Saturday, December 6, 2008

Majlis Perpisahan dan Suai Kenal

Yang datang dan yang pergi (pulang) bersilih-ganti. Itulah lumrah dan suratan kehidupan. Bagi yang belajar di perantauan, sampai ketikanya (tamat pengajian) harus pulang ke tanah air. Apatah lagi di bawah tajaan institusi tertentu dan telah mempunyai pekerjaan di tanah air. Bagi yang baru datang pula, tekad dan azam sentiasa segar untuk melakukan yang terbaik.

Keluarga South Eastern yang hadir (foto ihsan Niezam - TK)
Untuk meraikan mereka, Jawatankuasa South-Eastern Group telah mengadakan majlis perpisahan dan suai-kenal pada penghujung minggu baru-baru ini (Ahad, 30/11/2008) bertempat di Bald Hill Park, Clarinda. Majlis seumpamanya adalah rutin 2 kali setahun, biasanya diadakan pada awal/ akhir tahun dan juga pada pertengahan tahun.

Menjelang jam 12:00 tengah hari, kawasan berkumpul mulai dipenuhi. Kehadiran “keluarga South-Eastern” amat menggalakkan walaupun ada yang tidak datang atas urusan yang tidak dapat dielakkan. Yang terkilannya, ada yang langsung tidak mengetahuinya termasuk yang dirai. Pelik. Mungkin tidak tersenarai dalam SE Group mailing list dan tiada yang memaklumkan kepada mereka. Nampaknya AJK dan moderator SE Group kena lakukan sesuatu agar pisang tidak berbuah dua kali.

Pelbagai juadah di bawa (pot luck) memenuhi meja sehingga ke bangkunya, antaranya nasi ayam, nasi goreng, mee, kueh teow, ikan celuk tepung, cendol dan rojak buah (malah banyak lagi…). Menu utamanya pula adalah BBQ udang dan biri-biri (lamb) – sekejap saja dah licin…

Antara yang akan pulang akhir tahun ini; Nizam-Ruby dan Radin-Bahiyah
Majlis diadakan secara informal. Sambil makan sambil berinteraksi dengan rakan taulan yang baru dan lama, bertukar khabar berita dan melepaskan rindu lama tidak bersua. Anak-anak pula pantang bertemu kawan, lupa makan dan minum. Tumpuan mereka di padang yang lapang, bermain bola dan kriket. Kelompok anak-anak kecil pula di satu sudut lain dengan permainan mereka tersendiri.

Abang Nordin-Kak Siti serta Dr. Norhayati akan pulang awal tahun hadapan
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Sdr Asmadi (mesranya Edi), penghulu tetap SE Group, juga penduduk tetap di Melbourne. Diikuti dengan menjemput rakan-rakan dan keluarga yang akan pulang menerima cenderahati (sumbangan Anang Hudaya) serta menyampaikan sepatah dua kata. Seterusnya dijemput pula rakan-rakan baru di kalangan keluarga SE memperkenalkan diri dan keluarga mereka.

Selepas sesi fotografi, kira-kira jam 04:00 petang, majlis bersurai.
Foto boleh diakses di ruangan Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Sebahagian keluarga baru South Eastern
Kepada yang akan pulang, selamat berangkat dan sekalung tahniah atas kecekalan mengharungi pahit getir pengajian. Kepada yang baru datang pula, selamat maju jaya.

Rakan-rakan rapat yang akan pulang adalah Khaizuran-Julia, Radin-Bahiyah dan Nizam-Ruby dalam bulan Disember ini. Manakala Abang Nordin-Kak Siti, Dr. Norhayati, Naza-Yati, Muslim-Balqis, Nurin dan Zarina pada awal tahun 2009 nanti.

Rakan-rakan yang baru datang pula, antaranya Cikgu Din, Dr. Ruziaton, Dr. Maimunah, Hanif Khairi, Jabar dan Irwan.

No comments: