Thursday, September 29, 2011

Puasa Enam Syawal

Semalam berakhirnya bulan Syawal. Bulan yang disaran/ digalakkan untuk berpuasa sebanyak enam hari bagi meraih setahun berpuasa bagi yang berpuasa penuh di bulan Ramadhan.

AlhamduliLlah, kami sekeluarga berjaya menunaikannya. Dari ibu ayah sehingga si bongsu, Imran yang berusia 7 tahun. Begitu juga diharapkan kepada rakan-rakan semua.

Dalam keluarga kami, Izzuddinlah yang paling awal dapat menamatkannya. Diikuti pula Hanisah, Solehah, Imran dan ibu mereka. Mereka memang kuat semangat dan iman. Lebih-lebih lagi Imran yang pertama kali merasai pengalaman berpuasa pada tahun ini.

Saya pula yang terakhir iaitu semalam. Apakan daya, tiba-tiba sahaja mulut ini diserang ulser @ mata ikan. Pedih dan perit apabila kekeringan. Namun, syukur padaNya yang memberikan kelegaan di penghujung bulan Syawal.

Apabila direnungkan, dugaan berpuasa selepas bulan Ramadhan dirasakan amat berat sekali. Segalanya menguji tahap keimanan seseorang. Pelbagai halangan menjelma dan hati pula sering dibolak-balik oleh nafsu dan syaitan agar dilengahkan perlaksanaannya. Tidak hairanlah betapa besarnya ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT bagi mereka yang berjaya.

Moga amalan kami dan kita semua diterima dan diredhai oleh Allah SWT. Ameen.

Wednesday, September 28, 2011

Udang Galah Sungai

Sungai Terengganu letaknya tidaklah berapa jauh dari rumah Cik-Ayah. Dahulu airnya amat jernih dan menjadi tempat orang-orang kampung bermandi-manda, membasuh pakaian dan mudik ke hulu-hilir sungai. Dan sungai jugalah menjadi habitat utama hidupan air seperti udang galah, ketam dan ikan air tawar, termasuklah sang buaya.

Masih lagi segar diingatan, setiap kali selepas musim banjir pada bulan Disember, saya bersama ayah akan turun menangkap udang di sungai. Banyak sekali udang bersaiz jari jemari yang diperolehi. Cukuplah untuk beberapa hari. Bagi kami ianya hidangan mewah bermusim.

Adakalanya saya akan turun mengail udang galah ataupun menyelam sambil melastik udang di sebalik juntaian akar pokok rengas yang menjadi sarangnya.

Demikianlah pengalaman saya lebih 30 tahun lalu. Kini air sungai telahpun keruh dan tepian sungai berselut hitam. Amat menggerunkan. Tiada siapa pun yang berani turun meraduk air, apatah lagi untuk berendam di dalamnya.

Di sepanjang sungai hanya kelihatan sangkar-sangkar ikan air tawar dan udang galah yang diusahakan oleh segelintir penduduk kampung. Dengan kata lain, hanya mereka yang mempunyai pertalian erat dengan sungai sahaja yang berani mendambakan diri kepada sungai.

Salah seorang daripadanya adalah adik bongsu saya, Hamdan. Hampir setiap hari beliau akan turun ke sungai. Dengan memandu bot enjin sangkutnya, beliau menyusuri tebing sungai untuk menahan/memasang dan mengangkat bubu/lukah udang.

Udang yang diperolehi akan disimpan di dalam sangkar udang sebelum dijual kepada peraih dan penggemar udang galah. Harganya mencecah RM45 sekilogram. Itulah antara kerjanya di kampung di samping kerja-kerja sampingan yang lain.

Setiap kali pulang bercuti ke kampung halaman di Terengganu, hampir setiap kali itu juga kami dapat merasa makan udang galah sungai. Segar terus dari Sungai Terengganu. Rezeki kami terutama anak-anak yang membesar sebagai orang bandar.

Ketika pulang beraya baru-baru ini, anak-anak mendapat pengalaman baru - mengikut Ayah Su mereka turun ke sungai. Seronok sekali Imran, Solehah dan Izzuddin membonceng motorsikal, menyusuri denai belukar menuju ke sungai.

Di sungai, mereka dibawa ke sangkar udang yang terletak di deretan sangkar ikan yang merintangi tepian sungai. Udangnya telah tersedia di dalam sangkar, hasil tangkapan hari-hari sebelumnya. Mudah sahaja, tidak bersusah untuk kami menangkapnya.

Sememangnya kami berhajat untuk mengikuti misi menangkap udang tetapi persekitaran sungai dirasakan amat merbahaya kepada 'orang baru', lebih-lebih lagi kepada anak-anak.

Cukuplah sekadar merasai pengalaman turun ke sungai, meninjau kehidupan anak kampung dan melihat secara dekat udang-udang yang ditangkap. Ianya amat berharga bagi 'anak bandar' yang langsung tiada 'ikatan' dengan sungai.

Pulang ke rumah, mereka diajar pula untuk menyiang udang. Seterusnya dimasak berlada untuk santapan makan tengahari. Malah kami turut dibekalkan udang segar untuk dibawa pulang ke Hulu Kelang.

Terima kasih Hamdan. Terima kasih Ayah dan Cik. AlhamduliLlah.

Thursday, September 22, 2011

Kedondong Picking

Di luar negara khususnya ketika kami bermukim selama 4 tahun di Victoria dan South Australia, aktiviti memetik buah-buahan tempatan adalah antara rutin tahunan kami. Selalunya buah ceri, epal dan strawberi menjadi tumpuan ramai.

Kebanyakan pengusaha ladang buahan berkenaan akan membuka ladang mereka kepada para pengunjung. Lazimnya kadar bayaran masuk tertentu akan dikenakan. Mana-mana buah yang dibawa keluar perlulah dibayar dengan harga per kilogram yang telah ditetapkan.

Berada di ladang, petiklah sebanyak mana yang diinginkan dan makanlah sepuas-puasnya sebanyak mana yang terlarat. Akan tetapi perlu diingat, hanya buah yang diperlukan sahaja dipetik dengan kaedah yang dibenarkan bagi mengelakkan 'pokok merajuk tidak berbuah'.

Jika diperhatikan, tiadalah apa yang istimewanya sangat. Sekiranya nak makan, lebih baik beli di pasar buah sahaja, harganya jauh lebih murah dan banyak pilihannya. Cuma seronoknya dari segi pengalaman, apatah lagi berada di negara orang. Itulah yang mahal harganya.

Di Malaysia, pernah juga kami mendengar kedapatan dusun-dusun tertentu yang menyediakan eko-pelancongan seumpamanya. Buah rambutan, duku, langsat, durian dan manggis antara yang popular. Entahlah ada atau tidak lagi aktiviti seumpamanya.

Ketika bertandang ke rumah seorang sepupu di Bkt. Bangkong baru-baru ini, anak-anak dapat merasai satu pengalaman baru, memetik buah kedondong (kedondong picking) - foto sebelah. Pokoknya sebatang sahaja, tegak berdiri di tepi dapur rumahnya. Buah lonjong kehijauan lebat bergayutan di tangkai.

Bagi anak-anak, inilah pertama kali mereka melihat buah ini. Apatah lagi memetiknya sendiri dari pokok. Dengan berbekalkan pengacip dahan, tangga dan bakul rotan, buah kedondong yang bertangkai dipotong dan dimasukkan ke bakul. Dapatlah kami sekeluarga 2 beg plastik penuh 'buah tangan' untuk dimakan dan dibuat jeruk.

Kepada anak-anak dikisahkan juga cerita anak-anak kampung dahulu yang suka meredah semak dan kebun-kebun. Dipoket seluar/baju sentiasa tersedia ketulan garam. Gunanya untuk dijadikan pencicah ketika bertemu buah kedondong ataupun pucuk jambu ataupun apa sahaja buah/daun kayu yang boleh dimakan.

Kisah di zaman kanak-kanak yang sama tidak kira di mana sahaja. Imbauan nostalgia lama anak kampung yang telah pun hilang ditelan kemodenan.

Wednesday, September 21, 2011

Keluarga Kami

Sewaktu di alam kanak-kanak mahupun semasa muda belia, hubungan sesama adik beradik lazimnya amat akrab sekali. Pantang bertemu muka ada sahaja buah bicara dan gurau sendanya. Namun setelah bekerja, apatah lagi selepas berkahwin, hubungan sedarah sedaging biasanya menjadi semakin hambar dek kesibukan diri dan urusan keluarga.

Begitulah lumrahnya kehidupan. Sesekali dapat bersua dirasakan amat berharga sekali. Lebih-lebih lagi dengan anggota keluarga yang semakin bertambah. Riuh rendahnya makin ketara. Di sebalik semuanya itu, ibu-ayah @ nenek-atuklah yang paling seronok melihat anak-menantu serta cucu-cicit yang dirindui berlegar-legar di sekitar mereka.

Ketika pulang beraya di Terengganu baru-baru ini, kesemua 10 orang adik beradik saya (5 lelaki + 5 perempuan) pulang beraya di kampung halaman bersama Cik dan Ayah.

Di sekeliling Tok Cik dan Tok Ayah pula 19 orang cucu (11 lelaki + 8 perempuan) ada bersama. Di campur dengan menantu, jumlah terkini keseluruhan ahli keluarga Hj. Mohd Noor~Hjh. Che' Wook adalah seramai 35 orang kesemuanya.

Foto di sebelah adalah foto terbaru keluarga Ayah dan Cik bersama sebahagian anak, menantu dan cucu-cucu. Ianya diambil sejurus sebelum kami berangkat pulang ke Hulu Kelang. Jadi tidak semua ahli keluarga yang ada. 11 orang tiada dalam foto berkenaan; 3 orang adik, 3 orang ipar dan 5 orang anak saudara.

Foto ini bermakna sekali kerana Ayah @ Tok Ayah sudi turut serta. Ini kerana Ayah memang tidak suka diambil gambarnya berbanding Cik yang tidak kisah.

Di sebelah keluarga Abah dan Emak (ibu bapa Laili) pula terdiri daripada 7 orang anak (4 lelaki + 3 perempuan) dan 15 orang cucu (6 lelaki + 9 perempuan).

Oleh kerana kesemua adik beradik tinggal di Lembah Kelang, maka mudah untuk kami berkumpul bersama. Namun untuk bergambar bersama, sering terlupa.

Foto di sebelah diambil pada hujung minggu baru-baru ini bertempat di kampung halaman Abah dan Emak di Kg. Bukit Bangkong, Sepang, Selangor ketika kami beramai-ramai pulang ke kampung.

Namun tidak semuanya ada. Dari jumlah keseluruhan 30 orang ahli keluarga, 7 orang (2 ipar, 3 biras dan 2 anak saudara) tidak dapat turut serta.

Apa-apa pun inilah foto terkini keluarga Hj. Mohd Tauhid~Hjh. Azizah.

Monday, September 19, 2011

Ziarah Raya

Adik beradik dan saudara mara sebelah emak dan abah kebanyakannya tinggal di Lembah Kelang. Masing-masing sibuk dengan urusan kerja dan keluarga sendiri. Namun seringkali juga berkunjungan sesama sendiri. Terutama yang tinggal di sekitar Hulu Kelang.

Bagi kami yang bertaraf anak saudara ini, sewajarnyalah kami yang berkunjung ke rumah mereka. Apatah lagi di musim perayaan seperti sekarang ini. Namun tidak semuanya dapat diselesaikan sekaligus. Dengan kekangan urusan harian, cuma di hujung minggu sahaja masa yang ada. Perlulah ianya diatur sebaik mungkin. Cepat atau lambat bergantung kepada keadaan.

AlhamduliLlah, beberapa buah rumah di Keramat AU dan Bukit Antarabangsa telah pun disinggahi, antaranya rumah Pak Cik Rohim, Pak Cik Shuib, Mak Cik Yam dan Mak Cik Parti.

Apabila berjalan ke rumah saudara-mara, seringkali dipesan "maklumkan lebih awal, dibimbangi mereka tiada di rumah". Ada betulnya. Namun di sebaliknya mereka berusaha menjamu tetamu seadanya samada makan pagi, makan tengahari ataupun makan malam.

Demikian juga dengan misi ziarah kami di hujung minggu baru-baru ini. Bergerak di pagi Sabtu, kami makan pagi di rumah Mak Cik Sainah di Bangsar, makan tengahari di rumah Pak Cik Mad Khalid di Meru, makan petang di rumah Pak Cik Amin di kampung dan makan malam di rumah Abang Latif (sepupu), juga di kampung. Keesokan harinya makan pagi di rumah Abang Arif (sepupu) di kampung sebelum memenuhi undangan perkahwinan ke Hulu Kelang.

Di kampung, seronok dapat bersua muka dengan Atuk Sulaiman (bapa kepada emak) yang berusia hampir seabad (100 tahun). Tampak masih sihat walaupun masa sehariannya lebih banyak di dalam rumah. Penglihatan, pendengaran dan tutur bicaranya masih jelas. Begitu juga ingatannya masih kuat. Sesuatu yang amat mengkagumkan kami. Moga atuk sentiasa dirahmati Allah SWT. Ameen.

Biasanya budaya ziarah menziarah/ kunjung mengunjung ini begitu meriah ketika musim perayaan tetapi menjadi suram di luar musim. Sepatutnya tidak begitu. Hakikatnya ia sesuatu yang digalakkan dalam Islam tanpa mengira musim. Logiknya, jika di musim raya kita mampu melakukannya, mengapa di lain ketika kita tidak berkesempatan. Bukannya mengata orang lain tetapi sebagai motivasi pada diri sendiri. Moga ianya berterusan sepanjang zaman.

Tuesday, September 13, 2011

Rumah Terbuka Bersama

AlhamduliLlah, pada hujung minggu baru-baru ini kami selamat mengadakan Rumah Terbuka Eidil Fitri. Berkongsi majlis bersama-sama dengan emak, abah dan adik beradik yang lain di rumah yang kami diami sekarang di Hulu Kelang.

Turut sama diraikan Majlis Aqiqah untuk orang baru dalam keluarga Bakhtiar-Suraya yang baru berusia sebulan, Airis an Nisa Tauhid, cucu ke-15 bagi emak dan abah. Tahniah.

Walaupun majlis kali ini tidaklah sehebat majlis rumah terbuka yang pernah diadakan sebelum ini tetapi kemeriahannya masih terserlah. Dianggarkan sekitar 500 orang tetamu hadir.

Tetamu utama adalah keluarga adik beradik bagi emak dan abah. Emak dan abah masing-masing mempunyai 10 orang adik beradik. Dicampur pula dengan anak cucu mereka pasti jumlahnya berganda. Walaupun tidak semuanya dapat datang tetapi keseronokan dapat bersua muka adalah satu rahmat dan nikmat yang tidak terhingga. Lebih-lebih lagi di musim perayaan seperti di bulan Syawal ini. AlhamduliLlah.

Selebihnya adalah rakan taulan bagi setiap ahli keluarga, jiran tetangga serta sanak saudara.

Bagi kami sekeluarga, tidak ramai yang diundang. Untuk majlis rumah terbuka kali ini, kami lebih memberi tumpuan kepada rakan-rakan lama ketika bersama-sama di perantauan Australia dahulu. Itupun hanya sebahagian sahaja yang dapat dihubungi, selebihnya tidak diketahui di mana mereka. Rakan-rakan sekerja Laili pula mana yang sempat dihubungi sahaja. Jadi, kami semua memohon maaf kiranya ada yang dikenali tidak mendapat undangan tersebut. Insya Allah di lain kesempatan kita bersua kembali.

Majlis rumah terbuka kami bermula dari waktu tengahari sehingga ke petang. Malamnya pula diadakan Majlis Kesyukuran khusus untuk anakanda Airis an Nisa dengan diiringi salawat ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW yang disampaikan oleh anak-anak Maahad Tahfiz Al-Ridhuan, Hulu Kelang. Moga Airis menjadi anak yang solehah dan menyejukkan hati ibu bapa di dunia dan di akhirat. Ameen.

Penatnya hanya Allah SWT yang tahu. Bagi saya sendiri, selepas Mahgrib sahaja telah pun terlena. Alunan salawat sesekali mencecah pendengaran, akhirnya hilang dibuai mimpi.

Persediaan untuk majlis-majlis ini lebih 90% dilakukan sendiri oleh setiap ahli keluarga sejak beberapa hari sebelumnya. Juadahnya amat istimewa; antaranya dendeng, ayam percik, kari kambing, ayam -kambing BBQ, sosej, lemang, nasi himpit, cendol dsb.

Semoga majlis seumpamanya dapat memperatkan lagi silaturahim dan ukhwah sesama kami. Hanya redha Allah SWT yang diharapkan. Ameen.

Saturday, September 10, 2011

Foto Masuk Akhbar

Foto sebelah adalah dari muka hadapan sisipan Variasi Addin akhbar Harian Metro keluaran semalam, 9/9/2011. Wajah-wajah yang terpampang amat dikenali. Lokasi dan susun atur meja pun amat serasi dengan kami.

Dengan kata lain, foto tersebut adalah milik kami. Foto di bawah adalah foto asalnya bagai yang tersiar di weblog kami pada awal tahun lepas,

http://salam-monash.blogspot.com/2010/03/jumpa-jumpa-akhir-musim-panas.html

Foto tersebut diambil di belakang rumah sewa rakan kami, Azura di Dandenong, Victoria, Australia sempena Majlis Ramah Mesra Bulanan Warga Kg. Dandy. Di dalam foto berkenaan, gambar Laili bersama rakannya Suharti serta Rafidah jelas kelihatan. Glamourlah diaorang...

[Terima kasih kepada Zainah Mohammad, juga rakan sekampung di Kg Dandy yang sedang bercuti raya di tanah air kerana memaklumkannya. Sememangnya kami tidak menyedarinya]

Tidak disangka ianya terpampang di akhbar tempatan. Namun ianya sekadar hiasan bagi rencana berkaitan Rumah Terbuka. Langsung tiada cerita dan berita berkaitan dengannya.

Pada etikanya kami boleh menuntut honororium kerana menyiarkan sesuatu milik kami atau memberi kredit kutipan ke atasnya. Tidak mengapalah. Asalkan tidak dikaitkan dengan perkara yang tidak baik sudahlah. Sekurang-kurangnya ia dapat dikongsi bersama. Kalau tak pun tumpang glamour, cukuplah.

Secara peribadi terasa gembira kerana foto yang diambil mempunyai nilai tinggi pada pandangan orang lain. Terima kasih Harian Metro.

Thursday, September 8, 2011

Puasa & Raya Di Perantauan


Tahun lepas dan beberapa tahun sebelumnya kami sekeluarga berpuasa dan beraya di Australia, khususnya di Adelaide, South Australia dan Dandenong, Victoria. Suasana asing yang amat berbeza daripada suasana di tanah air sendiri. Walaupun ramai umat Islam di sekitar kami tetapi kebanyakannya berasal dari negara-negara Islam yang berlainan. Maka adat, budaya dan perlakuan mereka pasti jauh berbeza dari amalan kita. Namun rasa hormat dan kasih sayang sesama umat Muhammad SAW sentiasa utuh.

Apabila jauh di negara asing, maka tidak secara langsung keakraban persahabatan dan persaudaraan sesama rakyat Malaysia akan melangkaui segala sempadan. Tidak kira ideologi politik, bangsa, agama, pangkat dan keturunan. Masing-masing saling memerlukan. Merekalah rakan, merekalah saudara dan merekalah juga adik beradik. Susah senang ditanggung bersama.

Berpuasa di waktu musim bunga dan awal musim sejuk kurang terasa penat, lapar dan dahaga. Waktu berbuka pula awal, sekitar jam 5:30 petang. Kami berbuka di rumah sahaja bersama keluarga, tidak seperti di tanah air di mana masjid menjadi pilihan utama. Di masjid berdekatan rumah kami di Dandenong ada majlis berbukanya tetapi makanannya bercitarasa Turki, susah untuk diterima tekak Melayu.

Solat tarawikh di masjid dilakukan 20 rakaat; 4 rakaat 1 salam, berbeza daripada amalan biasa kita 2 rakaat 1 salam. Manakala solat witirnya 3 rakaat 1 salam. Mungkin itulah kebiasaan amalan Mazhab Hanafi yang diikuti oleh majoriti jemaah berketurunan Turki. Secara peribadi saya menyukainya tetapi saya memilih untuk bersolat jemaah Isyak-Tarawikh-Witir di rumah sahaja bersama-sama keluarga.

Bertukar-tukar juadah berbuka adalah amalan biasa. Di setiap hujung minggu pula rakan-rakan sekampung berkumpul di rumah-rumah tertentu untuk berbuka puasa bersama-sama sehinggalah selesai solat sunat Tarawikh-Witir ala Malaysia dengan disudahi hidangan moreh. Saat yang amat menyeronokkan. Walaupun jauh dari keluarga tetapi kemesraan rakan-rakan senasib mengubat rindu kami.

Juadah berbuka dan moreh biasanya bercitarasa Malaysia. Juadah popular kami adalah dendeng dan sup meehun (hasil dari air rebusan daging untuk dibuat dendeng). Itu jugalah yang biasa kami hantar ke rumah rakan-rakan sekampung (Kg. Dandy) sebagai juadah berbuka mereka. Puncanya, kami kerap membuat dendeng untuk tempahan dan jualan di Bazaar Ramadhan, jadi adalah rezeki untuk mereka dan kami sekeluarga.

Di malam raya pula kami berkumpul untuk sama-sama berbuka puasa, seterusnya solat berjemaah dan bertakbir raya. Syahdu dan sayu meruntun jiwa mengingatkan keluarga dan sanak-saudara di tanah air. Malah ada yang menitiskan air mata terharu.

Di pagi raya, kami berkumpul di lokasi-lokasi tertentu untuk bersolat sunat Eidil Fitri. Biasanya tumpuan kami di mana terdapat ramai komuniti Melayu-Malaysia turut serta. Bagi kami di tenggara Melbourne, selalunya kami ke Monash University Kampus Clayton atau ke majlis anjuran Komuniti Melayu Islam Victoria (KMIV) di Mt. Waverley.

Selesai solat, kami berkonvoi dari satu rumah terbuka ke rumah terbuka yang lain. Pernah kami berjalan raya dari pagi sehinggalah ke malam. Belasan rumah disinggahi dalam sehari. Sesetengah rakan pula sehingga melewati waktu tengah malam baru pulang ke rumah. Apakan daya, itulah sahaja masa yang ada. Bukannya ada cuti khas perayaan seumpama di Malaysia.

Menariknya, walaupun di tempat orang, juadah rayanya tidak lekang dari makanan tradisional Melayu seperti sate, ketupat, lemang, nasi dagang, nasi kerabu, nasi himpit, laksa Terengganu, laksa Penang, laksa Johor dan bermacam-macam lagi termasuk kueh-muehnya yang pelbagai jenis dan nama. Ibarat kata, sebut sahaja semuanya ada.

Di setiap hujung minggu pula rumah-rumah terbuka banyak diadakan. Kami sendiri pun ada ketikanya turut sama menjemput rakan-rakan jauh dan dekat datang ke rumah. Biasanya pada hari raya atau sehari dua selepasnya. Rumah terbuka Mega Raya bagi Kg. Dandy yang diuruskan bersama komuniti sekampung pula diadakan pada minggu tertentu khusus untuk rakan kenalan yang tinggal di Victoria termasuk rakan sekerja, rakan sekuliah dan orang asing. Bertungkus lumus kami menyiapkan setiap juadah sambil masing-masing menyumbang mengikut kemampuan tersendiri. Kemeriahan yang menyeronokkan.

Emm, satu lagi yang menariknya, tiada duit raya dihulurkan kepada kanak-kanak. Pelik tetapi benar. Budaya yang terbentuk di luar negara di kalangan warga Malaysia yang telah biasa dengan 'huluran sampul raya'. Tidak pernah saya mendengar sesiapa pun yang mempertikaikannya. Setiap orang bagaikan 'tahu sama tahu' atau 'faham-faham ajalah'. Secara peribadi, saya mengkagumi dan menyokongnya. Namun sekembalinya ke tanah air, ianya tidak dapat dipraktikkan kerana persekitarannya telah dibiasakan dengan budaya duit raya.

Mengimbau kenangan di perantauan lebih-lebih ketika tibanya Ramadhan dan Syawal membuatkan diri ini terasa amat rindu kepada rakan-rakan lama samada yang telah pulang ke tanah air ataupun masih berjuang di perantauan. Moga kita dipertemukan lagi. Insya Allah.

Wednesday, September 7, 2011

Raya 2011

AlhamduliLlah, tahun ini kami sekeluarga beraya di tanah air tercinta. Rindunya hati pada ahli keluarga di Terengganu setelah 5 tahun berturutan kami beraya di perantauan Australia. Kenapa keluarga di Terengganu sahaja, tidak di Hulu Kelang? Jawabnya, keluarga di Hulu Kelang juga dirindui tetapi mereka pernah beraya bersama kami di Australia iaitu pada tahun pertama dan terakhir kami di sana.

Dua hari sebelum raya, kami pulang ke kampung halaman di Kg. Telok Menara, Kuala Terengganu. Dapatlah kami berbuka dan bersahur dengan keluarga di kampung. Seterusnya dapat bersalaman dan berpelukan menyambut tibanya 1 Syawal. Di samping dapat bertemu muka dengan adik beradik, anak-anak saudara, sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan, paling utama dapat melepaskan rindu pada Cik dan Ayah. AlhamduliLlah.

Pagi raya kami berarak berjalan ke surau kampung yang terletak tidak jauh dari rumah Cik-Ayah untuk bersolat sunat Eidil Fitri. Pada setiap kali raya, tumpuan utama kami adalah rumah-rumah saudara terdekat terutamanya emak saudara, bapa saudara, sepupu dan jiran tetangga bersebelahan rumah. Diikuti rakan karib dan kenalan lama dan baru lebih-lebih lagi yang telahpun berusia.

AlhamduliLlah, sasaran kunjungan raya kami di Terengganu hampir 100% menepati perancangan. Rumah emak dan bapa saudara sebelah Cik seramai 5 orang habis kesemuanya pada hari pertama termasuk rumah sepupu dan juga rumah Tok Su, emak saudara kepada Cik. Ayah pula anak tunggal dalam keluarga, jadi tiada emak dan bapa saudara kecuali beberapa orang sepupu dan saudaranya yang tinggal di kampung berdekatan. AlhamduliLlah segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT.

Beberapa kenalan lama dan baru sempat juga kami ziarahi, antaranya Mak Usu di Tanjung; ibu angkat kepada almarhumah Mak Cik Rokiah, kenalan kami di Melbourne. Juga Cik Da-Cikgu Mansor di Kg. Tok Kaya yang menjadi ibu angkat Laili ketika bekerja di Hospital Kuala Terengganu dahulu; Rohana-Ustaz Mustaffa di Kg. Losong, rakan karib Laili sejak di zaman persekolahan lagi dan juga Dr. Siti Aminah sekeluarga di Batu Burok yang kami kenali ketika sama-sama berkampung di Dandenong, Australia.

Lebih menyeronokkan lagi apabila mendapat undangan Majlis Kesyukuran (Perkahwinan) dari beberapa orang jiran sekampung. Menariknya kerana dapat menikmati hidangan nasi dan gulai kawah yang amat digemari dan dirindui sejak sekian lama. Gulai kawah Terengganu sememangnya tiada tandingannya, apatah lagi hasil 'air tangan' orang kampung. Sedapnya tidak terperi.

Bagi anak-anak pula, mereka seronok kerana mendapat laba duit raya. Seronoknya mereka sekadar menerimanya. Jika tidak memberi pun mereka tak kisah. Mereka sedia maklum, beraya bukan kerana duit raya tetapi kerana ukhwah sesama insan.

Kesemua duit raya yang ada diserahkan kepada ibu ayah untuk diuruskan. Mereka tahu dan sedar, duit tersebut akan dimasukkan ke akaun simpanan mereka di Tabung Haji. Sesuatu yang lumrah sejak mereka kecil lagi. Sejumlah kecilnya pula akan diserahkan kepada mereka untuk kegunaan harian atau keperluan mendesak.

Hampir seminggu di kampung, kami bertolak pulang ke Hulu Kelang pada pagi Sabtunya bersama kenangan nan indah. Bergerak dari rumah sekitar jam 9:30 pagi, perjalanan lancar melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) separuh siap dari Ajil hingga ke Bukit Besi tetapi mengalami perjalanan yang amat perlahan; lebih 2 jam (biasanya 1 jam) dari Bukit Besi ke LPT Jabor. AlhamduliLlah, kami selamat tiba di Hulu Kelang kira-kira jam 4:00 petang.

Kini hampir saban minggu ada sahaja undangan ke rumah terbuka. Di samping itu rumah-rumah saudara mara sebelah Emak-Abah yang ramai tinggal di Lembah Kelang pun perlu juga dikunjungi. Demikianlah adanya setiap kali tibanya musim perayaan Eidil Fitri. Raya di tahun ini kembali sibuk seperti 5 tahun yang lalu.

Tuesday, September 6, 2011

Puasa Penuh

Ketika bulan Ramadhan, anak-anak sering ditanya oleh sesiapa yang ditemui, "Puasa tak hari ni?" Lebih-lebih lagi anak-anak tersebut di peringkat usia sekolah rendah.

Begitu juga setelah masuknya bulan Syawal. Soalan "Berapa hari puasa Ramadhan?" atau "Berapa hari tinggal puasa?" dan juga "Penuh tak puasa sebulan?" sering menjadi bual bicara kepada anak-anak. Walau apa pun jawabannya, selalunya diikuti dengan kata-kata semangat dan pujian. AlhamduliLlah, satu kaedah mendidik, secara saikologinya baik untuk anak-anak.

Bagi kami sekeluarga, puasa tahun ini mencatat rekod "puasa penuh". Dari ibu-ayah sehinggalah keempat-empat orang anak semuanya dapat menghabiskan puasa sebulan Ramadhan tanpa meninggalkannya barang separuh hari. AlhamduliLlah, moga ianya diterima dan diredhai oleh Allah SWT.

