Monday, December 8, 2008

Bukit Antarabangsa > Runtuh Lagi

Maaf, entri ini agak tersasar, menyentuh hal di tanah air, khususnya di Hulu Kelang. Justeru kerana Hulu Kelanglah maka ianya ditulis, di mana keluarga dan saudara mara kami ramai menetap di sana. Ianya ditulis 2 hari lepas, hari ini baru berkesempatan diposkan. Maaf, mungkin ada info yang tidak dkemaskini.

Tengahari semalam terkejut apabila terbaca berita di Malaysiakini dan Berita Harian tentang runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang. Kejadian yang berlaku pagi Sabtu (06/12/2008) sekitar jam 04:00 pagi waktu Malaysia (07:00 pagi waktu Victoria), setakat yang diberitakan, telah mengorbankan 4 nyawa dan 23 orang cedera. 14 buah banglo di Taman Bukit Utama dan Taman Bukit Mewah ranap. Takziah pada keluarga yang terbabit.

Pandangan dari udara ( Foto PDRM)
Di Bukit Antarabangsa, terdapat 2 keluarga terdekat kami (sebelah Laili). Keluarga Cik Shuib (adik abah) tinggal tidak jauh dari tempat kejadian. Menurut emak di Hulu Kelang, sehingga semalam mereka belum dapat dihubungi. Insya Allah mereka selamat. Jalan penghubung ke kawasan rumah mereka tertimbus dan sambungan elektrik pula terputus. Keluarga Cik Ummi (adik emak) yang tinggal di kondominium di kaki bukit juga selamat. Mereka tiada di rumah, pulang ke Kuala Kangsar, rumah mertua.

Setiap kali berlaku kejadian tanah runtuh, teringat akan peristiwa pada 11 Disember, 1993. Highland Tower yang terletak berdekatan kawasan kejadian juga rebah menyembah bumi. 48 orang terkorban. Dan beberapa tahun lalu, rumah bekas Jeneral juga musnah ditimpa runtuhan tanah di Taman Hill View, di kaki Bukit Antarabangsa. Beberapa orang ahli keluarganya turut terkorban. Malah jalan penghubung utamanya menuju ke MRR2 juga telah beberapa kali ditutup akibat runtuhan tanah. Kes yang sama berlaku di Kg Pasir Tambahan bersebelahannya, 2-3 tahun lalu yang turut mengorbankan beberapa nyawa.

Kesemuanya berpunca dari struktur tanahnya yang tidak stabil apabila musim hujan melanda. Dan setiap kali itu juga pihak berkuasa seakan baru terjaga dari tidur. Pelbagai arahan dan saranan dikeluarkan. Namun beberapa bulan selepasnya, ianya kembali sejuk, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Pelbagai projek melibatkan penerokaan tanah kembali meriah. Hasil kajian pakar geologi langsung tidak diendahkan.

Highlands Tower menyembah bumi pada 11 Disember, 1993
Sememangnya Hulu Kelang menjadi pilihan utama dan begitu ekslusif sekali. Ketika Tun Mahathir menjadi PM, pernah beliau mengeluarkan arahan menghentikan projek di bukit sekitarnya tetapi panasnya hanya seketika. Lihat sahaja sekarang. Mencacak naik pelbagai projek di kawasan larangan tersebut, antaranya Ukay Perdana, Ukay Bistari, Sering Ukay dan Andaman Ukay. Kesemuanya bersebelahan Bukit Antarabangsa. Dikhuatiri peristiwa seumpamanya akan berulang lagi dan meragut sebilangan nyawa lagi.

Apakah itu pengorbanan yang perlu ditanggung atas nama kemajuan dan menampung kepesatan penduduk? Apakah tiada keupayaan untuk mengatasinya? Apakah tidak mustahil jika ianya amaran dan peringatan dari Allah SWT?

Dikatakan bukit dan gunung adalah pasak bumi. Kiranya ia dinodai dengan rakus maka pasaknya akan hilang. Tidak menghairankanlah, jika peristiwa seumpamanya berlaku silih berganti. Moga ada iktibar yang dapat diinsafi.

1 comment:

Sarah said...

terima kasih kerana masih perihatin terhadap apa yg berlaku di sini..