Thursday, June 11, 2009

Musim Main Salji Datang Lagi

Musim sejuk (winter season) amat sinonim dengan salji. Secara tidak langsung ramai orang yang tergambarkan hamparan salji yang memutih memenuhi persekitaran, ditambah pula dengan snow flakes yang turun bagaikan tempiasan hujan. Anak-anak pula membina snow man dan sebahagiannya bergelak ketawa saling baling membaling snow ball.
Suasana salji di Roving, Lake Mountain semalam. Dua foto berikut juga di Lake Mountain
Di sesetengah lokasi rekreasi salji pula, ramai kanak-kanak menaiki toboggan slide menuruni cerun nan landai. Manakala remaja dan dewasa pula tertumpu di ski trail bersama snow board ataupun ski set menggelusur laju turun mencelahi pepohonan dan bongkahan salji yang menimbun. Sebahagiannya pula menaiki snow lift meninjau keindahan alam semulajadi musim sejuk dari atas. Begitulah sebahagian fenomena main salji di kawasan bersalji terutama di lokasi rekreasi salji di kawasan tanah tinggi.

Hakikatnya di Australia, hanya di bahagian selatannya sahaja yang mengalami musim sejuk yang ketara, terutama di Tasmania, Victoria, South Australia dan sebahagian New South Wales dan Western Australia. Manakala salji pula hanya terdapat di Tasmania, Victoria dan di selatan New South Wales sahaja, itu pun hanya di kawasan tanah tinggi. Tiada salji yang memenuhi kawasan rumah mahupun jalan-jalan raya. Ini kerana suhu persekitarannya tidaklah mencapai tahap beku (bawah 0 darjah Celcius) seperti di setengah-setengah negara yang biasa ditonton melalui televisyen dan filem.

Di Victoria, saljinya sudah pun mulai turun sejak minggu lepas lagi. Dalam sehari dua ini ketebalan salji lebih menyerlah (ketebalannya sekitar 45 cm) dan kebanyakan tempat rekreasi salji telahpun dibuka kepada para pengunjung untuk bermain salji. Dari laporan internet, berita TV dan lain-lain media massa jelas menunjukkan timbunan salji memutih memenuhi kawasan. Ditambah pula dengan salji buatan yang disediakan oleh pengendali pusat rekreasi. Adakala snow flakes juga turut sama kelihatan berserta angin yang bertiup lembut, sekitar 10 – 30 km/jam. Salji aktif turun ketika malam hari membawa ke pagi, di mana suhu ketika itu biasanya sekitar -3 darjah Celcius.

Ramai rakan kenalan yang ditemui memperkatakan tentang kehadiran salji ini. Masing-masing tampak teruja sekali untuk merasai pengalaman bermain salji, lebih-lebih lagi kepada yang baru sampai ataupun belum berkesempatan sebelum ini. Bagi yang pernah merasainya, ianya tetap ditunggu-tunggu. Dalam setahun, musim bermain salji hanya sekali ketika datangnya musim sejuk. Tambahan pula berada di kawasan berdekatan dengannya. Peluang yang ada seharusnya tidak dilepaskan.

Terdapat 10 lokasi rekreasi salji di Victoria yang popular iaitu Mt. Hotham, Mt. Buller, Falls Creek, Mt Baw-Baw, Lake Mountain, Mt Buffalo, Dinner Plain, Mt. Donna Buang, Mt. Stirling dan Mt. St. Gwinear. Tiga yang pertama amat terkenal kepada penggemar ski, namun lain-lain tempat tidak kurang tarikannya. Masing-masing bergantung kepada apa yang diidamkan.

Bagi kami, Lake Mountain sudah memadai walaupun pemandangannya tidaklah secantik di lain-lain lokasi. Tambahan pula ianya lebih dekat dengan rumah kami, lebih kurang 100 km sahaja. Boleh pergi dan balik hari, tidak perlu menginap di mana-mana. Namun jika ada peluang untuk ke lokasi lain, mungkin akan dipertimbangkan.

Bayaran masuk ke tempat bersalji adalah berbeza kadarnya mengikut lokasi. Tyre chain adalah satu keperluan untuk kereta 2WD (biasanya dikecualikan untuk 4WD) kerana laluan mendakinya adakala licin kesan salji yang mencair. Ianya boleh disewa di kedai-kedai sebelum tiba di lokasi yang dituju. Begitu juga pakaian salji (winter suit) termasuk snow boot serta toboggan slide biasanya terdapat di kedai yang sama ataupun di pusat sewaan Alpine Resort, bersebelahan tapak rekreasi.

Untuk berkunjung ke lokasi pilihan, sebaiknya diperhatikan dahulu ramalan cuaca dan laporan salji pada hari berkenaan. Adakala cuacanya kurang sesuai dan salji pula mulai menipis. Laporan dari internet biasanya menjadi rujukan utama kerana kerap dikemaskini. Salah satu capaiannya adalah http://vicsnowreport.com.au/report.html

Foto kami sekeluarga di Lake Mountain pada tahun lepas
Kami berada di Melbourne telahpun hampir 2 tahun. Tahun lepas kami berkesempatan 3 kali bermain salji. Dua kali ke Lake Mountain dan sekali ke Mt. Baw-Baw. Kedua-dua kali kunjungan ke Lake Mountain mengiringi rakan-rakan dari Adelaide yang berkeinginan bermain salji kerana di South Australia tiada kawasan bersalji.

Manakala ke Mt. Baw-Baw pula bersama rakan-rakan sekampung di Dandenong. Lokasinya jauh sedikit dari Lake Mountain, kira-kira 135 km tetapi laluan mendaki dan menurunnya berliku-liku. Kepala terasa pening, pandangan berpinar dan tekak pula meloya. Perit rasanya untuk ke sana lagi walaupun pemandangannya cantik sekali.

Tahun ini ada keinginan untuk belajar bermain ski. Pernah sekali mencubanya ketika mengikuti rombongan Hewlett-Packard (HP) ke Korea Selatan beberapa tahun lalu tetapi sekadar suka-suka sahaja tanpa ada pengajarnya.
Di Lake Mountain ada dianjurkan kelas ski (termasuk sewaan ski set + 90 minit waktu belajar) dengan bayaran $60.00 untuk dewasa dan $48.00 untuk kanak-kanak. Jika dilakukan secara berkumpulan melebihi 10 orang, bayarannya lebih rendah. Menarik juga. Ada yang nak ikut serta ke? Ataupun tunggu sahaja keluarga adik ipar datang berkunjung ke Melbourne pada awal Ogos nanti.
Apa-apa pun kenalah tunggu Laili ada bersama. Kini masih di tanah air dalam proses pengumpulan data penyelidikannya sehingga 22-Jun. Cuti sekolah Penggal 2 pun kira-kira 3 minggu lagi, elok juga pergi ketika itu.

No comments: