

Hari ini, 25 Disember adalah cuti umum di New Zealand. Hari Krismas. Tidak banyak tempat yang boleh dikunjungi kecuali tempat umum dan tempat yang dibuka sepanjang tahun. Suasana sekitar juga lenggang dan sunyi.

Bernasib baik, International Antartica Centre, bersebelahan Christchurch Airport yang menjadi tumpuan utama kami tidak ditutup.

Antartic Centre adalah segalanya berkaitan dunia sejuk di Kutub Antartika yang terletak kira-kira 3,825km ke selatan Christchurch. Ianya sesuai untuk semua peringkat umur.

Lebih 3 jam berada di Antartic Centre, tidak sedar masa bergerak begitu pantas. Banyak aktiviti yang boleh diikuti, banyak pengalaman yang boleh dirasai dan banyak ilmu yang boleh dihadami. Walaupun bayarannya sedikit mahal; NZD 165/family/day tetapi dirasakan berbaloi dengan apa yang boleh diperolehi.

Di Antartic Centre, terdapat Four Seasons Area yang menggambarkan suasana 4 musim di Antartika; NZ Penguin Encounter di mana kehidupan 26 ekor spesis penguin terkecil di dunia, Blue Penguin dapat dilihat secara dekat dan The Antartic Storm yang amat sejuk dengan suhu di bawah -18C dan tiupan angin 40km/jam berserta kesan bunyi dan cahaya.

Snow & Ice Experience, Antartic Gallery, 3D Extreme, Movie Theatre, Antartic Campsite dan Aquarium juga amat menarik untuk disinggahi. Bagi Izzuddin, Hanisah, Solehah dan Laili, pengalaman menaiki kenderaan salji, hagglund melalui laluan berbukit-bukit serta berliku-liku amat menyeronokkan. Berulang kali mereka menaikinya.

Satu lagi yang menariknya di Antartic Centre adalah WiFi percuma selama 30 minit untuk setiap 4 jam sekali bertempat di Artartic Cafe. Bagi yang mempunyai masa, disarankan menggunakannya sebelum masuk dan setelah keluar sambil makan-minum di Cafe.

Melewati jam 1:00 tengahari, kami meninggalkan Christchurch menuju ke Picton, hampir 350 km jaraknya. Melalui Hwy 1 menyusuri pesisir pantai benar-benar mendamaikan, lebih-lebih lagi sepanjang jalan berliku-liku dari Kaikoura menuju ke Blenheim. Air lautnya membiru saujana mata memandang. Batuan tajam berderetan di tepian pantai. Di sesetengah tempat, banyak sekali kelihatan singa laut bersantaian di atas batu mahupun berenang-renang di sekitarnya.

Di pertengahan jalan di Kaikoura, kami singgah di gerai makanan laut Nins Bin. Crayfish @ lobster menjadi pilihan kami. Sememangnya Kaikoura terkenal dengan crayfish. Harganya NZD 90 untuk 2 ekor yang sederhana besarnya. Sudah lama kami mengidamnya, tidak disangka pula di NZ ianya menjadi kenyataan.

Setibanya di Picton menuju ke motel, tanpa disangka-sangka GPS membawa kami melalui Queen Charlotte Drive, jalan bengkang-bengkong di lereng gunung. Jalan terdekat, kira-kira 20 km tetapi mengambil masa lama kerana tidak boleh dipandu laju, sekitar 30km/jam sahaja. Masing-masing diserang rasa pening dan loya. Silap kami tidak membaca saranan (emel) dari empunya motel agar melalui laluan Blenheim –Havelock, walaupun jauh sedikit tetapi jalannya lebih selesa. Tidak mengapalah, ada hikmahnya. Sekurang-kurangnya kami dapat melihat pemandangan menarik 4 sound/teluk yang terkenal; Queen Charlotte Sound, Kenepuru Sound, Pelorus Sound dan Mahau Sound.

Kami tiba di Smith Farm Holiday Park kira-kira jam 8:00 malam, disambut mesra oleh Mr. Smith dan isterinya dengan dibekalkan muffin panas dan belon untuk anak-anak. Layanan yang amat berbeza dari motel yang disinggahi sebelum ini.

Bersesuaian dengan namanya, Smith Farm sememangnya sebuah ladang penternakan lembu. Bau lembu telah dapat dihidu ketika kereta membelok masuk ke kawasan ladang. Di samping bilik motel, Smith Farm juga turut menyediakan tapak perkhemahan, tapak caravan/campervan dan bilik dorm.

Tuesday, January 4, 2011

NZ 09 : Geraldine - Christchurch

Berjalan-jalan di tengah Bandar Geraldine, i-Site@ Talbot St. adalah singgahan pertama kami sebelum beredar ke kedai-kedai cenderamata di sekitarnya. Bandar Geraldine sederhana besarnya. Vintage Car & Machinery Museum adalah tarikan utama terutama kepada peminat kereta antik. Difahamkan model 1929 Spartan Biplane satu-satunya di dunia terdapat di muzium ini.

Sejam berada di Geraldine, kami bergerak menuju Christchurch sejauh kira-kira 130 km melalui Hwy 1. Setibanya di Christchurch, jam telahpun melewati 12:30 tengahari. Tumpuan kami adalah Masjid An-Nur di Deans Ave untuk menunaikan solat Jumaat. AlhamduliLlah, dipermudahkan olehNya. Hanya redhaNya diharapkan.

Majoriti jemaah Jumaat adalah dari keturunan Arab. Malah khutbahnya pun dibaca dalam bahasa Arab, diikuti terjemahannya dalam bahasa Inggeris, menyebabkan waktu solatnya agak lewat.

Pandangan peribadi saya, sepatutnya hanya khutbah dalam bahasa Inggeris yang disampaikan kerana kesemua jemaah adalah di kalangan mereka yang faham bahasa tersebut. Tambahan pula hampir semua orang mengejar waktu terutama bagi yang bekerja mahupun belajar. Kelihatan juga beberapa wajah Melayu tetapi tidak berkesempatan menegur dan bertanya khabar. Difahamkan ramai juga warga Melayu di sekitar Christchurch.

Di Christchurch, kami menginap di Airport Lodge Motel , beberapa minit sahaja dari Christchurch International Airport.

Petangnya kami keluar ke tengah Bandar Christchurch. Kereta diletakkan di Hagley Park & Botanical Gardens. Menyusuri Park Tce ke Worcester St, terus ke Cathedral Square.

Menariknya, hampir setiap ceruk kelihatan bangunan-bangunan lama masih tersergam indah, terpelihara dan masih digunakan. Canterbury College, Canterbury Museum, Art Gallery, Cathedral dan Old Post Office adalah antara yang menarik perhatian kami. Manakala tram seperti City Circle di Melbourne adalah perkhidmatan yang masih digunakan di tengah bandar, salah satu usaha menarik pelancong.

Bagi yang ingin mengalami pengalaman menaiki perahu klasik zaman Edwardian, Punting on the Avon; perkhidmatannya disediakan menyusuri Avon River yang mengalir di tengah bandar Christchurch. Berhajat juga kami menaikinya tetapi Imran tidak berminat. Tak mengapalah, mungkin itu pilihan terbaik untuk kami. Insya Allah, di Malaysia nanti kami berpeluang menaiki perahu/sampan seumpamanya.

Christchurch adalah antara lokasi yang sering dilanda gempa bumi. Kesan gempa bumi terbaru yang berlaku pada 4 September lalu (7.1 skala Richter) jelas kelihatan pada beberapa bangunan lama. Kini proses pembaikan sedang giat dilakukan.

(Nota : Tidak disangka-sangka, selepas 2 hari meninggalkan Christchurch (ketika itu kami di Wellington), gempa bumi sekuat 4.5 skala Richter telah melanda Christchurch. AlhamduliLlah kami tidak berada di sana).

Di samping itu, senibina moden seperti Town Hall dan Arts Centre menyeimbangkan nilai moden dan tradisional di tengah-tengah bandar.

Di sekitar pekan di mana kami menginap, suasananya tampak sibuk sekali. Pusat membeli-belah dikunjungi ramai bertali arus. Kawasan letak kereta penuh. Padanlah, esoknya 25 Dis, kami mengandaikan mereka sibuk melakukan persediaan untuk meraikan Hari Natal.

Malamnya, kami mengubah selera makan dari telur dan nasi goreng kepada udang dan ikan kod salai yang dibeli di Seafood Shop, berdekatan New World Supermarket, tidak jauh dari motel.


NZ 08 : Kurow - Geraldine

Kurow adalah sebuah pekan kecil yang mempunyai bilangan penduduk yang tidak ramai. Persekitarannya juga tidak menarik. Kepada yang ingin ke Mt. Cook, lebih baik mencari pekan/bandar lain yang lebih meriah dan mempunyai lebih kemudahan seperti Otematata, Omarama danTwizel.

Keluar dari motel, kami melencong ke Hakataramea Hwy di mana terdapat Historical Bridge merintangi Waitaki River yang cetek airnya. Tidak pasti pula apa kaitan sejarahnya, mungkin penghubung utama dengan kawasan sekitarnya.

Perjalanan kami diteruskan ke destinasi utama, Mt. Cook (Maori : Aoraki) yang terletak kira-kira 180 km dari Kurow. Mt. Cook setinggi 3,754 meter yang sentiasa dilitupi salji sepanjang tahun adalah gunung tertinggi di Australasia. Kunjungan ke New Zealand, khususnya ke South Island dianggap tidak lengkap kiranya tidak ke Mt. Cook.

Di pertengahan jalan kami berhenti rehat di Twizel, pekan kecil yang menjadi penempatan sementara para pekerja ketika pembinaan empangan dahulu dan terus dikekalkan sehingga kini. Anak-anak pula mengambil kesempatan bermain di taman permainan sambil makan tengahari. Di sini juga kami berbelanja barangan keperluan. Malangnya tidak ditemui ayam atau daging halal untuk lauk nasi. Maka telor dan mee segeralah menjadi pilihan kami.

Di sepanjang jalan kami dihidangkan dengan keindahan tasik-tasik yang dijadikan empangan untuk menjana elektrik – Tasik Waitaki, Tasik Aviemore, Tasik Benmore dan paling cantik, Tasik Pukaki. Airnya tenang membiru kehijauan dan ombaknya beralun lembut. Diperindahkan lagi dengan puncak Mt. Cook yang memutih saljinya serta gugusan gunung bersebelahannya melatari pemandangan. SubhanaLlah.

Semakin mendekat ke arah Mt. Cook, keindahan persekitarannya lebih menakjubkan. Kesan-kesan aliran glasier jelas kelihatan di lereng-lereng gunung. Ketika musim sejuk, pasti keindahannya lebih menyerlah lagi dengan hamparan salji memutih.

Kami menyinggah di Aoraki Mt. Cook Information and Education Centre. Pelbagai kisah dan maklumat berkaitan Mt. Cook dipamirkan untuk tatapan umum, sesuai untuk semua peringkat usia. Pusat tersebut juga menjadi penghubung bagi pendaki yang berminat menerokainya. Malah Mt. Cook adalah pusat latihan bagi Sir Edmund Hillary sebelum beliau berjaya menakluki puncak Mt. Everest.

Sejam lebih di Aoraki Mt. Cook Info Centre, kami berpusing balik melalui tepian tasik-tasik, seterusnya melencong melalui Tasik Tekapo ke arah Geraldine. Tasik Tekapo terkenal dengan Church of the Good Sherperd yang terletak di tengah-tengah tasik dan menjadi singgahan peminat ski ketika musim sejuk. Bagi kami, dari segi keindahan, deretan tasik-tasik sebelumnya lebih menarik lagi berbanding Tasik Tekapo.

Hampir 2 ½ jam perjalanan dari Mt. Cook, kami selamat tiba di Geraldine KIWI Holiday Park. Laluan ke Geraldine berliku-liku dengan pemandangan padang rumput dan tanah-tanah yang kontang. Mengikut kata hati, tiada apa yang menariknya. Bersyukurlah. Itupun sebahagian daripada ciptaan Allah yang mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Masih ada makhlukNya yang mendapat manafaat daripadanya.

NZ 07 : Dunedin - Kurow

Sebelum meninggalkan Dunedin, kami ke Larnach Castle, dikatakan satu-satunya istana yang terdapat di Hemisfera Selatan. Hajat kami hanya melihatnya dari luar sahaja tetapi rupa-rupanya istana lama tersebut terletak jauh di dalam, langsung tidak kelihatan dilingkungi pepohonan menghijau. Alang-alang dah sampai di pintu pagar, masuk sahajalah.

Larnach Castle yang dibina pada tahun 1870, asalnya dimiliki oleh William Larnach yang terkenal kayanya serta amat berpengaruh di Dunedin. Beliau adalah seorang pegawai bank dari Australia yang juga ahli politik yang mempunyai 3 orang isteri yang sama-sama mendiami istana 12 bilik tersebut. Tragisnya, pada tahun 1898, Larnach telah mengambil nyawanya sendiri.

Larnach Castle sememangnya cantik, ditambahi pula terdapat taman-taman di sekitarnya. Kami sekadar berjalan-jalan di sekitarnya sahaja serta memasuki dewan makannya. Itu sahaja tiket masuk termurah. Untuk masuk ke dalam istana, bayaran tambahan berganda dikenakan. Kami tidak teringin pun kerana tidak menggemari cara hidup bercorak materialistik yang ditonjolkan. Cukuplah untuk kami mengambil pengajaran betapa cara hidup disaluti kemewahan tidak membawa kebahagiaan di dunia apatah lagi di akhirat. Moga-moga dijauhi. Ameen.

Bertolak dari Larnach Castle, kami terus menuju Kurow, kira-kira 180 km jauhnya dari Dunedin.

Setibanya di Moeraki, kami singgah di Koekohe Beach yang terkenal dengan Moeraki Boulders, batuan besar bulat berbonggol-bonggol menghiasi tepian pantainya. Sebahagian daripadanya telah pun pecah, jelas kelihatan struktur dalaman yang beralur-alur kuning dan coklat. Maha Suci Allah, kekuasaanNya mengatasi segalanya. Ingin juga diketahui, berdasarkan teori sains bagaimanakah ianya terjadi?

Kami tiba di Kurow Motels kira-kira jam 5:30 petang. Di sinilah kami menginap selama semalam. Rupa-rupanya tiada penyewa lain selain daripada kami sekeluarga. Semalaman pula angin kencang terus-terusan bertiupan diselangi bermacam bunyian. Ngeri juga. Kami bertawakal padaNya. Ameen.

Monday, January 3, 2011

NZ 06 : @ Dunedin

Penjelajahan kami di Dunedin bermula dengan singgahan di St. Kilda Beach, berdekatan dengan motel. Pemandangan indah dari 2 arah berbeza – di satu arah adalah unjuran pantai dengan laut membiru airnya menghadap South Pacific Ocean; di satu arah bertentangan pula adalah kawasan penempatan yang dilatari kawasan tanah tinggi menghijau di belakangnya.

Dari St. Kilda Beach kami memasuki Dunedin City. Tumpuan pertama adalah i-Site Visitor Centre yang terletak di Princess Rd, tidak jauh dari Octagon. Berjalan-jalan di tengah bandar, kami melewati pelbagai bangunan lama dengan rekabentuk unik lagi menarik; antaranya Town Hall, Art Gallery dan Railway Station.

Tengaharinya kami mengikuti lawatan ke Cadbury Chocolate Factory. Bangunan besar dengan identiti warna ungu tersergam di Chumberland Rd. Lawatan selama 75 minit bermula dengan tayangan video langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi, diikuti lawatan ke kilang untuk melihat secara dekat proses pengeluaran sehinggalah pembungkusan. Paling menarik ditunjukkan secara langsung 1 tan coklat cair dicurahkan dari atas ke dalam kawah yang besar.

Penerangan demi penerangan yang diberikan amat berguna sekali. Setiap kali soalan ditanya, anak-anak tidak melepaskan peluang untuk menjawabnya termasuk Imran. Tanpa segan dan takut Imran sering mengangkat tangan dan cuba menjawabnya walaupun kerap kali jawabannya salah. Itulah hasil didikan yang diterima ketika bersekolah di Melbourne.

Di akhir lawatan, goodies bag yang dibawa dipenuhi pelbagai jenis coklat percuma yang dihulurkan di setiap singgahan, juga hadiah kerana menjawab soalan dengan betul. Sebelum keluar, kami membeli beberapa jenis coklat di Cadbury Shop sebagai santapan harian.

Dari Cadbury Factory, kami terus ke Masjid Al-Huda / Dunedin Islamic Centre di Clyde Rd untuk solat Zohor-Asar. Tidak jauh daripadanya adalah Otago University dan Otago Museum. Masjid Al-Huda dipercayai berasal dari gereja kerana berbentuk segiempat seakan dewan yang besar. Sebahagiannya digunakan sebagai dewan solat dan sebahagiannya lagi dewan serba guna. Kutipan derma sedang giat dilakukan untuk tujuan pembangunan semula yang lebih menyerlahkan rekabentuk dan fungsi sebuah masjid.

Beredar dari masjid, waktu telah pun melewati jam 4:00 petang. Perut berkeriut lapar. Tumpuan kami adalah Malaysian Rainforest Halal Restaurant di Filleul Rd. Sayangnya ditutup sementara. Tiada rezeki. Entah di mana lagi nak dicari makanan halal yang mengenyangkan, tambahan pula makan nasi adalah kemestian bagi Imran.

Kami mencuba nasib di Meridian Mall. Allah Maha Besar. Mudah sahaja ditemui kedai yang menjual makanan halal, malah berderetan pula kedudukannya, Sunrise Kebab dan Lemongrass – Thai/Malay Cuisine. Malah Subway dan Indian Corner di sebelahnya juga ada kelihatan Muslim yang membeli makanan di situ. Mungkin juga makanan berasaskan sayuran (vegetarian). Menariknya kedua-dua pekerja wanita di Sunrise Kebab adalah rakyat Malaysia yang bekerja sementara.

Dari Meridian Mall, kami terus ke Baldwin Street untuk merasai pengalaman mendaki jalan yang terkenal paling curam di dunia sebagaimana tercatat di dalam World Guiness Book Record. Jalan sepanjang 700 meter yang terdapat rumah-rumah di sekitarnya itu sememangnya curam, samada di lihat dari bawah, apatah lagi dari atas. Pada satu tahap, catatan gradient-nya adalah 1 dalam 286.

Selangkah demi selangkah kami menapak ke atas, semakin lama semakin mengah dirasakan. Izzuddin pula berlari naik, separuh jalan telah pun terjelepok kepenatan. AlhamduliLlah kami sekeluarga, 6 beranak akhirnya berjaya juga menakluki puncaknya. Certificate of Achievement dengan ditandatangani oleh Mayor of Dunedin menjadi buktinya.

Di sebelah petangnya pula anak-anak ke taman permainan yang terletak tidak jauh dari motel. Seronok melihat mereka gembira.

Sepanjang berada di Dunedin, angin bertiup begitu kencang sekali, sehari semalam tanpa henti. Pepohonan meliuk lintuk bagaikan akan tumbang, debu-debu berterbangan dan bunyi angin membadai dinding dan pokok umpama siulan. Tidak pasti pula samada ianya fenomena biasa kerana kedudukan Dunedin menghadap South Pacific Ocean ataupun sebaliknya. Kami berdoa moga tiada bencana akan menurutinya. Ameen.


Sunday, January 2, 2011

NZ 05 : Te Anau - Dunedin

Check-out dari Te Anau Top 10 Holiday Park, kami meneruskan perjalanan ke Dunedin melalui Invercargill. Di Invercargill, kami berkunjung ke Southland Museum & Art Gallery. Tiada bayaran masuk dikenakan, derma seikhlas hati.

Ketika di Kiwi Birdlife Park @ Queenstown, kami mendapat maklumat bahawa tuatara tertua (haiwan natif NZ), Henry berusia lebih 100 tahun kini terdapat di muzium @ Invercargill. Tidak disangka kami dipertemukan dengannya. Henry masih ada di sangkarnya bersama-sama lain2 tuatara yang giat dilakukan pembiakan.

Lain-lain bahagian muzium menempatkan pelbagai bahan bersejarah dan kehidupan serta hasil seni kreatif, antaranya peralatan dan budaya kaum Maori, dunia haiwan, sejarah pelayaran, kehidupan zaman kolonial, ukiran kreatif, pameran fotografi dan bermacam lagi.Segalanya amat menarik sekali. Apatah lagi kami sememangnya meminati elemen seumpamanya.

Selepas makan tengahari di taman bersebelahan Queens Park, kami meneruskan perjalanan ke Dunedin sejauh 200 km. Tanpa memeriksa laluan yang disetkan oleh GPS, kami mengharap dibawa melalui laluan pantai tetapi rupa-rupanya melalui kawasan pendalaman ke Balcutha, seterusnya ke Dunedin.

Memasuki Bandar Dunedin, suasana yang tenang dan sunyi di bandar-bandar yang kami singgahi sebelumnya bertukar kepada suasana sibuk. Kenderaan banyak di jalanan, lebih-lebih lagi telahpun melewati jam 5:00 petang – waktu pekerja mulai meninggalkan tempat kerja.

Kami tiba di Andrian Motel kira-kira jam 5:30 petang. Motel 2 bilik tidur amat kemas dengan kemudahan dapur memasak dan bilik air/tandas yang berasingan. Perkhidmatan wifi percuma juga disediakan dengan kuota capaian yang tertentu. Sekejap sahaja telah pun habis digunakan.

Petangnya kami tidak berjalan jauh, sekadar di sekitar pekan berdekatan sambil mengisi minyak kereta, mengeluarkan duit di ATM dan berbelanja barangan keperluan di Woolworth. Malamnya pula berehat di motel.

Sedikit info tentang Dunedin. Dunedin mempunyai kepadatan penduduk menjangkau 123,000 orang. Ianya terkenal dengan bangunan-bangunan bersejarah yang tercatat sebagai khazanah dunia (antaranya Railway Station - foto sebelah); juga menjadi tumpuan hidupan liar seperti burung albatross dan yellow-eye penguin. Dengan pelbagai rencah pelancongan yang ditawarkan, tidak hairanlah Dunedin menjadi salah satu bandar wajib dikunjungi oleh para pelancong.


Salam Tahun Baru 2011

Selamat Tahun Baru Masihi

Rasanya tidak terlambat untuk kami mengucapkan Selamat Berhijrah ke Tahun 2011 Masihi kepada pengunjung Salam Monash. Kini tahun 2010 tinggal sejarah dengan rencah suka dan duka, melengkapi sebahagian daripada asam garam kehidupan. Menginsafi diri sebagai hamba Allah SWT, segalanya diterima penuh keredhaan. Pada waktu yang sama mensyukuri setiap ni'mat yang dianugerahiNya termasuk anugerah pertambahan usia. Moga setiap langkah yang diatur dan tindakan yang diambil sentiasa terpelihara di sisiNya. Ameen.

Selamat Pulang Ke Melbourne

Pada pagi 01/01/2011, kami meninggalkan bumi kiwi, New Zealand kembali ke bumi kangaroo, Australia. Kembara selama 16 hari di New Zealand, bermula dari Queenstown di selatan berakhir di Auckland di utara. AlhamduliLlah, segalanya berjalan lancar. Insya Allah, sekelumit pengalaman yang dilalui telah/akan dikisahkan secara ringkas sebagai catatan hidup kami. Moga ada manafaatnya untuk semua.

Selamat Ulangtahun Kelahiran

Tanggal 01/01/2011 juga adalah hari bersejarah bagi Laili. Usianya menginjak setahun lagi melewati 40an. Menariknya, ianya dilalui di 2 buah negara; New Zealand dan Australia. Sambutan ringkas kekeluargaan telah diadakan di rumah sahabat kami di Thomastown; Din-Gee. Kek coklat telah dibuat oleh Gee yang sememangnya suka memasak. Terima kasih Gee dan Din sekeluarga.