Tuesday, June 16, 2009

Swine Flu - Terkini dari Melbourne

Swine flu @ Influenza A @ H1N1 @ selsema babi kini benar-benar mengegarkan dunia. Ramai yang panik dan terkesima, rasa takut dan gentar tiada bertepi. Datangnya tanpa disedari, perginya payah sekali. Tiada siapa menjangka siapa yang akan dihinggapinya kerana virusnya tersebar begitu mudah sekali. Pembawanya pula susah untuk dikenali malah diri sendiri pun tidak menyedari.

Minggu lalu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan situasi dunia kini di peringkat pandemik fasa 6 iaitu fasa tertinggi sejak 41 tahun lalu. Ini bermakna virus H1N1 benar-benar telah merebak begitu drastik sekali di seluruh dunia tanpa dapat dikawal.

Tiada kaedah lain yang dapat dilakukan selain mengingatkan setiap orang perlu memberikan perhatian yang serius. Masing-masing berkewajiban memantau dan berusaha membendungnya daripada menjadi lebih parah. Tahap kesihatan diri dan keluarga sentiasa perlu diawasi dengan teliti. Sebarang tanda-tanda awal seperti demam, selsema dan bersin perlu diperiksa dengan segera.

Terlebih lagi kepada mereka yang baru pulang dari luar negara, dinasihatkan mengasingkan (mengkuarantinkan) diri selama seminggu bagi memastikan benar-benar sihat dan tidak menjadi pembawa virus H1N1.

Begitu juga pihak berkuasa kesihatan, perlu lebih aktif memahamkan semua orang dan mengambil langkah susulan yang lebih teratur dan berkesan. Segala kegiatan luar yang melibatkan kumpulan ramai sewajarnya dibatalkan. Perjalanan ke negara-negara di mana penyakit berkenaan menular juga, jika boleh perlu dielakkan.

Berdasarkan berita dari tanah air, sehingga kini 17 orang telah disahkan positif menghidap selsema ini. Kesemuanya melibatkan mereka yang berkunjung atau datang dari negara luar. Lebih menarik lagi beberapa kes (tidak silap telah pun 4 kes) berpunca dari Melbourne samada melancung mahupun pulang bercuti.

Tidak menghairankan kerana Victoria (terutama di utara dan barat ibu negerinya, Melbourne) mencatatkan bilangan kes swine flu tertinggi di Australia. Sehingga malam tadi sebanyak 1, 210 kes dilaporkan di Victoria (jumlah sebenar diyakini lebih besar daripada itu). Dalam berjenaka, ada yang menggelarkan Victoria kini State of Swine Flu.

Jumlah keseluruhan kes swine flu di Australia kini mencecah 1, 762 kes. Lain-lain negeri dan wilayah juga mencatatkan peningkatan kes yang mendadak; New South Wales (191 kes), Queensland (116), Western Australia (66), South Australia (63), Canberra ACT (53), Tasmania (32) dan Northern Territory (31).

Melihatkan jumlah kes dan kadar penularan virus yH1N1 ang begitu cepat, sedikit sebanyak menyebabkan hati menjadi gusar. Apatah lagi di perbandaran yang kami duduki kini (Greater of Dandenong) yang terletak ke tenggara Melbourne juga mencatatkan sebanyak 12 kes, termasuk ahli majlis perbandaran (councillor) pun ada yang terkena.

Dalam urusan harian samada ke pasar, shopping complex, kedai-kedai dan juga ke sekolah, tanpa disedari diri terdedah kepada segala kemungkinan yang ditakuti. Tambahan pula dengan keadaan cuaca awal musim sejuk yang tidak menentu panas dan hujan dengan suhu yang rendah menyebabkan selsema (winter flu) adalah penyakit biasa. Ada yang bertanya, ada kemungkinan tak sifat dan struktur genetik virus untuk swine flu dan winter flu ini sama sahaja? Entahlah… mereka yang arif lebih mengetahuinya.

AlhamduliLlah sehingga kini tiada tanda-tanda kami anak beranak di Melbourne mengalami selsema. Ya Allah, hindarkanlah kami daripada swine flu ini hatta selsema dan demam biasa sekalipun. Ameen.

Bimbang juga di hati kerana ramai rakan kenalan serta keluarga mereka sedang rancak datang melancung dan menziarahi ahli keluarga serta ramai pula yang akan pulang bercuti ke tanah air dalam sebulan dua ini, terutama ketika tibanya musim Raya Eid Fitr nanti. Malah keluarga ipar pun akan datang bercuti ke Melbourne untuk bermain salji pada awal Ogos nanti.

Ya Allah, hentikanlah segera penularan virus H1N1 ini dan kembalikanlah keadaannya seperti sedia kala. Ameen.

No comments: