Wednesday, June 24, 2009

Terlerai Sudah Kerinduan

Pagi semalam Laili selamat kembali ke Melbourne setelah hampir 3 minggu di tanah air meninggalkan kami lima beranak di perantauan. Jarak waktu sedemikian bukanlah lama dan tiada apa-apa bagi rakan kenalan, terlebih lagi yang jarang ditemui. Namun kerinduan anak-anak kepada ibunya bagaikan menunggu buah idaman di dahan pokok gugur ke bumi. Walaupun kerap berbicara dan bersua muka melalui Skype Online tetapi tidak sama dengan bertemu secara bersemuka.

Setiap hari mereka membilang hari dan masa akan ibu Laili dijadualkan tiba di rumah, terlebih lagi beberapa hari sebelumnya. Semalam adalah harinya, kira-kira jam 07:00 pagi Laili dijangka mendarat di Melbourne Airport menaiki Penerbangan MAS. Kiranya tidak ramai penumpang, tiada masalah ketika pemeriksaan imigresen dan kastam serta jalan yang tidak sibuk, Insya Allah mereka sempat bertemu ibu sebelum berangkat ke sekolah jam 08:30 pagi. Itulah perkiraan malah harapan mereka.

AlhamduliLlah, harapan mereka dimakbulkanNya. Ketika mereka melangkah keluar ke kereta, Laili sampai menaiki teksi. Gembira sekali mereka sambil berpelukan penuh keseronokan. Terlerai sudah satu episod kerinduan.

Si bongsu Imran.. walaupun kurang menunjukkan rasa rindunya selama ketiadaan ibunya, namun manjanya ia ketika ibunya ada bersama amat menyerlah. Ketika makan nak ibunya yang suapkan. Baca buku sebelum tidur (rutin utamanya) pun inginkan ibunya yang ajarkan. Ke tandas pun sama.

Begitu juga anak-anak yang lain; Solehah, Hanisah dan Izzuddin. Walaupun tidak diungkapkan melalui kata-kata namun dari lengok bicara dan perlakuan jelas menggambarkannya. Bagi ayah, setinggi-tinggi kesyukuran ibu Laili selamat pergi dan kembali ke Melbourne. Kini ada teman untuk sama-sama menguruskan kehidupan anak-beranak di perantauan.

Seronok sekali anak-anak menyelongkar barangan yang dibawa oleh ibunya dari Malaysia. Baju raya yang ditempah pada Kak Milah ketika pulang ke Terengganu 2 bulan lalu telah pun siap. DVD dengan filem-filem terbaru yang dipesan pun ada. Juga buah tangan dari Hong Kong. Terima kasih ibu…

Kira-kira seminggu lagi Laili perlu “terbang” lagi untuk beberapa hari. Kali ini ke Paris pula atas tugasan yang sama seperti ke Hong Kong kira-kira 3 minggu lalu, menyertai seminar dan pembentangan kertas kerja.

Insya Allah segalanya mampu dihadapi di bawah lindungan dan peliharaanNya. Moga sentiasa dipermudahkan olehNya. Ameen.

4 comments:

rezeki said...

Alhamdulillah, segalanya berjalan seperti dirancang. Semoga ALLAH sentiasa melindungi dan merahmati kehidupan saudara sekeluarga diperantauan.

ropidi said...

AlhamduliLlah dan terima kasih. Juga untuk saudara...8) Cantik dan indah sekali gambar Kaabah. Teruja hati untuk ke sana.

rezeki said...

Gambar diabadikan sehari sebelum pulang ke Malaysia pada musim haji 2007. Satu perjalanan dan pengembaraan paling indah dalam hidup kami. Berdoalah semoga kita semua dapat mengunjunginya.

ropidi said...

Moga dipermudahkan olehNya. Ameen.