Wednesday, September 21, 2011

Keluarga Kami

Sewaktu di alam kanak-kanak mahupun semasa muda belia, hubungan sesama adik beradik lazimnya amat akrab sekali. Pantang bertemu muka ada sahaja buah bicara dan gurau sendanya. Namun setelah bekerja, apatah lagi selepas berkahwin, hubungan sedarah sedaging biasanya menjadi semakin hambar dek kesibukan diri dan urusan keluarga.

Begitulah lumrahnya kehidupan. Sesekali dapat bersua dirasakan amat berharga sekali. Lebih-lebih lagi dengan anggota keluarga yang semakin bertambah. Riuh rendahnya makin ketara. Di sebalik semuanya itu, ibu-ayah @ nenek-atuklah yang paling seronok melihat anak-menantu serta cucu-cicit yang dirindui berlegar-legar di sekitar mereka.

Ketika pulang beraya di Terengganu baru-baru ini, kesemua 10 orang adik beradik saya (5 lelaki + 5 perempuan) pulang beraya di kampung halaman bersama Cik dan Ayah.

Di sekeliling Tok Cik dan Tok Ayah pula 19 orang cucu (11 lelaki + 8 perempuan) ada bersama. Di campur dengan menantu, jumlah terkini keseluruhan ahli keluarga Hj. Mohd Noor~Hjh. Che' Wook adalah seramai 35 orang kesemuanya.

Foto di sebelah adalah foto terbaru keluarga Ayah dan Cik bersama sebahagian anak, menantu dan cucu-cucu. Ianya diambil sejurus sebelum kami berangkat pulang ke Hulu Kelang. Jadi tidak semua ahli keluarga yang ada. 11 orang tiada dalam foto berkenaan; 3 orang adik, 3 orang ipar dan 5 orang anak saudara.

Foto ini bermakna sekali kerana Ayah @ Tok Ayah sudi turut serta. Ini kerana Ayah memang tidak suka diambil gambarnya berbanding Cik yang tidak kisah.

Di sebelah keluarga Abah dan Emak (ibu bapa Laili) pula terdiri daripada 7 orang anak (4 lelaki + 3 perempuan) dan 15 orang cucu (6 lelaki + 9 perempuan).

Oleh kerana kesemua adik beradik tinggal di Lembah Kelang, maka mudah untuk kami berkumpul bersama. Namun untuk bergambar bersama, sering terlupa.

Foto di sebelah diambil pada hujung minggu baru-baru ini bertempat di kampung halaman Abah dan Emak di Kg. Bukit Bangkong, Sepang, Selangor ketika kami beramai-ramai pulang ke kampung.

Namun tidak semuanya ada. Dari jumlah keseluruhan 30 orang ahli keluarga, 7 orang (2 ipar, 3 biras dan 2 anak saudara) tidak dapat turut serta.

Apa-apa pun inilah foto terkini keluarga Hj. Mohd Tauhid~Hjh. Azizah.

2 comments:

Umi @ Puan Nurhidayah Hashim said...

Salam Kak Laily dan Tuan Pidi di Me'sia,
apa khabar semua di sana? Semoga sejahtera dan dimudahkan semua urusan. Kami di sini, alhamdulillah. Walaupun dah lepas, masih tak terlambat ya untuk kami ucapkan Eid Mubarak. Selamat Hari Raya dan juga Maaf zahir batin .

Jumpa lagi dan W'slam
-Hidayah, Fairuz dan Aisyah
Reservoir, Melbourne

ropidi 'n laili said...

Salam ingatan mesra dari kami sekeluarga. Juga salam Eidul Fitri, maaf zahir batin untuk ustazah sekeluarga. Moga segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Ameen.