Thursday, November 27, 2008

Renang

Renang, satu aktiviti riadah air yang menyeronokkan terutama untuk kanak-kanak. Di Dandenong, terdapat sekurang-kurangnya 2 kolam renang awam yang berdekatan lokasinya, Oasis, di seberang jalan hadapan rumah kami dan North Lodge, kira-kira 500 meter dari rumah. Fasilitinya banyak dan dapat diakses dengan mudah. Bayaran masuknya juga murah.

Laporan berita buletin sekolah. Foto Hanisah dan Solehah di penjuru kanan bawah
Latihan renang juga disediakan bagi yang berminat. Malah sekolah-sekolah di sekitarnya juga turut sama menjadikannya aktiviti tahunan menjelang musim panas. Tidak terkecuali Dandenong North Primary School, sekolah Izzuddin, Hanisah dan Solehah.

Mereka bertiga sebenarnya telah biasa didedahkan dengan kolam renang ketika di Malaysia. Setiap kali bercuti atau mengikut program di hotel-hotel, kolam renang sudah pasti menjadi tumpuan. Mereka banyak belajar berenang daripadanya. Mereka juga sempat mengikuti latihan renang bersistematik di Consist, Ulu Klang sebelum datang ke Australia.

Pada tahun lepas, Hanisah dan Solehah menyertainya. Pada tahun ini, mereka berdua masih mengikutinya. Izzuddin pun turut sama. Terdapat 10 sesi latihan dengan bayaran AUD 60.00 seorang (AUD 6.00 / sesi). Latihan diadakan secara intensif, 10 hari berturut-turut secara bergilir-gilir mengikut kumpulan yang ditetapkan. Tempat latihannya di North Lodge Swimming Pool. Mereka berjalan kaki dari sekolah, berbaris menyusuri laluan pejalan kaki. Ketika hujan, ada bas disediakan.

Sesi latihan kini telahpun berakhir. Ianya dilangsungkan dari 10/11/2008 hingga 21/11/2008 yang lalu. Pelbagai teknik renang diajar mengikut kebolehan dan kemahiran masing-masing. Dari teknik-teknik asas apungan, lonjakan sehinggalah kepada pelbagai gaya renang (stroke). Tidak terkecuali ditekankan sama aspek-aspek keselamatan ketika di kolam renang. Di akhir sesi, setiap orang dianugerahkan sijil yang menyenaraikan tahap kemahiran yang dicapai.

Hanisah dan Solehah di kolam renang (Foto ihsan Miss Pomponio, guru kelas Solehah)
Pakaian renang Hanisah dan Solehah yang menutup aurat mendapat perhatian ramai, terutama guru-guru. Ianya menjadi model terutama dalam usaha menarik penyertaan dari para pelajar Muslim lain yang menjadikan pakaian penyebab mereka tidak menyertainya. Namun untuk mendapatkannya di sini agak susah. Malah ada guru yang begitu beria-ia untuk mendapatkannya, sehinggakan bertanya, di Malaysia di mana ianya boleh dibeli. Satu perkembangan yang baik dalam mengenengahkan konsep Islam di negara non-Muslim dalam aktiviti harian. Boleh buat business nampaknya… 8)

Malah di Oasis Swimming Pool, mulai awal Oktober tahun ini telah disediakan sesi renang khusus untuk wanita sahaja. Malah lifeguard-nya juga wanita. Masanya selama 2 ½ jam di setiap pagi Ahad minggu pertama.
Juga satu perkembangan menarik. Tidak dapat dipastikan, adakah ianya atas permintaan komuniti Muslim yang ramai di Dandenong ini atau inisiatif pihak pengurusan sendiri. Mungkin juga atas usaha wanita non-Muslim sendiri yang terasa hak asasi berbikini mereka menjadi intipan mata lelaki. Apa pun, ianya satu langkah proaktif yang amat baik sekali.
Nampaknya Laili bolehlah berjinak-jinak ke kolam renang selepas ini sambil memenuhi permintaan Hanisah dan Solehah. Mungkin juga boleh dijadikan rutin riadah bersama-sama rakan-rakan wanita yang lain di Dandenong.

No comments: