Tuesday, June 2, 2009

Tetamu Malaysia - Hj Fauzi & Hjh Narimah

Hujung minggu baru-baru ini (Khamis, 28/05 – Sabtu, 30/05), kami dikunjungi oleh kenalan dari Hulu Klang, Tuan Haji (En.) Fauzi dan isterinya, Hajjah (Mak Cik) Narimah. Mereka berdua singgah di Melbourne sebelum berlepas ke Gold Coast, Queensland untuk bercuti bersama-sama anak-menantu serta cucu-cucu mereka yang berangkat ke sana pada pagi Sabtunya.

En Fauzi, bekas pegawai kanan Bank Rakyat dan Mak Cik Narimah adalah rakan abah dan emak (mertua). Mereka sama-sama bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan setempat di Hulu Klang. Mereka berdua telah lama berhajat untuk ke Melbourne demi memenuhi jemputan kami dan kini baru tercapai.

Penerbangan MAS yang dinaiki mereka selamat mendarat di Melbourne Airport kira-kira jam 07:00 pagi Khamis. Masih awal pagi. Matahari pun belum terbit. Bersama Imran, kami berdua terlewat tiba. Hampir 2 ½ jam kami memerhatikan setiap penumpang yang melalui pintu keluar tetapi mereka tidak kelihatan. Telefon bimbit mereka pula tidak dapat dihubungi. Hati terasa amat gelisah sekali sehingga menelefon abah di tanah air.
Akhirnya ketemu juga. Tidak sangka pula mereka menunggu hampir 3 jam di luar bangunan dalam cuaca yang agak sejuk. Jelas kelihatan mereka kesejukan. Kasihan. Ampun maaf dipinta…

Selama 3 hari di rumah, Mak Cik Narimah pula "tidak senang duduk diam". Ada sahaja kerja yang dilakukannya. Beberapa sudut dapur yang sememangnya kurang terurus dicuci dan dikemaskannya. Bab memasak pula, bermacam-macam juadah disediakannya satu persatu, antaranya BBQ lamb bersos pudina, pizza, coleslaw, salad, pai epal, roti jala kari lamb dan spaghetti. Terasa segan pula dibuatnya. Kata Mak Cik Narimah, ia lebih suka begitu daripada hanya duduk-duduk sahaja. Terima kasih, Mak Cik. AlhamduliLlah, dapatlah kami merasa masakan berlainan daripada biasa. Sekaligus dapatlah resepi terbaru untuk dicuba.

Ketika berkesempatan, mereka dibawa berjalan-jalan di sekitar Dandenong, antaranya ke Dandenong Market, Coles dan kedai kek untuk mencari bahan-bahan untuk memasak. Petangnya, selepas Laili balik dari seminar di City, mereka di bawa ke Knit n’ Purl, meninjau barangan kait-mengait serta ke Direct Factory Outlet (DFO) di Morrabbin, pusat barangan dapur yang terkenal murahnya, lebih murah daripada Kawasan Bebas Cukai di Langkawi. Mak Cik Narimah tampak begitu teruja sekali…8)
Masa-masa terluang, banyak perkara yang dibual dan dibincangkan. Dari hal-hal biasa melibatkan keluarga sehinggalah hal-hal kemasyarakatan termasuklah berkaitan aktiviti-aktiviti masjid dan penyelidikan warga emas sihat yang sedang diusahakan oleh Laili.

Menjelang tengahari Sabtu, mereka dibawa menaiki City Circle Tram (percuma) di tengah Melbourne CBD; melewati Etihad Stadium (dulunya Telstra Dome), Victoria Harbour dan Southern Star Observation Wheel.
Seterusnya kami ke Melbourne Airport. Penerbangan Jet Star mereka ke Gold Coast berlepas jam 02:45 petang. AlhamduliLlah, mereka selamat tiba di Gold Coast kira-kira 2 jam selepasnya. Mereka dijadualkan pulang ke tanah air pada esok hari (Rabu, 03/06/2009) melalui Melbourne Airport. Sekadar transit selama 3 jam sebelum menaiki penerbangan MAS ke KLIA.

Insya Allah ketemu lagi di lain ketika. Selamat bercuti dan selamat pulang ke Malaysia. Ameen.

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum En Ropidi..
Saya nak tanya, tuan jadi full time house-band ke kat sana. Sebelum tuan pergi Melbourne, tuan berhenti kerja ke kat Malaysia. Saya bertanya sekadar untuk mencari ilham kerana bakal isteri saya, insyaallah akan melanjutkan pelajaran ke oversea tahun hadapan. Cuma saya masih memikirkan samada saya berhenti kerja dan mengikuti beliau ke sana atau kami terpaksa berjauhan selama 4 tahun. Bila memikirkan pasal kerja saya ada sedikit kebimbangan sekiranya selepas pulang terpaksa bermula dari kosong atau mencari kerja baru. Dan saya tahu segala pemberian dan rezeki daripada Allah. Cuma kita manusia biasa atau orang awam ada terdetik di dalam hati dan sebagai perancangan pada masa hadapan. Sekadar bertanya dan mana tahu tuan boleh memberi idea atau pendapat. Terima kasih

ropidi 'n laili said...

Waalaikum salam

Sdr, setiap orang berbeza situasi dan keutamaannya. Seperti saya mempunyai anak-anak yang masih bersekolah perlu diberikan perhatian lebih. Tambahan pula inilah peluang keemasan ayng diperolehi isteri. Sememangnya berat hati untuk melepaskan kerja tetap dengan pendapatan yang selesa. Antara rezeki dan amanah Allah (anak-isteri), bulat hati saya mendahulukan amanahNya.

Situasi sdr berbeza dan ramai juga kenalan di Melbourne seumpamanya. Ada yang mengikut isteri dan mencari pengalaman kerja di sini(di samping kumpul duit kerana tukarannya menguntungkan). Jika mampu boleh sama-sama sambung belajar. Ada juga yang sendirian, setiap 2-3 bulan saling berkunjungan. Air Asia @ Jet Star @ Tiger ada. Jimatnya isteri boleh sewa bilik/rumah bersama kawan. Suami pula terus kerja di tanah air. Tapi kena sabar tanpa anak. Jika tidak kena ikut sekali le..

Jika perlu hubungi saya, ropidi567@gmail.com

8) Terima kasih.