Friday, November 21, 2008

Laili di The Shipwreck Galleries, WA

Western Australia (WA) dengan ibu negerinya Perth adalah salah sebuah negeri di Australia. Letaknya di sebelah barat benua Australia, benua terkecil tetapi pulau terbesar di dunia.

Pandangan hadapan Shipwreck Galleries
Di awal minggu lalu (Isnin,17/11 – Rabu, 19/11), selama 3 hari Laili telah ke Fremantle, WA kerana menghadiri konferen di sana. Konferennya bermula pada hari Selasa. Petang Isninnya, setelah check-in, sempat berkunjung ke Shipwreck Galleries, salah satu bahagian daripada WA Maritime Museum. Lokasinya terpisah daripada muzium utama, di Cliff Street. Tapi tiada masalah kerana perkhidmatan bas percuma, CAT Fremantle disediakan penghubung tempat-tempat tumpuan di tengah bandar Fremantle.

Galeri ini terletak di bangunan yang terasing dari muzium itu sendiri, di sebuah bangunan yang kelihatan usang, The Commissariat Building yang telah dibina pada tahun 1851. The Shipwreck Galleries, seperti namanya, menyingkap kembali sejarah lampau kapal-kapal yang pernah karam di perairannya. Penemuan pelbagai artifak yang berusia ratusan tahun di dasar laut mencetuskan rantaian kisah sejarah yang amat menarik untuk dihadami. Malah, ada ketikanya mempunyai kaitan dengan kelompok Melayu Nusantara.

Gambar sebahagian kecil buritan Batavia dan portico yang ditemui
Dari kebanyakan kes kapal karam, 5 daripadanya mencatat sejarahnya tersendiri; Trial (karam tahun 1622), Batavia (1629), Vergulde Draeck (1656), Zuytdorp (1712) dan Zeewijk (1727). Di antara kapal tersebut, kisah kapal Batavia (Jakarta) adalah lebih menyerlah, sehinggakan terdapat ruang galeri khas untuknya, Batavia Gallery. Berkemungkinan kerana banyak penemuan dan bukti sahih yang ditemui berkaitan dengannya. Cebisan buritan kapal, portico, meriam, sarung peluru/belerang, sauh, barangan tembikar dan rangka manusia yang dibunuh kejam di pulau terpencil adalah antara yang ditemui.

Foto keluarga Broadhurst. Pembantu Melayu berdiri di belakang
Di samping itu, terdapat juga satu kisah menarik tentang keluarga Broadhust yang membentuk komuniti “orang putih” terawal di Fremantle serta jatuh bangun kehidupan mereka. Charles Broadhust dikatakan telah membawa 100 orang penyelam mutiara dari Kepulauan Melayu ke Fremantle di awal tahun 1870an untuk membantunya. Ekoran daripada itu, bermulalah pembentukan komuniti Melayu di WA. Terdapat sekeping gambar keluarga berkenaan bersama seorang berketurunan Melayu yang tidak dapat dikesan siapakah orangnya. Tercatat di kaki gambar; Malay servant (sadly unidentified).

Tidak menghairankan. Telah sedia dimaklumi, terdapat ramai warga Melayu dari Tanah Melayu/ Malaya/ Malaysia sendiri telah diambil bekerja sebagai penyelam mutiara di Australia pada suatu ketika dahulu. Ramai daripadanya terus menetap di Australia terutama di Northern Territory (NT) dan juga Western Australia (WA). Malah pengajian dan penyelidikan Laili di Monash University kini juga ada kaitan dengan komuniti Melayu di Australia.

Teringin juga untuk berkunjung ke Fremantle, sekurang-kurangnya menyelusuri sejarah yang berkaitan etnik Melayu. Ada rezeki dan peluang, Insya Allah akan tertunai juga impian.

No comments: