Saturday, November 8, 2008

National Rhododendron Gardens > 02/11/2008

Apabila disebut musim bunga, pasti terbayangkan bunga-bungaan pelbagai warna dan bentuk yang berkembang mekar. Umumnya itulah persepsi yang diterima oleh semua. Di mana-mana sahaja fenomena nan indah ini dapat ditemui. Di laman rumah, bangunan, tepian jalan dan yang pasti di taman-taman bunga. Salah satu taman bunga yang menjadi tumpuan ramai adalah National Rhododendron Gardens yang terletak di Olinda, kira-kira 30 km dari rumah kami.

Di hujung minggu lepas, Laili bersama anak-anak (Iddin tak ikut, ada latihan tae kwon do) telah ke sana. Bersama mereka Dr. Noorhayati Nordin serta 2 rakan yang baru tiba dari tanah air sehari sebelumnya, Dr. Maimunah dan Dr. Ruziaton.

National Rhododendron Gardens ini terletak di puncak bukit di Banjaran Dandenong, menghasilkan pemandangan persekitaran saujana mata memandang yang tidak kurang cantiknya. Terdapat ratusan ribu bungaan di taman ini, antaranya rhododendron, azalea, camellia, daffodil, magnolia, proteas dan hydrangeas. Di samping pepohon bunga, terdapat juga pelbagai pepohonan tidak berbunga, menghijau segar sepanjang tahun dan sebahagiannya mengguning serta gugur di musim luruh.
Foto berkaitan dapat diakses di Album Foto Kami (kiri web) atau klik di sini.

Ketika mereka berkunjung ke taman ini, musim bunga telah pun di pertengahan. Sebahagian daripada bungaan telahpun gugur meninggalkan tampuk. Namun masih banyak yang mekar berkembang kerana tidak semuanya berkembang serentak mengikut musim. Malah setiap musim terdapat bungaan tertentu yang mendominasi taman seperti daffodil serta rhododendron pada musim bunga, camellia pada musim sejuk dan hydrangeas di musim panas.

Bungaan ini pula terutama bunga rhododendron yang menjadi tonggak taman ini di tanam berkelompok mengikut negara asalnya termasuk dari negara kita, Malaysia.

Dengan keluasan 40 ekar, penjelajahan mengelilingi taman amat memenatkan kiranya hanya berjalan kaki. Mereka menaiki coaster bus yang disediakan. Bersama mereka sekumpulan kaum Cina yang kelihatan amat teruja setiap kali pemandu pelancong memberikan penerangan tentang bungaan yang di sepanjang laluan. Tidak disangka-sangka, rupa-rupanya dari Malaysia, sedang melancong di Melbourne.

Umumnya, National Rhododendron Gardens ini amat indah dan mengasyikkan terutama bagi peminat bunga. Ditambah pula dengan wangi bunga yang menyegarkan. Ikut hati nak petik dan dibawa pulang. Kalau boleh pokoknya sekali nak dibawa sama sebagai penyeri laman.

No comments: