Sunday, November 30, 2008

Krisis Air di Melbourne

Air adalah satu keperluan. Setiap yang hidup memerlukan air. Tanpa air; manusia, haiwan dan tumbuhan akan merana dan boleh mengakibatkan kematian.

Krisis air di Victoria, khususnya di Melbourne dan persekitarannya semakin meruncing. Hujan yang turun tidak menentu, mengakibatkan jumlah simpanan airnya di Thompson River Dam merosot kepada 33.6 % tahun ini berbanding 40.3% pada tahun lepas.
Ini memaksa kerajaan negeri mengeluarkan amaran, sekiranya tiada perubahan, Stage 4 Water Restrictions mungkin dilaksanakan menggantikan Stage 3a Water Restrictions yang diguna pakai sekarang. Dengan Stage 3a, pengguna masih dibenarkan mengairi taman/laman selama 2 jam 2 kali seminggu. Manakala Stage 4 pula, penggunaan air di luar rumah dilarang sama sekali.

Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak $5.4 juta untuk kempen penjimatan air. Pengguna diminta mengurangkan penggunaan air harian dari 165 liter (mencecah 180 liter ketika musim panas) kepada 155 liter. Pelbagai tip penjimatan disebarkan untuk panduan, antaranya pengurangan mandi dari purata 7 minit kepada 4 minit dan pengunaan semula air terpakai (grey water) untuk taman/laman.

Begitulah keadaannya apabila air semakin dihargai. Caj penggunaannya agak mahal. Tidak secara langsung banyak mengajar kami akan erti penjimatan. Air basuhan ditakung untuk menyiram sayuran yang ditanam. Mandian juga secara berhemat. Lain-lain hal juga diusahakan setakat upaya yang ada.

Teringat akan air di Malaysia. Pembazirannya begitu ketara. Sepatutnya kita mensyukuri dikurniakan air yang melimpah ruah. Apatah lagi pembaziran itu amalan syaitan. Insya Allah langkah-langkah penjimatan di sini boleh diamal dan dijadikan habit ketika pulang ke tanah air nanti. Moga-moga diberikan kekuatan dan dipermudahkan. Ameen.

Friday, November 28, 2008

Harga Petrol Turun

Harga petrol terus menjunam. Perkembangan yang amat menggembirakan. Purata harga di Melbourne pada hari Rabu adalah AUD 1.09 seliter. Penganalisa menjangkakan akan terus turun kepada purata harga AUD 1.05 seliter pada minggu hadapan, seiring dengan harga pasaran dunia yang terus jatuh di bawah paras USD 50.00 setong. Bermakna akan ada stesyen minyak akan menjual dengan harga di bawah AUD 1.00 seliter. Sesuatu yang telah lama tidak ditemui kecuali ketika di Adelaide dahulu.

Sebagai makluman, seperti yang disentuh di dalam entri terdahulu (klik sini), harga petrol (serta diesel dan NGV) di Australia berubah setiap hari mengikut harga pasaran minyak dunia. Malah harga di setiap stesyen minyak juga tidak sama antara satu sama lain. Setiap minggu pula, kebiasaannya harga pada petang Selasa sehingga tengahari Rabu adalah paling murah.

Penurunan harga petrol benar-benar melegakan pengguna. Kos pengisian tangki minyak juga semakin menjimatkan. Umpamanya, kos pengisian tangki berkapasiti 60 liter kini AUD 63.00 pada harga AUD 1.05 seliter berbanding AUD 97.00 pada harga AUD 1.62 seliter empat bulan lalu. Jimat AUD 34.00. Satu jumlah yang agak besar.

Menurut penganalisa dari RACV, harga rendah ini akan terus kekal sehingga akhir tahun ini, sekaligus mengiringi ketibaan Krismas dan Tahun Baru 2009. Moga-moga. Kalau boleh biarlah terus-terusan begitu. Tambahan pula sekolah akan bercuti panjang sepanjang musim panas ini. Panjanglah sedikit langkah untuk menerokai tempat-tempat pelancongan. Mungkin juga boleh terus ke Adelaide.

Thursday, November 27, 2008

Renang

Renang, satu aktiviti riadah air yang menyeronokkan terutama untuk kanak-kanak. Di Dandenong, terdapat sekurang-kurangnya 2 kolam renang awam yang berdekatan lokasinya, Oasis, di seberang jalan hadapan rumah kami dan North Lodge, kira-kira 500 meter dari rumah. Fasilitinya banyak dan dapat diakses dengan mudah. Bayaran masuknya juga murah.

Laporan berita buletin sekolah. Foto Hanisah dan Solehah di penjuru kanan bawah
Latihan renang juga disediakan bagi yang berminat. Malah sekolah-sekolah di sekitarnya juga turut sama menjadikannya aktiviti tahunan menjelang musim panas. Tidak terkecuali Dandenong North Primary School, sekolah Izzuddin, Hanisah dan Solehah.

Mereka bertiga sebenarnya telah biasa didedahkan dengan kolam renang ketika di Malaysia. Setiap kali bercuti atau mengikut program di hotel-hotel, kolam renang sudah pasti menjadi tumpuan. Mereka banyak belajar berenang daripadanya. Mereka juga sempat mengikuti latihan renang bersistematik di Consist, Ulu Klang sebelum datang ke Australia.

Pada tahun lepas, Hanisah dan Solehah menyertainya. Pada tahun ini, mereka berdua masih mengikutinya. Izzuddin pun turut sama. Terdapat 10 sesi latihan dengan bayaran AUD 60.00 seorang (AUD 6.00 / sesi). Latihan diadakan secara intensif, 10 hari berturut-turut secara bergilir-gilir mengikut kumpulan yang ditetapkan. Tempat latihannya di North Lodge Swimming Pool. Mereka berjalan kaki dari sekolah, berbaris menyusuri laluan pejalan kaki. Ketika hujan, ada bas disediakan.

Sesi latihan kini telahpun berakhir. Ianya dilangsungkan dari 10/11/2008 hingga 21/11/2008 yang lalu. Pelbagai teknik renang diajar mengikut kebolehan dan kemahiran masing-masing. Dari teknik-teknik asas apungan, lonjakan sehinggalah kepada pelbagai gaya renang (stroke). Tidak terkecuali ditekankan sama aspek-aspek keselamatan ketika di kolam renang. Di akhir sesi, setiap orang dianugerahkan sijil yang menyenaraikan tahap kemahiran yang dicapai.

Hanisah dan Solehah di kolam renang (Foto ihsan Miss Pomponio, guru kelas Solehah)
Pakaian renang Hanisah dan Solehah yang menutup aurat mendapat perhatian ramai, terutama guru-guru. Ianya menjadi model terutama dalam usaha menarik penyertaan dari para pelajar Muslim lain yang menjadikan pakaian penyebab mereka tidak menyertainya. Namun untuk mendapatkannya di sini agak susah. Malah ada guru yang begitu beria-ia untuk mendapatkannya, sehinggakan bertanya, di Malaysia di mana ianya boleh dibeli. Satu perkembangan yang baik dalam mengenengahkan konsep Islam di negara non-Muslim dalam aktiviti harian. Boleh buat business nampaknya… 8)

Malah di Oasis Swimming Pool, mulai awal Oktober tahun ini telah disediakan sesi renang khusus untuk wanita sahaja. Malah lifeguard-nya juga wanita. Masanya selama 2 ½ jam di setiap pagi Ahad minggu pertama.
Juga satu perkembangan menarik. Tidak dapat dipastikan, adakah ianya atas permintaan komuniti Muslim yang ramai di Dandenong ini atau inisiatif pihak pengurusan sendiri. Mungkin juga atas usaha wanita non-Muslim sendiri yang terasa hak asasi berbikini mereka menjadi intipan mata lelaki. Apa pun, ianya satu langkah proaktif yang amat baik sekali.
Nampaknya Laili bolehlah berjinak-jinak ke kolam renang selepas ini sambil memenuhi permintaan Hanisah dan Solehah. Mungkin juga boleh dijadikan rutin riadah bersama-sama rakan-rakan wanita yang lain di Dandenong.

Tuesday, November 25, 2008

Tetamu dari Adelaide > Yaya

Syariah @ Yaya adalah kenalan ketika di Adelaide. Kini di tahun akhir pengajian peringkat PhD dan dijangka akan pulang ke tanah air pada awal tahun hadapan. Di rumah sewanya tempat kami menumpang ketika bercuti di Adelaide di pertengahan tahun dahulu. Bersama kami ketika itu adalah mak dan abah serta Hadi dan kawannya, Khalil.

Malam Jumaat baru-baru ini (20/11/2008), Yaya bersama makciknya, Asiah dan anak saudaranya dari Malaysia telah singgah bermalam di rumah kami. Sehari sebelumnya mereka ke Mt Gambier yang terkenal dengan Blue Lake dan Sinkhole. Seterusnya menikmati keindahan alam di pesisiran pantai Great Ocean Rd sebelum sampai ke Melbourne.

Hari Jumaatnya, bertemankan Laili dan Imran, seharian mereka di DFO (Direct Factory Outlet), memilih koleksi kitchenware yang diminati. Ole-ole kegilaan kaum hawa ketika ke Melbourne.

Keesokan harinya, mereka bertolak balik ke Adelaide. Dalam hujan yang agak lebat berserta angin, mereka menyinggah di Victoria Market, di tengah Melbourne City, yang terkenal dengan barangan cenderahati, menaiki keretapi dari Caufield. Takut mereka untuk berkenderaan ke sana. Bukan hanya mereka, kami pun serupa, kecuali terpaksa. Paling tak seronok jika beriringan dengan tram di tengah jalan raya yang sibuk dan bertemu hook-turn yang mengelirukan.

Moga tercapai hajat mereka berkunjung ke Melbourne. Mohon maaf dari kami atas layanan yang tidak seberapa. Sampaikan salam untuk rakan-rakan di Adelaide. Insya Allah ketemu lagi di lain ketika.

p/s. Dalam kesibukan dan ketergesaan, terlupa untuk bergambar.

Friday, November 21, 2008

Laili di The Shipwreck Galleries, WA

Western Australia (WA) dengan ibu negerinya Perth adalah salah sebuah negeri di Australia. Letaknya di sebelah barat benua Australia, benua terkecil tetapi pulau terbesar di dunia.

Pandangan hadapan Shipwreck Galleries
Di awal minggu lalu (Isnin,17/11 – Rabu, 19/11), selama 3 hari Laili telah ke Fremantle, WA kerana menghadiri konferen di sana. Konferennya bermula pada hari Selasa. Petang Isninnya, setelah check-in, sempat berkunjung ke Shipwreck Galleries, salah satu bahagian daripada WA Maritime Museum. Lokasinya terpisah daripada muzium utama, di Cliff Street. Tapi tiada masalah kerana perkhidmatan bas percuma, CAT Fremantle disediakan penghubung tempat-tempat tumpuan di tengah bandar Fremantle.

Galeri ini terletak di bangunan yang terasing dari muzium itu sendiri, di sebuah bangunan yang kelihatan usang, The Commissariat Building yang telah dibina pada tahun 1851. The Shipwreck Galleries, seperti namanya, menyingkap kembali sejarah lampau kapal-kapal yang pernah karam di perairannya. Penemuan pelbagai artifak yang berusia ratusan tahun di dasar laut mencetuskan rantaian kisah sejarah yang amat menarik untuk dihadami. Malah, ada ketikanya mempunyai kaitan dengan kelompok Melayu Nusantara.

Gambar sebahagian kecil buritan Batavia dan portico yang ditemui
Dari kebanyakan kes kapal karam, 5 daripadanya mencatat sejarahnya tersendiri; Trial (karam tahun 1622), Batavia (1629), Vergulde Draeck (1656), Zuytdorp (1712) dan Zeewijk (1727). Di antara kapal tersebut, kisah kapal Batavia (Jakarta) adalah lebih menyerlah, sehinggakan terdapat ruang galeri khas untuknya, Batavia Gallery. Berkemungkinan kerana banyak penemuan dan bukti sahih yang ditemui berkaitan dengannya. Cebisan buritan kapal, portico, meriam, sarung peluru/belerang, sauh, barangan tembikar dan rangka manusia yang dibunuh kejam di pulau terpencil adalah antara yang ditemui.

Foto keluarga Broadhurst. Pembantu Melayu berdiri di belakang
Di samping itu, terdapat juga satu kisah menarik tentang keluarga Broadhust yang membentuk komuniti “orang putih” terawal di Fremantle serta jatuh bangun kehidupan mereka. Charles Broadhust dikatakan telah membawa 100 orang penyelam mutiara dari Kepulauan Melayu ke Fremantle di awal tahun 1870an untuk membantunya. Ekoran daripada itu, bermulalah pembentukan komuniti Melayu di WA. Terdapat sekeping gambar keluarga berkenaan bersama seorang berketurunan Melayu yang tidak dapat dikesan siapakah orangnya. Tercatat di kaki gambar; Malay servant (sadly unidentified).

Tidak menghairankan. Telah sedia dimaklumi, terdapat ramai warga Melayu dari Tanah Melayu/ Malaya/ Malaysia sendiri telah diambil bekerja sebagai penyelam mutiara di Australia pada suatu ketika dahulu. Ramai daripadanya terus menetap di Australia terutama di Northern Territory (NT) dan juga Western Australia (WA). Malah pengajian dan penyelidikan Laili di Monash University kini juga ada kaitan dengan komuniti Melayu di Australia.

Teringin juga untuk berkunjung ke Fremantle, sekurang-kurangnya menyelusuri sejarah yang berkaitan etnik Melayu. Ada rezeki dan peluang, Insya Allah akan tertunai juga impian.

Tuesday, November 18, 2008

Tetamu Dari Malaysia - En. Rahimi & Dr. Hafizah

Bersama En. Rahimi (dok posing kat kamera lain)
Setiap kali hujung minggu, biasanya ada sahaja kenalan lama mahupun baru yang bertandang ke rumah. Ataupun kami berkunjung ke rumah mereka. Ianya amat menyeronokkan dalam rangka mempereratkan ikatan silaturrahim sesama insan.

Hujung minggu baru-baru ini, di samping memenuhi beberapa jemputan di sekitar Dandenong, kami menerima kunjungan tetamu dari tanah air, pasangan (Abang) Rahimi dan Dr. Hafizah. Mereka adalah bekas pelajar Monash University sejak 17 tahun lalu, juga kenalan Dr. Ruziaton yang sedang menjalani latihan kerja di sini yang kebetulan berada di rumah kami.

Dari kanan; Hafizah, Maimunah, Laili dan Ruziaton, bersama Hanisah dan Solehah (Foto sengek diambil oleh Imran)
Mereka berada di Melbourne beberapa hari sahaja, mengikuti rombongan kerajaan negeri Kelantan meninjau sistem pengurusan prasarana di sini. En. Rahimi adalah pegawai kanan Agrotek. Jadi, kedatangan mereka adalah serampang 2 mata; atas urusan kerja dan juga mengimbau kembali nostalgia lama.

Dalam keadaan tergesa-gesa untuk menjemput Kak Ruzi, sempat mereka dijamu nasi lemak. Rezeki merekalah nampaknya. Tetamu yang tidak disangka-sangka, walaupun hanya seketika tetapi banyak perkara yang dapat dikongsi bersama.

Moga perkenalan singkat ini akan terus berpanjangan dan bersua lagi kita di lain ketika. Insya Allah.

Monday, November 17, 2008

Tae Kwon Do

Bergambar bersama Master Jemal Hasan (jaket coklat) dan Master Mohamed (jaket merah) selepas grading
Telah setahun Izzuddin masuk Tae Kwon Do di sini. Pagi Ahad baru-baru ini (16/11/2008) buat kali keduanya Iddin menyertai grading, naik bengkung @ tali pinggang. AlhamduliLlah, Iddin berjaya melakukannya dengan baik. Dari Kuning 2 kepada Kuning 3. Begitu juga rakan dari Malaysia, Izzati Wafir yang naik dari Kuning 3 kepada Biru 1. Malah kedua-duanya mendapat pujian dari pemeriksa dan pengajar. Tahniah Iddin. Tahniah Izzati.

Pertubuhan Tae Kwon Do yang disertai di sini adalah Olympic Tae Kwon Do Centre (OTC) di bawah seliaan Jemal Hasan, pemegang tali pinggang hitam 7th Dan. Pengajarnya pula adalah Mohamed Mohabbei, pemegang tali pinggang 4th Dan, seorang yang amat bersemangat tinggi. Para pelatihnya majoriti beragama Islam, kebanyakannya keturunan Turki. Dahulu, latihannya 2 kali seminggu di masjid-masjid di Dandenong dan juga di Keysborough, kira-kira 20 km dari Dandenong.

Sejak bulan lepas, latihannya ditingkatkan kepada 3 kali seminggu dengan mengekalkan latihan setiap pagi Ahad di Masjid Emir Sultan, Dandenong, manakala 2 kali lagi setiap petang Selasa dan Khamis di Menzies Hall, juga di Dandenong. Tiada lagi latihan di Keysborough. Lebih memudahkan kami menghantarnya walaupun yuran bulanannya bertambah AUD 10.00 kepada AUD 30.00.

Iddin dalam acara sparring
Di tanah air, Iddin memang pernah menyertai latihan Tae Kwon Do kendalian Speed Power bertempat di sekolahnya (Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang). Cara latihannya sedikit berbeza, begitu juga ketika grading. Di sini, penekanan diberikan kepada kepantasan dan kekuatan fizikal. Begitu juga dengan sparring, diberikan pendedahan sedari awal lagi. Pattern atau bunga gerak kurang diberikan tumpuan kecuali ketika hampir tarikh ujian.

Di Malaysia, grading-nya agak kerap, 3 – 4 kali setahun berbanding di sini, dalam setahun hanya 2 kali sahaja. Jadi kiranya berhajatkan tali pinggang hitam, kenalah bertahan paling kurang 4 tahun yang memerlukan disiplin serta kekuatan fizikal dan mental yang tinggi. Iddin nampaknya tak sempat sampai ke tahap itu kerana kami akan berada di Australia ini hanya 3 – 3 ½ tahun sahaja.

Tak mengapalah boleh sambung di tanah air nanti. Cuma masalahnya, setakat mana pertubuhan Tae Kwon Do di tanah air nanti menerima pakai sistem di sini. Mungkin ada tapi perlu mencari.

Tunggu dan lihat. Yang penting, Iddin perlu teruskan perjuangannya di sini sehingga ke tahap yang terbaik. Insya Allah, kami sentiasa memberikan sokongan.

Saturday, November 15, 2008

Selamat Harijadi

Kek untuk Solehah. Gambarnya tak dapat disertakan, hanya untuk tatapan keluarga sahaja (nanti dia marah kerana tak bertudung)
13hb. Nov setiap tahun adalah tarikh yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh Solehah. Semakin dekat tarikh tersebut, semakin kerap diingatkan ibu dan ayah. Malah hampir setiap orang ingin dimaklumkan olehnya. Hari itu adalah harijadinya.

Selamat Harijadi Solehah, ulangtahun ke-8 kelahirannya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, ianya disambut sederhana bersama ahli keluarga yang lain. Cuma tahun ini ada Auntie Mai dan Auntie Ruzi kat rumah. Ramailah sedikit yang turut meraikannya. Dengan kek, kad dan hadiah seadanya, cukup untuk menceriakannya.

Harapan ayah ibu dan ahli keluarga lain, moga Solehah menjadi insan yang solehah. Ameen.

Juga, tak dilupakan pada Atuk Tauhid, selamat menyambut ulangtahun kelahiran ke-71 pada 08h. Nov lalu. Moga dirahmati Allah SWT sentiasa. Ameen.

Wednesday, November 12, 2008

Dandenong Show 2008

Dandenong Show 2008 telah pun berlalu. Selama 2 hari diadakan pada hujung minggu baru-baru ini (08 - 09/11/2008) bertempat di Greeves Reserve Park, Bennet Street, kira-kira 10 minit dari rumah. Acara tahunan kali ke 137 ini sama sahaja seperti tahun lepas kecuali tambahan slot untuk pertunjukan kuda. Tahun lepas slot berkenaan tidak dibenarkan kerana kuda-kuda sedang dilanda wabak selsema. Malah susun atur gerai dan program pun tiada bezanya.

Kami ke sana pada hari kedua, selepas Iddin tamat latihan tae kwon do di Masjid Emir Sultan, Dandenong. Cuacanya panas kering, adakala berangin, suhu sekitar 25 darjah Celcius. Mengenangkan peritnya panas, tidak larat nak ke sana. Tapi anak-anak begitu teringin sekali. Tak mengapalah, asalkan mereka gembira.

Mula-mula sampai, kami terus ke tapak jualan kerana anak-anak dah tak sabar nak singgah di gerai Everything $1. Pelbagai item dijual, dari kesukaan kanak-kanak sehinggalah keperluan orang dewasa. Semuanya berharga $1 satu. Masing-masing membeli buku catatan dan stickers.

Seterusnya kami ke bahagian pameran kraftangan dan kreativiti di Bangunan A. Lukisan, tekatan, sulaman, gubahan dan ukiran antara yang menarik berserta pemenang bagi setiap kategori. Di Bangunan B pula adalah kesukaan Imran, dunia haiwan. Terdapat pelbagai haiwan yang diletakkan di dalam kandang, antaranya biri-biri, kambing, alpaca, pony, ayam, itik, burung dan ular.

Tak sangka Imran masih lagi takut untuk mendekati dan menyentuhnya. Izzuddin pula berkesempatan melilitkan ular di leher, satu pengalaman yang mungkin tidak dilupakannya. Lain-lain aktiviti yang ditunjukkan adalah proses membuat pakaian dari bulu biri-biri, bermula dari mencukur sehinggalah siap ditenun. Tidak banyak tumpuan kami mengenainya kerana tahun lepas kami telah mendapat penjelasan mengenainya termasuk melihat kerja-kerja mencukur bulu biri-biri dijalankan.

Aktiviti luar bangunan pula, antaranya persembahan pentas, mewarna, pertunjukkan pengakap (scouts), puppet theater dan Wacca show. Anak-anak singgah menonton puppet show dan juga turut bermain alat muzik bersama patung koala, Wacca. Malah Imran lebih seronok, siap menari dan bergelek lagi.

Di satu tapak lain pula dipenuhi dengan pelbagai aktiviti fun fair termasuk berbentuk pertaruhan, antaranya melempar bola, menembak tin, melontar gegelang dan lain-lain. Terdapat juga permainan seperti ferris wheel, dodgecar, beach slide dan no limit tetapi semuanya mahal. Kami tak ke sana. Tiada tiket diskaun seperti tahun lepas. Tambahan pula semuanya dah kepenatan.

Kami pulang setelah hampir 3 jam di sana. Yang diidamkan adalah minuman untuk membasahkan tekak dan makanan untuk mengisi perut. Mata pun turut kuyu dan layu. Dapat tidur sepicing terasa amat melegakan.

Sunday, November 9, 2008

Strawberry Picking

Menjelang akhir tahun, salah satu aktiviti yang menjadi pilihan adalah memetik buah dari jenis beri dan ceri seperti strawberi, rasberi, boysenberi, blackberi, blueberi, loganberi dan ceri. Dengan bayaran tertentu, berbekalkan bakul yang disediakan, para pengunjung ladang dibenarkan memetik sebanyak mana yang diingini. Yang dimakan tidak dikira, yang dibawa pulang sahaja perlu dibayar. Dikenali sebagai U Pick experience.

Pada awal Nov baru-baru ini, telah dua kali kami berkunjung ke Blue Hills Berris & Cherries di Silvan. Sekarang ini musim strawberi baru bermula. Kali pertama, pada hari Ahad, 02/11/2008, Laili bersama anak-anak kecuali Iddin, dibawa oleh Dr. Yati ke sana, selepas berkunjung ke National Rhododendron Gardens.

Kali kedua, dua hari selepasnya, pada hari Melbourne Cup, bertemu janji dengan keluarga Ust. Khairul-Intan Hakimah pula sebelum memandu arah mereka bertandang ke rumah. Bersama mereka; Azura, Azian, Noraini dan Chong yang datang hanya beberapa bulan untuk job attachment di beberapa pusat perubatan di Melbourne.

Sila akses ke Album Foto Kami (kiri web) untuk melihat foto atau klik di sini.

Ladang beri dan ceri milik keluarga Chapman yang diusahakan sejak 1894 ini amat luas dengan pelbagai pokok buah-buahan. Kedudukannya di kaki bukit di Banjaran Dandenong menghasilkan pemandangan persekitaran yang menarik dengan deretan pokok menghijau ditanam kemas di cerun-cerun yang landai.

Pokok strawberi adalah tumbuhan renek seperti keledek, ditanam di atas batas dengan buahnya sejambak keluar dari pangkal pokok. Terdapat pelbagai spesis dengan rasa yang berlainan, antaranya aroma, silvan dan lain-lain.

Melihat strawberi yang memerah masaknya, membuatkan hati begitu teruja. Sebiji demi sebiji dipetik dan dimakan terus. Manis dan sedap. Selebihnya dimasukkan ke dalam bakul yang dibawa.

Izzuddin, Hanisah dan Solehah tekun sekali meneliti setiap jambak buah dari satu pokok ke satu pokok dan dari satu batas ke batas lain. Yang ranum diambil, yang masih kuning ditinggalkan. Begitu juga dengan yang dewasa terutama Intan, Azura, Azian, Noraini dan Chong. Pengalaman yang amat berharga untuk mereka. Imran pula seronok sekali berkejaran dengan rakan sebayanya, Talhah, anak Ust Khairul.

Cuma yang membuatkan hati terkilan (dan sakit) adalah bayaran masuknya. Kali pertama berkunjung, hanya dewasa sahaja dikenakan bayaran (AUD 10.50), kanak-kanak percuma. Jadi dengan senang hati dipromosikan pada kawan-kawan termasuk rakan se-Dandenong, keluarga Lajiman-Suraya.

Kali kedua berkunjung, di samping bayaran untuk dewasa, kanak-kanak termasuk Imran (4 tahun) turut dikenakan bayaran separuh harga. Malah yang berusia 13 tahun (Farhana, anak Lajiman) pun dikategorikan dewasa. Melampau betul. Bantahan kami tidak diendahkan. Tawar hati dan malu pada kawan-kawan. Kami masuk pun kerana Imran dah buat hal nak masuk sama. Nampak gaya, tidak ingin lagi kami ke sana. Masih banyak lagi tempat seumpamanya di sekitar Dandenong. Harap-harap taklah seteruk Blue Hills Orchard. Namun pengalamannya amat dihargai. Moga ada hikmahnya.

Saturday, November 8, 2008

National Rhododendron Gardens > 02/11/2008

Apabila disebut musim bunga, pasti terbayangkan bunga-bungaan pelbagai warna dan bentuk yang berkembang mekar. Umumnya itulah persepsi yang diterima oleh semua. Di mana-mana sahaja fenomena nan indah ini dapat ditemui. Di laman rumah, bangunan, tepian jalan dan yang pasti di taman-taman bunga. Salah satu taman bunga yang menjadi tumpuan ramai adalah National Rhododendron Gardens yang terletak di Olinda, kira-kira 30 km dari rumah kami.

Di hujung minggu lepas, Laili bersama anak-anak (Iddin tak ikut, ada latihan tae kwon do) telah ke sana. Bersama mereka Dr. Noorhayati Nordin serta 2 rakan yang baru tiba dari tanah air sehari sebelumnya, Dr. Maimunah dan Dr. Ruziaton.

National Rhododendron Gardens ini terletak di puncak bukit di Banjaran Dandenong, menghasilkan pemandangan persekitaran saujana mata memandang yang tidak kurang cantiknya. Terdapat ratusan ribu bungaan di taman ini, antaranya rhododendron, azalea, camellia, daffodil, magnolia, proteas dan hydrangeas. Di samping pepohon bunga, terdapat juga pelbagai pepohonan tidak berbunga, menghijau segar sepanjang tahun dan sebahagiannya mengguning serta gugur di musim luruh.
Foto berkaitan dapat diakses di Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Ketika mereka berkunjung ke taman ini, musim bunga telah pun di pertengahan. Sebahagian daripada bungaan telahpun gugur meninggalkan tampuk. Namun masih banyak yang mekar berkembang kerana tidak semuanya berkembang serentak mengikut musim. Malah setiap musim terdapat bungaan tertentu yang mendominasi taman seperti daffodil serta rhododendron pada musim bunga, camellia pada musim sejuk dan hydrangeas di musim panas.

Bungaan ini pula terutama bunga rhododendron yang menjadi tonggak taman ini di tanam berkelompok mengikut negara asalnya termasuk dari negara kita, Malaysia.

Dengan keluasan 40 ekar, penjelajahan mengelilingi taman amat memenatkan kiranya hanya berjalan kaki. Mereka menaiki coaster bus yang disediakan. Bersama mereka sekumpulan kaum Cina yang kelihatan amat teruja setiap kali pemandu pelancong memberikan penerangan tentang bungaan yang di sepanjang laluan. Tidak disangka-sangka, rupa-rupanya dari Malaysia, sedang melancong di Melbourne.

Umumnya, National Rhododendron Gardens ini amat indah dan mengasyikkan terutama bagi peminat bunga. Ditambah pula dengan wangi bunga yang menyegarkan. Ikut hati nak petik dan dibawa pulang. Kalau boleh pokoknya sekali nak dibawa sama sebagai penyeri laman.

Thursday, November 6, 2008

Melbourne Cup Day - Rumah Meriah

Tarikh 04-Nov (Selasa) adalah hari cuti umum di Victoria. Melbourne Cup Day. Hari kejohanan dan pertaruhan lumba kuda. Hari yang dinanti-nanti oleh setiap orang. Bagi kaki judi, itulah harinya. Namun, bagi yang menunggu hari bersama keluarga, itulah juga harinya. Bagi anak-anak sekolah, mereka mendapat satu hari cuti tambahan pada hari Isnin, Curriculum Day. Jadi bercuti panjang sedikit mereka.

Bertemu janji di Blue Hills
Pada hari Selasa, rumah kami meriah sedikit. Rakan kenalan datang berkunjung, silih berganti samada berjemput mahupun menyinggah.
Malam sebelumnya (Isnin malam), keluarga Shaharuddin dan Dr. Kamal dari Thomastown singgah untuk bersolat jamak. Mereka dalam perjalanan pulang dari melancong di Phillips Island, melihat tarikan utamanya, little penguin berderet naik ke sarang (burrow) tika matahari terbenam. Hampir jam 12:30 pagi baru mereka bergerak pulang ke Thomastown.

Menjelang tengahari Selasa, kami sekeluarga ke Silvan, kira-kira 35km dari Dandenong. Ada temu janji dengan keluarga Ust. Khairul Anuar-Dr. Intan Hakimah dari Pascoe Vale untuk memetik strawberi di Blue Hills. Bersama mereka, kenalan dari Malaysia yang sedang menjalani job attachment di sini; Azura, Azian, Noraini dan Chong. Seterusnya membawa mereka makan tengahari di rumah kami. Cadangnya nak menjamu mereka nasi ayam tapi mereka pula dah siap dengan bekalan pelbagai juadah. Apa lagi kira “berkelah” bekal aja la.

Lewat petang, singgah pula keluarga Radin dari Clayton bersama mak mertuanya, Wan. Mereka kebetulan ada hal di Dandenong. Kali kedua Wan datang ke rumah kami. Rezeki diaorang, dijamu dengan buah strawberi yang baru dipetik, dicecah dengan gula. Emm...Sedap.

Bersama Wan (bertudung biru), ibu Bahiah (bercermin mata)
Selepas itu, datang pula Rohani (Rashdan) dari Noble Park bersama 2 anaknya untuk menjemput Dr. Ruziaton dan Dr. Maimunah ke rumah mereka. Ruzi dan Mai baru datang dari Malaysia beberapa hari sebelumnya untuk job attachment selama hampir setahun di Monash Medical Centre. Dah datang makan aja la, tak payah lagi makan kat rumah.

Malamnya, keluarga Lajiman-Suraya pula datang, dijemput makan malam. Kebetulan nasi ayam yang disediakan untuk tetamu dari Pascoe Vale tidak berusik. Rezeki merekalah nampaknya.

AlhamduliLlah, walaupun penat tapi seronok. Dikatakan, ramai tetamu bertandang, murahlah rezeki tuan rumah. Moga-moga. Ameen.