Tuesday, December 9, 2008

Eid Adha di Melbourne

Semalam 10 Zulhijjah, Hari Raya Korban, juga dikenali Hari Raya Haji. Tidak terlewat untuk kami sekeluarga mengucapkan Selamat Menyambut Eid Adha kepada ahli keluarga, rakan taulan dan kenalan siber sekalian. Hari di mana para jemaah haji berkumpul d Padang Arafah, terasa rindu untuk turut sama ke sana. Moga dipanjangkan usia, dikurniakan kekuatan dan dipermudahkan olehNya. Ameen.

Abg Nordin bersama tetamu dari tanah air sedang ber-BBQ
Eid Adha di Melbourne tidaklah semeriah di tanah air. Tiada cuti umum dan tiada acara penyembelihan korban (kecuali d tempat-tempat tertentu). Akan tetapi, banyak tempat mengadakan solat sunat Eid Adha, antaranya di Monash University, Mt. Waverley Hall (dianjurkan oleh Khairat Melayu Islam Victoria) dan tidak terkecuali di Masjid Emir Sultan, Dandenong.

Pilihan saya di masjid berdekatan, Masjid Emir Sultan yang didominasi masyarakat Turki, mengikut cara Mazhab Hanafi. Waktu solatnya agak awal, kira-kira jam 07:00 pagi. Takbir ringkas beramai-ramai dilafazkan selepas solat sunat, di awal imam membaca khutbah dan selepas solat sunat. Tiada pembawa takbir dan tiada takbir penutup. Takbir di dalam solat hanya 3 kali di setiap rakaat. Rakaat pertama selepas doa iftitah dan rakaat kedua sebelum rukuk. Menarik, dapat mengenali amalan dari mazhab selain As-Shafie.

Beberapa jemputan diterima. Oleh kerana kesuntukan masa, hanya 2 rumah yang sempat dikunjungi. Rumah Dr. Ruzi-Dr. Mai di Oakleigh dan rumah Abg Nordin-Kak Siti di Dandenong.

Paginya selepas menghantar anak-anak ke sekolah, saya menemani Sdr Huzaizi ke Melbourne Airport, menjemput keluarga mantan Ketua Pengarah Kementerian Belia dan Sukan yang datang bercuti ke Melbourne dan akan tinggal di rumah Huzaizi selama percutian mereka.

Makan-makan sambil berukhwah
Kami beraya ke rumah Dr. Ruzi-Dr. Mai selepas Imran tamat sesi persekolahannya pada jam 12:15 tengahari. Majlis sambutan yang ringkas tetapi bermakna bagi mereka berdua yang terpisah jauh dari suami dan anak-anak di tanah air. Masakan tradisional seperti lodeh dan nasi impit berserta kueh-mueh moden menceriakan suasana.

Petangnya selepas Asar, kami berkunjung pula ke rumah Abg Nordin-Kak Siti dengan menu utamanya BBQ ayam-lamb dan sosej. Tidak ketinggalan pelbagai juadah sampingan seperti nasi minyak, mee hoon goreng, kueh-mueh termasuklah kek yang menjadi kepakaran baru Kak Siti. Majlis yang meriah dengan kunjungan rakan-rakan di Dandenong, menjadi lebih meriah lagi dengan adanya tetamu dari Malaysia yang sedang bercuti di Melbourne, kenalan tuan rumah dan juga tetamu Huzaizi yang baru tiba paginya.

No comments: