Tuesday, December 30, 2008

Jalan-jalan Ke Adelaide

Sekarang ini adalah musim panas di Australia terutama di negeri-negeri di bahagian selatannya, Victoria dan South Australia. Ketika yang amat sesuai untuk jalan-jalan makan angin sambil menghargai keindahan alam semesta dan ciptaanNya. Tambahan pula waktu siangnya lebih panjang daripada waktu malam. Bermakna lebih banyak masa untuk menerokai setiap tempat yang dilawati. Ditambah pula dengan musim cuti persekolahan yang baru bermula sehingga akhir bulan Januari nanti.

Cuaca terang mengiringi perjalanan kami. Alhamdulillah
Hari Krismas (25 Dis) pada tahun ini jatuh pada hari Khamis. Cuti Boxing Day di Victoria pula keesokan harinya (Jumaat). Diikuti pula 2 hari cuti hujung minggu (Sabtu dan Ahad). Peluang yang ada kami berkunjung ke Adelaide. Jika dahulu, kami hanya melalui Western Highway merentasi laluan tengah, kini kami menyusuri pantai bermula dari Port Campbell ke Victor Harbour sebelum ke Adelaide. Pulangnya baru kami melalui Western Highway.

Kali ini misi jalan-jalan makan angin kami turut sama disertai oleh beberapa orang rakan. Dr. Ruziaton, Dr. Maimunah, Azidah dan Dr. Siti Aminah bersama 3 orang anaknya, Al-Imran, Umar dan Azizah. Tiga buah kereta berkonvoi bersama. Dua Nissan Tiida dan satu Toyota Corolla Ascent disewa dari Hertz Dandenong.

Berlatar belakangkan Blue Lake
Kami bertolak menjelang tengahari Rabu (24/12/2008) melalui Princess Highway dan singgah makan tengahari di Port Campbell Harbour. Sebelum bertolak ke Mt. Gambier, sempat kami singgah di Port Campbell Marina Park untuk menghayati keindahan batuan Twelve Apostles. Kami bermalam di Mt. Gambier.

Hari Khamis (25/12/2008), kami berkunjung ke Umperstone Sinkhole dan Blue Lake. Petangnya menyusuri laluan pantai serta menaiki feri merentasi Murray River di Wellington ke Victor Harbour untuk bermalam di sana.

Setibanya di Victor Harbour kami terus bergegas ke Granite Island untuk melihat Little Penguin pulang ke sarang di saat matahari tenggelam. Keesokan harinya kami menaiki Horse Tram ke Granite Island serta meninjau kawasan sekitar Victor Harbour. Juga ke pantai di Golwa untuk makan tengahari dan mencari cockle sebelum menuju ke Adelaide.

Imran di salah satu pokok di Umperstone Sinkhole
Kami berada di Adelaide selama 2 hari 2 malam (Jumaat – Ahad). AlhamduliLlah murah rezeki. Dijamu makan di rumah Nurul, Kak Dariah, Dr. Jali-Dr. Nita dan Dr. Budin-Dr. Ati. Bermalam pula di rumah Jali-Nita, Laila dan Budin-Ati. Antara tempat yang sempat dikunjungi adalah Gorge Wildlife Park dan Marion Shopping Complex.

Menjelang tengahari Ahad (28/12/2008), kami bertolak pulang ke Melbourne dari rumah Budin-Ati di Mt. Barker melalui Western Highway. AlhamduliLlah selamat tiba di Dandenong kira-kira jam 11:00 malam.

Insya Allah kisah perjalanan makan angin ini akan diperincikan dalam entri seterusnya.
Perjalanan yang amat memenatkan. Terbayang jelas di setiap wajah akan rona keletihan. Namun disebaliknya tergambar akan kepuasan. Penat dan letih terbayar dengan kutipan pengalaman yang tidak ternilai. Foto-foto yang dirakam oleh setiap orang membuktikannya. Kesempatan yang ada mungkin berulang dan mungkin juga tidak sehinggalah kaki kembali menjejak bumi Malaysia. Segala puji untuk Allah SWT yang telah mengurniakan kesempatan ini. AlhamduliLlah.

Monday, December 29, 2008

Salam Ma'al Hijrah 1430H

Tanpa disedari Tahun Hijrah 1430 telahpun menjengah. Hari ini bermulanya Awal Muharram. Setiap hari asyik dok sibuk dengan hari-hari di Tahun Masihi. Lebih-lebih lagi di Australia, negara omputih. Jika tidak dilihat pada Taqwim Solat, mungkin langsung tak diketahui apa bulan dan harinya.

Hadirnya tahun hijrah pada tahun ini sekaligus menandakan telah 1, 430 tahun RasuluLlah (selawat dan salam) berpindah/ berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah. Perpindahan yang amat menyayat hati baginda. Sedih meninggal tempat dilahir dan dibesarkan serta kaum keluarga semata-mata untuk menyebar luaskan agama Islam. Perjuangan baginda yang begitu agung dalam mendaulat dan menjunjung tinggi kalimah tauhid diteruskan pula oleh para pejuang Islam bertali arus sehinggalah sampai kepada kita.

AlhamduliLlah, sekali puji untuk Allah. Dengan keizinan dan kasih sayangNya kita menjadi seorang Muslim.

Ya Allah, perteguhkanlah keimanan dan keislaman kami. Jadikanlah kami ini hambaMu yang benar-benar mengikuti jalan yang lurus sebagaimana yang ditunjukkan oleh RasuluLlah (selawat dan salam).

Ya Allah, kurniakanlah kekuatan kepada kami untuk sentiasa memperbaiki diri kami. Berhijrah kepada kebaikan yang lebih baik dari hari-hari sebelumnya. Tiada apa yang diharapkan selain dari redhaMu, Ya Allah. Perkenankanlah (Ameen).

Terasa sedih dan pilu hati mengenangkan, kedatangan hijrah tahun ini dibasahi darah warga Palestin di Gaza akibat kebiadapan zionis Israel. Lebih 300 orang meninggal dan lebih 500 orang cedera. Betapa kejamnya mereka.

Ya Allah, perteguhkanlah hati umat Islam dan kurniakanlah kejayaan kepada Islam sebagaimana yang telah Engkau janjikan.

HambaMu ini teramat lemah, hanya kekuatan dan kekuasaanMu yang didambakan. Tolonglah Ya Allah.

Wednesday, December 24, 2008

Ke Cherry Haven & Grants

Cherry Haven dan Grants adalah dua tempat tumpuan pelancong di Victoria. Cherry Haven di Queens Rd, Wandin East hanya dikunjungi pada akhir tahun ketika musim panas untuk memetik ceri. Manakala Grants pula dikunjungi sepanjang tahun. Tempat berkelah dan berehat sambil melihat kawanan burung jinak turun memagut makanan.

Ibu dan anak-anak berehat di bawah pokok ceri
Hari Ahad (21/12/2008) baru-baru ini, bersama-sama rakan-rakan Malaysia yang baru di Victoria, kami berkunjung ke sana. Azidah, Susheel, Dr. Maimunah, Dr. Ruziaton dan keluarga Dr. Siti Aminah (baru tiba beberapa hari lalu, kini menetap sementara di rumah kami). Kami bertolak kira-kira jam 12:00 tengahari dan tiba di Cherry Haven sejam selepasnya. Tahun lepas kami pernah ke sana. Tempat letak kereta di cerun bukit berhadapan ladang ceri dipenuhi kereta. Ramai betul pengunjungnya, kebanyakannya kaum Cina. Cuacanya pula agak baik dengan mentari menyinar terang.

Bayaran masuknya AUD 3.00 untuk dewasa. Kanak-kanak bawah umur 12 tahun percuma. Harga sekilo ceri yang dipetik dan dibawa pulang pula agak mahal, AUD 12.00. Kalau tak silap tahun lepas harganya hanya AUD 9.00/ sekilo sahaja. Mungkin disebabkan tahun ini buah cerinya kurang elok, pecah-pecah disebabkan hujan yang berlarutan beberapa minggu lalu.

Pemetik ceri kepenatan dengan hasil tuaian
Masuk sahaja ke ladang, masing-masing teruja dengan buah ceri yang banyak bergayutan di dahan. Bakul yang dibawa kurang berisi tetapi tangan tidak putus-putus memetik. Buahnya masuk ke mulut. Ada yang manis, masam dan tidak kurang yang tawar rasanya. Bergantung pada diri, mana satu yang ingin dimakan dan dibawa pulang. Walaupun buahnya banyak tetapi banyak yang pecah terutama yang telah masak ranum. Namun rasanya kekal manis dan sedap.

Pengalaman memetik ceri tidak seharusnya dilepaskan. Di sana-sini berklip klap foto diabadikan sebagai kenang-kenangan. Tak banyak foto yang dapat kami ambil kerana memori kadnya dah penuh, lupa nak pindah turun foto dan video sebelumnya. Tak mengapalah, foto tahun lepas masih ada dalam simpanan.

Berkelah di bawah pokok di Grants
Sekitar jam 03:00 petang kami beredar keluar menuju ke Grants yang terletak di pertengahan jalan pulang di Sherbrook. Pengunjungnya juga ramai memenuhi setiap ruang sambil makan-makan atau menunggu kawanan burung turun. Dikatakan sekitar jam 04:00 petang biasanya banyak burung menjengah. Kami pula hanya singgah untuk makan tengahari dari bekal yang dibawa. Tidak sempat untuk turut sama melihat secara dekat burung-burung berkenaan, hanya dari kejauhan sahaja.

Ketika makan, kami ditegur oleh seorang wanita sambil memberikan salam. Rupa-rupanya beliau pernah berkunjung ke Malaysia kerana suaminya pernah bekerja sebagai diplomat di sana. Kini menetap di Melbourne. Selepas makan, ramah mesra disambung semula sambil bertukar-tukar cerita dan alamat. Insya Allah ketemu lagi di lain ketika.

Kami beredar pulang tidak lama selepasnya.

Tuesday, December 23, 2008

DNPS Extravaganza Concert

Persembahan Solehah
Pada petang Jumaat (12/12/2208), seminggu sebelum cuti persekolahan, telah diwar-warkan akan dilangsungkan Twilight Concert di Dandenong North Primary School (DNPS). Namun terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir kerana hujan yang melanda beberapa hari sebelumnya masih lagi berterusan. Ianya ditunda ke tengahari Rabu (17/12/2008) dengan nama baru, Extravaganza Concert.

Cuaca pada tersebut juga kurang meyakinkan. Paginya sesekali hujan turun berserta awan mendung berarak perlahan. Menjelang tengahari, ianya semakin cerah dan panas menyelubunginya ketika konsert dilangsungkan. Berbaloi usaha para pelajar dan guru yang berhempas pulas membuat persediaan sejak sekian lama.

Persembahan Hanisah
Sambutan ibu bapa dan ahli keluarga termasuk datuk-nenek begitu memberangsangkan. Laman bertar di tengah-tengah sekolah dipenuhi penonton. Terdapat juga gerai jualan cenderahati. Sosej halal juga ada dijual di hadapan kantin yang turut dibuka dengan jualan utamanya, ais krim dan minuman ringan.

Konsert bermula kira-kira jam 01:45 petang, dimulai dengan persembahan drum oleh para pelajar senior. Berikutnya persembahan para pelajar mengikut grade. Setiap kumpulan dengan 2 lagu pilihan samada dari filem kanak-kanak mahupun nyanyian penyanyi popular. Kumpulan pelajar Preps dengan pakaian pari-pari sambil mengayakan tarian. Diikuti kumpulan Grade 1 and 2, kumpulan Grade 3, Grade 4, Grade 5 dan diakhiri dengan para pelajar Grade 6.

Persembahan Izzuddin
Menariknya, semua pelajar terlibat dalam persembahan. Elemen yang penting dalam memupuk keyakinan diri walaupun rasa diri tidak berkemampuan. Semuanya dilakukan dalam keadaan enjoy.

Solehah mewakili Grade 1 and 2 berada di bahagian hadapan kumpulannya. Hanisah mewakili Grade 5 sedikit terlindung ketika lagu pertama tetapi berada di barisan hadapan di pentas ketika lagu kedua. Izzuddin pula berada di barisan kedua tetapi di hujung sekali, jelas dapat dilihat persembahannya.

Mereka kelihatan begitu seronok dan enjoy. Setiap langkah persembahan dilakukan sepenuh hati dan bersemangat sekali. Tertib dan teratur mengikut rentak lagu dan irama.
Foto konsert boleh diakses di Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Sokongan moral sebahagian keluarga
Di samping mereka bertiga, rakan-rakan mereka sesama sekolah juga tidak kurang enjoy dengan persembahan kumpulan masing-masing. Akmal Lajiman, Ashraf Lajiman, Ameera Huzaizi, Adleena Huzaizi, Izzati Wafir, Imran Wafir, Najwan Nordin dan Tarmizi Mohd Nor. Kehadiran ibu bapa dan ahli keluarga memberikan sokongan moral benar-benar menyuntik semangat mereka memberikan persembahan yang bertenaga.

Menjelang 3:15 petang, konsert berakhir dengan ucapan Pengetua DNPS, Mr Kevin Mackay selepas acara cabutan bertuah.

Monday, December 22, 2008

Izzuddin - Graduation Luncheon

Tahun ini adalah tahun terakhir Iddin bersekolah di sekolah rendah. Tahun hadapan akan melangkah naik ke Grade 7 di Dandenong High School, bersebelahan sekolah rendah sekarang, Dandenong North Primary School (DNPS).

Berbaris menunggu giliran menerima sijil dan cenderahati
Untuk meraikan para pelajar Grade 6, pihak sekolah (DNPS) telah menganjurkan Graduation Luncheon pada hari Selasa (16/12/2008), beberapa hari sebelum cuti persekolahan akhir tahun. Sekaligus menjadi majlis perpisahan untuk mereka. Majlis sambutan telah dilangsungkan di dewan sekolah, Ella Athorn Hall bermula jam 11:40 pagi. Turut disertai oleh guru-guru yang mengajar mereka sejak 7 tahun lalu.

Majlis dimulai dengan hidangan makan tengahari, diikuti dengan syarahan oleh Mr. Russell Davies, Pengetua Lyndale Secondary College. Majlis penyerahan sijil dan cenderahati diadakan selepasnya. Seorang demi seorang melangkah ke hadapan dewan, bersalaman dengan Timbalan Presiden Lembaga Sekolah, Mrs Barbara Carlssom sebelum menerima ciuman dari Penolong Pengetua. Mrs Mackay. Setiap pelajar diringi dengan persembahan slide, wajah mereka dalam 2 situasi berbeza, ketika Preps (usia 5-6 tahun) dan wajah sekarang (Grade 6, 11-12 tahun).

Bersama ibu selepas majlis
Hampir setiap pelajar berpakaian cukup elegant dengan pelbagai fesyen seakan melambangkan kedewasaan mereka. Perempuannya ramai berbaju tanpa lengan dan bermidi. Lelaki pula samada berkot lengkap, tuxedo atau kemas penampilannya. Agaknya inilah masanya untuk melaram sakan bersama rakan-rakan setelah setiap hari berpakaian sekolah biru putih.

Ruang di dalam dewan agak sempit (nota: Juga berfungsi sebagai gimnasium). Kerusi meja ala set makan malam yang disediakan hanya untuk para pelajar dan guru-guru sahaja. Ibu bapa terpaksa berdiri di kiri kanan atau di belakang dewan. Suasana dewan agak gelap kerana adanya persembahan slide. Gambar yang diambil menjadi agak kabur. Sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana inilah antara peristiwa menarik yang sewajarnya diabadikan. Sempat juga Iddin bergambar kenang-kenangan bersama Pengetua DNPS, Mr Kevin Mackay dan isteri serta guru kelasnya, Miss Bevacqua.

Bersama Mr/s Mackay dan Ms Bevacqua
Selepas majlis, ibu bapa beredar pulang. Akan tetapi para pelajar masih ada agenda seterusnya. Ketika datang jam 03:20 petang untuk mengambil anak-anak, sempat dijenguk sekejap apa yang sedang dilakukan oleh mereka. Rupa-rupanya sedang berdisko. Dengan muzik rancak, lampu kelam dan panas membahang, sesetengahnya terkinja-kinja menari. Suasana yang riuh rendah umpama kelab malam. Pihak sekolah pun tidak melarang. Bersosial tanpa sekatan malah adakalanya mendapat galakan dari ibu bapa sendiri.

Begitulah budaya mereka. Sesuatu yang amat menakutkan dengan pelbagai jenayah dan salah laku yang amat kronik sering disiarkan di media massa. Gejala penagihan dadah dan arak serta judi begitu membimbangkan sehingga pelbagai kempen pencegahan dilakukan. Namun kesannya hampir tiada. Betullah apa yang ditekankan dalam Islam dengan pengharaman arak, dadah serta perjudian. Betapa pentingnya ditanam akan nilai-nilai Islam dalam jiwa anak-anak. Insya Allah ianya akan menjadi perisai dalam menilai buruk baik sebelum melakukannya.

Apa pun Tahniah untuk Iddin dan rakan-rakan di Grade 6.

Sunday, December 21, 2008

Imran - Year End Party

Awal minggu, Isnin (15/12/2008), adalah hari terakhir persekolahan Imran di Dandenong North-East Kindergarten (DNEK). Ada parti di sekolahnya.
Imran berpakaian pengembala kambing
Majlis bermula jam 10:00 pagi. Setiap penjaga diminta membawa juadah masing-masing. Sambutan para ibu bapa amat menggalakkan. Tidak cukup kerusi yang disediakan.

Anak-anak asuhan kindergarten dipakaikan dengan pakaian beragam. Set persembahan telahpun disiapkan di hadapan kelas seawal paginya. Ada bangku, bayi dalam ayunan, patung biri-biri, kaldai dan ayam jantan di kiri kanan serta unggun api. Hati tertanya-tanya, apa tema dan kisah yang akan dipaparkan.

Sampai ketikanya, berbaris anak-anak berarak keluar dari bilik persalinan. Anak-anak lelaki berpakaian bagaikan Pak Arab, berkelubung kepala. Anak-anak perempuan pula berpakaian pari-pari dengan sayap di belakangnya. Semuanya duduk di posisi yang telah ditetapkan. Imran dengan beberapa orang rakannya duduk mengelilingi unggun api.

Bermulalah sketsa ceritanya. Rupa-rupanya kisah kelahiran Nabi Isa, sempena perayaan Krismas tidak berapa lama lagi. Penceritaannya disampaikan oleh Mrs Powney, pengetua Kindergarten sendiri, diiringi pergerakan ceritanya oleh anak-anak. Watak Imran adalah sebagai pengembala biri-biri, sedang berehat di hadapan unggun api.

Walaupun kisahnya berpaksikan agama Kristian tetapi tiada kesan negatif pada anak-anak Muslim. Sekadar permainan bagi mereka. Malah ada yang terpingga-pingga termasuk Imran.

Imran menerima cenderahati dari Mrs Beck
Di akhir persembahan, anak-anak menerima cenderahati berserta skrol sijil menandakan tamatnya pembelajaran mereka di DNEK. Tahun hadapan semuanya akan memasuki sekolah rendah di peringkat Preps kecuali Imran masih kekal di DNEK. Usia dan kematangannya belum layak untuk ke peringkat sekolah rendah. Imran paling muda dalam kelasnya. Mengikut tahun, Imran baru berusia 4 tahun sedangkan rakan sekelasnya telah pun 5 tahun. Namun banyak pelajaran yang diperolehi selama setahun di DNEK. Insya Allah, tahun hadapan kematangannya akan lebih terserlah selari dengan peningkatan usianya. Malah mungkin lebih matang dari usia sebenarnya. Moga-moga. Ameen.

Di meja makan. Imran, Sitra dan Aisya
Sementara menunggu hidangan disediakan, anak-anak mempunyai aktiviti luaran di laman hadapan, pusing hadiah berbungkus dan pukul bola bertutup mata. Setiap anak-anak berpeluang mendapat giliran dan ganjarannya. Ianya kecil tapi signifikan dalam memahami dan memenuhi naluri anak-anak kecil.

Di dalam kelas, tempat makan disusun memanjang. Untuk anak-anak Muslim (5 orang) diletakkan setempat. Makanan halal dihidangkan dengan diawasi oleh salah seorang ibu kepada anak-anak tersebut. AlhamduliLlah. Terima kasih atas keprihatinan pihak pengurusan, malah diwar-warkan. Sesuatu yang berguna sebagai makluman kepada bukan Muslim yang lain, terutama ibu bapa.

Jam 12:15 tengahari, majlis bersurai.

Saturday, December 20, 2008

Cuti Persekolahan Akhir Tahun

Hari ini (20/12/2008) bermulalah cuti persekolahan akhir tahun. Cuti panjang sehingga 01/02/2009, dikenali juga sebagai Cuti Musim Panas (Summer Holiday).

Semalam, waktu persekolahan di sekolah Izzuddin, Hanisah dan Solehah, Dandenong North Primary School (DNPS) tamat awal, jam 01:30 petang. Imran pula lebih awal. Hari Isnin baru-baru ini (15/12/2008) berakhir persekolahannya di Dandenong North-East Kindergarten.

Minggu terakhir persekolahan mereka agak sibuk dengan pelbagai aktiviti akhir tahun. Imran dengan Year-End Party pada hari Isnin dan Izzuddin dengan Graduation Day pada keesokan harinya. Hari Rabu, semua pelajar DNPS terlibat dengan Extravaganza Concert. Kelas Hanisah pula ada jamuan/parti dengan buddies pada hari Khamis.

Cuti persekolahan akhir tahun biasanya amat dinanti-nantikan. Yalah dapat bercuti panjang. Namun amat merisaukan jika tiada program khusus untuk anak-anak. Mereka akan cepat merasa bosan dan lebih banyak membuang masa.

Yang pasti Dandenong Library menjadi tempat wajib untuk dikunjungi sekurang-kurangnya sekali seminggu, ada program Summer Reading Club. Jika berkelapangan, sesekali bolehlah dibawa berjalan-jalan, melancung ke tempat-tempat menarik. Ketika lain, mereka bolehlah setkan masa untuk bermain kriket dan bola sepak dengan rakan kenalan mereka. Ada juga rancangan untuk membawa mereka menonton wayang (filem) yang bersesuaian di Reading Cinema. Mungkin akan ada lagi program untuk sibukkan mereka.

Diharapkan mereka dapat menggunakan masa cuti ini dengan sebaiknya.

Thursday, December 18, 2008

BBQ Dandenong-Noble Park

Rashdan dibantu oleh para pelajarnya dari Minaret College. Tak sabar Kak Siti nak merasa BBQ panas...8)
Petang Ahad baru-baru ini (14/12/2008), rakan-rakan Dandenong dan Noble Park berkumpul bersama lagi. Kali ini di rumah Rashdan-Rohani di Shelton Cresent, Noble Park North. Makan-makan sambil beramah mesra ke arah mempereratkan lagi sillaturahim. Konsepnya agak berbeza dari sebelumnya. Kami ber-BBQ di luar rumah. Sebelum ini kami menjamu selera di dalam rumah.

Kalau tak silap kali terakhir kami berkumpul seumpamanya kira-kira 2 minggu selepas Hari Raya Eid Fitr lalu. Ketika itu kami menganjurkan Sambutan Raya Dandenong di rumah Huzaizi-Zainah. Selepas itu beberapa kali cuba disetkan masa dan tarikh untuk majlis seterusnya tetapi tidak kesampaian. Ada sahaja halangan yang tidak dapat dielakkan. AlhamduliLlah akhirnya menjad kenyataan.

Santai...
Cuaca pada hari tersebut agak baik, just nice kata ompotih. Redup dengan sesekali matahari bersinar terang diselangi mendung berserta angin bertiup sejuk. Awalnya bimbang juga kerana dua hari berturut-turut sebelumnya hujan sepanjang hari. AlhamduliLlah.
Majlis secara informal bermula sekitar jam 03:00 petang. Di samping menu utama, BBQ lamb, ayam dan sosej, pelbagai juadah lain tidak kurang sedapnya, antaranya nasi minyak, nasi kuning, lamb curry, mee hoon goreng dan buah-buahan.

Anak-anak pun tumpang seronok
Sambutan kaum kerabat Dandenong-Noble Park amat menggalakkan. Turut sama memeriahkannya adalah rakan-rakan yang akan pulang ke tanah air dalam bulan Disember ini. Keluarga Khaizuran-Julia berangkat pulang pada petang 16/12/2008. Mereka adalah sebahagian daripada kami, tinggal di Buckley Rd, Noble Park. Turut dijemput, keluarga Radin-Bahiah serta keluarga Nizam-Rubijasmin dari Clayton yang dijadualkan bertolak pulang beberapa hari sebelum akhir tahun.
Koleksi foto boleh diakses di Album Foto Kami atau klik di sini.

Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang telah menjayakannya, terutama tuan rumah, Sdr Rashdan dan Rohani. Juga kepada para jemputan yang hadir. Insya Allah kita ber-BBQ lagi di lain kesempatan.

Friday, December 12, 2008

Selamat Hari Lahir Iddin

Cute.. kad ucapan untuk Iddin

10-Disember adalah hari kelahiran Muhammad Izzuddin (Iddin). Tahun ini umur Iddin meningkat setahun lagi kepada 12 tahun. Semakin menghampiri usia remaja. Selamat Hari Lahir Iddin…

Sambutannya sederhana sahaja, dirai bersama ahli keluarga lain. Kad ucapan dan hadiah seadanya sebagai tanda ingatan semua. Walaupun kecil tetapi keceriaan masih terserlah.

Setiap kali sambutan hari lahir, kebiasaannya diiringi dengan kek untuk santapan bersama. Awal-awal lagi Iddin berpesan, tak nak kek, gantikan sahaja dengan pizza. Kek cepat terasa muak dan biasanya tak habis dimakan. Satu cadangan yang amat baik demi mengelakkan pembaziran. Tambahan pula dalam keluarga kami, semua sukakan pizza.
AlhamduliLlah, benar bagai dijangka. 2 paket saiz besar Paradise Pizza dimakan penuh selera. Sedikit berbaki, namun habis juga akhirnya.
Ucapan Selamat Hari Lahir juga untuk Ayahanda Mohd Noor di Terengganu pada 28-Dis nanti. Juga pada adinda kembar (mak saudara Iddin), Ramah dan Latifah yang akan menyambutnya pada 27-Dis. Tak lupa untuk Arif Farhan (sepupu Iddin), tarikh lahirnya juga pada 27-Dis.
Untuk semua didoakan moga dirahmati Allah sentiasa dalam mengharungi kehidupan seharian. Ameen.

Tuesday, December 9, 2008

Eid Adha di Melbourne

Semalam 10 Zulhijjah, Hari Raya Korban, juga dikenali Hari Raya Haji. Tidak terlewat untuk kami sekeluarga mengucapkan Selamat Menyambut Eid Adha kepada ahli keluarga, rakan taulan dan kenalan siber sekalian. Hari di mana para jemaah haji berkumpul d Padang Arafah, terasa rindu untuk turut sama ke sana. Moga dipanjangkan usia, dikurniakan kekuatan dan dipermudahkan olehNya. Ameen.

Abg Nordin bersama tetamu dari tanah air sedang ber-BBQ
Eid Adha di Melbourne tidaklah semeriah di tanah air. Tiada cuti umum dan tiada acara penyembelihan korban (kecuali d tempat-tempat tertentu). Akan tetapi, banyak tempat mengadakan solat sunat Eid Adha, antaranya di Monash University, Mt. Waverley Hall (dianjurkan oleh Khairat Melayu Islam Victoria) dan tidak terkecuali di Masjid Emir Sultan, Dandenong.

Pilihan saya di masjid berdekatan, Masjid Emir Sultan yang didominasi masyarakat Turki, mengikut cara Mazhab Hanafi. Waktu solatnya agak awal, kira-kira jam 07:00 pagi. Takbir ringkas beramai-ramai dilafazkan selepas solat sunat, di awal imam membaca khutbah dan selepas solat sunat. Tiada pembawa takbir dan tiada takbir penutup. Takbir di dalam solat hanya 3 kali di setiap rakaat. Rakaat pertama selepas doa iftitah dan rakaat kedua sebelum rukuk. Menarik, dapat mengenali amalan dari mazhab selain As-Shafie.

Beberapa jemputan diterima. Oleh kerana kesuntukan masa, hanya 2 rumah yang sempat dikunjungi. Rumah Dr. Ruzi-Dr. Mai di Oakleigh dan rumah Abg Nordin-Kak Siti di Dandenong.

Paginya selepas menghantar anak-anak ke sekolah, saya menemani Sdr Huzaizi ke Melbourne Airport, menjemput keluarga mantan Ketua Pengarah Kementerian Belia dan Sukan yang datang bercuti ke Melbourne dan akan tinggal di rumah Huzaizi selama percutian mereka.

Makan-makan sambil berukhwah
Kami beraya ke rumah Dr. Ruzi-Dr. Mai selepas Imran tamat sesi persekolahannya pada jam 12:15 tengahari. Majlis sambutan yang ringkas tetapi bermakna bagi mereka berdua yang terpisah jauh dari suami dan anak-anak di tanah air. Masakan tradisional seperti lodeh dan nasi impit berserta kueh-mueh moden menceriakan suasana.

Petangnya selepas Asar, kami berkunjung pula ke rumah Abg Nordin-Kak Siti dengan menu utamanya BBQ ayam-lamb dan sosej. Tidak ketinggalan pelbagai juadah sampingan seperti nasi minyak, mee hoon goreng, kueh-mueh termasuklah kek yang menjadi kepakaran baru Kak Siti. Majlis yang meriah dengan kunjungan rakan-rakan di Dandenong, menjadi lebih meriah lagi dengan adanya tetamu dari Malaysia yang sedang bercuti di Melbourne, kenalan tuan rumah dan juga tetamu Huzaizi yang baru tiba paginya.

Monday, December 8, 2008

Bukit Antarabangsa > Runtuh Lagi

Maaf, entri ini agak tersasar, menyentuh hal di tanah air, khususnya di Hulu Kelang. Justeru kerana Hulu Kelanglah maka ianya ditulis, di mana keluarga dan saudara mara kami ramai menetap di sana. Ianya ditulis 2 hari lepas, hari ini baru berkesempatan diposkan. Maaf, mungkin ada info yang tidak dkemaskini.

Tengahari semalam terkejut apabila terbaca berita di Malaysiakini dan Berita Harian tentang runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang. Kejadian yang berlaku pagi Sabtu (06/12/2008) sekitar jam 04:00 pagi waktu Malaysia (07:00 pagi waktu Victoria), setakat yang diberitakan, telah mengorbankan 4 nyawa dan 23 orang cedera. 14 buah banglo di Taman Bukit Utama dan Taman Bukit Mewah ranap. Takziah pada keluarga yang terbabit.

Pandangan dari udara ( Foto PDRM)
Di Bukit Antarabangsa, terdapat 2 keluarga terdekat kami (sebelah Laili). Keluarga Cik Shuib (adik abah) tinggal tidak jauh dari tempat kejadian. Menurut emak di Hulu Kelang, sehingga semalam mereka belum dapat dihubungi. Insya Allah mereka selamat. Jalan penghubung ke kawasan rumah mereka tertimbus dan sambungan elektrik pula terputus. Keluarga Cik Ummi (adik emak) yang tinggal di kondominium di kaki bukit juga selamat. Mereka tiada di rumah, pulang ke Kuala Kangsar, rumah mertua.

Setiap kali berlaku kejadian tanah runtuh, teringat akan peristiwa pada 11 Disember, 1993. Highland Tower yang terletak berdekatan kawasan kejadian juga rebah menyembah bumi. 48 orang terkorban. Dan beberapa tahun lalu, rumah bekas Jeneral juga musnah ditimpa runtuhan tanah di Taman Hill View, di kaki Bukit Antarabangsa. Beberapa orang ahli keluarganya turut terkorban. Malah jalan penghubung utamanya menuju ke MRR2 juga telah beberapa kali ditutup akibat runtuhan tanah. Kes yang sama berlaku di Kg Pasir Tambahan bersebelahannya, 2-3 tahun lalu yang turut mengorbankan beberapa nyawa.

Kesemuanya berpunca dari struktur tanahnya yang tidak stabil apabila musim hujan melanda. Dan setiap kali itu juga pihak berkuasa seakan baru terjaga dari tidur. Pelbagai arahan dan saranan dikeluarkan. Namun beberapa bulan selepasnya, ianya kembali sejuk, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Pelbagai projek melibatkan penerokaan tanah kembali meriah. Hasil kajian pakar geologi langsung tidak diendahkan.

Highlands Tower menyembah bumi pada 11 Disember, 1993
Sememangnya Hulu Kelang menjadi pilihan utama dan begitu ekslusif sekali. Ketika Tun Mahathir menjadi PM, pernah beliau mengeluarkan arahan menghentikan projek di bukit sekitarnya tetapi panasnya hanya seketika. Lihat sahaja sekarang. Mencacak naik pelbagai projek di kawasan larangan tersebut, antaranya Ukay Perdana, Ukay Bistari, Sering Ukay dan Andaman Ukay. Kesemuanya bersebelahan Bukit Antarabangsa. Dikhuatiri peristiwa seumpamanya akan berulang lagi dan meragut sebilangan nyawa lagi.

Apakah itu pengorbanan yang perlu ditanggung atas nama kemajuan dan menampung kepesatan penduduk? Apakah tiada keupayaan untuk mengatasinya? Apakah tidak mustahil jika ianya amaran dan peringatan dari Allah SWT?

Dikatakan bukit dan gunung adalah pasak bumi. Kiranya ia dinodai dengan rakus maka pasaknya akan hilang. Tidak menghairankanlah, jika peristiwa seumpamanya berlaku silih berganti. Moga ada iktibar yang dapat diinsafi.

Saturday, December 6, 2008

Majlis Perpisahan dan Suai Kenal

Yang datang dan yang pergi (pulang) bersilih-ganti. Itulah lumrah dan suratan kehidupan. Bagi yang belajar di perantauan, sampai ketikanya (tamat pengajian) harus pulang ke tanah air. Apatah lagi di bawah tajaan institusi tertentu dan telah mempunyai pekerjaan di tanah air. Bagi yang baru datang pula, tekad dan azam sentiasa segar untuk melakukan yang terbaik.

Keluarga South Eastern yang hadir (foto ihsan Niezam - TK)
Untuk meraikan mereka, Jawatankuasa South-Eastern Group telah mengadakan majlis perpisahan dan suai-kenal pada penghujung minggu baru-baru ini (Ahad, 30/11/2008) bertempat di Bald Hill Park, Clarinda. Majlis seumpamanya adalah rutin 2 kali setahun, biasanya diadakan pada awal/ akhir tahun dan juga pada pertengahan tahun.

Menjelang jam 12:00 tengah hari, kawasan berkumpul mulai dipenuhi. Kehadiran “keluarga South-Eastern” amat menggalakkan walaupun ada yang tidak datang atas urusan yang tidak dapat dielakkan. Yang terkilannya, ada yang langsung tidak mengetahuinya termasuk yang dirai. Pelik. Mungkin tidak tersenarai dalam SE Group mailing list dan tiada yang memaklumkan kepada mereka. Nampaknya AJK dan moderator SE Group kena lakukan sesuatu agar pisang tidak berbuah dua kali.

Pelbagai juadah di bawa (pot luck) memenuhi meja sehingga ke bangkunya, antaranya nasi ayam, nasi goreng, mee, kueh teow, ikan celuk tepung, cendol dan rojak buah (malah banyak lagi…). Menu utamanya pula adalah BBQ udang dan biri-biri (lamb) – sekejap saja dah licin…

Antara yang akan pulang akhir tahun ini; Nizam-Ruby dan Radin-Bahiyah
Majlis diadakan secara informal. Sambil makan sambil berinteraksi dengan rakan taulan yang baru dan lama, bertukar khabar berita dan melepaskan rindu lama tidak bersua. Anak-anak pula pantang bertemu kawan, lupa makan dan minum. Tumpuan mereka di padang yang lapang, bermain bola dan kriket. Kelompok anak-anak kecil pula di satu sudut lain dengan permainan mereka tersendiri.

Abang Nordin-Kak Siti serta Dr. Norhayati akan pulang awal tahun hadapan
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Sdr Asmadi (mesranya Edi), penghulu tetap SE Group, juga penduduk tetap di Melbourne. Diikuti dengan menjemput rakan-rakan dan keluarga yang akan pulang menerima cenderahati (sumbangan Anang Hudaya) serta menyampaikan sepatah dua kata. Seterusnya dijemput pula rakan-rakan baru di kalangan keluarga SE memperkenalkan diri dan keluarga mereka.

Selepas sesi fotografi, kira-kira jam 04:00 petang, majlis bersurai.
Foto boleh diakses di ruangan Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Sebahagian keluarga baru South Eastern
Kepada yang akan pulang, selamat berangkat dan sekalung tahniah atas kecekalan mengharungi pahit getir pengajian. Kepada yang baru datang pula, selamat maju jaya.

Rakan-rakan rapat yang akan pulang adalah Khaizuran-Julia, Radin-Bahiyah dan Nizam-Ruby dalam bulan Disember ini. Manakala Abang Nordin-Kak Siti, Dr. Norhayati, Naza-Yati, Muslim-Balqis, Nurin dan Zarina pada awal tahun 2009 nanti.

Rakan-rakan yang baru datang pula, antaranya Cikgu Din, Dr. Ruziaton, Dr. Maimunah, Hanif Khairi, Jabar dan Irwan.