Wednesday, December 24, 2008

Ke Cherry Haven & Grants

Cherry Haven dan Grants adalah dua tempat tumpuan pelancong di Victoria. Cherry Haven di Queens Rd, Wandin East hanya dikunjungi pada akhir tahun ketika musim panas untuk memetik ceri. Manakala Grants pula dikunjungi sepanjang tahun. Tempat berkelah dan berehat sambil melihat kawanan burung jinak turun memagut makanan.

Ibu dan anak-anak berehat di bawah pokok ceri
Hari Ahad (21/12/2008) baru-baru ini, bersama-sama rakan-rakan Malaysia yang baru di Victoria, kami berkunjung ke sana. Azidah, Susheel, Dr. Maimunah, Dr. Ruziaton dan keluarga Dr. Siti Aminah (baru tiba beberapa hari lalu, kini menetap sementara di rumah kami). Kami bertolak kira-kira jam 12:00 tengahari dan tiba di Cherry Haven sejam selepasnya. Tahun lepas kami pernah ke sana. Tempat letak kereta di cerun bukit berhadapan ladang ceri dipenuhi kereta. Ramai betul pengunjungnya, kebanyakannya kaum Cina. Cuacanya pula agak baik dengan mentari menyinar terang.

Bayaran masuknya AUD 3.00 untuk dewasa. Kanak-kanak bawah umur 12 tahun percuma. Harga sekilo ceri yang dipetik dan dibawa pulang pula agak mahal, AUD 12.00. Kalau tak silap tahun lepas harganya hanya AUD 9.00/ sekilo sahaja. Mungkin disebabkan tahun ini buah cerinya kurang elok, pecah-pecah disebabkan hujan yang berlarutan beberapa minggu lalu.

Pemetik ceri kepenatan dengan hasil tuaian
Masuk sahaja ke ladang, masing-masing teruja dengan buah ceri yang banyak bergayutan di dahan. Bakul yang dibawa kurang berisi tetapi tangan tidak putus-putus memetik. Buahnya masuk ke mulut. Ada yang manis, masam dan tidak kurang yang tawar rasanya. Bergantung pada diri, mana satu yang ingin dimakan dan dibawa pulang. Walaupun buahnya banyak tetapi banyak yang pecah terutama yang telah masak ranum. Namun rasanya kekal manis dan sedap.

Pengalaman memetik ceri tidak seharusnya dilepaskan. Di sana-sini berklip klap foto diabadikan sebagai kenang-kenangan. Tak banyak foto yang dapat kami ambil kerana memori kadnya dah penuh, lupa nak pindah turun foto dan video sebelumnya. Tak mengapalah, foto tahun lepas masih ada dalam simpanan.

Berkelah di bawah pokok di Grants
Sekitar jam 03:00 petang kami beredar keluar menuju ke Grants yang terletak di pertengahan jalan pulang di Sherbrook. Pengunjungnya juga ramai memenuhi setiap ruang sambil makan-makan atau menunggu kawanan burung turun. Dikatakan sekitar jam 04:00 petang biasanya banyak burung menjengah. Kami pula hanya singgah untuk makan tengahari dari bekal yang dibawa. Tidak sempat untuk turut sama melihat secara dekat burung-burung berkenaan, hanya dari kejauhan sahaja.

Ketika makan, kami ditegur oleh seorang wanita sambil memberikan salam. Rupa-rupanya beliau pernah berkunjung ke Malaysia kerana suaminya pernah bekerja sebagai diplomat di sana. Kini menetap di Melbourne. Selepas makan, ramah mesra disambung semula sambil bertukar-tukar cerita dan alamat. Insya Allah ketemu lagi di lain ketika.

Kami beredar pulang tidak lama selepasnya.

No comments: