Thursday, June 25, 2009

Exploring Asia Expo

Hanisah kini di Grade 6 di Dandenong North Primary School (DNPS). Setiap penggal para pelajar Grade 6 akan diberikan tema projek yang berbeza untuk dilakukan penyelidikan. Tema projek mereka pada Penggal 2 ini adalah “Exploring Asia”, kajian mengenai negara-negara terpilih di Benua Asia mengikut kumpulan yang dibentuk. Hanisah diletakkan di dalam kumpulan Philippines (Filipina). Lain-lain negara yang terpilih antaranya Malaysia, Singapore, Indonesia, Thailand, Vietnam, Cambodia, India dan Japan.

Setiap ahli kumpulan mempunyai tugasan masing-masing. Bukan sahaja berusaha mencari maklumat terkini negara terbabit tetapi menggunakan kreativiti tersendiri untuk memaparkan setiap maklumat yang diperolehi. Di penghujung penggal, satu ekspo hasil kajian mereka akan diadakan untuk tontonan rakan-rakan pelajar lain, guru-guru dan juga para penjaga/ ibu bapa.

Pada hari Selasa baru-baru ini (23/06/2009), ekspo berkenaan yang dikenali “Exploring Asia Expo” telah dilangsungkan selama sejam, dari pukul 02:00 petang sehingga 03:00 petang bertempat di dewan sekolah. Persediaan ekspo telah dilakukan sejak pagi lagi dengan penglibatan setiap ahli kumpulan. Bagi setiap kumpulan pula, hanya 4 pelajar dipilih sebagai Expert untuk mengendalikan booth negara masing-masing serta memberikan penerangan kepada para pelawat. Mereka digalakkan memakai pakaian kebudayaan negara berkenaan atau mana-mana negara di Asia. Hanisah terpilih mewakili Phillipines, cantik dan manis sekali dengan kebarung hijaunya.

Lain-lain rakan pelajar Grade 6 dari Malaysia, Ashraf Lajiman dan Adleena Huzaizi juga terlibat sama dengan kajian kumpulan masing-masing tetapi tidak berada di booth mereka kerana menghadiri kelas. Ketika persediaan booth, mereka turut sama menceriakan suasana dengan baju Melayu dan baju kurung Malaysia. Ketika ekspo berlangsung, ibu bapa mereka turut datang ke dewan melihat hasil kajian mereka dan negara yang diwakilinya.

Bersama Laili yang masih kepenatan kerana baru tiba dari tanah air pada sebelah paginya, kami berdua turut hadir ke ekspo berkenaan.
Mula-mula masuk sahaja kami disapa ramah oleh para expert di Malaysia booth dengan ucapan pelat, Selamat Datang dan Apa Khabar. Berbagai-bagai penerangan diberikan berserta poster dan manual kajian mereka. Sesekali mereka diuji pengetahuan tentang Malaysia di samping ditokok tambah maklumat terbaru untuk mereka. Tidak mengecewakan walaupun kedapatan sedikit sebanyak fakta yang mengelirukan.

Untuk booths berikutnya kami hanya sekadar melihat sepintas lalu sahaja. Ingatkan semua booth kesemua expert-nya ramah seperti di Malaysia booth, rupa-rupanya tidak. Hampir semuanya hanya duduk-duduk sambil menunggu pengunjung menyapa. Tahniah untuk expert di Malaysia booth. Kalian benar-benar menghayati sifat ramah tamah rakyat Malaysia...8)
Kami terus ke Philippines booth di mana Hanisah menjaganya. Booth yang tidak kurang menariknya. Cuma Hanisah agak pemalu. Mungkin juga hanya malu kepada kami dan tidak kepada para pengunjung lain.

Menurut guru kelasnya, Mrs Surace yang ditemui sehari sebelumnya (ketika Parent-Teacher Interview), Hanisah sengaja dipilih sebagai expert untuk memberi pendedahan dan membentuk keyakinan diri kepadanya ketika bercakap di khalayak ramai.

Secara keseluruhan, dirasakan ekspo berkenaan amat berguna sekali kepada para pelajar untuk mengenali lain-lain negara yang berjiran dengan Australia. Tambahan pula kebanyakan para pelajarnya berasal dari pelbagai negara yang berbeza. Malah para guru dan ibu bapa juga turut sama dapat mempelajarinya.
Malah Solehah di Grade 3 pun sedang bertungkus-lumus menyiapkan projek Penggal 2-nya, Minibeast dengan haiwan pilihannya moth (kupu-kupu).

4 comments:

rezeki said...

Asalamulaikum ,
Tentu rasa begitu seronok dapat melihat perkembangan anak2 dan membesar dihadapan mata kita. Pengalaman indah yang pasti akan berlalu apabila mereka besar nanti.Tugas kita sebagai ibubapa memberikan yang terbaik utk mereka.

ropidi 'n laili said...

Waalaikum salam,

Anak adalah amanah Allah. Sememangnya tanggungjawab ibu dan bapa mendidik mereka. Moga anak-anak kita menjadi anak-anak yang sentiasa menyayangi ibu bapa ketika mereka telah dewasa. Ameen.

rezeki said...

Dari pandangan mata saya, saya lihat sistem pendidikan di Australia dan negara barat yang lain terutama utk sekolah rendah tidak banyak menekan mereka kepada perperiksaan. Ini sgt bertentangan dengan negara kita. Mereka di sana lebih banyak kepada penekanan pembinaan diri dan sahsiah melalui aktiviti-aktiviti. Ini sesuatu yang menyeronokkan kepada kanak-kanak.Sepatutnya para pengubal dasar pendidikan negara kita perlu segera sedar akan keperluan tersebut.

ropidi 'n laili said...

Begitu juga pemerhatian saya. Saya juga hairan kenapa sistem pendidikan kita amat susah untuk berubah sedangkan pemantauannya telah sekian lama dilakukan. Terdapat anak-anak kawan yang pulang ke tanah air masih merindui sistem pendidikan di sini.