Saturday, June 27, 2009

Cuti Sekolah Penggal 2

Hari ini bermulanya cuti persekolahan Penggal 2, sekaligus berakhirnya Semester 1 2009 untuk kesemua sekolah di Victoria. Cuti selama 2 minggu sehinggalah sekolah dibuka kembali pada 13/07/2009 nanti. Setiap negeri di Australia bercuti tidak serentak. Ada yang lebih awal dan ada yang lebih lewat, bergantung kepada Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing.

Semalam hari terakhir persekolahan Penggal 2. Kebiasaannya setiap sekolah tamat waktu persekolahannya lebih awal sedikit dari biasa. Hanisah dan Solehah di Dandenong North Primary School (DNPS) pulang awal sejam, kira-kira jam 02:30 petang. Manakala Izzuddin di Dandenong High School (DHS) ~ foto sebelah ~ pula hanya awal 10 minit dari waktu biasa, 03:10 petang. Imran di Dandenong North-East Kindergarten (DNEK) pula hari terakhir persekolahannya di penggal ini pada hari Rabu lalu.

Bagi anak-anak, cuti sekolah hanya seronok untuk beberapa hari sahaja. Hari-hari berikutnya jika tiada sebarang aktiviti untuk memenuhi masa, setiap detik yang dilalui terasa amat membosankan. Itulah pengalaman mereka sebelum ini. Moga cuti sekolah di musim sejuk kali ini ada kelainannya, dilalui penuh kerseronokan.

Di samping sibuk dengan kerja sekolah yang diberikan guru masing-masing, Insya Allah dikesempatan yang ada mereka akan dibawa berjalan ke tempat-tempat menarik di sekitar Melbourne, antaranya bermain salji di kawasan pergunungan.
Berkunjung ke perpustakaan, bermain bersama rakan-rakan dan menonton DVD terbaru yang dibawa pulang ibunya baru-baru ini antara kegiatan lain yang boleh dilakukan. Dan mungkin banyak lagi aktiviti-aktiviti berfaedah dapat dilakukan dari masa ke semasa mengikut kesesuaian masa. Insya Allah.

Thursday, June 25, 2009

Exploring Asia Expo

Hanisah kini di Grade 6 di Dandenong North Primary School (DNPS). Setiap penggal para pelajar Grade 6 akan diberikan tema projek yang berbeza untuk dilakukan penyelidikan. Tema projek mereka pada Penggal 2 ini adalah “Exploring Asia”, kajian mengenai negara-negara terpilih di Benua Asia mengikut kumpulan yang dibentuk. Hanisah diletakkan di dalam kumpulan Philippines (Filipina). Lain-lain negara yang terpilih antaranya Malaysia, Singapore, Indonesia, Thailand, Vietnam, Cambodia, India dan Japan.

Setiap ahli kumpulan mempunyai tugasan masing-masing. Bukan sahaja berusaha mencari maklumat terkini negara terbabit tetapi menggunakan kreativiti tersendiri untuk memaparkan setiap maklumat yang diperolehi. Di penghujung penggal, satu ekspo hasil kajian mereka akan diadakan untuk tontonan rakan-rakan pelajar lain, guru-guru dan juga para penjaga/ ibu bapa.

Pada hari Selasa baru-baru ini (23/06/2009), ekspo berkenaan yang dikenali “Exploring Asia Expo” telah dilangsungkan selama sejam, dari pukul 02:00 petang sehingga 03:00 petang bertempat di dewan sekolah. Persediaan ekspo telah dilakukan sejak pagi lagi dengan penglibatan setiap ahli kumpulan. Bagi setiap kumpulan pula, hanya 4 pelajar dipilih sebagai Expert untuk mengendalikan booth negara masing-masing serta memberikan penerangan kepada para pelawat. Mereka digalakkan memakai pakaian kebudayaan negara berkenaan atau mana-mana negara di Asia. Hanisah terpilih mewakili Phillipines, cantik dan manis sekali dengan kebarung hijaunya.

Lain-lain rakan pelajar Grade 6 dari Malaysia, Ashraf Lajiman dan Adleena Huzaizi juga terlibat sama dengan kajian kumpulan masing-masing tetapi tidak berada di booth mereka kerana menghadiri kelas. Ketika persediaan booth, mereka turut sama menceriakan suasana dengan baju Melayu dan baju kurung Malaysia. Ketika ekspo berlangsung, ibu bapa mereka turut datang ke dewan melihat hasil kajian mereka dan negara yang diwakilinya.

Bersama Laili yang masih kepenatan kerana baru tiba dari tanah air pada sebelah paginya, kami berdua turut hadir ke ekspo berkenaan.
Mula-mula masuk sahaja kami disapa ramah oleh para expert di Malaysia booth dengan ucapan pelat, Selamat Datang dan Apa Khabar. Berbagai-bagai penerangan diberikan berserta poster dan manual kajian mereka. Sesekali mereka diuji pengetahuan tentang Malaysia di samping ditokok tambah maklumat terbaru untuk mereka. Tidak mengecewakan walaupun kedapatan sedikit sebanyak fakta yang mengelirukan.

Untuk booths berikutnya kami hanya sekadar melihat sepintas lalu sahaja. Ingatkan semua booth kesemua expert-nya ramah seperti di Malaysia booth, rupa-rupanya tidak. Hampir semuanya hanya duduk-duduk sambil menunggu pengunjung menyapa. Tahniah untuk expert di Malaysia booth. Kalian benar-benar menghayati sifat ramah tamah rakyat Malaysia...8)
Kami terus ke Philippines booth di mana Hanisah menjaganya. Booth yang tidak kurang menariknya. Cuma Hanisah agak pemalu. Mungkin juga hanya malu kepada kami dan tidak kepada para pengunjung lain.

Menurut guru kelasnya, Mrs Surace yang ditemui sehari sebelumnya (ketika Parent-Teacher Interview), Hanisah sengaja dipilih sebagai expert untuk memberi pendedahan dan membentuk keyakinan diri kepadanya ketika bercakap di khalayak ramai.

Secara keseluruhan, dirasakan ekspo berkenaan amat berguna sekali kepada para pelajar untuk mengenali lain-lain negara yang berjiran dengan Australia. Tambahan pula kebanyakan para pelajarnya berasal dari pelbagai negara yang berbeza. Malah para guru dan ibu bapa juga turut sama dapat mempelajarinya.
Malah Solehah di Grade 3 pun sedang bertungkus-lumus menyiapkan projek Penggal 2-nya, Minibeast dengan haiwan pilihannya moth (kupu-kupu).

Wednesday, June 24, 2009

Terlerai Sudah Kerinduan

Pagi semalam Laili selamat kembali ke Melbourne setelah hampir 3 minggu di tanah air meninggalkan kami lima beranak di perantauan. Jarak waktu sedemikian bukanlah lama dan tiada apa-apa bagi rakan kenalan, terlebih lagi yang jarang ditemui. Namun kerinduan anak-anak kepada ibunya bagaikan menunggu buah idaman di dahan pokok gugur ke bumi. Walaupun kerap berbicara dan bersua muka melalui Skype Online tetapi tidak sama dengan bertemu secara bersemuka.

Setiap hari mereka membilang hari dan masa akan ibu Laili dijadualkan tiba di rumah, terlebih lagi beberapa hari sebelumnya. Semalam adalah harinya, kira-kira jam 07:00 pagi Laili dijangka mendarat di Melbourne Airport menaiki Penerbangan MAS. Kiranya tidak ramai penumpang, tiada masalah ketika pemeriksaan imigresen dan kastam serta jalan yang tidak sibuk, Insya Allah mereka sempat bertemu ibu sebelum berangkat ke sekolah jam 08:30 pagi. Itulah perkiraan malah harapan mereka.

AlhamduliLlah, harapan mereka dimakbulkanNya. Ketika mereka melangkah keluar ke kereta, Laili sampai menaiki teksi. Gembira sekali mereka sambil berpelukan penuh keseronokan. Terlerai sudah satu episod kerinduan.

Si bongsu Imran.. walaupun kurang menunjukkan rasa rindunya selama ketiadaan ibunya, namun manjanya ia ketika ibunya ada bersama amat menyerlah. Ketika makan nak ibunya yang suapkan. Baca buku sebelum tidur (rutin utamanya) pun inginkan ibunya yang ajarkan. Ke tandas pun sama.

Begitu juga anak-anak yang lain; Solehah, Hanisah dan Izzuddin. Walaupun tidak diungkapkan melalui kata-kata namun dari lengok bicara dan perlakuan jelas menggambarkannya. Bagi ayah, setinggi-tinggi kesyukuran ibu Laili selamat pergi dan kembali ke Melbourne. Kini ada teman untuk sama-sama menguruskan kehidupan anak-beranak di perantauan.

Seronok sekali anak-anak menyelongkar barangan yang dibawa oleh ibunya dari Malaysia. Baju raya yang ditempah pada Kak Milah ketika pulang ke Terengganu 2 bulan lalu telah pun siap. DVD dengan filem-filem terbaru yang dipesan pun ada. Juga buah tangan dari Hong Kong. Terima kasih ibu…

Kira-kira seminggu lagi Laili perlu “terbang” lagi untuk beberapa hari. Kali ini ke Paris pula atas tugasan yang sama seperti ke Hong Kong kira-kira 3 minggu lalu, menyertai seminar dan pembentangan kertas kerja.

Insya Allah segalanya mampu dihadapi di bawah lindungan dan peliharaanNya. Moga sentiasa dipermudahkan olehNya. Ameen.

Monday, June 22, 2009

Siang Pendek Malam Panjang

Begitulah lumrahnya masa di musim sejuk ini. Matahari pagi terbit di ufuk timur sekitar jam 07:40 pagi dan terbenam di ufuk barat dalam lingkungan 05:10 petang. Bermakna waktu siangnya kira-kira 9 ½ hingga 10 jam sehari. Bakinya selama 14 hingga 14 ½ jam lagi adalah waktu malam.

Bagi anak-anak yang bersekolah, masa siang mereka terasa begitu cepat sekali berlalu. Izzuddin tamat waktu persekolahannya di Dandenong High School pukul 03:10 petang, diikuti oleh Hanisah dan Solehah di Dandenong North Primary School pada jam 03:30 petang. Imran di Dandenong North East Kindergarten pula tamat pada pukul 04:30 petang pada hari persekolahan sesi petang.

Pulang dari sekolah mereka hanya sempat berehat seketika, bermain bersama di dalam rumah atau menonton siri kartun di televisyen sambil menunggu makan petang disiapkan. Jarak waktu petang yang begitu singkat, sekitar 1 jam selepas pulang dari sekolah cukup sekadar melepaskan lelah sahaja. Dengan penat yang masih terasa, kegiatan harian mereka bersambung pula ketika malam mula menjelma.

Ketika tabir siang tertutup sekitar jam 05:10 petang, mereka mula bersiap untuk mengerjakan solat Maghrib dan mengaji Al-Quran. Kira-kira jam 06:40 malam mereka solat Isyak pula, kemudian menyiapkan kerja sekolah atau membaca buku-buku yang dipinjam dari Dandenong Library. Jarang-jarang sahaja mereka menonton televisyen ketika malam, tambahan pula kebanyakan siarannya untuk golongan dewasa sahaja.

Sekitar jam 09:30 malam biasanya mereka mula bergerak ke tempat tidur sehinggalah dikejutkan keesokan harinya kira-kira jam 06:15 pagi untuk bersolat Subuh, seterusnya bergilir mandi serta bersiap-siap untuk ke sekolah.

Demikianlah rutin harian anak-anak ketika hari persekolahan. Cuti hujung minggu benar-benar memberikan mereka kerehatan dan ketenangan. Rasa penat selama 5 hari hilang dalam keseronokan bersama keluarga.

Bagi yang bekerja, masa siang mereka juga terasa amat singkat. Tamat sahaja waktu bekerja, mereka tergesa-gesa untuk pulang terus ke rumah. Terlebih lagi bagi yang waktu bekerjanya sehingga jam 05:00 petang. Jalan raya utama di hadapan rumah membuktikannya. Kenderaan beratur berderetan sebelum bergerak lancar kira-kira jam 06:30 malam.

Sunday, June 21, 2009

Nikmatnya Panas

Kelmarin, cuacanya nyaman sekali. Paginya sejuk dengan kabus putih menyelubungi alam. Menjelang tengahari mentari mula bersinar terang, berterusan sehingga lewat petang. Dengan suhu sekitar 16 darjah Celcius bahang panas terasa suam, cukup menyegarkan. Angin pula hanya sesekali sahaja bertiup, mengekalkan kehangatan persekitaran.

Buat pertama kalinya pakaian yang dibasuh di musim sejuk ini sempat kering di ampaian luar. AlhamduliLlah, jika tidak perlu disidai di dalam rumah berdekatan lubang pemanas seperti kelazimannya.

Berjalan kaki ke masjid untuk solat Jumaat pun terasa seronoknya. Begitu juga di dalam masjid. Cahaya mentari yang menerobos masuk melalui tingkap menambahkan rahmatNya. Khutbah tentang fadhilat bulan Rejab yang dibaca khatib/imam kedengaran begitu jelas, hilang rasa mengantuk.

Hari-hari sepanjang musim sejuk ini amat susah untuk mendapatkan keadaan cuaca seumpamanya. Kebiasaanya suhu sejuk diiringi sama hujan ataupun angin, adakala kedua-duanya sekali.

Itulah nikmat dari Allah SWT. Setinggi-tinggi kesyukuran, dalam kesejukan Engkau datangkan kehangatan. Teringat ketika awal musim bunga pada tahun lepas. Saat mentari bersinar seperti semalam, kami lena di beranda belakang rumah. Terubat segala derita kesejukan sebelumnya.

Namun semalam cuacanya kembali sejuk. Hari ini pun diramalkan sama. Sistem pemanas berpusat perlu dipasang untuk menghangatkan dalaman rumah. Lubang-lubang pemanas yang terletak di lantai di penjuru dinding samada di dalam bilik mahupun di ruang tamu dan di sudut dapur sememangnya menjadi rebutan. Kaki dan tangan yang kesejukan dilayurkan di atasnya untuk mendapatkan rasa panas. Terlebih lagi selepas berwuduk mahupun mandi. Itupun nikmat panas juga. Syukur padaNya dalam kesejukan ada pemanas yang membantu.

Begitulah nikmat kurniaanNya. Hujan pun anugerahNya juga. Setiap yang dijadikan ada hikmahnya. Walaupun kelihatan amat kecil dan remeh sekali akan tetapi amat signifikan, terlebih lagi kepada yang mengalami dan merasainya.

SubhanaLlah. AlhamduliLlah. AllahuAkbar.

Tuesday, June 16, 2009

Swine Flu - Terkini dari Melbourne

Swine flu @ Influenza A @ H1N1 @ selsema babi kini benar-benar mengegarkan dunia. Ramai yang panik dan terkesima, rasa takut dan gentar tiada bertepi. Datangnya tanpa disedari, perginya payah sekali. Tiada siapa menjangka siapa yang akan dihinggapinya kerana virusnya tersebar begitu mudah sekali. Pembawanya pula susah untuk dikenali malah diri sendiri pun tidak menyedari.

Minggu lalu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan situasi dunia kini di peringkat pandemik fasa 6 iaitu fasa tertinggi sejak 41 tahun lalu. Ini bermakna virus H1N1 benar-benar telah merebak begitu drastik sekali di seluruh dunia tanpa dapat dikawal.

Tiada kaedah lain yang dapat dilakukan selain mengingatkan setiap orang perlu memberikan perhatian yang serius. Masing-masing berkewajiban memantau dan berusaha membendungnya daripada menjadi lebih parah. Tahap kesihatan diri dan keluarga sentiasa perlu diawasi dengan teliti. Sebarang tanda-tanda awal seperti demam, selsema dan bersin perlu diperiksa dengan segera.

Terlebih lagi kepada mereka yang baru pulang dari luar negara, dinasihatkan mengasingkan (mengkuarantinkan) diri selama seminggu bagi memastikan benar-benar sihat dan tidak menjadi pembawa virus H1N1.

Begitu juga pihak berkuasa kesihatan, perlu lebih aktif memahamkan semua orang dan mengambil langkah susulan yang lebih teratur dan berkesan. Segala kegiatan luar yang melibatkan kumpulan ramai sewajarnya dibatalkan. Perjalanan ke negara-negara di mana penyakit berkenaan menular juga, jika boleh perlu dielakkan.

Berdasarkan berita dari tanah air, sehingga kini 17 orang telah disahkan positif menghidap selsema ini. Kesemuanya melibatkan mereka yang berkunjung atau datang dari negara luar. Lebih menarik lagi beberapa kes (tidak silap telah pun 4 kes) berpunca dari Melbourne samada melancung mahupun pulang bercuti.

Tidak menghairankan kerana Victoria (terutama di utara dan barat ibu negerinya, Melbourne) mencatatkan bilangan kes swine flu tertinggi di Australia. Sehingga malam tadi sebanyak 1, 210 kes dilaporkan di Victoria (jumlah sebenar diyakini lebih besar daripada itu). Dalam berjenaka, ada yang menggelarkan Victoria kini State of Swine Flu.

Jumlah keseluruhan kes swine flu di Australia kini mencecah 1, 762 kes. Lain-lain negeri dan wilayah juga mencatatkan peningkatan kes yang mendadak; New South Wales (191 kes), Queensland (116), Western Australia (66), South Australia (63), Canberra ACT (53), Tasmania (32) dan Northern Territory (31).

Melihatkan jumlah kes dan kadar penularan virus yH1N1 ang begitu cepat, sedikit sebanyak menyebabkan hati menjadi gusar. Apatah lagi di perbandaran yang kami duduki kini (Greater of Dandenong) yang terletak ke tenggara Melbourne juga mencatatkan sebanyak 12 kes, termasuk ahli majlis perbandaran (councillor) pun ada yang terkena.

Dalam urusan harian samada ke pasar, shopping complex, kedai-kedai dan juga ke sekolah, tanpa disedari diri terdedah kepada segala kemungkinan yang ditakuti. Tambahan pula dengan keadaan cuaca awal musim sejuk yang tidak menentu panas dan hujan dengan suhu yang rendah menyebabkan selsema (winter flu) adalah penyakit biasa. Ada yang bertanya, ada kemungkinan tak sifat dan struktur genetik virus untuk swine flu dan winter flu ini sama sahaja? Entahlah… mereka yang arif lebih mengetahuinya.

AlhamduliLlah sehingga kini tiada tanda-tanda kami anak beranak di Melbourne mengalami selsema. Ya Allah, hindarkanlah kami daripada swine flu ini hatta selsema dan demam biasa sekalipun. Ameen.

Bimbang juga di hati kerana ramai rakan kenalan serta keluarga mereka sedang rancak datang melancung dan menziarahi ahli keluarga serta ramai pula yang akan pulang bercuti ke tanah air dalam sebulan dua ini, terutama ketika tibanya musim Raya Eid Fitr nanti. Malah keluarga ipar pun akan datang bercuti ke Melbourne untuk bermain salji pada awal Ogos nanti.

Ya Allah, hentikanlah segera penularan virus H1N1 ini dan kembalikanlah keadaannya seperti sedia kala. Ameen.

Thursday, June 11, 2009

Musim Main Salji Datang Lagi

Musim sejuk (winter season) amat sinonim dengan salji. Secara tidak langsung ramai orang yang tergambarkan hamparan salji yang memutih memenuhi persekitaran, ditambah pula dengan snow flakes yang turun bagaikan tempiasan hujan. Anak-anak pula membina snow man dan sebahagiannya bergelak ketawa saling baling membaling snow ball.
Suasana salji di Roving, Lake Mountain semalam. Dua foto berikut juga di Lake Mountain
Di sesetengah lokasi rekreasi salji pula, ramai kanak-kanak menaiki toboggan slide menuruni cerun nan landai. Manakala remaja dan dewasa pula tertumpu di ski trail bersama snow board ataupun ski set menggelusur laju turun mencelahi pepohonan dan bongkahan salji yang menimbun. Sebahagiannya pula menaiki snow lift meninjau keindahan alam semulajadi musim sejuk dari atas. Begitulah sebahagian fenomena main salji di kawasan bersalji terutama di lokasi rekreasi salji di kawasan tanah tinggi.

Hakikatnya di Australia, hanya di bahagian selatannya sahaja yang mengalami musim sejuk yang ketara, terutama di Tasmania, Victoria, South Australia dan sebahagian New South Wales dan Western Australia. Manakala salji pula hanya terdapat di Tasmania, Victoria dan di selatan New South Wales sahaja, itu pun hanya di kawasan tanah tinggi. Tiada salji yang memenuhi kawasan rumah mahupun jalan-jalan raya. Ini kerana suhu persekitarannya tidaklah mencapai tahap beku (bawah 0 darjah Celcius) seperti di setengah-setengah negara yang biasa ditonton melalui televisyen dan filem.

Di Victoria, saljinya sudah pun mulai turun sejak minggu lepas lagi. Dalam sehari dua ini ketebalan salji lebih menyerlah (ketebalannya sekitar 45 cm) dan kebanyakan tempat rekreasi salji telahpun dibuka kepada para pengunjung untuk bermain salji. Dari laporan internet, berita TV dan lain-lain media massa jelas menunjukkan timbunan salji memutih memenuhi kawasan. Ditambah pula dengan salji buatan yang disediakan oleh pengendali pusat rekreasi. Adakala snow flakes juga turut sama kelihatan berserta angin yang bertiup lembut, sekitar 10 – 30 km/jam. Salji aktif turun ketika malam hari membawa ke pagi, di mana suhu ketika itu biasanya sekitar -3 darjah Celcius.

Ramai rakan kenalan yang ditemui memperkatakan tentang kehadiran salji ini. Masing-masing tampak teruja sekali untuk merasai pengalaman bermain salji, lebih-lebih lagi kepada yang baru sampai ataupun belum berkesempatan sebelum ini. Bagi yang pernah merasainya, ianya tetap ditunggu-tunggu. Dalam setahun, musim bermain salji hanya sekali ketika datangnya musim sejuk. Tambahan pula berada di kawasan berdekatan dengannya. Peluang yang ada seharusnya tidak dilepaskan.

Terdapat 10 lokasi rekreasi salji di Victoria yang popular iaitu Mt. Hotham, Mt. Buller, Falls Creek, Mt Baw-Baw, Lake Mountain, Mt Buffalo, Dinner Plain, Mt. Donna Buang, Mt. Stirling dan Mt. St. Gwinear. Tiga yang pertama amat terkenal kepada penggemar ski, namun lain-lain tempat tidak kurang tarikannya. Masing-masing bergantung kepada apa yang diidamkan.

Bagi kami, Lake Mountain sudah memadai walaupun pemandangannya tidaklah secantik di lain-lain lokasi. Tambahan pula ianya lebih dekat dengan rumah kami, lebih kurang 100 km sahaja. Boleh pergi dan balik hari, tidak perlu menginap di mana-mana. Namun jika ada peluang untuk ke lokasi lain, mungkin akan dipertimbangkan.

Bayaran masuk ke tempat bersalji adalah berbeza kadarnya mengikut lokasi. Tyre chain adalah satu keperluan untuk kereta 2WD (biasanya dikecualikan untuk 4WD) kerana laluan mendakinya adakala licin kesan salji yang mencair. Ianya boleh disewa di kedai-kedai sebelum tiba di lokasi yang dituju. Begitu juga pakaian salji (winter suit) termasuk snow boot serta toboggan slide biasanya terdapat di kedai yang sama ataupun di pusat sewaan Alpine Resort, bersebelahan tapak rekreasi.

Untuk berkunjung ke lokasi pilihan, sebaiknya diperhatikan dahulu ramalan cuaca dan laporan salji pada hari berkenaan. Adakala cuacanya kurang sesuai dan salji pula mulai menipis. Laporan dari internet biasanya menjadi rujukan utama kerana kerap dikemaskini. Salah satu capaiannya adalah http://vicsnowreport.com.au/report.html

Foto kami sekeluarga di Lake Mountain pada tahun lepas
Kami berada di Melbourne telahpun hampir 2 tahun. Tahun lepas kami berkesempatan 3 kali bermain salji. Dua kali ke Lake Mountain dan sekali ke Mt. Baw-Baw. Kedua-dua kali kunjungan ke Lake Mountain mengiringi rakan-rakan dari Adelaide yang berkeinginan bermain salji kerana di South Australia tiada kawasan bersalji.

Manakala ke Mt. Baw-Baw pula bersama rakan-rakan sekampung di Dandenong. Lokasinya jauh sedikit dari Lake Mountain, kira-kira 135 km tetapi laluan mendaki dan menurunnya berliku-liku. Kepala terasa pening, pandangan berpinar dan tekak pula meloya. Perit rasanya untuk ke sana lagi walaupun pemandangannya cantik sekali.

Tahun ini ada keinginan untuk belajar bermain ski. Pernah sekali mencubanya ketika mengikuti rombongan Hewlett-Packard (HP) ke Korea Selatan beberapa tahun lalu tetapi sekadar suka-suka sahaja tanpa ada pengajarnya.
Di Lake Mountain ada dianjurkan kelas ski (termasuk sewaan ski set + 90 minit waktu belajar) dengan bayaran $60.00 untuk dewasa dan $48.00 untuk kanak-kanak. Jika dilakukan secara berkumpulan melebihi 10 orang, bayarannya lebih rendah. Menarik juga. Ada yang nak ikut serta ke? Ataupun tunggu sahaja keluarga adik ipar datang berkunjung ke Melbourne pada awal Ogos nanti.
Apa-apa pun kenalah tunggu Laili ada bersama. Kini masih di tanah air dalam proses pengumpulan data penyelidikannya sehingga 22-Jun. Cuti sekolah Penggal 2 pun kira-kira 3 minggu lagi, elok juga pergi ketika itu.

Wednesday, June 10, 2009

Berakhirnya Autumn, Bermulanya Winter

Semalam hujan turun seharian. Redanya hanya seketika, itupun sekejap-sekejap sahaja. Sejuknya amat terasa. Mentari adakala bersinar namun tidak mampu mengubahnya. Sesekali pepohonan meliuk-lintuk ditiup angin, menambahkan lagi sejuknya suasana. Tambahan pula dengan suhu musim sejuk yang sememangnya rendah. Termometer di beranda belakang rumah menunjukkan bacaan di bawah 10 darjah Celcius.

Suatu pagi berkabus di Cleeland St, tidak jauh dari Dandenong Market
Hari ini diramalkan sama keadaannya. Hari-hari sebelumnya walaupun hujannya tidak menentu tetapi suhunya kerap di bawah 16 darjah Celcius. Adakala boleh mencecah sekitar 5 darjah Celcius terutama di awal pagi dengan kabus tebal memutih menyelubungi alam.

Suasana sejuk sedemikian membuatkan diri menjadi pasif (atau malas) untuk bergerak. Malah untuk ke tandas atau bilik air pun terasa berat. Fikiran pun adakala turut “membeku”. Jika tidak diaktifkan. mahu rasanya berselimut dan duduk diam-diam sahaja. Perlu ada paksaan dalam diri.

Hidung pula bagaikan terkena selsema, cecair sejuk merembes keluar tanpa disedari. Telinga dan kulit muka pun terasa pedih kesejukan. Jejari kaki dan tangan pun turut sama terasa kebas-kebas. Sejuknya seakan menyengat sehingga ke tulang. Sarung kaki sememangnya satu kemestian dan kasut musim sejuk (winter boot) adalah pilihan terbaik dipakai untuk keselesaan ketika berada di dalam rumah. Baju tebal pun tidak lekang dari badan walaupun alat pemanas telah dihidupkan.

Apatah lagi jika berada di luar rumah. Baju sejuk, thermal suit, bennie (sarung kepala), muffler (selendang leher) dan sarung tangan telah sedia dikeluarkan dari simpanan untuk digunakan bila-bila masa diperlukan. Rata-rata telah dipakai oleh ramai orang terlebih lagi yang berurusan di luar premis. Masing-masing kemas berpakaian lebih-lebih lagi bagi wanita. Tiada lagi yang berpakaian menjolok mata, sedap mata memandang. Ada hikmahnya musim sejuk.

Pohon plum di hadapan rumah, daunnya masih belum habis luruhnya
Pepohonan yang gugur daunnya ketika musim luruh kini hampir semuanya hanya tinggal dahan dan ranting berceracak. Terus-terusan begitu sehingga ke akhir musim sejuk barulah kembali bertunas daunnya. Taburan daun di pangkal pokok pula mula mereput dan kebanyakannya telah pun diterbangkan angin entah ke mana.

Pepohonan yang bukan dari jenis gugur dedaunannya mengikut musim, merendang segar menghijau daunnya. Rerumput pun sama, kelihatan segar dan cepat sekali memanjang walaupun baru sahaja dipotong.

Begitulah sekilas pandang dan rasa bermulanya musim sejuk di Melbourne sekarang. Berakhirnya bulan Mei dan menjengahnya bulan Jun, bermakna berakhirlah musim luruh (autumn) dan bermulalah musim sejuk (winter) di Australia terutama di negeri-negeri di bahagian selatannya termasuk Victoria.

Monday, June 8, 2009

Kunjungan ke Bundoora

Hari Sabtu baru-baru ini (06/06/2009), kami berkunjung ke Bundoora, memenuhi jemputan dari rakan-rakan di sana yang diusahakan oleh Shaharuddin. Konvoi Dandenong diketuai oleh Lajiman, diikuti sama Hanif berserta 3 anaknya menuju La Trobe University di mana Lajiman melanjutkan pengajiannya kini. Manakala Dr. Zamri, juga dengan 3 anaknya dari Blackburn Rd pergi sendiri. Keluarga Wafir-Suharti pula pergi lewat sedikit selepas kelas renang mereka. Rakan-rakan lain dari keluarga gabungan Dandenong dan Noble Park tidak dapat turut serta kerana masing-masing mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan. Masing-masing sekadar berkirim salam.

Sebahagian kaum bapa Bundoora dan Dandenong
Kami tiba di tempat dijanjikan, Car Park 6 berhadapan dengan La Trobe Uni Sport Centre kira-kira jam 11:00 pagi. Perjalanan sekitar 40 km mengambil masa kira-kira 45 minit lancar melalui Monash Freeway dan Eastern Freeway.
Cuacanya pula baik sekali, mendung sepanjang hari diselimuti kesejukan awal musim sejuk dengan suhu sekitar 16 darjah Celcius. Tiada hujan turun sudah dikira beruntung kerana akhir-akhir ini hujan kerap turun di mana sejuknya akan lebih terasa. AlhamduliLlah.

Sebahagian kaum ibu Bundoora dan Dandenong
Kehadiran rakan-rakan Bundoora amat mengalakkan, rata-rata segak dengan baju-T seragam berbelang hijau-kuning-putih. Agaknya itulah pakaian rasmi sukan mereka. Ramai di antara mereka yang tidak pernah ditemui sebelum ini, namun kemesraan cepat sekali bertunas. Berbual dan bergelak ketawa seakan-akan telah lama kenal.

Agenda utama yang diaturkan adalah perlawanan persahabatan futsal di dalam dewan (indoor futsal), melibatkan anak-anak dan juga ibu bapa. Sport Centre ditempah dari jam 11:30 pagi hingga 01:00 tengahari.
Perlawanan pertama adalah futsal junior (anak-anak). Memandangkan jumlah ahli pasukan yang tidak sama, sebilangan anak-anak Bundoora dimasukkan ke dalam pasukan Dandenong. Cuma dari segi saiz badan kurang seimbang. Hampir semua anak-anak Dandenong kecil molek badan mereka, di bawah usia 13 tahun, manakala anak-anak Bundoora ramai yang berumur 13 tahun ke atas dan besar saiznya. Tak kisahlah, sekadar perlawanan persahabatan, suka-suka sahaja.

Pasukan futsal junior Dandenong
Sepanjang perlawanan, kedua-dua pasukan saling serang menyerang dan tidak mengenal penat dan lelah, rancak sekali permainan mereka. Izzuddin paling ketara kesungguhannya, berlari mengejar bola di seluruh pelusuk court. Begitu juga Ashraf Lajiman, Farhana Lajiman, Nazhan Hanif dan anak-anak Dr. Zamri dengan semangat kesukanan yang membanggakan. Keputusan akhir, Dandenong kalah tipis 1-0. Tahniah untuk semua.

Perlawanan futsal senior (dewasa) lebih dkuasai oleh rakan-rakan Bundoora. Wakil dari Dandenong hanya Hisham dan Izzuddin sahaja. Melihat mereka bermain, rasanya tidak terkilan tidak turut serta. Bola yang ditendang bagaikan peluru dan larian mereka amat bertenaga sekali. Bimbang juga kot-kot diri tercedera. Bila tak main banyak pula alasannya, ya..8)

Aksi serangan ke pintu gol Bundoorra
Jam 01:00 tengahari, kami semua beredar menuju rumah Shaharuddin-Azizah di Thomastown, hampir 10 km dari La Trobe University untuk makan tengahari dan solat Zohor. Di sana, telah sedia menunggu keluarga Wafir-Suharti. Sesi ramah mesra diteruskan sambil menjamu selera. Terima kasih Din-Gee. Masakan tom yam, mee goreng dan kueh-muehnya sedap sekali.

Melewati jam 03:00 petang, rombongan Dandenong beredar pulang dengan harapan akan berjumpa lagi di lain kesempatan. Insya Allah.
Bila pula ya untuk kami menjemput mereka berkunjung ke Dandenong? Ini nak kena bincangkan dengan rakan-rakan lain dulu.

Thursday, June 4, 2009

Dari Hong Kong ke Hulu Klang

Pagi tadi, Laili menaiki penerbangan Air Asia menuju tanah air dan dijadualkan tiba di LCCT Subang sekitar jam 01:00 petang. Penerbangan asal sepatutnya berlepas awal pagi tadi (12:30 pagi) tetapi ditunda kepada jam 07:00 pagi. Bernasib baik mendapat makluman di sebelah tengahari sehari sebelumnya. Jika tidak tersadailah di Melbourne Airport menunggu waktu penerbangan sebenar.
Namun hampir jam 04:00 petang waktu Victoria (02:00 petang waktu Malaysia), kami mendapat panggilan dari abah di LCCT, katanya Air Asia berkenaan belum lagi mendarat. Sekali lagi panggilan diterima jam 04:30 petang memaklumkan perkara yang sama. Gusarnya hati tidak terkira. Air Asia pula tidak dapat dihubungi. Sementelahan pula beberapa hari sebelumnya Air France hilang (terhempas) di Lautan Antartik. Ya Allah, jauhilah dari terjadi kejadian seumpamanya. Ameen.
Sejam selepasnya, Laili membuat panggilan dari LCCT. AlhamduliLlah selamat tiba. Penerbangan terlewat hampir 2 jam berpunca dari 2 penumpang langsung tidak kelihatan. Akhirnya terpaksalah menunggu giliran berlepas seterusnya.
Pelik, seolah-olah tiada terma dan syarat penerbangan yang diikuti. Tidak hairanlah ramai rakan-rakan meragui kecekapan operasi Air Asia terutama melibatkan perjalanan jarak jauh. Bayangkan jika ada penumpang mempunyai temu janji penting...

Bergegas Laili ke KLIA Sepang untuk check-in penerbangan MAS ke Chek Lap Kok Airport, Hong Kong yang dijadualkan berlepas kira-kira jam 06:45 petang. Harap-harap tiada masalah lain yang timbul. Laili ke Hong Kong untuk menghadiri konferens dan turut serta dalam pembentangan kertas kerja berkaitan penuaan sihat (healthy ageing), projek penyelidikannya di Monash University.

Selepas 4 hari di Hong Kong, Laili akan terus kembali ke Hulu Klang sehingga 22/06/2009 untuk menyambung penyelidikan berkaitan warga emas yang dilakukannya ketika pulang ke tanah air 4 bulan lepas.

Jika dahulu, Laili pulang selama 3 bulan bersama anak bongsu, Imran tetapi kini beliau pulang sendirian. Tinggallah Imran bersama ayah dan adik beradiknya yang lain. Dalam usia 5 tahun, Imran telah sedia memahaminya. Insya Allah.

Jarak waktu 3 minggu tidaklah lama, apatah lagi anak-anak semua pernah beberapa kali ditinggalkan tanpa ibu mereka bersama. Alah bisa tegal biasa. Tambahan pula saban hari mereka sibuk dengan rutin persekolahan dan lain-lain kegiatan.

Untuk ibu Laili, moga dikurniakan keselamatan, kesihatan dan kekuatan serta dipermudahkan dalam setiap urusan yang dilakukan. Ameen.

Tuesday, June 2, 2009

Tetamu Malaysia - Hj Fauzi & Hjh Narimah

Hujung minggu baru-baru ini (Khamis, 28/05 – Sabtu, 30/05), kami dikunjungi oleh kenalan dari Hulu Klang, Tuan Haji (En.) Fauzi dan isterinya, Hajjah (Mak Cik) Narimah. Mereka berdua singgah di Melbourne sebelum berlepas ke Gold Coast, Queensland untuk bercuti bersama-sama anak-menantu serta cucu-cucu mereka yang berangkat ke sana pada pagi Sabtunya.

En Fauzi, bekas pegawai kanan Bank Rakyat dan Mak Cik Narimah adalah rakan abah dan emak (mertua). Mereka sama-sama bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan setempat di Hulu Klang. Mereka berdua telah lama berhajat untuk ke Melbourne demi memenuhi jemputan kami dan kini baru tercapai.

Penerbangan MAS yang dinaiki mereka selamat mendarat di Melbourne Airport kira-kira jam 07:00 pagi Khamis. Masih awal pagi. Matahari pun belum terbit. Bersama Imran, kami berdua terlewat tiba. Hampir 2 ½ jam kami memerhatikan setiap penumpang yang melalui pintu keluar tetapi mereka tidak kelihatan. Telefon bimbit mereka pula tidak dapat dihubungi. Hati terasa amat gelisah sekali sehingga menelefon abah di tanah air.
Akhirnya ketemu juga. Tidak sangka pula mereka menunggu hampir 3 jam di luar bangunan dalam cuaca yang agak sejuk. Jelas kelihatan mereka kesejukan. Kasihan. Ampun maaf dipinta…

Selama 3 hari di rumah, Mak Cik Narimah pula "tidak senang duduk diam". Ada sahaja kerja yang dilakukannya. Beberapa sudut dapur yang sememangnya kurang terurus dicuci dan dikemaskannya. Bab memasak pula, bermacam-macam juadah disediakannya satu persatu, antaranya BBQ lamb bersos pudina, pizza, coleslaw, salad, pai epal, roti jala kari lamb dan spaghetti. Terasa segan pula dibuatnya. Kata Mak Cik Narimah, ia lebih suka begitu daripada hanya duduk-duduk sahaja. Terima kasih, Mak Cik. AlhamduliLlah, dapatlah kami merasa masakan berlainan daripada biasa. Sekaligus dapatlah resepi terbaru untuk dicuba.

Ketika berkesempatan, mereka dibawa berjalan-jalan di sekitar Dandenong, antaranya ke Dandenong Market, Coles dan kedai kek untuk mencari bahan-bahan untuk memasak. Petangnya, selepas Laili balik dari seminar di City, mereka di bawa ke Knit n’ Purl, meninjau barangan kait-mengait serta ke Direct Factory Outlet (DFO) di Morrabbin, pusat barangan dapur yang terkenal murahnya, lebih murah daripada Kawasan Bebas Cukai di Langkawi. Mak Cik Narimah tampak begitu teruja sekali…8)
Masa-masa terluang, banyak perkara yang dibual dan dibincangkan. Dari hal-hal biasa melibatkan keluarga sehinggalah hal-hal kemasyarakatan termasuklah berkaitan aktiviti-aktiviti masjid dan penyelidikan warga emas sihat yang sedang diusahakan oleh Laili.

Menjelang tengahari Sabtu, mereka dibawa menaiki City Circle Tram (percuma) di tengah Melbourne CBD; melewati Etihad Stadium (dulunya Telstra Dome), Victoria Harbour dan Southern Star Observation Wheel.
Seterusnya kami ke Melbourne Airport. Penerbangan Jet Star mereka ke Gold Coast berlepas jam 02:45 petang. AlhamduliLlah, mereka selamat tiba di Gold Coast kira-kira 2 jam selepasnya. Mereka dijadualkan pulang ke tanah air pada esok hari (Rabu, 03/06/2009) melalui Melbourne Airport. Sekadar transit selama 3 jam sebelum menaiki penerbangan MAS ke KLIA.

Insya Allah ketemu lagi di lain ketika. Selamat bercuti dan selamat pulang ke Malaysia. Ameen.

Swine Flu @ Australia - Terkini

03/06/2009
89 kes terbaru dikesan di Victoria terutama di utara dan barat Melbourne menjadikan 395 kesemuanya. Kira-kira 770 ujian lagi sedang dijalankan.
Kes keseluruhan di Australia dilaporkan meningkat kepada 500.
02/06/2009

Swine Flu di Australia masih meningkat, kini 401 kes dengan kes di Victoria bertambah 94 kes lagi kepada 306 kes.
Nampaknya langkah kuarantin tidak berjaya melambatkan penyebaran virus H1N1. Kerajaan telah memperuntukkan lebih AUD 10 juta untuk mendapatkan vaksinnya, Tamiflu. Sehingga kini vaksin terbaru masih dalam penyelidikan.
Secara keseluruhan, kes Swine Flu di seluruh dunia telah mencecah 15,000 kes di 53 negara dengan 99 kematian dilaporkan.
01/06/2009


Kes di Australia meningkat kepada 303 kes. Victoria masih tertinggi dengan 212 kes. Mulai Isnin, 6 sekolah lagi di utara Melbourne ditutup menjadikan 9 buah kesemuanya.

Langkah pemantauan mungkin beranjak dari contain phase kepada sustain phase kerana kenaikan kes yang agak drastik.

[nota :-
contain phase - bilangan kes kecil.
sustain phase - kes merebak dalam komuniti]