Monday, June 22, 2009

Siang Pendek Malam Panjang

Begitulah lumrahnya masa di musim sejuk ini. Matahari pagi terbit di ufuk timur sekitar jam 07:40 pagi dan terbenam di ufuk barat dalam lingkungan 05:10 petang. Bermakna waktu siangnya kira-kira 9 ½ hingga 10 jam sehari. Bakinya selama 14 hingga 14 ½ jam lagi adalah waktu malam.

Bagi anak-anak yang bersekolah, masa siang mereka terasa begitu cepat sekali berlalu. Izzuddin tamat waktu persekolahannya di Dandenong High School pukul 03:10 petang, diikuti oleh Hanisah dan Solehah di Dandenong North Primary School pada jam 03:30 petang. Imran di Dandenong North East Kindergarten pula tamat pada pukul 04:30 petang pada hari persekolahan sesi petang.

Pulang dari sekolah mereka hanya sempat berehat seketika, bermain bersama di dalam rumah atau menonton siri kartun di televisyen sambil menunggu makan petang disiapkan. Jarak waktu petang yang begitu singkat, sekitar 1 jam selepas pulang dari sekolah cukup sekadar melepaskan lelah sahaja. Dengan penat yang masih terasa, kegiatan harian mereka bersambung pula ketika malam mula menjelma.

Ketika tabir siang tertutup sekitar jam 05:10 petang, mereka mula bersiap untuk mengerjakan solat Maghrib dan mengaji Al-Quran. Kira-kira jam 06:40 malam mereka solat Isyak pula, kemudian menyiapkan kerja sekolah atau membaca buku-buku yang dipinjam dari Dandenong Library. Jarang-jarang sahaja mereka menonton televisyen ketika malam, tambahan pula kebanyakan siarannya untuk golongan dewasa sahaja.

Sekitar jam 09:30 malam biasanya mereka mula bergerak ke tempat tidur sehinggalah dikejutkan keesokan harinya kira-kira jam 06:15 pagi untuk bersolat Subuh, seterusnya bergilir mandi serta bersiap-siap untuk ke sekolah.

Demikianlah rutin harian anak-anak ketika hari persekolahan. Cuti hujung minggu benar-benar memberikan mereka kerehatan dan ketenangan. Rasa penat selama 5 hari hilang dalam keseronokan bersama keluarga.

Bagi yang bekerja, masa siang mereka juga terasa amat singkat. Tamat sahaja waktu bekerja, mereka tergesa-gesa untuk pulang terus ke rumah. Terlebih lagi bagi yang waktu bekerjanya sehingga jam 05:00 petang. Jalan raya utama di hadapan rumah membuktikannya. Kenderaan beratur berderetan sebelum bergerak lancar kira-kira jam 06:30 malam.

2 comments:

rezeki said...

Kalau puasa pada musim sejuk , pendek masanya .

ropidi 'n laili said...

Tepat sekali. Malah kurang terasa lapar dan dahaganya. Ada yang berjenaka, bagi yang nak ganti puasa, inilah masanya. Sepatutnya tidak bertangguh hingga Ramadhan menyapa.