Monday, December 22, 2008

Izzuddin - Graduation Luncheon

Tahun ini adalah tahun terakhir Iddin bersekolah di sekolah rendah. Tahun hadapan akan melangkah naik ke Grade 7 di Dandenong High School, bersebelahan sekolah rendah sekarang, Dandenong North Primary School (DNPS).

Berbaris menunggu giliran menerima sijil dan cenderahati
Untuk meraikan para pelajar Grade 6, pihak sekolah (DNPS) telah menganjurkan Graduation Luncheon pada hari Selasa (16/12/2008), beberapa hari sebelum cuti persekolahan akhir tahun. Sekaligus menjadi majlis perpisahan untuk mereka. Majlis sambutan telah dilangsungkan di dewan sekolah, Ella Athorn Hall bermula jam 11:40 pagi. Turut disertai oleh guru-guru yang mengajar mereka sejak 7 tahun lalu.

Majlis dimulai dengan hidangan makan tengahari, diikuti dengan syarahan oleh Mr. Russell Davies, Pengetua Lyndale Secondary College. Majlis penyerahan sijil dan cenderahati diadakan selepasnya. Seorang demi seorang melangkah ke hadapan dewan, bersalaman dengan Timbalan Presiden Lembaga Sekolah, Mrs Barbara Carlssom sebelum menerima ciuman dari Penolong Pengetua. Mrs Mackay. Setiap pelajar diringi dengan persembahan slide, wajah mereka dalam 2 situasi berbeza, ketika Preps (usia 5-6 tahun) dan wajah sekarang (Grade 6, 11-12 tahun).

Bersama ibu selepas majlis
Hampir setiap pelajar berpakaian cukup elegant dengan pelbagai fesyen seakan melambangkan kedewasaan mereka. Perempuannya ramai berbaju tanpa lengan dan bermidi. Lelaki pula samada berkot lengkap, tuxedo atau kemas penampilannya. Agaknya inilah masanya untuk melaram sakan bersama rakan-rakan setelah setiap hari berpakaian sekolah biru putih.

Ruang di dalam dewan agak sempit (nota: Juga berfungsi sebagai gimnasium). Kerusi meja ala set makan malam yang disediakan hanya untuk para pelajar dan guru-guru sahaja. Ibu bapa terpaksa berdiri di kiri kanan atau di belakang dewan. Suasana dewan agak gelap kerana adanya persembahan slide. Gambar yang diambil menjadi agak kabur. Sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana inilah antara peristiwa menarik yang sewajarnya diabadikan. Sempat juga Iddin bergambar kenang-kenangan bersama Pengetua DNPS, Mr Kevin Mackay dan isteri serta guru kelasnya, Miss Bevacqua.

Bersama Mr/s Mackay dan Ms Bevacqua
Selepas majlis, ibu bapa beredar pulang. Akan tetapi para pelajar masih ada agenda seterusnya. Ketika datang jam 03:20 petang untuk mengambil anak-anak, sempat dijenguk sekejap apa yang sedang dilakukan oleh mereka. Rupa-rupanya sedang berdisko. Dengan muzik rancak, lampu kelam dan panas membahang, sesetengahnya terkinja-kinja menari. Suasana yang riuh rendah umpama kelab malam. Pihak sekolah pun tidak melarang. Bersosial tanpa sekatan malah adakalanya mendapat galakan dari ibu bapa sendiri.

Begitulah budaya mereka. Sesuatu yang amat menakutkan dengan pelbagai jenayah dan salah laku yang amat kronik sering disiarkan di media massa. Gejala penagihan dadah dan arak serta judi begitu membimbangkan sehingga pelbagai kempen pencegahan dilakukan. Namun kesannya hampir tiada. Betullah apa yang ditekankan dalam Islam dengan pengharaman arak, dadah serta perjudian. Betapa pentingnya ditanam akan nilai-nilai Islam dalam jiwa anak-anak. Insya Allah ianya akan menjadi perisai dalam menilai buruk baik sebelum melakukannya.

Apa pun Tahniah untuk Iddin dan rakan-rakan di Grade 6.

No comments: