Monday, June 8, 2009

Kunjungan ke Bundoora

Hari Sabtu baru-baru ini (06/06/2009), kami berkunjung ke Bundoora, memenuhi jemputan dari rakan-rakan di sana yang diusahakan oleh Shaharuddin. Konvoi Dandenong diketuai oleh Lajiman, diikuti sama Hanif berserta 3 anaknya menuju La Trobe University di mana Lajiman melanjutkan pengajiannya kini. Manakala Dr. Zamri, juga dengan 3 anaknya dari Blackburn Rd pergi sendiri. Keluarga Wafir-Suharti pula pergi lewat sedikit selepas kelas renang mereka. Rakan-rakan lain dari keluarga gabungan Dandenong dan Noble Park tidak dapat turut serta kerana masing-masing mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan. Masing-masing sekadar berkirim salam.

Sebahagian kaum bapa Bundoora dan Dandenong
Kami tiba di tempat dijanjikan, Car Park 6 berhadapan dengan La Trobe Uni Sport Centre kira-kira jam 11:00 pagi. Perjalanan sekitar 40 km mengambil masa kira-kira 45 minit lancar melalui Monash Freeway dan Eastern Freeway.
Cuacanya pula baik sekali, mendung sepanjang hari diselimuti kesejukan awal musim sejuk dengan suhu sekitar 16 darjah Celcius. Tiada hujan turun sudah dikira beruntung kerana akhir-akhir ini hujan kerap turun di mana sejuknya akan lebih terasa. AlhamduliLlah.

Sebahagian kaum ibu Bundoora dan Dandenong
Kehadiran rakan-rakan Bundoora amat mengalakkan, rata-rata segak dengan baju-T seragam berbelang hijau-kuning-putih. Agaknya itulah pakaian rasmi sukan mereka. Ramai di antara mereka yang tidak pernah ditemui sebelum ini, namun kemesraan cepat sekali bertunas. Berbual dan bergelak ketawa seakan-akan telah lama kenal.

Agenda utama yang diaturkan adalah perlawanan persahabatan futsal di dalam dewan (indoor futsal), melibatkan anak-anak dan juga ibu bapa. Sport Centre ditempah dari jam 11:30 pagi hingga 01:00 tengahari.
Perlawanan pertama adalah futsal junior (anak-anak). Memandangkan jumlah ahli pasukan yang tidak sama, sebilangan anak-anak Bundoora dimasukkan ke dalam pasukan Dandenong. Cuma dari segi saiz badan kurang seimbang. Hampir semua anak-anak Dandenong kecil molek badan mereka, di bawah usia 13 tahun, manakala anak-anak Bundoora ramai yang berumur 13 tahun ke atas dan besar saiznya. Tak kisahlah, sekadar perlawanan persahabatan, suka-suka sahaja.

Pasukan futsal junior Dandenong
Sepanjang perlawanan, kedua-dua pasukan saling serang menyerang dan tidak mengenal penat dan lelah, rancak sekali permainan mereka. Izzuddin paling ketara kesungguhannya, berlari mengejar bola di seluruh pelusuk court. Begitu juga Ashraf Lajiman, Farhana Lajiman, Nazhan Hanif dan anak-anak Dr. Zamri dengan semangat kesukanan yang membanggakan. Keputusan akhir, Dandenong kalah tipis 1-0. Tahniah untuk semua.

Perlawanan futsal senior (dewasa) lebih dkuasai oleh rakan-rakan Bundoora. Wakil dari Dandenong hanya Hisham dan Izzuddin sahaja. Melihat mereka bermain, rasanya tidak terkilan tidak turut serta. Bola yang ditendang bagaikan peluru dan larian mereka amat bertenaga sekali. Bimbang juga kot-kot diri tercedera. Bila tak main banyak pula alasannya, ya..8)

Aksi serangan ke pintu gol Bundoorra
Jam 01:00 tengahari, kami semua beredar menuju rumah Shaharuddin-Azizah di Thomastown, hampir 10 km dari La Trobe University untuk makan tengahari dan solat Zohor. Di sana, telah sedia menunggu keluarga Wafir-Suharti. Sesi ramah mesra diteruskan sambil menjamu selera. Terima kasih Din-Gee. Masakan tom yam, mee goreng dan kueh-muehnya sedap sekali.

Melewati jam 03:00 petang, rombongan Dandenong beredar pulang dengan harapan akan berjumpa lagi di lain kesempatan. Insya Allah.
Bila pula ya untuk kami menjemput mereka berkunjung ke Dandenong? Ini nak kena bincangkan dengan rakan-rakan lain dulu.

No comments: