Thursday, June 4, 2009

Dari Hong Kong ke Hulu Klang

Pagi tadi, Laili menaiki penerbangan Air Asia menuju tanah air dan dijadualkan tiba di LCCT Subang sekitar jam 01:00 petang. Penerbangan asal sepatutnya berlepas awal pagi tadi (12:30 pagi) tetapi ditunda kepada jam 07:00 pagi. Bernasib baik mendapat makluman di sebelah tengahari sehari sebelumnya. Jika tidak tersadailah di Melbourne Airport menunggu waktu penerbangan sebenar.
Namun hampir jam 04:00 petang waktu Victoria (02:00 petang waktu Malaysia), kami mendapat panggilan dari abah di LCCT, katanya Air Asia berkenaan belum lagi mendarat. Sekali lagi panggilan diterima jam 04:30 petang memaklumkan perkara yang sama. Gusarnya hati tidak terkira. Air Asia pula tidak dapat dihubungi. Sementelahan pula beberapa hari sebelumnya Air France hilang (terhempas) di Lautan Antartik. Ya Allah, jauhilah dari terjadi kejadian seumpamanya. Ameen.
Sejam selepasnya, Laili membuat panggilan dari LCCT. AlhamduliLlah selamat tiba. Penerbangan terlewat hampir 2 jam berpunca dari 2 penumpang langsung tidak kelihatan. Akhirnya terpaksalah menunggu giliran berlepas seterusnya.
Pelik, seolah-olah tiada terma dan syarat penerbangan yang diikuti. Tidak hairanlah ramai rakan-rakan meragui kecekapan operasi Air Asia terutama melibatkan perjalanan jarak jauh. Bayangkan jika ada penumpang mempunyai temu janji penting...

Bergegas Laili ke KLIA Sepang untuk check-in penerbangan MAS ke Chek Lap Kok Airport, Hong Kong yang dijadualkan berlepas kira-kira jam 06:45 petang. Harap-harap tiada masalah lain yang timbul. Laili ke Hong Kong untuk menghadiri konferens dan turut serta dalam pembentangan kertas kerja berkaitan penuaan sihat (healthy ageing), projek penyelidikannya di Monash University.

Selepas 4 hari di Hong Kong, Laili akan terus kembali ke Hulu Klang sehingga 22/06/2009 untuk menyambung penyelidikan berkaitan warga emas yang dilakukannya ketika pulang ke tanah air 4 bulan lepas.

Jika dahulu, Laili pulang selama 3 bulan bersama anak bongsu, Imran tetapi kini beliau pulang sendirian. Tinggallah Imran bersama ayah dan adik beradiknya yang lain. Dalam usia 5 tahun, Imran telah sedia memahaminya. Insya Allah.

Jarak waktu 3 minggu tidaklah lama, apatah lagi anak-anak semua pernah beberapa kali ditinggalkan tanpa ibu mereka bersama. Alah bisa tegal biasa. Tambahan pula saban hari mereka sibuk dengan rutin persekolahan dan lain-lain kegiatan.

Untuk ibu Laili, moga dikurniakan keselamatan, kesihatan dan kekuatan serta dipermudahkan dalam setiap urusan yang dilakukan. Ameen.

2 comments:

Anonymous said...

LCCT.

ropidi said...

Opss.. Terima kasih..8)