Bagi anak-anak yang berusia lebih 10 tahun seperti Solehah (11 tahun), Hanisah (12) dan Izzuddin (15), sebulan puasa tiada masalahnya. Pada tahun-tahun sebelum ini mereka telah pun biasa berpuasa walaupun di persekitaran negara asing. Bukan sahaja puasa di bulan Ramadhan tetapi juga puasa-puasa sunat seperti Isnin Khamis, enam hari Syawal, Rejab, Syaaban dan sebagainya. Rajinnya mereka mengalahkan ibu dan ayah.

Paling seronok apabila melihat kekuatan semangat dan iman pada anak bongsu kami, Imran yang berusia 7 tahun. Tahun ini adalah percubaan pertama baginya untuk berpuasa. Ketika di Australia, Imran tidak pernah berpuasa kerana suasana tidak mengizinkan. Malah puasa sunat sebelum Ramadhan pun tidak pernah dibuatnya. Jadi kami tidak mengharapkannya dapat menghabiskan puasa hariannya. Lebih-lebih lagi di hari-hari terawal bulan Ramadhan.

Hari pertama berpuasa sekolah Imran bercuti. Melewati waktu tengahari, Imran telah pun mengeluh lapar dan dahaga. Soalan yang sering ditanyainya, "Lambat lagi ke waktu berbuka". Kasihan melihatnya 'melepek' di sana sini. Namun disuruh berbuka dia tak mahu. Bermacam cara dibuat untuk melekakannya. Akhirnya Imran berjaya menamatkan perjuangan puasa di hari pertama.

Hari kedua dan seterusnya tiada masalah lagi kerana Imran sibuk dengan sekolah hariannya, pagi dan petang. AlhamduliLlah, sehingga tamat bulan Ramadhan, Imran berjaya berpuasa penuh sebulan. Tahniah Imran.

Ketika ditanya pada Imran, "Apakah seronoknya bepuasa?" Jawabnya,"Seronok berbuka di masjid. Macam-macam kueh dan lauk yang ada. Senang untuk solat dan mengaji (Quran)". Begitulah rutin hariannya selepas berbuka puasa sehingga waktu solat Tarawikh.

Kini Imran dan kami sekeluarga sedang berusaha mencukupkan enam hari puasa di bulan Syawal bagi meraih keberkatan dan anugerah "setahun berpuasa" bagai yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Ya Allah, ampunilah segala dosa kami, redhailah setiap amalan kami, permudahkanlah akan setiap urusan kami dan masukkan kami ke syurgamu melalui pintu ar-Rayyan. Begitu juga ke atas rakan kenalan yang lain. Ameen.

Sunday, September 4, 2011

Salam Syawal


Aidil Fitri telah seminggu berlalu. Tidak terlewat rasanya untuk kami sekeluarga menghulurkan Salam Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua penjenguk Salam Monash. Moga kita semua sentiasa dirahmati Allah SWT. Ameen.

Tahun ini kami sekeluarga beraya di rumah Cik-Ayah di Kuala Terengganu. Kami pulang ke kampung pada hari Ahad, 2 hari sebelum raya dan kembali ke Hulu Kelang pada hari Sabtu. Hampir seminggu di kampung halaman tercinta. Sambutan raya yang amat bererti bagi kami sekeluarga setelah sekian lama beraya di perantauan Australia. Hilang segala kerinduan terhadap Cik-Ayah dan adik beradik serta sanak saudara yang lama tidak bersua muka. AlhamduliLlah.

Kata orang, "puasa sebulan raya pun sebulan". Tidak hairanlah rumah-rumah terbuka rancak diadakan terutama di hujung-hujung minggu sepanjang Syawal ini. Saban hari pula saudara mara, jiran tetangga dan rakan taulan datang bertandang. Tanda muhibbah sesama insan.

Dalam kesibukan meraikan Syawal ini, sering kali diri ini terlupa akan 'puasa enam'. Sabda RasuluLlah SAW,"Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun".

Logik akalnya, siapa yang tidak mahukan tawaran yang sebegitu lumayan. Dengan hanya berpuasa enam hari di bulan Syawal, lanjutan daripada berpuasa Ramadhan, ganjarannya menyamai berpuasa selama 365 hari.

Marilah kita sama-sama merebut kurniaan Allah SWT yang tiada taranya ini. Moga kita dipermudahkanNya. Ameen.