Wednesday, September 28, 2011

Udang Galah Sungai

Sungai Terengganu letaknya tidaklah berapa jauh dari rumah Cik-Ayah. Dahulu airnya amat jernih dan menjadi tempat orang-orang kampung bermandi-manda, membasuh pakaian dan mudik ke hulu-hilir sungai. Dan sungai jugalah menjadi habitat utama hidupan air seperti udang galah, ketam dan ikan air tawar, termasuklah sang buaya.

Masih lagi segar diingatan, setiap kali selepas musim banjir pada bulan Disember, saya bersama ayah akan turun menangkap udang di sungai. Banyak sekali udang bersaiz jari jemari yang diperolehi. Cukuplah untuk beberapa hari. Bagi kami ianya hidangan mewah bermusim.

Adakalanya saya akan turun mengail udang galah ataupun menyelam sambil melastik udang di sebalik juntaian akar pokok rengas yang menjadi sarangnya.

Demikianlah pengalaman saya lebih 30 tahun lalu. Kini air sungai telahpun keruh dan tepian sungai berselut hitam. Amat menggerunkan. Tiada siapa pun yang berani turun meraduk air, apatah lagi untuk berendam di dalamnya.

Di sepanjang sungai hanya kelihatan sangkar-sangkar ikan air tawar dan udang galah yang diusahakan oleh segelintir penduduk kampung. Dengan kata lain, hanya mereka yang mempunyai pertalian erat dengan sungai sahaja yang berani mendambakan diri kepada sungai.

Salah seorang daripadanya adalah adik bongsu saya, Hamdan. Hampir setiap hari beliau akan turun ke sungai. Dengan memandu bot enjin sangkutnya, beliau menyusuri tebing sungai untuk menahan/memasang dan mengangkat bubu/lukah udang.

Udang yang diperolehi akan disimpan di dalam sangkar udang sebelum dijual kepada peraih dan penggemar udang galah. Harganya mencecah RM45 sekilogram. Itulah antara kerjanya di kampung di samping kerja-kerja sampingan yang lain.

Setiap kali pulang bercuti ke kampung halaman di Terengganu, hampir setiap kali itu juga kami dapat merasa makan udang galah sungai. Segar terus dari Sungai Terengganu. Rezeki kami terutama anak-anak yang membesar sebagai orang bandar.

Ketika pulang beraya baru-baru ini, anak-anak mendapat pengalaman baru - mengikut Ayah Su mereka turun ke sungai. Seronok sekali Imran, Solehah dan Izzuddin membonceng motorsikal, menyusuri denai belukar menuju ke sungai.

Di sungai, mereka dibawa ke sangkar udang yang terletak di deretan sangkar ikan yang merintangi tepian sungai. Udangnya telah tersedia di dalam sangkar, hasil tangkapan hari-hari sebelumnya. Mudah sahaja, tidak bersusah untuk kami menangkapnya.

Sememangnya kami berhajat untuk mengikuti misi menangkap udang tetapi persekitaran sungai dirasakan amat merbahaya kepada 'orang baru', lebih-lebih lagi kepada anak-anak.

Cukuplah sekadar merasai pengalaman turun ke sungai, meninjau kehidupan anak kampung dan melihat secara dekat udang-udang yang ditangkap. Ianya amat berharga bagi 'anak bandar' yang langsung tiada 'ikatan' dengan sungai.

Pulang ke rumah, mereka diajar pula untuk menyiang udang. Seterusnya dimasak berlada untuk santapan makan tengahari. Malah kami turut dibekalkan udang segar untuk dibawa pulang ke Hulu Kelang.

Terima kasih Hamdan. Terima kasih Ayah dan Cik. AlhamduliLlah.

1 comment:

Anonymous said...

Tganu kt kg ape er?